Isnin, 2 Jun 2008

Kedah tunjuk 'jalan tengah'

Ahmad Lutfi Othman & Izwan Abdul Halim
Mon | Jun 02, 08 | 8:19:48 am MYT

Ustaz Azizan Abdul Razak nampak lebih segar dan ceria walaupun bebanan tugasnya makin berat. Berbekalkan pengalamannya hampir 15 tahun sebagai Adun, juga jawatannya dalam parti sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri mewarisi kepimpinan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, dan pernah dipilih Naib Presiden, kini mengetuai kerajaan baru di Kedah, beliau tetap mudah didekati.

Pendekatannya mungkin ditafsirkan dalam pelbagai versi, namun dalam pertemuan dengan Harakah baru-baru ini, di rumahnya yang cukup sederhana, di Jalan Sultanah, Alor Star, Ustaz Azizan penuh yakin menjawab pertanyaan yang dibangkitkan. Difahamkan kakitangan kerajaan cukup tertarik dengan isi ucapan beliau, yang disulami fakta sejarah, rasional mudah dan hujah agama.

Malah beliau tetap simple, kemejanya masih di bawah harga RM30, dan pergaulannya dengan sesiapa jua kekal mesra. Ikuti intipati temubual Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman dan wakil Harakah di Kedah, Izwan Abdul Halim dengan Ustaz Azizan, jam 9 malam, Sabtu, 17 Mei lalu.

ImageHarakah: Selalu orang mengukur keberkesanan pemerintahan baru dalam tempoh 100 hari pertama. Kita kini baru 70 hari, tapi rasanya tidaklah terlalu awal untuk Ustaz membuat rumusan khususnya terhadap perubahan-perubahan kerajaan baru negeri Kedah?

Ustaz Azizan: Alhamdulillah, kita berjaya mentadbir kerajaan negeri dengan baik dan kita dapat meyakinkan rakyat bahawa perubahan dalam pilihan raya lalu menguntungkan semua. Kita mendapat kerjasama yang cukup baik daripada semua, termasuk kakitangan kerajaan. Apa yang kita rencanakan mereka laksana.

Dengan Pusat pun kita nampak belum ada apa-apa masalah. Mungkin mereka mendapat arahan tertentu merujuk polisi-polisi kerajaan Kedah. Kita juga telah menunaikan sebahagian manifesto kita, dengan kerjasama kakitangan kerajaan.

Keseluruhannya pentadbiran kerajaan macam biasa. Jadi yang memerintah ini macam dulu, sambung kerja dengan baik, tidak ada satu perubahan mendadak, semua berjalan dalam keadaan normal. Mesyuaratnya, para exconya dan pelbagai lagi berjalan macam biasa.

Kita telah menyemak semula cukai tanah yang membebankan rakyat. Walaupun kita terpaksa menanggung kerugian, tapi kita boleh tammpung, Kita telah selesai pelantikan kerajaan tempatan seluruh Kedah, telah angkat sumpah. Mengenai ketua-ketua kampung, kita akan mula dalam masa terdekat.

Yang penting sekali, dasar kita difahami rakyat. Kita punya dasar yang telus. Bahkan dengan pelabur dan yang berkaitan ekonomi, kita menyatakan secara jelas, bahawa kalau boleh, boleh, kalau tak boleh, tak boleh. Semuanya secara telus, semuanya melalui atas meja, bukan bawah meja.

Respons nampak macam pelik. Dalam masa dua bulan ini, pelabur yang datang terlalu ramai. Masing-masing menawarkan untuk bekerjasama dalam pembangunan ekonomi Kedah.

Mungkin pada peringkat awal mereka bimbang kerana kita dari Parti Islam, tentulah beberapa imej negatif tentang Islam itu mereka bimbang. Tetapi setelah mengadakan siri perbincangan, lawatan dan saya sendiri menyatakan bahawa kita bukan seperti yang dijangkakan, mereka berpuas hati.

Kita akan meningkatkan usaha memajukan Kedah, meneruskan apa yang terdahulu asalkan baik. Hingga kini sudah puluhan bilion bertambah pelaburan ke Kedah, campur yang lama jadi RM83 bilion . Kita mengenakan syarat kepada pelabur agar pekerja nanti adalah anak tempatan. Ramai rakyat tempatan tidak ada kemahiran, kita syaratkan buka latihan, sekali gus dapat atasi masalah pengangguran.

Kita juga perkenal polisi mempertahankan tanah sawah di Kedah. Kita mendahului negeri lain, bahkan sebelum Pusat timbulkan isu jaminan makanan, kita sudah bercakap mengenainya. Lepas kita buat polisi tidak membenarkan penggunaaan tanah sawah selain untuk padi, baru timbul krisis makanan apabila Thailand dan Vietnam tidak menjual beras macam dulu. Maknanya kita buat keputusan yang betul.

Bila saya arahkan projek zon Zipy (zon industri petroleum di Yan) pindah ke laut, kita dapat selamatkan kawasan sawah. Itu hadiah kepada pesawah padi di Kedah.

Selain telus, orang nampak kita boleh diajak berkira, mudah didekati. Rakyat pelbagai kaum diraikan, ada wakil India, wakil Cina, wakil Siam. Dalam masa dua bulan, penuh dengan kunjungan hormat semua pihak, dalam dan luar negara.

Ustaz timbulkan soal kelicinan pentadbiran, hubungan baik dengan pegawai kerajaan, tidak ada perubahan drastik yang merisaukan rakyat. Soalnya, ada pihak merasakan seolah-olah kerajaan tidak bertukar, mereka rasa sama saja, walhal yang dikehendaki adalah perubahan yang langsung dengan kehidupan rakyat, seperti pernah ditunjukkan di Kelantan sewaktu awal memerintah pada 1990 dahulu.

Saya lihat begini, ia berkaitan budaya orang Kedah. Budaya yang cukup terbuka, suka bergurau, suka berkawan. Malah ini juga yang berkembang dalam Dewan Undangan Negeri, di antara wakil Umno dan PAS.

ImageMasa kita jadi pembangkang pun kita baik dengan Umno, Umno juga baik dengan kita. Sekarang kita jadi kerajaan pun kita baik dengan mereka.

Saya tak suka kita buat sesuatu yang mengejutkan, biar rakyat menerima realiti ini sebagai satu proses demokrasi. Saya berpendapat perubahan mungkin boleh dibuat kali pertama, kali kedua.

Dalam Islam pun ada, misalnya saya baca buku tentang Fiqh Aulawiyat. Semua tu hukum syarak, hukum dasar tentang apa yang perlu diutamakan dulu.

Saya juga tekankan soal akhlak Islam. Kita tidak ada balas dendam dan akhirnya nescaya kita akan dapat simpati dan sokongan masyarakat. Umno yang lama berkuasa tentu sedih, tapi janganlah dalam kesedihan mereka itu kita tambahkan lagi pedihnya. Kalau perlu kita juga bekerjasama dengan mereka. Saya tahu mereka juga ada yang berpendidikan tinggi dan bersikap terbuka.

Saya pun tak mau serangan daripada pihak lain. Walaupun ada yang tak nampak perubahan bukan bererti dia kata tak ada apa-apa perubahan. Maknanya dia rasa tiada beza besar PAS dengan Umno. PAS memerintah okey, tak masalah apa pun. Kita kena baca dari sudut itu.

Dulu mereka rasa PAS tak boleh memerintah, sekarang okey, boleh memerintah dengan baik, malah semua pihak lebih senang bekerja. Saya sendiri beri kebebasan kepada pegawai yang menyokong Kedah, kita negeri demokrasi, Perlembagaan menjamin hak bersuara, hak berpolitik, hak berfikiran. Tuan-tuan boleh guna hak dan kebebasan itu.

Dulu orang marah sebab rakyat tak diberi hak itu. Dulu bila kerja dengan kerajaan, nak dengar ceramah PAS pun takut. Kini saya bagi kebebasan, bolehlah nak dengar ceramah mana pun, boleh sokong mana-mana parti, tetapi syaratnya kena bekerja dengan baik. Ini negeri Kedah, saya kata sama-sama kita bina. Tuan-tuan masuk politik itu hak tuan-tuan, bukan hak saya. Saya ada hak saya, tuan-tuan ada hak tuan-tuan. Kita kerjasama, jaga hak Kedah.

Saya belajar dari sejarah. Bila Rasulullah membuka Makkah, baginda tak bunuh sesiapa pun, diberi kebebasan, tak paksa orang masuk Islam. Orang Makkah merasakan mereka akan dibunuh, tapi mereka mengakui bahawa Nabi orang yang baik, anak kepada yang baik.

Mereka sendiri faham bahawa Nabi tidak akan aniayai mereka. Rasulullah kata, kalau begitu kamu bebas. Buatlah kerja kamu semua. Siapa yang masuk rumah Abu Sufian dia selamat, siapa yang duduk di rumah, dia selamat, siapa masuk masjid dia selamat. Selepas itu mereka ini berrsama Nabi membina Islam.

Saya mahu seluruh rakyat Kedah berpakat membina Kedah. Apa untungnya saya buat sesuatu yang drastik sampai orang sakit hati, tak ada untung apa. Baik saya buat yang mudah-mudah dan orang dapat terima. Bila orang tengok kita tak menekan dan rakyat bebas, kita turut senang nak buat kerja.

Ustaz banyak soal pelaburan yang nilainya hampir RM100 bilion. Tapi ada pihak melihat dari perspektif sedikit berbeza, misalnya soal pembanterasan rasuah, membongkar penyelewengan kerajaan lama dan pengurusan anak syarikat kerajaan (GLC), juga hal-hal berkaitan arak, judi, soal pakaian, etika hiburan, gelagat pelancong luar. Rakyat bawahan juga mungkin menunggu bantuan langsung kepada mereka.

Kena ingat, kita baru dua bulan, dan polisi kita Kedah agak berbeza dengan Kelantan. PAS Kelantan dapat 39 kerusi, pembangkang BN dapat enam. Kalau ada yang lari keluar pun mereka boleh memerintah. Ia berbeza dengan suasana tahaluf siyasi di Kedah. PAS Kedah ada 16 kerusi, kita tak boleh memerintah keseorangan. Tapi tak adil jika orang menuduh kita tidak melaksanakan Islam.

Adakah Ustaz terhalang untuk melakukan perubahan Islamik kerana bilangan kerusi PAS tidak mencukupi atau...

Bukan, bukan, bukan ...

Atau memang prinsip Ustaz sendiri...

Prinsip saya begitu. Saya dulu mengaji syariah juga. Falsafah pun saya belajar. Saya turut belajar pengalaman beberapa negeri juga. Kita harus akui kekuatan kita dan juga masalah yang bakal berbangkit dengan tindakan kita, terutama membabitkan kefahaman rakyat.

Saya kata saya cuba nak hentikan judi. Ada dua tiga perkara harus diperhalusi. Memang negeri ada kuasa, tapi ada pihak mengatakan kena tunggu sat. Sebab benda ini telah berakar umbi lebih 50 tahun. Perubahan akar umbi agak sulit buat kita. Hasrat kita jelas, cuma kita sedang memikirkan jalan terbaik. Kita sedang susun kempen "tidak kepada judi" dahulu.

Arak memang kita tak dibenarkan kepada orang Islam. Undang-undang pun ada tapi taklah seperti hukuman Islam, bukan sampai kena rotan. Saya melihat tuntutan syariah, di zaman Saidina Umar, hukuman mencuri digantung pelaksanaannya.

Tapi dia tak menolak hukum Tuhan, tidak. Dia tak laksana kerana masa itu musim kemarau, orang lapar nak makan. Ini falsafah. Kita tidak mahu kesan negatifnya lebih banyak daripada positif.

Sebagai seorang Muslim, saya memang berhasrat ... tapi saya melihat aspek Islam yang lain dulu.

Semasa diberi amanah menerajui Kedah dan memikirkan strategi terbaik pemerintahan, Ustaz tentu ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang, apatah lagi dalam amalan demokrasi kita, empat tahun lagi diadakan pilihan raya, yang kemungkinan BN mengambil alih. Jadi apakah perancangan Ustaz dalam lingkungan empat tahun ini atau...

Mungkin saya kalah lebih awal dari itu ... keadaan politik kita sukar nak dipastikan. Saya melihat secara keseluruhannya dan kesesuaian yang terbaik.

Katakanlah dalam dua atau tiga tahun ini Ustaz ditumbangkan, adakah Ustaz tak rasa apa-apa, sedangkan Ustaz dalam tempoh itu belum dapat melakukan.

Nak rasa apa ... ini kerja Tuhan, yang bagi kita naik pangkat dan turun pangkat. Saya cuba yang terbaik, telus dan terbuka, simpati dengan rakyat. Kita berazam membanteras rasuah. Rasuah sifar itu sebahagian tuntutan Allah. Kalau berjudi, mungkin kesannya terbatas, bersalah dengan Tuhan. Tapi kalau rasuah, babitkan seluruh masyarakat, harta awam, musnahkan harta negara.

Orang selalu bercakap soal pemimpin politik yang rasuah, tapi dalam masa sama, bagaimana pula dengan pegawai kerajaan, pihak penguatkuasa dan dalam peneraju anak-anak syarikat kerajaan negeri?

Ada benda yang saya buat ramai orang tak tahu. Saya tak mahu cakap tentang isu GLC, banyak sangat nanti. Tapi kita sudah dapat laporan penuh, sekarang peringkat restructure. Saya tak mau dedah, kalau dedah pun apa yang dapat. Saya mahu perbetulkan balik.

Tentang GLC, ada dua tiga perkara menjadi keutamaan kita. GLC ditubuhkan untuk membantu ekonomi negeri bukan membebankan lagi. Saya sedang kaji maklumat yang berkaitan dan mencari penyelesaian. Ada silap pegawai, ada yang bekerja kerana tekanan pihak tertentu. Semua ini kita tahu. Memang kini ramai bercakap tentang prestasi GLC. Saya tak mahu tunjukkan kegopohan dan ghairah buat kenyataan-kenyataan, akhirnya tidak ke mana.

Saya tidak mahu orang celaru. Kita di Kedah berhati-hati, terutama babitkan hal ekonomi. Ia harus berdasarkan kemampuan dan reserve negeri, yang tentunya tidak sebanyak Selangor atau Perak.

Pihak media tak pernah cuba provoke Ustaz?

Ada pihak akhbar Cina tanya dan nampak concern sangat dengan bab hudud, saya tak begitu layan sangat. Apabila ditimbulkan sangat isu ini, saya tanya balik, mengapa hanya hudud, kenapa tidak lihat sikap kerajaan yang prihatin dengan ibu-ibu tunggal, keluarga miskin. Itu juga tuntutan syariah, yang semua pihak merasakan ia perlu diberi keutamaan.

Berkaitan judi, memang kita beri lesen premis, pusat bagi lesen judi. Kita baru lantik ahli majlis kerajaan tempatan, dan saya serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk mengatasi hal-hal berbangkit.

Kempen dan manfesto PAS sering dikaitkan dengan konsep negara berkebajikan. Di Kedah, apa yang telah dan bakal Ustaz perkenalkan?

Dua bulan terlalu awal, tapi kita dah rancang. Belanjawan 2009 akan membentangkan beberapa kemudahan buat rakyat, dengan mengambil kira keupayaan kewangan negeri.

Mungkin dulu kita bercakap tanpa maklumat sebenar keadaan kewangan negeri. Sekarang kita hadapi realiti, ada perkara boleh buat sikit-sikit. Kita juga mahu libatkan GLC, supaya dapat disalurkan sebahagiannya kepada kerajaan negeri.

Kita telah turun cukai tanah, hampir RM50 juta kerajaan negeri terpaksa tanggung. Dalam masa sama kita telah selamatkan hasil bumi Kedah yang selama ini diagihkan secara tak betul. Bila kita agih balik secara telus, ia dapat menampal semua ketirisan. Pendapatan kita juga boleh bertambah 100 kali ganda.

Kalau kita dapat kawal balik, kawal sumber dengan baik, ia boleh digunakan untuk kepentingan rakyat. Dan kita juga kena ambil kira beberapa projek pembangunan yang disokong Pusat diberhentikan. Semuanya mesti dipertimbangkan dengan bijaksana.

Tadi Ustaz bercakap soal pelaburan hampir RM100 bilion, adakah itu tertakluk kepada restu kerajaan pusat, yang memungkinkan ada sekatan nanti?

Tak ada. Dia tak kacau, misalnya berkaitan pelaburan minyak. Ramai pelabur jumpa saya, nak tingkatkan bidang pelancongan. Kita bertuah ada Langkawi, akhir-akhir ini pelancong Timur Tengah mencari destinasi baru di sebelah Asia. Di Asia Tenggara ada dua, Bali atau Phuket. Kedua-duanya seperti tidak serasi dengan budaya mereka. Mereka bersama keluarga lebih suka Malaysia. Ada dua tiga pelabur mahu laksanakan projek baru dan dan menyambung projek-projek lama.

Apabila Ustaz tekankan soal pelancongan, khususnya di Langkawi, ia tak dapat lari daripada isu etika berpakaian pelancong, yang selama ini mendapat kritikan ramai.

Kita berusaha ke arah kesopanan dahulu. Pastikan kesopanan dan tata susila dijaga. Itu akan difikirkan jawatankuasa pelanconganlah. Untuk pengetahuan saudara, kita mementingkan suasana yang sesuai dengan Timur Tengah, yang dengan itu akan menambahkan lagi kedatangan mereka ke sini.

Saya perhatikan, sama ada masa pembangkang atau menerajui kerajaan, Ustaz amat berhati-hati menjaga hubungan dengan pegawai kerajaan, pihak polis, tapi difahamkan dalam Ustaz menjaga keharmonian ini, ada juga respons tidak baik di kalangan penguatkuasa PBT, seperti sengaja mengambil tindakan keras bagi memberi imej agak buruk kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Kita telah kenal pasti. Apa yang dicakapkan saudara itu betul. Kita telah buat teguran dan kita telah melayan permintaan orang ramai. Malah kita sudah ambil tindakan kepada kakitangan terbabit, tapi kita tak nak heboh. Kita sensitif dengan kepekaan orang ramai. Memang orang salahkan kerajaan bila ada perkara negatif. Kita dah betulkan, kita telah bagi nasihat dan alhamdulillah, mereka sedia bekerjasama dengan kita.

Ustaz tak jelaskan tindakan lanjut, maka orang ramai tak tau respons Ustaz.

Biarlah orang tak tau, saya memang dari dulu lagi low-profile (ketawa).

Bagaimana hubungan sesama parti dalam Pakatan Rakyat di Kedah?

Kita di Kedah mengamalkan tolak ansur. KeADILan menang lima kerusi, asalnya empat, tapi dapat tiga kerusi Exco, satu Senator. Begitu juga dengan DAP, hubungan kita baik. Kita sentiasa berunding. Dan rakyat nampak kita bekerjasama. Saya tidak ada diskriminasi terhadap anak-anak buah saya.

Saya perhatikan di Kedah ramai orang menyebut yang memerintah adalah Kerajaan PAS bukan Kerajaan Pakatan Rakyat, mengapa jadi begitu?

Rakyat kata Kerajaan PAS.

Bukan ikut rakyatlah, Ustaz sendiri?

Saya kata Kerajaan Pakatan Rakyat.

Ada yang kata pengagihan jawatan Exco macam menyebelahi KeADILan

Tak apa, biarlah apa orang nak kata.

Begitu juga dengan komposisi PBT, khabarnya kouta untuk KeADILan juga besar?

Betul!

Adakah Ustaz tak hadapi sungutan daripada ahli parti sendiri?

Biasalah, tak apa, kita bertolak ansur, ini muafakat bersama.

Tak timbul rungutan di bawah?

Tak ada apa-apa. Tapi buat kerja elok-eloklah. Saya rasa KeADILan pun boleh faham. Kita tetap kerjasama. Hal sikit-sikit yang timbul janganlah dijadikan isu besar.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons