Isnin, 2 Jun 2008

Kemudahan teknologi jalur lebar akan diperluaskan di Kedah

Izwan Abdul Halim
Thu | May 29, 08 | 4:40:45 pm MYT

KULIM, 29 Mei (Hrkh) - Kawasan-kawasan kediaman di seluruh negeri Kedah bakal menikmati kemudahan teknologi jalur lebar terpantas apabila Telekom Malaysia Berhad (TM) menyatakan komitmennya untuk mengembangkan kemudahan tersebut secara berperingkat sehingga 50 peratus menjelang tahun 2010.

Sasaran TM itu mampu dicapai apabila Kerajaan Negeri turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama secara berterusan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri, Abdullah Jusoh dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran TM Broadband - Kulim Fiesta di Business Centre Kulim HiTech Park baru-baru ini berkata, kerjasama tersebut adalah untuk melengkapkan kawasan perumahan baru dengan konsep 'smarthome atau 'digital home'.

Menurut beliau, konsep itu boleh membantu merapatkan hubungan di dalam sesuatu komuniti dan juga memberi pendedahan kepada dunia luar sesuai dengan era globalisasi kini.

"Wawasan kita ialah setiap maklumat dapat sampai ke seluruh pelusuk rakyat Negeri Kedah secepat yang mungkin.

"Kerajaan Negeri juga berhasrat menyediakan perkhidmatan seperti ini sebagai kemudahan kepada rakyat selain menyediakan rakyat yang mampu menggunakan teknologi ini," ujar beliau.

Dalam keadaan sekarang, Abdullah berpandangan wujud keperluan untuk rakyat mendapat maklumat yang sebenar melalui saluran tertentu setelah adanya halangan maklumat itu sampai kepada rakyat.

"Perkhidmatan yang disediakan selain menjadi satu keperluan hayat di mana kita dalam menjalani urusan-urusan harian kita seperti permohonan kerja, perbankan dan sebagainya, hasrat kita juga merapatkan lagi jurang digital antara penduduk bandar dengan luar bandar," tegasnya.

Di sebalik komitmen yang dilakukan TM, Kerajaan Negeri jelas beliau menyedari risiko yang dihadapi TM seperti kecurian kabel yang mana difahamkan Kedah mencatatkan kes terbanyak setakat ini.

Pada masa ini, selain Pulau Pinang dan Lembah Klang, Kulim merupakan satu-satunya kawasan di Kedah yang menikmati streamyx jalur lebar berkeupayaan hingga 4 megabit sesaat berserta IPTV.

Pameran pada program tersebut memaparkan teknologi terkini sebuah rumah pintar antaranya e-surveillance, IPTV, talian tanpa wayar CDMA dan kemudahan streamyx broadband.

Sementara itu, Pengurus Besar TM Kedah dan Perlis, Pauziah Taib menjelaskan bahawa dalam era globalisasi kini, kemudahan internet amat penting dalam sesebuah komuniti. Beliau turut mengemukakan hasrat TM untuk menjadi peneraju utama jalur lebar di Negeri Kedah.

Turut hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Hi-Tech Kulim, Dato' Wira Ismail Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kulim Technology Park Corporation, Dato' Ahmad Shukri Ismail. - mns

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons