YB ABD GHANI AHMAD
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
KOTA SIPUTEH: Yang DiPertua PAS Kawasan Jerlun, Ustaz Abdul Ghani Ahmad menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai menangguk di air keruh apabila cuba mencabar keputusan mahkamah berhubung keputusan terhadap kerusi Dun Kota Siputeh sedangkan SPR adalah agensi pelaksana manakala mahkamah adalah institusi kehakiman yang mengeluarkan perintah.
Ujarnya, tidak dinafikan bahawa hak merayu sememangnya wujud dalam institusi perundangan negara, tetapi SPR perlu menilai kewajarannya bertindak untuk merayu.
“Semua pihak sedang menuding jari kepada SPR. Seolah-olah SPR yang diambil tindakan oleh Speaker (Dun Kedah) bukannya Dato’ Abu Hasan Sariff.
“Orang yang dihukum tidak ambil peduli dan boleh terima keputusan mahkamah, tetapi SPR yang diperintah untuk mengadakan pilihan raya kecil pula berdalih dengan menggunakan pelbagai alasan tidak masuk akal untuk merayu ke peringkat lebih tinggi hingga mereka rasa puas hati.
“Inilah mentaliti SPR yang sebenarnya, seolah-olah mereka adalah badan politik, bukannya badan bebas,” ujar beliau yang juga Timbalan Speaker Dun Kedah, 24 November lalu.
Katanya, isu ini telah menarik perhatian umum pada masa ini kerana menyamai isu di Perak apabila SPR enggan mematuhi keputusan Speaker Dun Perak berhubung pengisytiharan dibuatnya terhadap Dun Behrang, Changkat jering dan Jelapang pada Februari lalu.
Menurut beliau, perintah mahkamah itu boleh menjadi ‘precedent’ dalam kes di Perak sekaligus menggugat Kerajaan BN Perak yang dibentuk dengan membelakangkan aspek perundangan dan Perlembagaan Negeri Perak.
Untuk itu ujar beliau, SPR sepatutnya menghormati dan menyelami maksud Seksyen 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah memandangkan badan itu mempunyai Penasihat Undang-undangnya sendiri yang tentu faham semangat dan roh perundangan tersebut di mana ia digubal oleh Dun dan diperkenankan Tuanku Sultan.
“Tindakan SPR menfailkan rayuan demi rayuan akan menggambarkan SPR sudah menjadi alat dan boneka pihak pemerintah. Mereka ingin mempertahankan maruah dan imej mereka yang sudah tercalar, tetapi semakin terus tercalar,” ujarnya yang juga Adun Ayer Hitam.
0 komentar:
Catat Ulasan