AKTIVITI
Tawakkal dan Usaha Adalah Kunci Kejayaan Yang Tidak Dapat Dipisahkan. Semoga Keikhlasan Kita Berhijrah Memperbaiki Kelemahan dan Menggandakan Usaha Dalam Perjuangan Menjadi Sebab Tertubuhnya Negara Islam Dan Tertegaknya Syariat Allah.
SAMBUTAN AMBANG SEJAHTERA
Semua dijemput ke SAMBUTAN AMBANG SEJAHTERA 2012 anjuran URUSETIA PENERANGAN KERAJAAN NEGERI KEDAH.... KLIK UNTUK MAKLUMAT LANJUT
Rabu, 30 Mac 2011
TEKS USRAH BULAN MAC 2011
Rabu, Mac 30, 2011
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
KERTAS KERJA DASAR
SYURA ISLAM DAN DEMOKRASI
Oleh : Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang, Presiden PAS
Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1. Kertas kerja ini adalah untuk memperkenalkan syura di dalam Islam dan kaitannya dengan demokrasi secara umum . Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya sebagai kerja rumah.
2 – Saudara akan melihat bagaimana PAS mengadaptasi demokrasi sebagai salah satu wadah perjuangan
3 – Saudara perlu memahami dengan jelas peranan setiap ahli gerakan Islam demi menjayakan misi agung Islami di dalam memimpin umat manusia sejagat.
" Syura menjadi sunnah Nabi Muhammad apabila ia dilaksanakan semasa mengedalikan urusan agama dan masyarakat.
DALAM PERKARA SYURA atau mesyuarat, ada titik persamaan di antara Islam dan demokrasi walaupun di dalamnya ada beberapa perbezaan dalam aspek merealisasikan prinsip dan konsep.
Islam bergantung kepada asas akidah, syariat dan akhlak samada dalam perkara hukuman putus ( qat'iyyat ) atau perkara yang tetap ( thawabit ) serta perkara ijtihad dan pembaharuan. Sementara itu, demokrasi barat mengalami perubahan dari segi prinsip dan konsepnya kerana sifat sekularnya yang hanya bergantung kepada akal manusia semata-mata.
Mungkin dalam perkara akal yang mengubah demokrasi boleh disesuaikan dengan perkara ijtihad dan pembaharuan yang ada dalam ajaran Islam. Ini bererti perbezaan wujud apabila syura Islam diikat oleh wahyu sebelum akal sedangkan demokrasi barat melepaskan akal untuk kekuasaan mutlak.
Syura dalam ajaran Islam bersumberkan kitab Allah dan Sunnah Nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Amalannya pula merangkumi dalam segala aspek kehidupan masyarakat Islam hasil daripada cabang , kaedah-kaedah, hukum - hukum dan pengajaran yang banyak di sepanjang perjalanan para anbia' dan orang - orang salih, serta iktibar daripada golongan kufur yang tegak di atas kebatilan. Islam hendak menunjukkan yang syura adalah senjata berfaedah apabila digunakan dengan betul.
Kaedah ini walau bagaimanapun boleh disalahgunakan apabila mengalami kelemahan dan manusia itu boleh bertukar menjadi seorang diktator secara kolektif atau individu. Situasi begitu pernah berlaku di zaman dahulu dan juga abad ini.
Islam membariskan syura antara jalan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad dengan panduan wahyu di peringkat Mekah dan Madinah. Allah berfirman dalam surah asy-Syura, ayat 36 hingga 39 yang bermaksud;
“Maka apapun yang dikurniakan kepada kamu itu adalah kenikmatan hidup di dunia dan apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang – orang yang beriman dan hanya kepada tuhan mereka bertawakkal. Dan ( bagi ) orang – orang yang menjauhi dosa besar dan perbuatan – perbuatan keji dan apabila mereka marah mereka memberi kemaafan. Dan ( bagi ) mereka yang menyahut seruan tuhannya dan mendirikan solat sedang urusan mereka ( diputuskan ) dengan mesyuarat antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang kami kurnikan kepada mereka.”
Ayat-ayat ini diwahyukan di Mekah sebelum terbentuknya negara Islam dan ini menunjukkan amalan syura dilakukan sejak awal dan selaras dengan amalan-amalan yang lain.
Allah berfirman di dalam surah Ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud;
“Maka dengan sebab rahmat Allahlah kamu telah berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada kamu. Kerana itu maafkanlah mereka. Mohonkanlah keampunan buat mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang – orang yang bertawakkal kepadaNya.”
Ayat ini pula diwahyukan di Madinah , sesudah tertubuhnya negara Islam. Allah memerintahkan secara wajib mengadakan mesyuarat semasa mengendalikan urusan yang diizinkan. Dan menggunakan akal fikiran yang bijak secara kolektif dalam perkara yang tidak diwahyukan.
Daripada ayat-ayat itu, dapat difahami secara wajib ke atas Nabi Muhammad yang sudah mendapat petunjuk dan jaminan wahyu daripada Allah supaya bermesyuarat. Sementara itu, kepada pemimpin masyarakat Islam yang bukan rasul menjadi lebih wajib. Daripada ayat-ayat itu ditujukan kepada masyarakat Islam secara umum dengan menyebut syura setaraf dengan amalan ibadah, sifat dan akhlak yang mulia.
Syura menjadi sunnah Nabi Muhammad apabila ia dilaksanakan semasa mengendalikan urusan agama dan masyarakat . Peristiwa perang Badar dan perang Uhud yang menghadapi keadaan genting, membincangkan cara mengendalikan tawanan semasa menang, perbincangan cara mengumumkan waktu solat yang melahirkan azan, menghadapi fitnah terhadap Siti Aisyah, isteri Nabi Muhammad dan lain-lain adalah menjadi dalil perintah wajib amalan syura yang diamalkan oleh Nabi Muhammad.
Para khalifah yang meminpin kerajaan Islam berpegang dengan cara pemerintahan Islam yang sebenar di sepanjang perjalanan sejarah kecemerlangannya. Mereka melaksanakan syura apabila menghadapi masalah yang tidak ada dalil atau bagi melaksanakan dalil dengan bijaksana.
Para sarjana Islam tafsir, hadis dan fikah menegaskan hukum wajib ke atas pemerintah melaksanakan syura dengan ahli ilmu yang kuat berpegang dengan Islam. Kalau tidak melaksnakannya boleh dipecat kerana dikira meninggalkan sebahagian daripada ajaran Islam yang penting dan menjadi angkuh dan mudah berlaku zalim.
Walupun syura sudah dikenali sejak zaman berzaman, ia juga berlaku dalam masyarakat barat di zaman purba dan masyarakat jahiliah Arab namun ada perbezaan sejarah di antara Islam dan Barat. Ahli sejarah politik barat memulakan kajian mereka mengenai permesyuaratan daripada sejarah Greek Purba dan Rom iaitu amalan mesyuarat berlaku dengan cara yang terhad dan dalam perkara tertentu.
Al-Quran pula menceritakan mesyuarat dilakukan oleh Nabi Sulaiman dan Zulkarnain yang memimpin dua negara yang diredhai Allah. Ini juga dilaksanakan oleh Firaun dan ratu Balqis sebelum menganut Islam. Ini menunjukan amalan mesyuarat ini berlaku sejak dahulu di kalangan manusia yang beriman dan kufur dengan tujuan yang berlainan.
Syariat Islam menetapkan syura menjadi dasar yang diberi hak kepada pemerintah dan jamaah supaya menentukan kaedah yang sesuai dengan syarat penilaian yang membawa kemaslahatan yang tepat dan tidak mendatangkan mudarat kepada rakyat dan pemerintah .
Dalam menentukan keputusan yang diambil daripada syura itu boleh diambil kira sama ada pendapat majoriti atau hujah yang lebih kuat.
Islam mendahului demokrasi Barat sejak sebelas abad dengan sistem syura melalui majlis permesyuaratan yang teratur dengan mengambil pandangan majoriti dan tidak mensia-siakan pandangan minoriti. Ada juga pandangan daripada segelintir orang yang lebih bijak dan matang boleh menjadi keputusan.
Perjalanan hidup para nabi dan sejarah para sahabat dan tabi’ien menunjukan cara berlangsungnya syura dalam urusan negara dengan melibatkan ahli - ahli mesyuarat di kalangan para sarjana Islam dan pemimpin masyarakat yang kemudiannya mematuhi keputusannya.
Demokrasi Barat mengalami reformasinya daripada pengaruh Greek purba dan Rom dan dikatakan mula bertolak daripada revolusi Perancis yang menjadi perubahan kepada cara politik di dunia Barat. Negara England melaksanakannya pada abad ke 17, Amerika Syarikat selepas pertengahan abad ke 18 dan Perancis pula menjadikannya sebagai perundangan permesyuaratan pada akhir abad ke 18.
Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;
1 – Islam mendahului demokrasi Barat sejak sebelas abad dengan sistem syura
Panel:
1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi
2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor
5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood
6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud
7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan
8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre