Khamis, 14 Mei 2009

PENERIMAAN KEPADA PAS BERMULA DIKELANTAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

KUPANG: Perubahan sokongan rakyat di negara ini kepada PAS bermula dari kejayaan dakwah ‘lisanul hal’ melalui pemerintahan PAS di negeri Kelantan, demikian intipati ucapan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah Kali Ke-43 di Kompleks Yayasan Al-Khairiah, Kampung Pisang, di sini 8 Mei lalu.

Katanya, pemerintahan di negeri Kelantan telah dapat membuka minda rakyat dari tiga unsur utama ‘sekatan’ kepada PAS iaitu PAS anti pembangunan, tidak mesra wanita dan bersikap pelampau.

Tiga unsur itu katanya, mengepungi PAS bertahun lamanya dan hanya dijawab setelah berjaya memerintah Kelantan.

“Maka Kelantan menjadi ‘lisanul hal’ (contoh hidup) untuk boleh dilihat dari sudut pembangunan, wanita dan lain-lain kaum di negeri Kelantan. Segala ketakutan yang dilabel kepada PAS dapat dirungkai satu persatu,” jelasnya.

Rakyat khususnya kaum bukan Melayu ujar beliau, telah membuat pembaharuan dan tekad berani pada pilihan raya lalu setelah melihat pelbagai perkara buruk yang tidak dapat dibendung pemerintah.

Katanya, keadaan semakin jelas apabila keputusan pada pilihan raya kecil yang berlaku selepas dari pilihan raya umum lalu menunjukkan bahawa perubahan tersebut bukan tsunami politik tetapi gelombang kebangkitan rakyat.

Lonjakan perubahan luar biasa masyarakat bukan Melayu itu jelas beliau, adalah sesuatu yang tidak pernah di lihat dalam sejarah PAS. Malah katanya, masyarakat bukan Melayu khususnya kaum Tionghua telah menunjukkan kecenderungan kepada Islam.

Oleh itu, beliau melahirkan keyakinan bahawa fenomena tersebut secara analisa kritikalnya akan menyebabkan keyakinan kepada PAS boleh bertukar menjadi keyakinan kepada Islam lalu menyebabkan mereka menganut Islam.

Beliau mengaitkan perkara tersebut dengan dakwah Nabi Muhammad SAW selama 13 tahun di Makkah tetapi hanya beberapa ratus memeluk Islam. Bagaimanapun katanya, selepas lapan tahun berdakwah di Madinah iaitu semasa Haji Wida’ di Makkah Nabi SAW telah berpidato dihadapan 120,000 orang.

“Bila Islam ada kuasa, dipamerkan tujuan berkuasa itu untuk mengangkat kalimah Allah, bukan mengangkat martabat kita untuk memiliki kemewahan,” tegasnya melontarkan ingatan.

Beliau menyeru agar dakwah lisanul hal terus dipamerkan oleh setiap anggota parti dan pentadbiran kerajaan yang diterajui PAS agar keyakinan rakyat semakin bertambah kepada PAS.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Dr Hamdan Mohamed Khalib; Adun Kupang, Johari Abdullah; Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusuf; Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik, Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Abdullah selaku wakil Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah, pimpinan PAS Kawasan Baling dan pimpinan Angkatan Muda KeADILan Negeri Kedah.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons