Oleh IZWAN ABDUL HALIM
ALOR STAR, 21 Oktober - Kerajaan Negeri Kedah kesal dengan segala laporan penyelewengan dan sekatan yang dilakukan oleh pihak tertentu termasuk pihak pentadbiran kampus-kampus di seluruh Malaysia yang cuba menghalang proses demokrasi di kalangan mahasiswa.
Dalam satu kenyataan media oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dan Koperasi Negeri, YB Tuan Haji Abdullah Jusoh menegaskan, para pelajar di kampus-kampus harus diberi kebebasan yang sempurna untuk menyuarakan ideologi dan perjuangan mereka untuk dinilai oleh khalayak mahasiswa.
Katanya, semua mahasiswa harus diberikan hak untuk bertarung di gelanggang yang sama rata.
“Sikap diskriminasi terhadap kumpulan tertentu oleh pihak-pihak berwajib amatlah memalukan. Pentas terbuka untuk pidato perdana antara semua calon harus dianjurkan oleh pihak pengurusan pilihan raya jika mereka benar-benar telus.
“Denda pula jangan hanya melibatkan kesalahan kumpulan yang dilabel ‘pro-pembangkang’ semata-mata tetapi harus juga dikenakan terhadap kumpulan ‘pro-kerajaan’ jika terbukti mereka turut bersalah tanpa perlu mengambil sikap menutup mata terhadap kesalahan mereka seperti diamalkan selama ini. Pihak universiti atau kolej harus adil dalam menghukum,” tegas beliau.
Menurutnya, budaya ugut yang melampau terhadap masyarakat mahasiswa hanya akan mencerminkan kebobrokan pihak pentadbiran universiti.
“Apalah lagi gunanya Pilihan Raya Kampus (PRK) ini jika pelajar dipaksa dan diugut untuk memilih kumpulan yang mereka tidak relai. Amatlah menjijikkan jika pimpinan pelajar harus dipilih mengikut kemahuan pihak pengurusan dan amatlah malang jika perkara tersebut harus juga dijayakan walaupun terpaksa menggunakan taktik kotor,” ujarnya.
Tegasnya, segala macam gejala tidak sihat dalam perkembangan politik pelajar seperti gejala samseng atau pergaduhan harus dicantas dan diatasi secara bersungguh-sungguh oleh pihak pentadbiran universiti yang juga seharusnya bersikap berkecuali.
Beliau turut menggesa Kementerian Pengajian Tinggi supaya serius dalam menjaga kebajikan pelajar termasuk dalam urusan pemilihan ini agar telus dan tidak menafikan kehendak sebenar pelajar.
Selain itu katanya, pihak universiti dan kementerian juga mesti memastikan kumpulan-kumpulan samseng politik dapat dihapuskan dari alam mahasiswa.
“Kami amat kesal dengan gejala-gejala politik kotor seperti telah dilakukan oleh 'Harimau Maut' tajaan pihak yang memusuhi kumpulan pelajar pro mahasiswa dalam kempen PRK,” katanya menerangkan maksud.
Dalam kenyataannya itu, YB Abdullah turut menyelar tindakan dan keputusan tidak memaklumkan tarikh PRK secara rasmi dengan lebih awal. Beliau turut menyifatkan pelaksanaan pengundian secara online menerusi sistem pengundian e-voting sebagai keputusan yang amat dicurigai untuk membelot dan melakukan penyelewengan dalam proses pilihan raya.
Tambahnya, keputusan tersebut juga seolah-olah pihak pentadbiran amat terdesak untuk menyekat kebangkitan suara pelajar yang tidak direstui oleh mereka.
“Seperkara lagi, jika kumpulan ‘pro pembangkang’ menang nanti, diharap pihak universiti memberi kebebasan sepenuhnya untuk mereka bergerak, begitu juga jika sebaliknya. Kami megingatkan pihak pentadbiran universiti supaya jangan sekali-kali mengambil sikap membalas dendam kepada mana-mana pihak yang tidak disukai oleh mereka.
“Selain itu, pihak universiti dan kumpulan yang menang diingatkan agar kumpulan calon yang tidak menang nanti tidak akan disekat seperti yang berlaku dalam dunia parti pembangkang di luar kampus. Kebebasan beraktiviti harus diberi secara sama dan adil,” tegas beliau mengingatkan.
Ujarnya, desakan supaya perubahan dilakukan dalam sistem pemilihan pemimpin mahasiswa seperti mana yang berlaku dalam politik semasa tanah air pada masa sekarang merupakan impian generasi ilmu untuk menyuburkan demokrasi tulen di Malaysia.
Terangnya, gesaan mahasiswa ini harus dilihat positif kerana pembinaan masyarakat yang terbuka dan pandai menilai bermula daripada generasi terpelajar.
Mahasiswa menurutnya, perlu dibebaskan daripada segala kongkongan pentadbiran universti dan dasar kementerian yang menyekat suara dan kuasa pelajar supaya bebas melaksanakan idealisme perjuangan mereka untuk melahirkan demokrasi tulen dalam masyarakat kampus seterusnya dalam realiti dunia politik Malaysia.
“Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah melihat kepelbagaian ideologi yang dipertaruhkan dan kepelbagaian manifesto yang dikemukakan calon-calon PRK adalah sesuatu yang sihat dalam disiplin ilmu.
“Kebebasan juga harus diberi kepada pemilih sepenuhnya untuk memutuskan keputusan dan pilihan. Pertentangan antara ideologi dan manifesto merupakan budaya biasa yang seharusnya sihat dan harmoni tidak perlu diconteng dengan adegan-adegan samseng dan tidak juga perlu diganggu oleh pihak yang tidak terlibat dengan pertandingan,” katanya.
Ujarnya lagi, keadaan pertandingan harus diperhatikan dari jauh oleh pihak universiti dan kementerian tanpa perlu campur tangan untuk mengatur dan mempengaruhi keputusan.
Pihak beliau turut menyatakan sokongan terhadap desakan mahasiswa terhadap 9 tuntutan yang dikemukakan sebelum ini.
Mengakhiri kenyataan itu, beliau menyifatkan segala macam tragedi dan gejala tidak sihat yang berlaku dalam PRK sebagai kegagalan besar Kementerian Pengajian Tinggi dalam menguruskan kebajikan mahasiswa.
“Kerajaan Negeri Kedah amat bimbang segala sekatan dan kekangan yang dilakukan oleh pihak universiti dan Kementerian terhadap kebebasan politik pelajar hanya akan melahirkan generasi yang jumud dan miskin sikap prihatin.
“Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah mengharapkan kebebasan pelajar tidak lagi digadaikan dengan sikap politik sempit.
“Jawatankuasa Pendidikan Kerajaan Negeri Kedah juga sekali lagi menggesa Kementerian Pengajian Tinggi supaya segera menyelesaikan isu ini dengan adil tanpa mengambil sentimen politik permusuhan,” tegas YB Abdullah.
Selasa, 28 Oktober 2008
KERAJAAN NEGERI KEDAH GESA PRK YANG TELUS
Selasa, Oktober 28, 2008
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan