Rabu, 23 Jun 2010

Teks Usrah Bulan Jun

PERJUANGAN KITA


MUQADDIMAH

Firman Allah SWT:

من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوالله عليه فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا

“Di antara orang-orang  mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan diantara mereka ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya” ( Al ahzab 23)

Hari ini 23 Jun 2010 genaplah 8 tahun pemergian Almarhum mujahid ulung PAS,  Ustaz Hj Fadhil Mohd Noor. Pemergian beliau ditangisi oleh pecinta perjuangan Islam di seluruh Negara. Semua pihak merasai kehilangan dan masih merindui pandangan bernas serta sindiran tajam beliau terutama ketika agenda penggulungan di Muktamar Tahunan PAS. Sebenarnya rahsia kehebatan Ustaz Fadhil bukan semata-mata terletak kepada namanya tetapi keikhlasan, istiqamah, mujahadah dan segala pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang hidupnya  Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan kita pemuda mesti berusaha menjejaki langkah kehidupan beliau. Al-Fatihah

Kita baru sahaja pulang dari Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat dan Muktamar Tahunan PAS Pusat dengan tema Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan dan Islam Adil Untuk Semua. Apa yang diketengahkan oleh Ketua Pemuda PAS Pusat dan Tuan Guru Presiden sangat jelas sebangai pengukuh dasar perjuangan dan pemandu ke jalan kejayaan yang lebih gemilang untuk Islam. Demikian juga kita masih ingat kepada tema Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri Kedah iaitu Memelihara Kemenangan.

Sesungguhnya semua tema-tema tersebut adalah penegasan terhadap konsep perjuangan dan hala tuju jamaah kita. Justeru apa yang lebih utama ialah bagaimana kita menterjemahkan semua konsep-konsep tersebut dalam bentuk perlaksanaan yang berkesan dan terarah kepada kejayaan yang dicita-citakan. Medan mesyuarat dan usrah mesti dimanfaat bersungguh-sungguh agar apa yang digariskan dapat digarap menjadi tindakan dan amalan yang membuah natijah yang terbaik untuk Islam.

PERJUANGAN KITA

Sebagai teks usrah yang pertama selepas muktamar suka untuk diperingatkan kembali tentang perjuangan kita. Perjuangan yang jelas dan terang hala tuju serta murni matlamatnya. Maka penglibatan kita bersama Parti Islam Se Malaysia (PAS) mestilah berpaksi di atas Intima’ul Aqidi iaitu penglibatan beasaskan Aqidah Perjuangan yang sohih, antaranya:

  • Perjuangan kita bukan perjuangan yang berasaskan semangat perkauman sempit yang mencetus sengketa di antara manusia seperti di zaman jahiliyyah
  • Perjuangan kita bukan perjuangan yang memburu kepentingan peribadi dan kelompok tertentu lalu menumbuhkan kebencian antara satu sama lain
  • Perjuangan kita bukan perjuangan yang jumud dan primitive jauh sekali terlibat dengan gerakan terrorist dan ekstremist
  • Perjuangan kita bukan perjuangan yang menabur fitnah, mengumpat cela dan memaki hamun sehingga menambah dosa dan mengundang murka Allah SWT
  • Perjuangan kita bukan perjuangan untuk berpolitik semata-mata mencari kuasa dan pengaruh
  • Perjuangan kita ialah perjuangan untuk mendaulatkan Islam dan syariatnya sebagaimana yang diwarisi dari Rasulullah SAW. Sementara politik, kuasa dan pengaruh hanyalah alat untuk mencapai matlamat yang kita perjuangkan
  • Perjuangan kita ialah perjuangan untuk menyebarkan Islam, menyeru dan memahamkan manusia agar kembali kepada cara hidup yang diredhoi oleh Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan mereka merangkumi politik, ekonomi dan social
  • Perjuangan kita ialah perjuangan membasmi segala maksiat dan mungkar yang mengheret rakyat terjebak dalam jenayah, gejala social dan krisis nilai yang membinasakan tamadun kemanusiaan
  • Perjuangan kita ialah perjuangan untuk memartabatkan nilai-nilai murni sehingga membentuk sebuah Negara yang adil, aman, sejahtera, maju, membangun dan mendapat keampunan Allah SWT
  • Perjuangan kita ialah perjuangan untuk menentang kezaliman dan penindasan lantas membela masyarakat marhain yang sering menjadi mangsa penindasan dan ketidakadilan

PEMUDA PEWARIS PERJUANGAN

Firman Allah SWT:

انهم فتية امنوا بربهم وزدناهم هدى

“Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka” (Al Kahfi 13)

Pemuda yang menggalas tugas serta tanggungjawab untuk mewarisi dan memikul amanah perjuangan adalah pemuda yang beriman, bertaqwa dan berjihad untuk menegakkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah SWT. Ia memiliki aqidah yang benar, fikrah yang jelas dan menghiaskan diri dengan akhlak Islami yang indah.

Juga pemuda yang mewakafkan diri dan bersedia untuk mengorbankan segala kepentingan diri dan duniawi demi memastikan syariat dan sunnah berjaya di daulatkan di atas tanahair ini khasnya dan di atas muka bumi ini amnya.

Pemuda tersebut mestilah yang berjiwa besar, mampu dan sanggup menggalas beban amanah, pula mendepani mehnah guna melunaskan tanggungjawab dakwah dan tarbiyah.

Demikian pemuda pewaris adalah yang tidak pernah mengaku kalah dengan segala ancaman yang digerakkan oleh musuh untuk menghalang hasrat dan perjuangan murni mendaulatkan syariat dan sunnah.

AMAL TARBAWI

Menghayati Amal Tarbawi sebagai teras pembinaan dan penyediaan diri untuk berjuang dengan noktah bermula dari Tarbiyah ar Ruuhiyah (pendidikan/asuhan ruhani), Tarbiyah al Harakiah (gerakkerja), dan Tarbiyah ath Thaqaafiah (ilmu dan peradaban). Memandu organisasi parti berasaskan fiqh Amal Jamaei (bekerja secara kolektif) dengan memahami akhlak, adab dan disiplin berjamaah kemudian memastikan kejernihan fikrah dan ketulenan manhaj tarbiyah dipelihara sebaik-baiknya.

Justeru para pemuda PAS Kedah mesti menghayati 5 rukun penting amal tarbawi dan amal haraki iaitu:

1- السمع و الطاعة

2-  الثقة والولاء

3-الأخوة فى الله

4-  الالتزام والاستقامة

5-الانفاق والتضحية

Dengan memahami serta menghayati rukun-rukun perjuangan di dalam harakah Islamiah ini akan menjadi benteng dan perisai yang menyelamatkan para pemuda dari kejahatan rancangan jahat musuh samaada dari luar jamaah atau dari dalam jamaah sendiri. Pemuda mesti sentiasa beringat-ingat musuh kiranya gagal menembak dan meruntuhkan kekuatan jamaah dari luar nescaya mereka akan berusaha menembak dan meruntuh dari dalam jamaah itu sediri.

Inilah hikmahnya Allah mendedahkan kejahatan munafiqin agar sentiasa diawasi sebagaimana kita mengawasi diri dari kejahatan musuh luar yang bernama kuffar dan musyrikin.

PENUTUP

Harus diperingatkan juga, kita sekarang di pertengahan bulan Rajab 1431 Hijriah, bulan berlakunya Isra’ dan Migraj ke atas Nabi Muhammad SAW. Itu adalah mukjizat besar yang mengingatkan kita kepada Masjid Al-Aqsa,Baitul Maqdis dan Palastin. Timbalan Presiden PAS telah mencadangkan di penggulungan Muktamar Agong PAS agar bulan ini dijadikan bulan menyemarak perjuangan membebaskan Palastin, bulan membenci dan mengutuk kekejaman zionis Yahudi dan bulan membela saudara seagama kita di sana. Buktikan kepekaan kita dengan doa, munajat kepada Allah, bantuan sumbangan, memboikot barangan Israel dan kepentingan mereka serta apa sahaja yang mampu untuk kita lakukan sebagai bukti bencinya kita kepada Yahudi dan kasihnya kita kepada saudara seagama kita di sana.  

Juga amat penting untuk diberi perhatian oleh seluruh pemuda PAS Kedah ialah tarikh 3 Julai 2010, iaitu Himpunan 100 000 Rakyat untuk membantah judi sukan di Kuala Lumpur. Menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk menggerakkan mobilisasi pemuda serta rakyat agar himpunan aman tersebut berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang dan mencapai target yang diletakkan. Ayuh para pemuda pastikan saudara tidak ketinggalan untuk turun ke ‘medan tempur’ memerangi maksiat judi dan ibu bapanya iaitu UMNO dan BN.     

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons