Dikirim pada Oktober 24, 2008 oleh editor
Sesi Perbahasan bajet 2009
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang telah memberi kesempatan dan peluang untuk dapat saya turut sama membahaskan Belanjawan 2009 pada sesi Parlimen kali ini, walaupun empat hari berusaha untuk mendapat peluang ini, hari inilah baru dapat, Alhamdulillah.
Saya akan mulai dengan melihat terus kepada tiga strategi khusus yang dikemukakan oleh bajet ini iaitu pertama sekali, menjamin kesejahteraan rakyat dan yang kedua, membangun modal insan yang berkualiti dan ketiga, memperkukuhkan daya tahan negara.
Secara umumnya saya yakin tiada siapa dapat menafikan bahawa tujuan tiga strategi khusus ini adalah baik untuk semua. Cuma sebelum saya pergi terus, saya ingin jugalah melahirkan rasa simpati kepada Yang Berhormat Rompin kerana daripada Menteri Kewangan II, Menteri Sains, dan sekarang ini nampaknya duduk di depan ini sahajalah, balik semula kepada back-bencher.
Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Biasa, biasa, itu semua biasa.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Biasa sahajalah. Dan yang kedua penghargaan terima kasih …
Tuan Yang di-Pertua: Inilah kadang-kadang menimbulkan kekecohan, yang main-main. Tolonglah elakkan perkara sebegitu. [Ketawa] Sila teruskan hujah.
Seorang Ahli: [Menyampuk]
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Yang kedua penghargaan juga saya kepada Yang Berhormat daripada Bagan. Hari semalam walaupun kita kenal dia belum Islam, tetapi dia telah pun dapat memahami antara lain apa yang dikemukakan dengan amar maaruf nahi mungkar. Dan kita percaya sebagai seorang Muslim, kita tidak harus lupa dengan apa yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah, antara lain sabda Nabi, [Membaca sepotong ayat Al-Quran].
Kalau semua kita dah abaikan dan kita alpa terhadap peranan amar maaruf nahi mungkar, maka kehidupan kita keseluruhannya akan diharamkan oleh Allah dengan keberkatan wahyu. Bertitik tolak daripada tiga strategi ini, maka saya ingin memulai perbahasan ini dengan apa yang telah pernah disarankan oleh Al Imam Al-Ghazali Hujatul Islam. Di mana Imam Al-Ghazali Hujatul Islam pernah menyarankan dengan kata-kata beliau, [Membaca sepotong ayat Al-Quran].
Dalam maksudnya ialah, “Rosaknya rakyat kerana rosak negara, rosaknya negara kerana rosaknya pihak yang berkuasa, rosak yang berkuasa adalah kerana rosak para pemimpin, rosaknya pemimpin adalah kerana rosaknya ulama”.
Kalau kita lihat dari segi apa yang telah disarankan oleh Imam Al-Ghazali Hujatul Islam ini, bermakna kita hari ini seluruh Ahli Dewan, apa kita boleh melihat dan menuding jari secara ke mana-mana pihak tetapi semua kita hendaklah bersama-sama menghayati apa yang telah disarankan oleh Imam Al-Ghazali ini.
Kesimpulan daripada apa yang telah dibawa oleh Imam Al-Ghazali Hujjatul Islam menunjukkan bahawa apabila ulama rosak, maka rakyat akan musnah. Oleh itu ulama harus memainkan peranan untuk sama-sama mendukung kehendak ini demi yang kita hendak capainya ialah kesejahteraan rakyat keseluruhan. Ditekankan oleh Imam Al-Ghazali, ulama sini bukanlah semata-mata hanyalah kepada physically ulama dalam individu-individu berkenaan.
Akan tetapi yang lebih daripada itu ialah dalam saranan dan kandungan Islam itu sendiri yang dimandatkan oleh Allah SWT untuk ulama itu sampaikan. Sebab itulah maka Sayidina Ali ibni Abi Talib telah mengatakan bahawa [Bercakap dalam bahasa Arab]. Maksudnya kalau tidak kerana ulama manusia akan jadi sebagai haiwan.
Jadi bertitik tolak dari situ maka saya ingin menyentuh pertama sekali ialah sebenarnya manusia merupakan makhluk yang mempunyai iradat yang bebas dan entiti yang tersendiri. Iradat manusia dibatasi oleh kepentingan umum manakala entitinya tunduk di bawah kadar usahanya untuk mencapai kepentingan individu melalui pencapaian umum. Individu dalam masyarakat yang bebas mempunyai pandangan bagi menyesuaikan dengan kepentingan umum.
Cara pelaksanaannya bergantung kepada masyarakat ramai. Biar bagaimanapun tinggi kemanusiaan, namun ia terbatas kepada fitrahnya sahaja. Beberapa individu yang mungkin tiba di kemuncak dan merasa bahawa entiti dirinya tidak tercapai melainkan setelah mereka berkorban untuk kumpulan atau jemaah.
Akan tetapi mereka yang seumpamanya segelintirnya sahaja manakala majoriti adalah terbatas dengan kedudukan fitrah dan mereka tidak berupaya meminggirkannya. Tuan Yang di- Pertua, dalam soal kepimpinan, perbuatan menidakkan hak istimewa perseorangan dalam kepimpinan merupakan satu jenayah yang tebal. Ia memusnahkan tenaga manusia yang pada hal boleh digunakan oleh orang ramai jika ia diberikan peluang yang sesuai.
Dalam hal inilah Sayidina Umar Ibni Al-Khattab telah mencipta satu sistem pemerintahan negara dan menyelia pembentukan nilai-nilai murni dalam politik pemerintahan serta penyusunan masyarakat.
Saya petik ini dan saya bawa apa yang telah dilakukan oleh Sayidina Umar ini untuk sama-sama kita renung. Dalam suasana politik dalam negara kita ini yang terdiri daripada berbagai-bagai parti, berbagai-bagai bangsa, kita hendak lihat apakah kita berjaya membentuk suatu nilai-nilai murni dalam politik pemerintahan yang ada pada negara kita.
Ini semua ditegakkan di atas asas wujudnya ketokohan seseorang dalam kepemimpinan melebihi daripada faktor-faktor yang lain, kerana faktor-faktor yang lain itu akan runtuh. Dari segi ekonomi, dari segi apa akan turut runtuh. Apabila runtuh pentadbiran masyarakat dan negara kerana ditadbirkan
oleh tokoh-tokoh yang rapuh personaliti.
Sebab itulah kita lihat Tuan Yang di-Pertua, walau bagaimanapun pemikiran bebas seseorang individu dalam masyarakat, seharusnya dibimbing dalam satu pentarbiahan atau didikan supaya dapat membina kemampuan untuk berfikir dengan pemikiran yang sihat.
Apabila alat pemikiran bebas seseorang individu itu menjadi lumpuh, akan lahirlah satu generasi yang tidak boleh menguruskan hal ehwal dirinya di mana pada ketika itu akan terdedah kepada manamana pihak yang hendak memanipulasikannya kerana ia tidak dapat berfikir. Malah tidak berupaya untuk berfikir. Di sini akan berlakulah keadaan di mana sistem itu tidak lagi boleh menjamin para pemerintahnya agar sentiasa baik.
Pemerintah akan turut kucar kacir kalaulah dalam keadaan yang demikian. Sementara individu dan masyarakatnya kehilangan kebebasan untuk berfikir dan kehilangan kemampuan untuk meneliti dan mengurus. Dalam hal ekonomi dan kewangan..
Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Minta laluan Yang Berhormat Baling.
Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Bukit Gantang minta laluan.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Dari?
Tuan Yang di-Pertua: Belakang, belakang.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Tidak berapa nampak.
Tuan Haji Roslan Shaharum [Bukit Gantang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Baling. Saya ingin minta penjelasan daripada Yang Berhormat Baling tentang ada satu kaedah fikah yang berbunyi… [Bercakap dalam Bahasa Arab]. Budaya dan cara hidup rakyat sebenarnya ditentukan oleh pemimpin. Jadi bagaimana pandangan Yang Berhormat Baling tentang fikah yang masyhur ini. Sila.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih Yang Berhormat Bukit Gantang. Memang tidak dapat siapa nafikan itu kerana bukan hanyalah satu kaedah fikah tetapi adalah satu saranan yang begitu cantik untuk kita lihat secara keseluruhannya. Tindak tanduk pemerintah adalah memberi kesan yang begitu hebat kepada rakyat di bawahnya.
Saya akan terus pergi Tuan Yang di-Pertua menyentuh dalam hal ekonomi dan kewangan. Mungkin di sana kita bertemu dengan pendapat atau sering orang berpendapat mengatakan bahawa pembahagian ekonomi sahaja sudah cukup untuk menjamin segala perkara berjalan dengan baik yang juga sekali gus melahirkan warganegara dan pemerintah yang baik.
Pendapat ini adalah pendapat yang memperlihatkan kecetekan pemikiran yang sekali gus bermakna mempersendakan jiwa manusia dan fitrah manusia yang tulen sebenarnya. Pemikiran yang cetek sebegini boleh membunuh entiti individu dan masyarakat dari segi kejiwaan dan juga pemikiran yang sekali gus akan menggantikannya dengan kebebasan haiwaniah yang paling rendah dan hina dengan dakwaan kononnya adalah untuk kepentingan masyarakat dan individu.
Inilah kita lihat di dunia hari ini apabila orang menerima bahawa penagihan ekonomi yang baik, kedudukan kewangan yang baik, maka akan menjadikan masyarakat dan negara itu stabil. Kita lupa kedudukan entiti individu. Akhir sekali manusia saling berebut maka siapa yang dapat akan merasa dia hebat. Maka yang tidak dapat dia akan terus berebut walaupun bukan haknya.
Keadaan inilah yang berlaku. Oleh itu sistem yang paling sesuai ialah sistem yang mengimbangi dorongan individu atas sifatnya sebagai orang perseorangan yang bebas dengan sifatnya sebagai seorang anggota dalam masyarakat. Demikian juga perseimbangan di antara satu generasi dengan kepentingan generasi yang akan muncul dalam lingkungan kemanusiaan yang syumul lagi mesra.
Inilah sebenarnya matlamat sistem Islam sebab itu perbelanjaan hari ini harus dilihat untuk kepentingan perbelanjaan generasi yang akan datang. Bukan apa yang kita dapat hari ini kita belanja terus dan kita guna terus tanpa melihat kepentingan generasi yang akan datang. Ini bercanggah dengan Islam.
Islam sebenarnya tidak mengetepikan individu, begitu juga Islam tidak mengetepikan masyarakat. Ia tidak bersikap keterlaluan dalam menghargai salah satunya atas perseorangan yang lain. Inilah terbentuknya masyarakat Islam sejak daripada zaman Nabi Muhammad SAW dan seterusnya.
Walaupun generasi yang pertama yang menentang apa yang telah dibawa oleh baginda Rasullah SAW ini dikenali dengan musyrikin. Musyrikin yang hati dan jiwa mereka disaluti kegelapan tersebut dengan cemas maka mereka bangun menentang apa yang telah dibawa oleh baginda Rasullah SAW lalu Allah SWT menegaskan kepada baginda Rasullah SAW dengan firman… [Membaca sepotong ayat al-Quran]
[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat]
Kalau kita boleh rujuk dalam surah Ra’d ayat ke 17 bermaksud “Ada pun buih itu akan hilang lenyap hanyut terbuang. Manakala yang berfaedah kepada manusia akan tetap utuh, tegap di bumi”.
Tuan Yang di-Pertua dalam hal pemerintahan dan kewangan. Islam membentuk seluruh sistem berhubung dengan pemerintahan dan kewangan yang berasaskan kepada syariat Islam di mana kita tahu bahawa undang-undang Islam berbeza pada dasarnya daripada semua undangundang yang lain.
Undang-undang Islam tidak diadakan oleh satu golongan untuk kepentingannya bagi menentang kepentingan golongan yang lain atau oleh seseorang untuk menentang seseorang yang lain. Islam datang dari Allah SWT yang maha adil kepada seluruh umat manusia tanpa perbezaan antara sesama manusia melainkan pada ketakwaan. Inilah pengakuan terhadap realiti tidak hanya terhadap masyarakat Islam sahaja tetapi juga dalam setiap masyarakat di muka bumi.
Islam tidak menghalalkan seseorang untuk mempunyai hak kemanusiaan yang lebih daripada individu yang lain. Orang miskin yang termiskin di kalangan masyarakat tetap mempunyai hak kemanusiaan
yang dipunyai oleh orang kaya daripada yang terkaya.
Dalam hal ini Tuan Yang di-Pertua saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini. Apa yang berlaku kepada masyarakat terutama sekali di kawasan saya di Baling dan juga mungkin di kawasan-kawasan lain seperti Sik, Padang Terap juga di Kedah. Penoreh-penoreh getah menghadapi suasana yang cukup gawat sekarang daripada RM4 lebih harga getah satu kilo sekarang tinggal RM1. Minyak turun barang tidak turun.
Penduduk dan rakyat di kawasan Baling yang sebahagian besar adalah penoreh getah. Macam mana mampu mereka mahu hidup dalam keadaan yang sebegini? Apa yang kita boleh beli dengan RM1?
Barang yang ada hari ini. Di tokok tambah dengan suasana hujan. Kedah sekarang, Baling sekarang terutama sekali banjir.
Penoreh tidak boleh menoreh. Kita rasa pelik dalam jawapan dua hari lepas Menteri Kewangan II menjawab satu soalan yang dikemukakan kalau tidak silap saya oleh Yang Berhormat Wangsa Maju. Di mana RM5 bilion kerajaan sanggup suntik ke dalam syarikat Valuecap dengan alasan yang diberikan oleh Menteri Kewangan II mengatakan bahawa untuk mempertahankan pasaran saham. Disebabkan salah satunya ialah kerana Valuecap ini ditadbir dan diurus oleh orang-orang profesional.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: [Bangun]
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Sebelum saya bagi Yang Berhormat Rompin, tunggu dulu. Saya tidak hendak komen suntik banyak mana. Tapi di samping kita suntik RM5 bilion untuk menjaga syarikat ini. Apakah kerajaan tidak mampu untuk suntik bagi harga getah itu stabil.
Dekat Rompin pun banyak getah. Boleh suntik. Kita tidak minta banyak kalau sana bagi RM5 bilion kalau sini dapat RM2 bilion atau RM1 bilion penoreh-penoreh getah seluruh negara mendapat manfaat. Saya ingin sebut Dewan yang mulia ini, Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Rompin berdiri tidak duduk lagi.
Baling ada pengalaman 1974, mereka sanggup keluar ke jalan-jalan raya apabila pada ketika itu kerajaan tidak mahu dengar rintihan rakyat. Saya bimbang kalau ini berlaku berpanjangan mungkin seminggu, dua minggu lagi wallahualam. Kalau penduduk daerah Baling, penduduk daerah Sik, penduduk di Padang Terap dan penoreh getah seluruh negara keluar di jalan-jalan raya kita jangan cuba salahkan mereka.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jangan galakkan.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Tapi bukanlah saya galakkan. Tapi kita tidak dapat membendung. Mana keprihatinan kerajaan yang bajet prihatin. Yang Berhormat Rompin hendak tanya?
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Kepada Yang Berhormat Baling latar belakangnya orang agama tapi sudah nampak minat dalam bidang korporat. Mungkin ada buka perniagaan keluarga dalam bidang-bidang perniagaan. Kepakaran alhamdulillahlah.
Puji pun marahkah Yang Berhormat Indera Mahkota. Puji pun kena marah Tuan Yang di-Pertua. Puji godong pun marah sebab dia tok Imam dulu hendak puji sikit. Tapi saya hendak tanya Yang Berhormat yang RM5 bilion ini, adakah Yang Berhormat rela kalau syarikat-syarikat yang strategik negara kita kerana sekarang ini pemegang saham yang asing ini syarikat dia di kampung dia Amerika merudum.
AIG, JP Morgan, apa lagi? Semua, so dia terpaksa jual saham itu balik itu sebab itu saham kita jatuh. Bila saham kita jatuh, kalau kita tidak selamatkan syarikat ini yang kita punya, lama-lama yang datang pada Singapura, negara-negara lain akan beli. Adakah Yang Berhormat rela satu hari bangun syarikat besar kita dipunyai oleh orang luar.
Tapi saya tidak menolak tadi pandangan Yang Berhormat Baling bahawa sekarang bila harga getah turun, harga kelapa sawit turun kita kena balance mereka. Itu kita turun. Tunggulah lagi November keempat saya yakin kerajaan, dulu tidak ada masalah sebab harga tinggi.
Yang harga jatuh ini baru lagi. Dulu masa harga tinggi ini sama ada, kang kata Salahhuddin marah pula. Yang Berhormat Kubang Kerian senyap sahaja, Yang Berhormat Baling senyap sahaja bila harga rendah jadi juara sudah. Biasalah modal tidak ada ambil modal inilah.
Saya minta pandangan adakah Yang Berhormat sedar, tidak bimbang syarikat-syarikat kita ini jatuh oleh kerana pelabur luar lari habis lintang pukang. Kalau kita tidak pastikan ianya kekal dalam kuasa tangan kita rakyat Malaysia. Inilah sebenarnya tujuan RM5 bilion itu untuk membantu untuk memastikan hak kita terutamanya syarikat tadi tinggal kepada kita. Nanti beli tenaga elektrik, beli Telekom dari asing macam mana?
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih Yang Berhormat Rompin, terima kasih. Ini masa pun yang diberi tidak banyak sangat. Saya tidak mempertikaikan secara membuta tuli dengan RM5 bilion. Tapi kita menyelamatkan orang yang biasa kenyang dengan kita selamatnya orang yang tengah merintih lapar. Kalau dari segi kaedah Islam mana aulawiyad? Kita persoalkan sekarang al-aulawiyad.
Sebab itu dalam konteks ini Islam pergi kepada al-fiqh, fiqh al-aulawiyad keutamaan. Dalam fiqh keutamaan ini dia dalam konteks pergi juga….
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, minta tolong Yang Berhormat jangan berdialog dengan dia orang Yang Berhormat ya.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Saya cuba jelas. Jadi dalam fiqh alaulawiyad biarlah saya guna istilah begini supaya nanti Yang Berhormat Rompin boleh refer yang lain-lainlah.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang duduk itu boleh mendengar sahaja ya.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Yang Berhormat Batu Pahat pasal banyak usrah mungkin sudah faham tapi kejap lagi. Jadi dalam kita hendak mengamalkan fiqh al aulawiyad kita kena melihat juga fiqul tajdid dan fiqul muazanat ini ada dalam Islam. Jadi saya mempertikai dan saya mempersoalkan ini ialah dalam konteks ilmu ini. Sebab kita namakan bajet ini bajet prihatin.
Kalau prihatin kepada syarikat besar apakah adil kita tidak prihatin dengan kesengsaraan rakyat? Jadi saya minta dua-dua prihatin. Okeylah tidak apa sahabat saya dekat sangat Yang Berhormat Batu Pahat kena bagilah.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sebenarnya bersimpati dengan Yang Berhormat Baling dan sebenarnya apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Baling itu perlu diberi perhatian. Saya setuju sebab Yang Berhormat Baling ini terlalu nostalgia kerana dahulu perjanjian Chin Peng dengan Tuanku Abdul Rahman di Baling.
Ini kerana peristiwa Baling lah Yang Berhormat Permatang Pauh kena ISA dan kerana itulah banyak dasar-dasar baru dilahirkan tetapi persoalan yang berbangkit di sini belanjawan prihatin ini perlu juga ada keseimbangan untuk menjaga pertumbuhan ekonomi.
Selain daripada kita membantu yang miskin dengan pelbagai perancangan yang dibuat oleh kerajaan dan cukup jelas usaha kerajaan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah juga terbela. Maka sudah tentulah juga barangkali dalam perkara ini soal keutamaan itu juga harus dilihat kepada persoalan keseimbangan untuk menjaga pertumbuhan ekonomi. Apa pandangan Yang Berhormat Baling?
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Saya boleh setuju dengan pandangan Yang Berhormat Batu Pahat ini sebab yang itulah saya persoalkan tadi ialah seimbang kerana rakyat nampak kenapa yang ini boleh tolong sampai RM5 bilion. Yang mereka tak boleh tolong, misalnya.
Tuan Azan Ismail [Indera Mahkota]: [Bangun]
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Itu yang kita minta dan harus dipertimbangkan. Cuma dengan kesempatan masa saya yang masih ada setengah jam lagikan?
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ambillah selepas pukul 9.30 malam Yang Berhormat.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Kita lihat dari sudut itu tadi maka sebenarnya pemerintahan dalam Islam tidak mewakili satu golongan atau sesuatu keturunan mahupun juga puak tetapi ia adalah seseorang yang dipilih dengan sepakat kata dan penuh kerelaan bagi melaksanakan syariat Allah.
Pemerintah tidak mempunyai sebarang keistimewaan selain daripada mempunyai hak pengawasan dan penyeliaan. Manakala hak untuk mendengar, patuh adalah dipihak rakyat dan masyarakat selama mana pemerintah berada dalam batas syariat-syariat Allah.
Maka apabila pemimpin itu dan pemerintah terkeluar daripada batas-batas tersebut maka dalam Islam rakyat adalah gugur hak untuk taat dan patuh dan inilah yang kita bincangkan sekarang supaya kita mempunyai satu pemerintahan dan kerajaan yang masih berada di dalam lingkungan kewajipan untuk rakyat taat dan patuh.
Yang menjadi rukun asasi masyarakat dan juga penglibatan Islam ialah dalam soal kewangan dan ekonomi dan ini diakui oleh Islam. Kewangan atau ekonomi merupakan satu daripada rukun-rukun masyarakat yang asasi tanpanya entiti masyarakat tidak akan wujud.
Islam memperjuangkan keadilan sosial berdasarkan kepada perikemanusiaan yang syumul termasuklah pembahagian ekonomi negara. Ini sebagaimana kita maklum dalam Al-Quran Allah menekankan [Membaca sepotong ayat Al-Quran]. Supaya hasil ekonomi dan kekayaan negara tidak hanya berlegar di kalangan orang-orang kaya di kalangan kamu sahaja.
Jadi apabila terdapat keadilan sosial, ekonomi dan kemanusiaan akan terjalinlah hubungan sesama manusia di tengah-tengah masyarakat berasaskan kasih sayang, persaudaraan dan pertanggungjawaban bukan berasaskan perbalahan, permusuhan dan saling membenci.
Ketika itulah kerajaan atau pemerintah berhak mengambil mana-mana yang lebih dari kepunyaan yang berada untuk diagih kepada golongan fakir miskin yang berhak menerima bukan di atas pemberian tetapi di atas hak yang diserahkan oleh kerajaan kepada yang memerlukan.
Dengan ini menyebabkan kehormatan diri si miskin dan fakir tetap terpelihara tanpa merasa terhina dan rendah diri. Pemberian tidak semestinya berupa wang ringgit tetapi juga keperluan-keperluan seperti sekolah, hospital, tempat tinggal yang selesa, prasarana dan kemudahan-kemudahan yang lain.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Masa Yang Berhormat sudah habis sudah.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Untuk saya gulung Tuan Yang di- Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat tahu hari ini…
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Setengah minit sahaja. minta jasa baik Tuan Yang di-Pertua. Atas sebab itu dalam apa yang kita bincang tadi ini maka saya hendak simpulkan dengan satu ketika Sayidina Umar Ibnu Khatab keluar dari rumah maka dia bertemu dengan seorang Yahudi tua sedang meminta sedekah.
Maka Sayidina Umar bertemu dengan Yahudi tadi. Yahudi tua buta sedang minta sedekah. Jadi Sayidina Umar Ibnu Khatab bertanya kepada Yahudi ini kenapa kamu meminta sedekah. Maka Yahudi ini menjawab wahai Umar saya minta sedekah pertama sekali kerana saya hendak kena bayar cukai. Yang kedua kerana saya memerlukan makanan dan yang ketiga kerana saya buta dan tua.
Di atas keprihatinan khalifah pada ketika itu ketua pemerintah maka dia membawa Yahudi ini ke baitulmal dan memerintah kepada baitulmal kamu bantu orang tua Yahudi ini mengikut keperluan sepanjang hayatnya selagi hayatnya kerana masa dia muda kita menggunakan tenaganya. Masa dia tak sihat, masakan kita boleh membuang dia begitu sahaja.
Di atas sifat inilah kalau kita dapat memenuhi maka Bajet 2009 kalau kita…
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Satu minit sudah Yang Berhormat.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: …Dapat simpulkan kepada maksud ini baru kita boleh terima bahawa ini bajet prihatin. Kalau tidak saya rasa tinggal slogan sahajalah. Wallahualam, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
RUJUKAN: 23 Oktober 2008
Difailkan dalam: ADR Baling, Ucapan
Khamis, 30 Oktober 2008
Ucapan Ustaz Taib Azzamudden Md Taib (MP PAS Baling) membahaskan Bajet 2009
Khamis, Oktober 30, 2008
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan