Rabu, 3 September 2008

Temu Bual dengan Rektor KUIN

Di bawah pentadbiran Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang merupakan Institusi Pengajian Tinggi milik penuh Kerajaan Negeri Kedah mahu muncul sebagai satu jenama baru di persada dunia. KUIN yang dinaik taraf sebagai Kolej Universiti pada pertengahan tahun 2006, dahulunya dikenali sebagai Institusi Agama Islam Negeri Kedah (INSANIAH), bahkan sebutan INSANIAH itu lebih tersohor bukan sahaja di Kedah tetapi sudah melangkau sempadan negara. Kini, INSANIAH memiliki seramai 2,200 pelajar termasuk dari Thailand, Singapura, Kemboja, China, Iran, Somalia dan lain-lain yang mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah. Ikuti temubual Wakil Berita Warta Darul Aman, IZWAN ABDUL HALIM bersama Rektor INSANIAH, PROF DATO’ DR JAMIL OSMAN di pejabatnya baru-baru ini sempena Konvokesyen INSANIAH Kali Ke-10.


Institut pengajian tinggi di Malaysia terkenal dengan identitinya masing-masing, bagaimana dengan INSANIAH?



Kita hendak membawa INSANIAH ini sebagai sebuah institusi pengajian Islam yang juga mempelopori ilmu-ilmu Barat melalui integrasi pengetahuan. Integrasi pengetahuan ini merangkumi semua bidang. Bidang-bidang yang akan kita berikan penekanan adalah yang sangat diperlukan oleh umat Islam.

Contohnya kita ambil Multimedia Kreatif, ianya sangat penting. Kerana anak-anak kita pada hari ini sangat dipengaruhi dengan cerita-cerita kartun, permainan komputer. Yang membangunkan ini semua orang-orang bukan Islam. Yang dipamerkan dalam persembahan mereka tidak mempunyai nilai Islam mahupun memberi pengajaran kepada anak-anak.

Misalnya semasa cuti sekolah ini, anak-anak melihat TV dari pagi hingga ke malam tetapi tiada pengajaran yang mereka dapat. Jadi, kalaulah kita dapat ‘take and lead’ dalam bidang Multimedia Kreatif ini, cerita-cerita kartun kita akan hasilkan pendekatan Islamik. Kisah-kisah Nabi, kisah sahabat dan nilai-nilai baik dalam Islam.

Begitu juga permainan komputer yang mudah didapati kini. Jadi kita bangunkan permainan komputer ikut acuan kita dengan kualiti yang setanding dengan dihasilkan Barat.

Yang kedua kita perlu beri penekanan adalah ekonomi. Dalam sistem ekonomi, yang paling ketara adalah perbankan, insurans dan pinjaman. Jadi kalaulah INSANIAH dapat memainkan peranan melahirkan pakar-pakar perbankan, insurans dan pinjaman, maka sistem ekonomi ini akan lebih membangun dan kompetitif.

Sistem ekonomi yang ada sekarang ini dipelopori oleh mereka-mereka yang mendapat pendedahan konvensional dari sistem Barat. Kita mahu orang yang ‘strong’ dalam bidang syariah. Bila ‘strong’ syariah dan ‘strong’ juga perbankan, insurans dan pinjaman, maka diharap akan wujud model-model yang lebih baik. Kita mahu tonjolkan nilainya.

Ketiganya kita akan beri penekanan kepada sains, misalnya kejururawatan. Kita akan beri pendedahan kepada kejururawatan Islam. Contohnya nilai-nilai yang dapat kita terapkan dalam menghadapi pesakit yang nazak. Biasanya siapa yang selalu berada disamping mereka ini? Tentulah jururawat. Jadi dalam keadaan ini peranan jururawat amat penting. Dalam keadaan nazak itu, orang boleh ‘tukarkan agama’ pesakit. Jururawat semasa itu bukan sahaja beri perkhidmatan sebagai jururawat, tetapi juga bimbingan.

Soal halal haram kita akan kita tekankan dalam Sains Pertanian. Ada benda yang halal tetapi prosesnya haram, kemudian dijual sebagai barang halal. Perkara ini telah pun kita rundingkan dengan pakar pemakanan di Universiti Putra Malaysia. Contohnya, penanaman sayur, ada yang menggunakan najis khinzir sebagai baja. Begitu juga ladang yang mengalir padanya air dari kandang khinzir, semua ini perlu kita pertikaikan.

Jadi kesimpulannya kita akan ceburi bidang yang baru tetapi kompetitif.


Institusi pendidikan berkait dengan pembangunan insan dan penyediaan pelapis pemimpin masyarakat. Skop insan bagaimana ingin INSANIAH lahirkan?


Tentulah INSANIAH akan lahirkan, tidak sama dengan yang orang lain lahirkan. Kerana itu penekanan kita adalah memiliki kekuatan al-Quran dalam pendidikan kita. Jadi kita dalam proses untuk buatkan satu sijil tahfiz al-Quran dengan masa yang singkat, pelajar sebelum masuk ke mana-mana program digalakkan mengambil sijil tahfiz ini. Sijil tahfiz ini tarafnya sama dengan pra-universiti.

Kerana saya melihat, orang yang hafiz dalam Quran perwatakannya, disiplin dan cara hidupnya amat berbeza. Misalnya kita lahirkan seorang jurutera yang hafiz Quran, kepakaran kejuruteraan mungkin berbeza, tetapi yang kita tonjolkan juga adalah dari segi nilainya. Kita mahu lahirkan masyarakat kita di masa hadapan ini mempunyai kedua-duanya. Biarpun seorang jurutera, tetapi datang masjid orang boleh ‘tolaknya’ jadi imam. Malah kita akan lihat di masa akan datang tidak wujud lagi dikotomi dalam dua bidang ini.

Ilmu ini sewajarnya mencerminkan seorang manusia, jadi INSANIAH ini berkonsepkan manusia itu sendiri. Manusia ini lebih penting daripada ilmu. Bila ilmu itu ‘dimasukkan’ kepada manusia sepatutnya akan menonjollah seorang insan kamil. Kalau ilmu tidak dicantumkan dengan keinsanan tadi, maka tidak ada makna. Itu pandangan saya.


Institusi pendidikan tidak terkecuali dari saling berhubungan dengan pihak pemerintah. Jadi apa yang INSANIAH harapkan daripada pemerintah?


Pada dasarnya semua institusi pendidikan bergantung kepada kerajaan. Kerajaan tidak beri peruntukan, universiti tidak dapat ditubuhkan. Akhir-akhir ini kerajaan cuba mengurangkan beban mereka, maknanya kita perlu berdikari.

INSANIAH walaupun di bawah Kerajaan Negeri, tidak semestinya bergantung kepada kerajaan. Selain sumber daripada yuran, kita akan komersialkan produk yang dihasilkan dari Jabatan-jabatan atau Kuliyyah (pengajian) yang kita ada. Contohnya, kita sudah ada idola al-Quran yang juga idola untuk generasi muda. Kita ada Fakhrul Radzi Kamarudin (Juara Akademi al-Quran Musim Ketiga), Mawardi Jamaludin (Finalis Akademi al-Quran Musim Kedua) dan Mohammad Fida‘iy Zainal Abidin (Naib Johan Musabaqah Hafazan Al-Quran Peringkat ASEAN 2008) sepertimana masyarakat ada Mawi, Siti Nurhaliza dan sebagainya.

Jadi kita ada idola dalam bidang al-Quran, bahkan Fakhrul Radzi itu dijemput merata-rata. Salah satu yang menaikkan nama Insaniah adalah mereka ini.

Umum juga telah akui keupayaan lulusan kita khususnya dalam Bahasa Arab. Jadi dari kemampuan yang ada, kita tidak perlu bergantung kepada kerajaan 100 peratus. Tapi apa salahnya kerajaan membantu kita, sekarang inipun kerajaan masih membantu kita. Kita beruntung mempunyai Menteri Besar yang mendalami kedua-dua cabang ilmu perundangan syariah dan Barat serta memberi penekanan kepada pendidikan.


Hasrat Dato’ sebagai Rektor?


INSANIAH berasaskan pengajian Islam dan Bahasa Arab. Sekarang kita sedang memperkembangkan bidang pengajian kita, tetapi berteraskan al-Quran. Graduan akan kita lahirkan adalah yang kreatif dan berkemampuan dari segala aspek.


Baru-baru ini Menteri Besar mengumumkan pemindahan kampus induk INSANIAH ke Daerah Baling. Sebagai ahli akademik, apa komen Dato’?


Ia ada pro dan kontra. Tapi di Kedah ini umpama tiada lagi kawasan pedalaman. Dalam keadaan zaman sekarang ini, Alor Star dengan Baling sudah tidak menjadi sejauh mana. Jadi soal tempat tidak menjadi ukuran. Lihat saja Universiti Utara Malaysia. Dulu orang kata hendak ke Sintok terbayang hutan, komunis tetapi sekarang sebut UUM orang tidak fikir lagi seperti itu.


Ada tempat yang menonjolkan identiti mereka dengan mengaitkan gelaran tertentu seperti Kelantan dan Acheh yang disebut sebagai ‘Serambi Makkah’. Adakah mungkin INSANIAH mahu digelar ‘Serambi Al-Azhar’?


Kita ada teras dan model sendiri. Model kita adalah insaniah. Kita INSANIAH, kita mahu dikenali sebagai INSANIAH. Masyarakat akan kenal kita dengan nama INSANIAH bukan kerana al-Azhar. Biar orang turut kita bukan kita menuruti orang.

Jangan sangka kita tidak boleh dikenali. Dulu jika sebut Kuala Lumpur orang luar menyangka dipenuhi pokok dan sebagainya, tetapi sekarang sebut Kuala Lumpur orang sudah terbayang menara berkembar dan sebagainya. Begitu juga dengan INSANIAH.

Kita sekarang sedang bekerja kuat untuk INSANIAH menjadi satu nama di dunia, bukan di Kedah sahaja. Kedah ini banyak pondok-pondok yang telah melahirkan ramai ulama terkemuka. Tetapi mereka sudah tiada, maka Insaniah akan ‘melahirkan semula’ orang-orang seperti mereka.

Kita mahu masyarakat memberi kepercayaan kepada kita, hendak anak berjaya dalam al-Quran, INSANIAHlah tempatnya. Dan hari ini kita sudah jadi tumpuan, kalau kita tidak dapat menjamin masa depan, masakan orang datang kepada kita. Thailand, China, Kemboja, Somalia malah di negara Arab sudah mengenali kita, kita telah meyakinkan para ibu bapa. Cumanya kita kekurangan dari segi fizikal, sebab itu Menteri Besar minta menyegerakan pembinaan kampus baru.


INSANIAH sudah ada cawangan di luar negara?


Kita memang ada hasrat seperti itu, kita akan wujudkan cawangan kita di sana, insya-Allah. Kita akan wujudkan cawangan kita di negara-negara umat Islam yang memerlukan. Hasrat kita adalah pembelajaran dua hala, pelajar luar datang ke sini pelajar kita akan ke sana. Bukan mereka sahaja hendak ilmu kita, kita pun hendakkan ilmu mereka.


Apa nasihat Dato’ untuk berjaya?


Untuk berjaya kita jangan terlalu memikiran halangan di hadapan. Orang kita selalu meletakkan halangan dalam mindanya.

Keduanya kita kena berjiwa besar, jika Universiti Al-Azhar boleh menjadi terkenal kenapa tidak INSANIAH? Kalau Universiti Harvard boleh jadi terkenal kenapa tidak INSANIAH?

Lihat bagaimana Al-Azhar terkenal? Ini kerana dia ada konsep jariah. INSANIAH juga begitu, ia perlu menyumbangkan bakti. Jika tidak ada jariah, tidak ada bakti, kita tidak akan dikenang.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons