Selasa, 26 April 2011

TEKS USRAH BULANAN (APRIL 2011)

KERTAS KERJA DASAR

USUL 20 HASSAN AL-BANNA:
SATU TINJAUAN UMUM (1)
 
Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;
1. Kertas kerja ini adalah untuk memahami asas 20 Imam al-Banna secara umum dan 10 usul pertama secara khusus. Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya sebagai kerja rumah.
2 – Saudara akan melihat kepentingan usul 20 dan kaitannya dengan gerakan Islam PAS
3 – Saudara perlu memahami dengan jelas peranan setiap ahli gerakan Islam demi menjayakan misi agung Islami di dalam memimpin umat manusia sejagat.
  
Muqaddimah
Usul Isyrin (20) yang ditulis oleh ustaz Hasan al Banna ini adalah dianggap di antara tulisannya yang penting, kerana usul isyrin ini mengandungi beberapa perkara yang wajib dipercayai dan diketahui oleh setiap muslim dan wajib diikuti dalam tindak-tanduknya samada dalam hubungannya dengan al Khaliq atau hubungannya sesama manusia.
Usul isyrin ditanggap oleh para ulama sebagai penemuan penting kepada pelbagai permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam abad kini yang ditimpa pelbagai penyakit kesan daripada kemunduran tamadun, kemudian keruntuhan khilafah Islamiyah terakhir di Turki. Al syahid Hasan al Banna telah mengumpulkan dan meringkaskannya, kemudian mengemukakan penyelesaian yang perlu diikuti oleh umat Islam demi kebangkitan semula umat Islam.
Beliau menekankan kepada persoalan pokok keruntuhan tamadun Islam yang berpunca daripada kegagalan umat Islam memahami Islam yang sebenar. Daripada kesilapan awal itulah lahirnya pemikiran yang salah dan  tindakan – tindakan yang bukan membangun, bahkan semakin menjauhkan dan mengeluarkan umat Islam daripada janji tuhannya. Pangkal usul isyrin adalah penyatuan umat Islam.
Dalam Usul Isyrin ini, beliau menerangkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku perselisihan pendapat (pertikaian) sesama umat Islam, terutama dalam hal-hal yang berkenaan aqidah. Ia mesti difahami sebagaimana yang terdapat di dalam al Quran dan  al Sunnah al nabawiyah.
Demikian juga dalam Usul Isyrin ini beliau telah menerangkan bahawa perbezaan pendapat adalah dibenarkan dalam perkara – perkara tertentu dalam ugama. Justeru pertikaian sesama sendiri yang membawa kelemahan dan kekalahan umat Islam boleh dielakkan jika mereka mengenal batas – batas yang telah ditentukan oleh syara’ dengan sempurna.        
Al mursyidul am dalam penyusunan kitab-kitabnya adalah benar dan menepati sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah  sallaLlahu alaihi wasallam. Walaupun demikian kita mesti ingat bahawa tidak ada orang yang maksum melainkan para rasul alaihimussalam.
PAS yang merupakan jaringan kepada gerakan Islam seluruh dunia yang bergerak seiring membina ketamadunan umat yang baru sentiasa menjadikan pengajaran tokoh mujaddid ini sebagai pedoman di dalam pembinaan ahlinya ke arah kesempurnaan.
Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat berpesan kepada ahli-ahli pemuda PAS agar membaca dan mengulang – ngulang buku Risalah al Ta’aalim oleh al imam al syahid yang menjadi rujukan penting pembinaan jamaah dan umat itu sehingga ia bersebati dengan mereka dalam kefahaman dan tindakan.
Berikut adalah pengenalan seimbas terhadap usul isyrin, semoga ianya akan membantu menghidupkannya di dalam ingatan, seterusnya mampu dilaksanakan di dalam mengurus perjuangan, insya Allah.

Usul Pertama
Islam adalah satu sistem yang menyeluruh dan mencakup semua bidang hidup; Islam adalah negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Akidah yang benar dan ibadat yang sah.

Keterangan;
Usul pertama ini adalah asas paling utama. Ia memperkenalkan hakikat kesyumulan Islam pada maknanya yang asli. Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan. Hakikatnya, ianya begitu ganjil untuk difahami oleh umat Islam di zaman keruntuhan tamadun dan khilafah.
Umat Islam waktu itu diserang fahaman sekularisme yang dibawa oleh penjajah barat, lalu membutakan mereka daripada memahami nas – nas yang jelas. Hati umat menjadi tidak subur untuk Islam tumbuh dan berbuah dengan sempurna.
Al syahid Hasan al Banna telah datang menjelaskan hakikat dan telah mencurahkan tenaga yang banyak untuk menanam hakikat ini dalam jiwa umat Islam.
Ringkasnya, umat Islam mula melihat sesuatu yang telah lama menghilang iaitu tampilnya saudar muslim yang berada di mihrab dalam penuh khusyu’, tekun, menangis dan merendah diri. Lantas kemudiannya ia dilihat sebagai seorang penceramah yang menyampaikan dakwah dan peringatan yang mengetuk gegendang telinga. Selepas itu dia dilihat di padang sebagai seorang ahli sukan yang pantas, berlari dan membaling bola atau berenang. Selang beberapa ketika dia kelihatan di pasar dan di tempat kerjanya melaksanakan tugas degan penuh amanat dan dedikasi.
Begitulah gambaran seorang muslim yang lahir daripada kefahaman Islam yang syumul dan sempurna.

Usul Kedua
Al Quran al karim dan Sunnah al Rasul adalah merupakan sumber rujukan untuk memahami hukum-hukum Islam. Al-Quran hendaklah difahami menurut kaedah-kaedah bahasa Arab dengan tidak memberat - beratkan dan tidak pula membabi buta. Sunnah pula difahami melalui periwayat-periwayat hadis yang thiqah dan dipercayai.
Keterangan;
Usul ini mempunyai kaitan dengan usul pertama. Selepas menegaskan kesyumulan Islam dalam segala aspek melalui usul pertama, usul kedua  ini pula menegaskan tentang sumber rujukan hukum - hakam bagi setiap aspek dan bidang kehidupan tersebut.
Walaupun terdapat sumber rujukan hukum yang lain seperti ijma’, qias dan istihsan, Hasan al Banna tidak menyebutnya dalam usul ini kerana mahu mengembalikan dan menyatukan umat Islam di atas dua sumber utama yang telah disepakati secara ijma’ oleh umat Islam tersebut. Lagi pula, sumber – sumber lain sebenarnya telah pun ditunjukkan dan disebut di dalam kedua – dua kitab utama tersebut.
Rujukan dalam memahami al Quran dan al hadis pula hendaklah melalui kaedah - kaedah bahasa Arabiyah dengan tidak memberat – beratkan atau meringan – ringankan secara membabi – buta. Ini adalah disebabkan al Quran telah diturunkan dalam bahasa Arabiyah. Begitu juga al Rasul yang bertutur dalam bahasa tersebut.
Oleh kerana cara capaian yang berbeza daripada al Quran, mengenali dan memahami al sunnah hendaklah pula bergantung kepada periwayatan daripada para ulama hadis yang thiqah dan dipercayai berdasarkan disiplinnya yang disepakati.
Sebenarnya, kegagalan memahami usul yang kedua inilah yang akhirnya menjebakkan umat Islam kepada kecelaruan di dalam memahami Islam yang akhirnya mencetuskan pertikaian yang tidak pernah luntur.

Ia juga telah membuka ruang kepada musuh – musuh Islam untuk memecah – belahkan umat Islam melalui tafsiran Islam yang bersumberkan otak manusia.

Usul Ketiga
Iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah adalah cahaya dan kemanisan yang dicurahkan Allah ke dalam hati sesiapa yang dikehendakinya, manakala ilham, lintasan-lintasan hati, kasyaf dan mimpi bukanlah menjadi dalil kepada hukum-hukum syara’. Ia tidak boleh diambil kira kecuali dengan syarat tidak berlawanan dengan hukum dan nas ugama.
Keterangan;
Usul ketiga ini memanjangkan maksud usul kedua. Selepas menerangkan kewajiban bersumberkan dua rujukan utama di atas, usul ketiga menjelaskan beberapa perkara yang dianggap oleh segolongan umat Islam sebagai sumber rujukan tambahan, bagaimanakah dakwaan tersebut boleh thabit dan diterima atau gugur dan tertolak.
Ia menjelaskan bahawa iman yang teguh, ibadah yang sahih berserta mujahadah yang berterusan mampu memberikan kesan – kesan yang baik terhadap individu tersebut. Allah akan mengurniakan cahaya yang mampu menyuluhnya mengenali kebaikan yang tidak dilihat orang biasa. Dia juga akan mengecapi kemanisan iman yang luar biasa hasil usahanya bertaqarrub kepada Allah.
Maka berlakulah kurniaan ilahi seperti ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi yang benar ke atas hamba – hamba pilihanNya. Ia thabit dan tak boleh ditolak oleh umat Islam. Meskipun demikian, ianya bukanlah menjadi sumber hukum dan dalil kepada hukum syara’ yang berdiri sendiri. 
Jika ditanya, apakah faedah kewujudannya? Jawabannya adalah ya, ia diterima sekiranya tidak bertentangan dengan al Quran dan al Sunnah, lalu ia hadir untuk menguatkan kesahihan kedua – duanya. Ia menjadi cahaya di atas cahaya. Kesemua kurniaan tersebut adalah bersifat dzanni ( sangkaan ) yang belum terjamin kesahihannya.
Daripada usul ini diperhatikan beberpa perkara:
1)       Menjaga sumber hukum syara’ kekal bersih daripada percampuran yang meragukan.
2)       Kesederhanaan Hasan al Banna di antara menerima dan menolak kurniaan ilahi tersebut.
3)       Bertujuan menutup pintu daripada dimasuki dajal – dajal yang bertujuan mempermainkan pemikiran umat Islam.
4)       Menyelamatkan umat daripada terperangkap dengan perkara – perkara khurafat.

Usul Keempat
Tangkal, azimat, jampi mentera, tenung, mengaku mengetahui perkara ghaib dan seumpamanya adalah kemungkaran yang wajib diperangi kecuali jampi daripada ayat - ayat al Quran atau jampi yang ma’thurat dan diterima daripada RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Keterangan;
Usul ini menumpukan kepada usaha membersihkan akidah umat Islam daripada kekeruhan, membebaskan hati daripada waham, dzan dan khurafat. Ia sering terjadi apabila kejahilan melata di kalangan umat Islam. Ia menyerang hati, pemikiran dan harta orang miskin.
Usul ini menjelaskan hakikat kesalahan umat Islam yang bergantung kepada unsur – unsur syirik yang menjauhkan hubungan dengan al Khaliq. Justeru umat Islam mestilah meninggalkan segala bentuk kepercayaan dan khurafat yang akan membantutkan kebangkitan mereka ke arah kemajuan yang diredhai.
Perkara – perkara tersebut diharamkan kerana ia bertentangan dengan akidah bahawa sanya yang memberi manfaat dan mudarat hanyalah Allah yang esa. Tiada pula yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah. 

Usul Kelima
Pendapat imam (ketua) dan timbalannya dalam perkara yang tidak ada nas atau nas yang menerima pengertian yang pelbagai adalah diterima. Demikian juga pendapatnya dalam perkara yang berhubung dengan maslahat umum, ia boleh diterima dan diamalkan sekiranya pendapat tersebut tidak bertentangan dengan kaedah syariat. Pendapat  tersebut boleh saja berubah menurut keadaan, persekitaran dan adat. Asal ibadat adalah taabbud (pengabdian diri) tanpa perlu melihat kepada makna yang tersirat, hikmat dan tujuan ibadat tersebut.
Keterangan;
Ini adalah usul yang menerangkan mengenai siasah syar’ieyah, perkara yang harus atau sebaliknya bagi seorang imam/khalifah atau naibnya seperti menteri, qadhi dan ketua tentera.
Siasah syar’ieyah penting dijaga garisannya agar tidak berlaku perlanggaran yang boleh meminggirkan hukum – hukum yang jelas nasnya, menjejaskan hak – hak dan membuka ruang kepada pintu – pintu kejahatan dan kerosakan.
Seorang imam mestilah memiliki sifat – sifat tertentu. Paling penting memiliki pengetahuan yang mendalam tentang syariat Allah dan hukum – hukumNya. Dia mestilah ikhlas dan bukan mengikut hawa nafsu sekiranya dia bukan ahli ijtihad.
Ijtihad imam boleh berlaku pada perkara yang tiada nas, atau dalam keadaan wujud nas yang mempunyai andaian tafsiran yang berbeza, atau dalam perkara yang tidak disentuh nas yang menarik kebaikan dan menolak keburukan. Ia disebut al masoleh al mursalah.
Walaupun imam itu wajib dipatuhi tetapi ia mestilah dalam ruang lingkup ketaatan kepada Allah. Pilihan imam dalam perkara yang tiada nas tidak boleh diingkari.
Usul ini menjelaskan satu kaedah penting; Semua ibadah yang disyariatkan dan ditetapkan masa, tempat, syarat dan sebagainya adalah suatu yang bersifat taabbudi iaitu mematuhi perintah Allah semata – mata tanpa berpaling kepada hikmah, rahsia dan sebab disyariatkan. Walau bagaimanapun, kita beriman bahawa segala ibadah yang disyariatkan tetap ada hikmahNya yang hanya diketahui olehAllah.

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons