Barisan Nasional telah memerintah Malaysia selama lebih 50 tahun. Sepanjang pemerintahannya banyak kemajuan dan pembangunan yang telah dilaksanakan. Inilah tanggungjawab kepada mana-mana parti politik yang dipilih untuk menjadi kerajaan.
Kini suasana telah berubah. Kita menghargai jasa Barisan Nasional membangunkan Negara, tetapi kerajaan BN kini pada pemerhatian dan kajian mahasiswa telah hilang kelayakan untuk mentadbir Negara. Banyak kerosakan telah dibawa oleh pemimpin-pemimpin BN dewasa ini yang cukup memualkan. Masalah gejala sosial dikalangan muda-mudi yang terhasil daripada dasar-dasar lalai kerajaan BN. Masalah penyelewengan yang berlaku dalam urus tadbir Negara seperti dilaporkan melalui Audit Negara sebelum ini. Masalah jenayah yang terus meningkat akibat pengerahan keterlaluan pasukan keselamatan terhadap pertembungan politik sehingga kurang tumpuan terhadap kegiatan jenayah. Masalah rasuah yang melampau sehingga melibatkan pemimpin tertinggi BN seperti yang terdedah baru-baru ini. Perlanggaran demokrasi yang cukup mendukacita mahasiswa sehingga kemuncaknya berlakunya rampasan kuasa di negeri Perak. Juga layanan buruk terhadap pejuang-pejuang bahasa di perhimpunan mempertahankan bahasa baru-baru ini. Ini semua cukup membuktikan bahawa BN yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin hari ini telah hilang kelayakan untuk terus menerajui Negara.
Rakyat perlu sedar, adakah dengan hanya kerana jasa lebih 50 tahun mereka itu, kita sanggup menggadaikan masa depan anak bangsa kita untuk lebih 50 tahun akan datang dengan masih mengekalkan kerajaan Barisan Nasional sebagai kerajaan. Adakah kita perlu terus membiarkan kerosakan demi kerosakan dilakukan oleh kerajaan BN disebabkan kita hendak menghargai jasa mereka. Adakah kita hendak membiarkan diri kita terus didalam kebodohan hanya kerana mengenang jasa ini. Kemana guna akal yang dianugerahkan. Kita tidak disuruh menerima segalanya tanpa berfikir, kita disuruh membuat pertimbangan mana yang baik dan mana yang buruk.
Mahasiswa berpandangan, jasa ini tidak boleh dikompromi dengan masa depan. Ini bukan bermakna mahasiswa tidak menghargai jasa dan bukan mahasiswa hendak mengajar rakyat untuk tidak mengenang jasa. Mahasiswa sangat menghargai jasa, malah mengenali yang mana satu jasa dan yang mana satu gula-gula. Tetapi dalam ruangan ini mahasiswa hendak membawa rakyat berbicara tentang perkara yang amat penting iaitu masa depan Negara yang akan diwarisi oleh anak muda sekarang.
Maka kami seluruh mahasiswa telah hilang keyakinan kepada kerajaan BN yang ada sekarang untuk memerintah Negara. Mahasiswa bertegas untuk tidak bersama dengan unsur-unsur yang merosakkan Negara seperti yang diamalkan BN ketika ini. Kami beranggapan perlu untuk rakyat memberi peluang kepada parti-parti politik yang lain yang berkelayakan untuk memerintah Negara ini. Marilah rakyat Malaysia bersama dengan mahasiswa menyelamatkan masa depan Negara dengan menolak BN dalam mana-mana pilihanraya samaada umum atau kecil.
Rabu, 1 April 2009
SUARA MAHASISWA
Rabu, April 01, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan