Selasa, 24 November 2009

DPPNK LANCAR PEMANGKAH 2012

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KOTA SARANG SEMUT: Ketika Barisan Nasional (BN) Kedah terus bermain slogan dengan pelancaran tagline “BN Menang, Kedah Senang”, PAS Kedah pula melalui sayap pemudanya melancarkan gerakerja “Pemuda Mempertahan Kemenangan Kedah” atau dikenali sebagai ‘Pemangkah 2012’.

Bahkan, disebalik kehangatan isu bai‘ah dalam PAS yang sengaja dipermain-mainkan BN, Pemuda PAS Kedah pula menyatakan bai‘ah untuk memastikan kemenangan terus dipertahankan.

Malah, semangat untuk mempertahankan kemenangan PAS itu turut dibarakan dengan ingatan kepada sejarah perjuangan Memali.

“Kalau As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan para pengikutnya berjuang hingga ke titisan darah terakhir, insya-Allah...kita juga bersedia meneruskan perjuangan mereka dan kita yakin roh perjuangan mereka akan terus mengalir dalam tubuh kita ini!” tegas Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya dalam ucapan pada majlis tersebut yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, di sini 13 November lalu.

Tegasnya juga, akidah akan kekal menjadi teras kepada usaha dan gerakerja Pemangkah 2012.

Menurut beliau, anugerah yang Allah SWT berikan untuk mentadbir negeri Kedah akan dimanfaatkan sebagai peluang bagi membantu untuk mengukuh, menguat dan mempertahankan kerajaan ini.

Sementara itu, Setiausaha PAS Kedah, Senator Muhamad Yusuf Husin dalam ucapan pelancarannya berkata, pemuda perlu ada kebijaksanaan dalam menarik sokongan pengundi muda yang pelbagai corak kehendak, di mana ianya menuntut pemuda menyesuaikan cara dan keadaan pada masa kini.

“Kerja-kerja mempertahankan kemenangan dalam sistem demokrasi berpilihan raya ini memerlukan kepakaran, teknik, pemikiran dan kegigihan yang ditumpukan sepenuhnya.

“Pun begitu, bila kita letakkan kerja dalam jamaah Islam ini untuk mencari keredaan Allah SWT, maka Dia akan datangkan pelbagai ujian,” ujarnya yang mengingatkan bahawa kesediaan menempuh ujian-ujian itu merupakan syarat untuk mempertahankan kemenangan.

Namun begitu tegasnya, mengawali semua usaha itu adalah niat yang tulus hanya semata-mata kerana Allah.

Terdahulu pada majlis yang dihadiri Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kawasan-kawasan itu telah dibentangkan kertas kerja Pemangkah 2012 dengan menekankan empat fokus utama melibatkan keahlian, daftar pemilih, cawangan pemuda dan tarbiah.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons