Ahad, 10 Mei 2009

Pengisian tarbiah perlu dibuka dengan perspektif lebih luas

Izwan Abdul Halim
Sat | May 09, 09 | 12:46:53 pm MYT

KUPANG, 9 Mei (Hrkh) - Jendela pandang terhadap penyusunan pengisian tarbiah pada hari ini perlu dibuka dengan perspektif lebih luas dan tidak sekadar mengisi takwim setiap sesi baru kepimpinan.

Dalam konteks zaman kemenangan ini, tarbiah perlu menjadi rangka-kerja dalam menentukan 'batang tubuh' yang akan dilahirkan di masa hadapan, demikian intipati Ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPNK), Ustaz Musoddak Ahmad pada perasmian Muktamar Tahunan DPPNK Kali Ke-43 di Kompleks Yayasan Al-Khairiah, di sini malam tadi.

Dalam ucaptama bertemakan "Memelihara Kemenangan" itu, Musoddak menegaskan bahawa DPPNK mahu melahirkan pemimpin dan ahli politik Islam yang berupaya mencanai Islam di medan masyarakat, negara dan dunia.

"Dalam kesimpulan yang lebih mudah, secara khususnya kita mahu menyediakan seramai mungkin 'bakal' Menteri Besar di masa hadapan. Dalam cita-cita yang lebih besar, pelapis kepimpinan ini juga mengisi saf peneraju kepimpinan negara," ujarnya menyatakan maksud.

Katanya, 'batang tubuh' yang dilahirkan nanti mestilah terus berupaya untuk mendokong Kepimpinan Ulama, lalu menyerapkan Islam pada gaya kontemporari ala Malaysia dan globalisasi dunia.

Seterusnya, ujar beliau, untuk memandu 'Satu Ummah dan Negara' yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Dalam ucapan itu, perjuangan PAS diumpamakan beliau sebagai sekumpulan pengembara yang mendayung di lautan luas untuk mendapatkan seteguk air di sumur yang terletak di tanah tertinggi sebuah pulau.

"Setelah mendayung sekian lama menempuh gelombang ombak dan badai, akhirnya para pengembara tiba jua di pantai pulau tersebut.

"Jika ketua pengembara itu disandarkan kepada 'batang tubuh' yang akan kita lahirkan, maka dia akan terus memimpin membawa kumpulannya hingga menemui sumur tersebut.

"Bukannya mendengus letih dan puas melihat saujana lautan yang pernah ditempuh. Atau terpesona melihat kulit-kulit kerang dan siput yang cantik hingga terlupa nikmat air di sumur tersebut," katanya bermetafora.

Beliau turut menyentuh mengenai Kepimpinan Ulama, katanya, ketika konotasi mengenai ulama dan profesional kembali hangat dispekulasikan kini, Pemuda Kedah sebenarnya bukan sahaja memiliki kedua-dua golongan itu, malah ulama yang berada dalam Pemuda Kedah juga adalah profesional dalam bidang masing-masing.

"Mereka pendidik cemerlang, pentadbir institusi pendidikan tersohor, usahawan berjaya dan lain-lain lagi. Profesional kita pula, walaupun mungkin tidak mampu berkuliah dan membuka kitab, sekurang-kurangnya bertazkirah, berkhutbah dan bercakap soal Islam, persis para penuntut aliran Islam. Mereka benar-benar mencapai tahap sebaiknya dalam bidang mereka bukannya golongan 'mi celup'," katanya.

Selain tarbiah, beliau turut menyentuh agenda pemantapan organisasi, keahlian, kebajikan, kemasyarakatan dan integriti kepimpinan. - mns_

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons