Khamis, 26 November 2009

SEKARANG ZAMAN PERLAKSANAAN ISLAM


                  TUAN HAJI MOHAMAD SABU

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

BALING: Zaman Islam dihujahkan dan menjadi teori di tengah masyarakat sudah berlalu, kini adalah zaman pelaksanaan Islam sesuai dengan mandat pemerintahan yang ada, demikian ditegaskan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

“Pengenalan Islam sudah dihujahkan pimpinan PAS sejak lebih 50 tahun lalu dan kini adalah peringkat pelaksanaan yang terpikul dibahu generasi pimpinan pemuda. Ini adalah zaman pelaksanaan, oleh itu pemuda perlu lengkapkan ilmu di dada dan segalanya untuk terjemahkan Islam dalam bentuk amali supaya dapat diperlihatkan kepada manusia di atas muka bumi ini.

Zaman teori, zaman taarif sudah berlalu, kini zaman pelaksanaannya,” ujarnya menyampaikan ceramah pada majlis memperingati Peristiwa Memali anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di Madrasah Islahiah Diniah, Kampung Memali, di sini 19 November lalu.

Hal masyarakat katanya, perlu diambil berat sebagaimana pemerintah hebat yang telah dilaksanakan Baginda Nabi Muhammad SAW hingga negara Madinah dikenali sebagai ‘Baldatan thaiyyibatan warabbur ghafur’.

Dengan kuasa pemerintahan yang ada pada hari ini ujar beliau, kehebatan Islam perlu diterjemahkan sebagaimana kehebatan itu kini diambil oleh negara-negara barat.

Oleh itu, serunya kehebatan itu perlu dibawa pulang ke negara-negara umat Islam seterusnya mengangkat kembali kegemilangan Islam.

Tegas beliau, umat di negara-negara Islam jangan lagi membiarkan rasuah terus merajai dalam amalan pentadbiran negara mereka.

Dalam pidatonya itu, beliau turut menyentuh mengenai laporan Ketua Audit Negara yang menunjukkan negeri diperintah Pakatan Rakyat jauh lebih baik dari negeri diperintah Barisan Nasional (BN).

Dari kalangan negeri diperintah BN itu katanya, prestasi audit paling teruk ditunjukkan adalah negeri Pahang.

Ujar beliau, biarpun begitu, andainya pemerintahan negeri Pahang ditakdirkan kepada Pakatan Rakyat kelak, tanggung jawab untuk memulihkannya tetap dilakukan.

“Ikut istilah biasalah, kita takut nak ambil bini tu! Dah la janda, janda jahat! Anak banyak tak apa, ni ada lelaki simpanan, ada hutang sana sini.

“Tetapi sebagai seorang lelaki yang berani, kita sanggup kahwin dengan janda itu. Kita akan baiki akhlaknya, selesai hutang-hutangnya, berjimat cermat, insya-Allah kita boleh selesaikan,” ujarnya memberi komitmen.

Apapun menurutnya, Pakatan Rakyat jauh lebih baik walaupun secara umum rata-rata belum berpuas hati.

Tambahnya lagi, BN khususnya MCA sebenarnya sangat menghadapi masalah. Beliau memberikan analogi masalah moral yang dihadapi pemimpin tertinggi MCA sebagai saling bercakaran antara kuali dan periuk di mana masing-masing mengata bahawa bahagian bawah mereka hitam.

Akhirnya keadaan itu sindir beliau menyebabkan kuali dan periuk saling berkawan semula manakala pihak lain dalam parti itu terus berduka.

Menurut Mohamad, kekuatan BN kini sedang menuju kehancuran apabila parti-parti komponennya sudah tidak sehaluan malah kerap kali bernada seperti barisan pembangkang.

Beliau turut menyingkap kebodohan BN di Perak yang menjatuhkan kerajaan negeri secara tidak demokratik.

“Negara moden menjatuhkan Speaker dengan usul, di Perak mereka menjatuhkan Speaker dengan usung. Bila mereka merasa kekuatan Speaker itu terletak pada jubahnya, dalam sidang berikutnya, jubah Speaker pula mereka rentap,” sindirnya.

Terdahulu, dalam ceramahnya itu beliau menyentuh mengenai penyelewengan sejarah oleh pemerintah di seluruh dunia termasuk mengenai Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya, Sir Henry Gurney yang mati dibunuh oleh Ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Dedahnya, Sir Henry Gurney sebelum ke Malaya adalah pegawai yang bertanggung jawab membantu kemasukan pendatang Yahudi dan merampas tanah Palestin.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons