Selasa, 3 Jun 2008

Kenyataan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah- Isu Krisis Makanan

KOTA SARANG SEMUTKenaikan harga beras yang agak tidak terkawal akhir-akhir ini menimbulkan polemik yang membimbangkan dan meresahkan hampir setiap lapisan rakyat.

Rata-rata kerisauan, berpusat akan kemampuan kerajaan untuk membendung situasi masa kini iaitu dengan mengenal-pasti faktor kelemahan dan merangka pelan jangkapanjang sebagai jaminan krisis tidak berulang serta menyediakan stok simpanan beras negara agar berada pada tahap yang menyakinkan.

Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK) memandang serius akan perkembangan yang berlaku dan menyarankan agar Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Kedah Darul Aman khususnya, menyegerakan langkah–langkah proaktif untuk menambah kawasan penananam padi yang baru disamping mengkaji dan menaiktaraf infrastruktur, kaedah operasi dan faktor-faktor sokongan yang menjurus kepada hasil yang lebih lumayan dan berkualiti.

Dalam kenyataan yang difakskan kepada Harakah, DPPNK menjelaskan bahawa pergantungan bekalan makanan negara terutamanya beras daripada sumber luar perlu diminimumkan bagi membendung kesan manipulasi dan ketidakstabilan pasaran global dimasa depan.

Dalam kontek negeri Kedah, DPPNK terpanggil dan bersedia untuk turut memainkan peranan membantu kerajaan negeri bagi menarik penyertaan golongan belia menceburi bidang pertanian,“ demikian menurut kenyataan tersebut.

Jelas DPPNK, melalui Lajnah Petani, Pekerja dan Peniaga, Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan serta beberapa lagi lajnah yang berkaitan, kaji selidik secara spesifik sedang digerakkan sebagai langkah untuk mengenalpasti halangan dan kecenderungan golongan sasaran terhadap sektor pertanian, khasnya penanaman dan pengeluaran padi disamping lain-lain bidang pertanian yang berdaya maju.

“Dokumen kajian lengkap dan cadangan balas akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk diteliti dan dilaksanakan sekiranya bersesuaian,“ jelas DPPNK.

Menurut DPPNK, hasil daripada kajian awal mendapati sektor pertanian yang merupakan antara penyumbang utama bekalan makanan negara, perlu melakukan anjakan paradigma.

Kaedah peladangan yang berskala ekonomi, moden dan berteknologi tinggi ditagih agar diusahakan secara lebih serius.

“Selain merupakan kaedah yang paling berkesan dan menguntungkan, imej sektor pertanian yang sebelum ini dikacamata umum sebagai kerjaya leceh, bertaraf rendah dan tidak glamour mampu dikikis dan diubah persepsinya,“ tegas DPPNK.

Justeru itu, DPPNK berpandangan bahawa pendapatan yang terjamin masih menjadi faktor penting dan penentu untuk memungkinkan kerjaya atau keusahawan tani berupaya menarik penyertaan dan menjadi pilihan bagi golongan belia. Kesedaran dan minat golongan ini perlu dimobilasi secara agresif agar berupaya menjadi pemangkin industri pertanian negara.

Sehubungan dengan itu juga, DPPNK turut bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan bagi menganjurkan ekspo, seminar dan aktiviti kempen secara lebih efektif. Maklumat kelebihan dan peluang-peluang yang tersedia di dalam sektor pertanian perlu dipersembahkan dengan paparan lebih menarik dan mengujakan orang ramai terutamanya kelompok sasaran.

Tegas DPPNK, krisis yang berlaku hari ini berpunca dari kealpaan dan kurang perhatian oleh pihak kerajaan dalam menggubal dasar ekonomi negara terdahulu, dilihat seakan memiggirkan sektor pertanian berbanding sektor lain antaranyanya korupsi; kronisma; dasar monopolistik; inflasi dan percaturan kuasa politik, telah menghakis daya tahan dan daya juang untuk berhadapan dengan krisis ini.

DPPNK menyedari, krisis tersebut memberi kesan yang menyeluruh terhadap negara dan rakyat tanpa mengenal batasan kaum; agama; warna kulit; status dan tahap pendidikan atau taraf hidup. Mudarat yang lebih perit dan kronik pasti diterima oleh golongan rakyat yang berpendapatan rendah dan berada di bawah garis kemiskinan tegar.

“Seharusnya tindakan bersifat kenegaraan dan kemanusian perlu diutamakan, perbezaan ideologi politik tidak wajar dijadikan sandaran sehingga membantutkan usaha-usaha kolektif dan mengundang masalah serta halangan bagi menjayakan misi nasional ini,“ jelas kenyataan tersebut.

Bagi DPPNK, hanya gandingan bahu ke bahu antara semua pihak yang terlibat, memungkinkan negara dapat keluar daripada krisis serta menjamin kemandirian dan kekebalan bekalan makanan negara di masa depan.

“Jadikan krisis yang dihadapi ini sebagai titik tolak bagi meruntuhkan `tembok` diskriminasi politik sepertimana yang diamalkan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini terhadap `kerajaan rakyat` di Kelantan contohnya dan seharusnya tidak wajar berulang ke atas negeri-negeri yang kini diterajui oleh kerajaan Pakatan Rakyat, disaat negara berhadapan depan krisis yang meruncing ini,“ seru DPPNK.

Di negeri yang terkenal dengan jolokan `jelapang padi negara` khasnya DPPNK menyatakan harapan agar agensi kerajaan pusat terutamanya MARDI serta MADA (yang berpengerusikan mantan Menteri Besar Kedah) perlu berperanan mengawal-selia dan membangunkan aktiviti penanaman dan pengeluaran padi secara lebih efektif, kreatif dan tidak terjerat dalam konflik politik kepartian.

Krisis ini memerlukan kepimpinan yang telus dan berwibawa serta mampu bertindak cekap demi kesejahteraan negara dan rakyat keseluruhannya. Rakyat pastinya dapat menilai, malah semakin bijak dan berani,“ jelas DPPNK mengakhiri kenyataan.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons