Sabtu, 25 Oktober 2008

2 Tahun Umno sudah tidak relevan untuk perjuangan Bangsa dan Agama

Tranungkite.net

Artikel Oleh Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad

Ramai kawan-kawan yang seangkatan dengan saya apabila berjumpa, mereka berkata baguslah anta berjuang dalam Pas,. Saya bertanya balik fasal apa anta tidak berjuang bersama dengan Pas, sebaliknya menjadi ahli Umno. Jawabnya mudah , untuk hendak cari makan kena duduk dalam Umno, dan dia sendri pun tidak percaya dengan Umno, Cuma apa boleh buat. Hendak berniaga kena isi borang Umno kalau tidak payah hendak buat kerja. Ini adalah sebahagian daripada rakana-rakan yang seangkatan yang duduk dalam Umno. Mereka tahu bahawa Umno bukan tempat untuk berjuang Agama, Bangsa dan Tanah air. Jika watak seperti ini yang akan memimpin Umno pada masa akan datang, apa yang mereka boleh buat untuk menyambung talian hayat Umno yang hampir hendak terputus.


Inilah realiti yang Umno hadapi sekarang, lebih-lebih lagi selepas keputusan PRU 12. Nampaknya macam-macam mereka buat telahan untuk pulih Umno. Ada yang cadang supaya Presiden sekarang kena berundur, ganti dengan Dato’ Najib. Adakah ini penyelesaian yang terbaik. Bas buruk, Cuma tukar pemandu sahaja. Antara beberapa hujah kenapa Umno akan hilang daripada persada politik tanah air ialah;

1.Islam Tidak Menjadi
DasarSejak awal lagi penubuhan Umno ialah untuk melawan Malayan U_nion sahaja. Bukan untuk mempertahankan Islam. Islam hanya alat, bukan sebagai satu asas dalam perjuangan. Kalau Islam sudah menjadi asas perjuangan, tentu mereka akan merujuk kepada Islam dalam semua hal, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kalau soal tudung yang menjadi nas yang qat’i dalam al-Quran, pemimpin wanita, puteri dan isteri pemimpin tidak ambil kisah. Maka apa yang hendak diharap untuk mereka bercakap perkara yang lebih besar mengenai Islam. Apabila Islam tidak mendasari dalam perjuangan maka modal pembangunan akan lapok, kerana minda rakyat semakin berubah dan maju terutama genearasi muda, mereka tahu apa tanggungjawab sebuah kerajaan yang memerintah. Siapa yang memerintah semuanya akan membuat pembangunan. Hujah pembangunan hanya sesuai dizaman 60an sahaja dan kawasan majoriti orang jahil. Sedangkan Islam relevan sepanjang masa sehingga hari qiamat.

2.Dasar Umno yang pragmatis (ikut suasana)
Kita pun tidak tahu apa dasar Umno yang pakai sekarang, Islamkah, Melayukah, mempertahan tanah airkah. Cuma seperti yang disebut oleh YB Dr Fuad Zarkashi Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Johor, perjuangan Umno hanya untuk perut sahaja. Maka sekarang mereka bergaduh bukan kerana bangsa tidak terbela, agama dihina. Tetapi kerana perut sekarang sudah keroncong. Lima negeri sudah jatuh ketangan Pakatan rakyat. Maka banyaklah peluang terlepas, terutama negeri Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Tidak hairanlah kepada kita bekas Menteri Besar Selangor sudah naik minyak dan berani lawan arus. Kerana lubuk emas sudah terlepas ke tangan orang lain.

3. Sikap individualistik yang hanya pentingkan diri dan kaum keluarga bukan untuk bangsa dan agama. Akhirnya pengikut sudah naik mual dengan gelagat pemimpin Umno. Parti hanya menjadi sebagai batu loncatan untuk memperkaya anak menantu, sedangkan pengikut di bawah kais pagi makan pagi.

4. Akhlak yang tidak senonoh dengan skandal perempuan seperti yang berlaku kepada bekas ahli parlimen Gombak, Ampang Jaya dan Ketua Wanita di Kelang. Kebetulan mereka ini tidak bernasib baik, media dapat tahu. Banyak lagi kelakuan yang tidak senonoh yang membuatkan orang memandang sinis kepada Umno. Malahan apabila kita bercakap dengan ahli Umno mengenai gejala yang tidak bermaruah, maka mereka mengatakan ini adalah lumrah dan menjadi rukun dalam seharian.

5.Matlamat masuk Umno ialah untuk mengumpul kekayaan sebanyak mungkin. Sikap metrealistik yang sudah berakar umbi dalam Umno sukar untuk diubah. Siapa pun masuk dalam Umno semuanya akan terpengaruh. Kerana semua rakan-rakan mereka baru sepenggal jadi YB sudah ada kereta mewah dan rumah mewah. AKhirnya pengikut biasa melihat kalau pemimpin mereka mewah. Bodohlah mereka kalau berjuang tidak kaut kekayaan macam pemimpin mereka.

6.Tidak Membela Agama. Masyarakat melihat apa yang Umno sudah lakukan untuk membela agama. Orang murtad Umno diam membisu. Malahan apabila ada di kalangan pemuda Pas dan orang Islam tunjuk perasaan di Citytel Pulau Pinang dan Hotel Sentosa di Johor Baharu ketika kumpulan Artikel 11 membuat program untuk membolehkan orang Islam bebas murtad. Tan Sri Nazri Aziz Ahli Majlis Tertinggi Umno kata ini kerja bodoh. Nampaknya Umno sanggup berdiam dalam isu murtad. 62 tahun kewujudan Umno kita tidak dengar Umno bertindak sesuatu untuk mengadakan undang-undang murtad. Isu pengabaian terhadap agama mengenai murtad adalah satu contoh sahaja. Banyak lagi isu mereka yang mengguris perasaan orang Melayu Islam.

7. Orang Agama hanya subang tembaga. Peranan golongan agama hanya untuk menjadi peluru melawan Pas sahaja dan tidak lebih daripada itu. Peranan mereka hanya untuk tukang baca doa, tahlil dan marhaban. Mereka bukan dijadikan rujukan untuk mengemudi negara. Sebaliknya sijahil yang menjadi kepala, manakala si alim menjadi pengikut. Apabila ini terjadi banyak dasar yang bertentangan dengan Islam telah berlaku.

8.Dasar Umno putera bukan bumiputera. Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku dalam Umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah Dato’ Zainal Osman China 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%. Diskriminasi terhadap kerajaan yang sebangsa dan seagama di Kelantan sebagai satu contoh yang ketara. Apakah layak Umno hendak mendakwa mereka sebagai tulang belakang orang Melayu. Apakah slogan kuat Umno perkasa Melayu menjadi realiti?

9.Khianat bahasa sendiri. Umno sudah membunuh bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu. Sudah berjuta wang negara dihabiskan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi Umno memusnahkan dengan memperkenalkan Methematik dan Sains dalam bahasa Inggeris pada tahun 2003. Semua cendiakawan menentang tetapi keangkuhan pemimpin Umno tetap melaksanakan juga. Akhirnya orang melihat apakah ini perjuangan sebuah parti yang hendak diharapkan. Maknanya yang menjahanamkan bahasa Melayu bukannya Lim Guan Eng, tetapi adalah pemimpin Melayu Umno.

10. Politik khianat bangsa. Yang penting ialah kuasa, samaada mengorbankan kepentingan agama dan bangsa lain bicara. Persempadanan semula dalam pilihanraya 2004, bagaimana Umno telah mengkhianat orang Melayu-Islam semata-mata untuk melawan Pas. Kenapa kerusi parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak bertambah. Contohnya Parlimen Baling pengundinya melebihi 70 ribu, keluasannya boleh buat jama’ qasar. Perjuangan yang dilihat sebagai usaha yang sia-sia. Maka tidak ada ertinya lagi mereka mewaqafkan diri untuk bersama dengan Umno.

11. Politik wang, sebenarnya ialah rasuah politik. Tetapi hendak bagi sedap dengar maka jenamakan dengan politk wang. Amalan ini boleh memusnahkan Umno. Mereka yang dipilih bukan berdasarkan kewibawaan masing-masing dalam mempertahankan bangsa dan agama. Tetapi siapa yang ada memiliki wang dialah yang menjadi ketua. Apabila mereka menjadi pemimpin maka mereka bukan menjadi pemimpin orang Umno tetapi menjadi papet kepada tauke-tauke yang memberi wang kepada mereka akhirnya inilah yang memusnahkan bangsa dan agama. Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno Tengku Ahmad Rhidahaudin mengatakan Umno diserang dengan politik wang sejak 20 tahun yang silam.

12. Tun Musa Hitam mengatakan Umno dilanda penyakit “Ketuaan” ertinya Umno sudah sampai umur nyayuk yang sikit masa lagi sudah tidak kenal antara air milo dengan air longkang. Ayuh saudaraku dalam Umno kita berjuang di bawah panji perjuangan yang dibawa oleh Parti Islam Semalaysia yang akan menyelamatkan negara, agama. InsyaAllah .

Penulis adalah AJK PAS Pusat

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons