Selasa, 24 November 2009

Teks Usrah Bulan 11 (Korban dan Pengorbanan)


KORBAN DAN PENGORBANAN

MUQADDIMAH
Korban ialah amalan menghampirkan diri kepada Allah dengan menyembelih binatang ternakan seperti unta, kibas, lembu dan kerbau pada 10 Zulhijjah atau hari-hari tasyrik dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin. Korban boleh juga ditakrifkan sebagai pemberian iaitu kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu sebagai tanda kebaktian.

Pengorbanan pula membawa maksud perihal mengorbankan (berkorban)

Di dalam perjuangan menegakkan Islam, para ulamak telah memberikan berbagai takrifan korban antaranya, Imam As Shahid Hasan Al-Banna berkata: “Apa yang aku maksudkan dengan pengorbanan ialah berkorban jiwa, harta, masa, kehidupan dan segalanya untuk mencapai matlamat. Tiada jihad di dunia tanpa pengorbanan dan tidak akan lenyap pengorbanan demi memperjuangkan fikrah kita, bahkan ada ganjaran besar dan pahalanya. Sesiapa yang duduk enggan berkorban bersama kami mereka telah berdosa”.

Pengorbanan merupakan syarat penting untuk kejayaan umat. Buktinya, keagungan Islam adalah buah dari pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat. Dan kita warisi agama Islam hingga kini merupakan kesinambungan atau penerusan golongan yang merelakan diri mereka terkorban dalam memikul amanah Allah SWT.

PENSYARIATAN KORBAN
Pensyariatan korban di dalam Al Quran disebut dalam ayat ke dua surah al-Kauthar

فصل لربك وانحر
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah”

Sementara dalam hadis pula, baginda SAW menyembelih dua ekor kambing dengan membaca bismillah dan bertakbir kepada Allah dan meletakkan kakinya di sisi kambing yang disembelih (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Pensyariatan pengorbanan untuk menegakkan Islam pula berdasarkan firman Allah:

ان الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة, يقتلون فى سبيل الله فيقتلون ويقتلون, وعدا عليه حقا.....

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar…. (At Taubah ayat 111)


NILAI PENGORBANAN
Amat berat penanggungan jiwa Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s ketika diperintah melakukan penyembelihan. Beratnya tiada bandingan dengan pengorbanan penyembelihan haiwan ternakan. Malah penyembelihan haiwan korban itu ada keseronokannya iaitu habuan segera diberikan Allah SWT dengan memakan daging tersebut.  Sedangkan Nabi Ibrahim bakal kehilangan anak tersayang. Tentu naluri kebapaan beliau tidak sanggup berpisah dengan anaknya. Namun rasa kehambaan dan penyerahan kepada Allah SWT mengatasi segala-galanya.

Demikian pula dengan nabi Ismail a.s yang bakal mengakhiri hidupnya di tangan bapanya sendiri. Namun kerelaan beliau itu lambang pengorbanan suci dari seorang hamba kepada Allah SWT.

Apabila perintah dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan kehambaan, Allah berfiman:

فلما أسلما وتله للجبين, وناديناه أن ياابراهيم, قد صدقت الرأيا انا كذالك نجزالمحسنين, ان هذا

لهوالبلاء المبين, وفديناه بذبح عظيم, وتركنا عليه فى الآخرين, سلام على ابراهيم, كذالك نجز

المحسنين.
“Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim!, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu”, sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik, Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata, Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian, iaitu kesejahteraan dililmpahkan atas Ibrahim, Demikian kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik”.  (Surah Ash Shaaffaat ayat 103-110)

Nilai pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s terletak kepada berat dan besarnya derita yang ditanggung. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat: “sukakah kamu memperolehi ganjaran 1000 dirham dari 1 dirham?”. Sahabat bertanya: “Bagaimana wahai Rasulallah?” Jawab Baginda SAW: “Iaitu 1 dirham yang kamu sangat perlu, yang kamu infaqkan” (Riwayat An Nasai)

Jelaslah wahai sahabat-sahabat pemuda, bukan kecil besar kuantiti sesuatu, tetapi berat penanggungan dalam pengorbanan itu yang menjadi nilai. Contohnya, RM 1000 bagi seorang yang kaya tidak membebankan dirinya andai diinfaqkan RM 10.00. Berbanding orang yang memiliki hanya RM 10.00, jika dikorbankan dalam apa nilai pun, pasti bakinya tetap sedikit, bahkan menjadi lebih kecil nilai ringgitnya. Namun nilai di sisi Allah amat besar.




PENGORBANAN YANG SEMPURNA
Sebenarnya kesempurnaan pengorbanan terletak pada adanya sesuatu yang terkorban dari orang yang berkorban. Antara perkara yang dituntut untuk kita korbankan ialah;

1-Harta benda-Di ketika Allah amanahkan kita kuasa, pengorbanan harta tetap dituntut. Bagi pemimpin yang memegang jawatan di dalam kerajaan mesti bersedia mengorbankan sebahagian pendapatannya untuk jamaah dan kebajikan rakyat. Bahkan ia juga mesti bersedia untuk tidak mengambil elaun-elaun yang berlebihan walaupun dirasakan itu adalah haknya. Ahli biasa juga mesti terus mengorbankan hartanya sekadar upaya untuk perjuangan ini, kerana tuntutan pengorbanan tidak terhenti dengan kemenangan yang dicapai

2-Masa- untuk terbangunnya kejayaan perjuangan Islam, banyak masa perlu digunakan. Tidak boleh ‘part time’ atau ‘kalau ada masa’ tetapi kita mesti ‘memberi masa’ dan ‘memperuntukkan masa’ untuk perjuangan ini. Alasan sibuk atau ‘tak dan’ tidak sesuai diberikan kerana dunia hari ini semua orang sibuk. Kitalah yang perlu bijak mengurus masa yang terhad itu, sebagaimana kata pujangga “hanya orang yang sibuk pandai mengurus masa”, atau “makin sibuk makin dan”.

Saidina Umar Al Khattab pernah berkata: “Aku tidak dapat tidur di siang hari kerana bimbang urusan aku dengan rakyat tidak selesai, dan aku juga tidak dapat tidur di malam hari kerana bimbang kalau urusan aku dengan Tuhanku tidak selesai”

Ertinya ada sesuatu yang perlu dikorbankan.

3- Tenaga- diri sendiri itulah merupakan sumber tenaga untuk dikorbankan.   Tenaga yang tercurah untuk perjuangan Islam itu tidak lagi dapat digunakan untuk menambah pendapatan atau mengumpul kekayaan.

Diceritakan, Allahyarham TG Pak Man Bukit Besar setiap petang keluar dari rumah menziari ulamak-ulamak di negeri ini untuk diajak menyertai perjuangan Pas. Beliau adalah antara orang awal yang membawa Pas di Kedah iaitu kira-kira 4 bulan selepas Pas ditubuhkan
.
Allahyarham TG Hj Lah pula (menantu TG Hj Umar Zuhdi pondok Lanai) keluar dari rumah pada hari Ahad dan balik kerumah semula pada hari khamis untuk menyebarkan ilmu Allah, begitulah setiap minggu. Dalam tempoh tersebut, hotelnya hanya surau dan masjid

TG Nik Abd Aziz ketika menjadi ahli Parlimen Pengkalan Chepa (wakil tunggal Pas waktu itu) berulang alik dari Kelantan ke Kuala Lumpur menggunakan jalan yang lama terkadangnya seorang diri, pernah keretanya rosak di waktu malam terpaksa menanti siang untuk mendapat bantuan.
Ini hanyalah secebis kisah-kisah pengorbanan tenaga dan masa orang terdahulu di dalam Pas agar kita tidak mendabik dada dengan sedikit pengorbanan yang kita berikan sekarang..

4-Perasaan- Mungkin ada di kalangan kita, yang mahu berkorban membangunkan Islam tetapi memilih dalam bentuk yang seronok, pujian dan sanjungan. Ia tidak bersedia menghadapi tekanan dan resiko yang mendatang, apatah lagi tekanan boleh berlaku di mana sahaja, baik di dalam atau di luar jamaah.

Contohnya, ia akan cepat kecewa apabila pendapatnya ditolak, kerja yang dilakukan tidak dihargai atau pengorbanan dan susah payahnya tidak dikenang orang. Zaman menang adalah zaman yang amat sensitive jiwa dan perasaan, mudah terguris dan terasa hati, hanya kerana pandangannya tidak diguna pakai ia sanggup menyebut “biar kalah pun tak pa kerajaan ni, padan muka!”

5-Fikiran- Saidina Umar Al Khattab sangat dukacita andainya umat ini terdiri dari orang yang lemah mentalitinya. Anehnya kini kepintaran dan ketinggian mental umat Islam lebih banyak digunakan untuk membangunkan material. Umat perlukan ‘master mind’ yang mampu merancang, buah fikiran yang bernas dan minda yang bersih. Kepintaran diperlukan untuk mengupas isi Al Quran dan menggali khazanah ilmu Islam agar dapat digarap dalam bentuk tindakan dan perlaksanaan di zaman ini. Justeru itu, individu muslim yang pintar perlu berkorban demi kedaulatan Islam

6- Nyawa- ini adalah kemuncak pengorbanan, pejuang-pejuang Islam yang mendapat title syuhada’ sudah membuktikan pengorbanan mereka. Sebenarnya setiap kita mesti mempunyai agenda peribadi di dalam perjuangan ini, bukan nak jawatan atau kekayaan tetapi agenda peribadi pejuang Islam ialah ingin mati Syahid

Ustaz Ibrahim Libya dan sahabat-sahabatnya sudah memperolehi nikmat pengorbanan ini. Mungkin ada yang bertanya ada lagikah mati syahid selepas menang? Jawabnya zaman Nabi SAW syahid paling banyak berlaku selepas Nabi memerintah Madinah. Syahid kekal hingga ke hari kiamat, yang penting niat kita dipelihara agar tujuan perjuangan tidak lain kecuali meninggi kalimah Allah di bumi ini.

PENUTUP
Sebenarnya tajuk ini amat luas perbincangannya, namun ruang yang ada amat terhad, kita belum bincangkan perkara-perkara yang mendorong seseorang berkorban. Demikian juga factor penghalang daripada berkorban serta contoh-contoh orang yang enggan berkorban dan apakah akibat keengganan tersebut.

Gunakanlah ruang perbincangan untuk kita lebar luaskan lagi perbahasan tajuk ini agar ia meninggalkan kesan yang baik di dalam diri kita iaitu kesedian untuk terus berkorban.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons