PETALING JAYA: Walaupun sudah lebih 30 jam Menteri Besar baru telah dilantik oleh Sultan Perak dan mengangkat sumpah, kegawatan politik negeri itu masih belum menemui titik penyelesaian dengan dua Menteri Besar menghadiri majlis 'rasmi' masing-masing hari ini.
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang masih menganggap menjawat jawatan Menteri Besar berkata, barisan Exco Pakatan Rakyat akan meneruskan tugas seperti biasa sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan kedudukan kerajaan negeri itu.
Nizar mempengerusikan mesyuarat khas Exconya, yang berusia 11 bulan, di kediaman rasmi Menteri Besar Perak.
PENDIRIAN NIZAR
Ketika ditemui wartawan selepas mesyuarat itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak memberitahu, Pakatan Rakyat menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada kerajaan negeri yang ada sekarang sah atau sebaliknya.
"Jadi kita serah sebulat-bulatnya kepada mahkamah untuk menentukan. Kalau mereka teruskan (angkat sumpah exco kerajaan negeri Barisan Nasional) sebelum mahkamah bersidang, maknanya kita akan ada dua menteri besar dan dua kerajaan.
"Belum pernah ada dalam dunia begini," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh tengah hari ini.
Beliau mengulas kerumitan yang bakal timbul sekiranya majlis angkat sumpah barisan exco kerajaan negeri BN dilangsungkan Selasa ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir selamat mengangkat sumpah di Istana Iskandariah sebagai menteri besar baru semalam.
BN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Perak selepas tiga ADUN bebas daripada pakatan itu keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN.
Mesyuarat khas Exco di kediaman rasmi Menteri Besar Perak yang dipengerusikan Nizar bermula pukul 11.15 pagi tadi dihadiri semua exco Pakatan Rakyat kecuali Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan, Seah Leong Peng.
Mesyuarat khas itu memutuskan tempoh pajakan tanah industri 30 hingga 60 tahun dilanjutkan kepada 99 tahun selain mengaktifkan semula lapangan terbang Sultan Azlan Shah dengan meluluskan peruntukan RM2.7 juta bagi kegunaan operator tambang murah Firefly.
Nizar berkata langkah itu bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Mesyuarat khas itu juga memutuskan pelantikan semua 342 ahli majlis kerajaan tempatan dan daerah diteruskan seperti dirancang selain meluluskan peruntukan RM1 juta bagi pemberian kifalah RM1,000 (khairat kematian) bagi warga Perak yang layak terutama golongan miskin.
Nizar percaya kesemua dasar yang diputuskan hari ini akan dilaksanakan agensi kerajaan negeri terbabit walaupun Perak kini jatuh ke tangan BN.
Mengulas mengenai mesyuarat khas exco yang dijalankan tanpa mengadap Sultan Perak sebagaimana kebiasaan mesyuarat exco, Nizar berkata, perkara itu "dibolehkan" kerana itu mesyuarat khas.
Ditanya adakah beliau akan pergi bertugas ke pejabat Menteri Besar Perak Selasa ini sedangkan Zambry sudah dilantik sebagai menteri besar baru, Mohamad Nizar berkata, "saya akan berebut, siapa datang awal".
PAKATAN CABAR
Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar dalam kenyataannya semalam berkata, pihaknya akan memfailkan satu saman bagi mencabar keabsahan pelantikan Menteri Besar yang baru dari Barisan Nasional.
"Panel peguam sedang mengkaji tindakan ini.
"Kami masih berpendirian bahawa Nizar masih lagi Menteri Besar Perak yang sah," kata beliau dalam kenyataan yang turut menamakan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.
"Pada ketika ini pelbagai reaksi sedang ditunjukkan oleh rakyat sebagai reaksi spontan kepada krisis di Perak ini.
"Reaksi tersebut adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional," katanya lagi.
Justeru, kata beliau, Pakatan menggesa kepada semua agar bertindak secara aman dan tertib.
"Kami merayu agar pihak polis bertugas secara profesional dan tidak menimbulkan sebarang provokasi atau huru-hara," katanya.
Posted by Azizul Nizam at 12:21 AM
Ahad, 8 Februari 2009
Belum pernah dalam dunia ada begini
Ahad, Februari 08, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan