Selasa, 4 November 2008

Sepetang Bersama YB Nasir

Oleh Izwan Abdul Halim

Dalam sehari, urusan yang dijadualkan terlalu padat hinggakan terkadang sukar menepati waktu. Apatahlagi hal-hal tidak dijangka yang muncul di luar jadual juga perlu diraikan.



Namun semua itu tetap dilaksanakan dengan penuh komited bukan kerana kepercayaan telah diberi oleh masyarakat semata-mata, tetapi juga diterima sebagai amanah Allah yang akan dituntut pertanggungjawabannya di hari kemudian.

Jadual asal untuk melawat sebuah madrasah tahfiz di Kuala Sungai, pada jam 5 petang diawalkan kepada jam 3 petang setelah mesyuarat yang dihadiri sebelum itu selesai lebih awal dari biasa. Pun begitu tidak bermakna ada ruang senggang selepasnya. Bahkan ketika waktu menunjukkan jam 3.40 petang barulah dapat keluar dari pejabat setelah 'terkepung' dengan kunjungan penduduk yang datang mendapatkan perkhidmatan di Pusat Khidmat. Begitu juga ketika sepanjang perjalanan ke madrasah tersebut, telefon tangan tidak henti-henti berbunyi.



Dengan masa tidak pernah henti berdetik, kunjungan ke Kampung Telok Talipon untuk menziarahi jenazah warga emas di situ seusai lawatan ke madrasah tahfiz tidak kesampaian apabila jenazah telah pun di bawa ke masjid. Lalu terus bergegas ke Masjid Taman Kota Nelayan, bersolat asar dan kemudiannya menyembahyangkan jenazah.

Sekadar itu di situ sahaja penghormatan mampu diberikan. Hasrat untuk mengiringi jenazah hingga ke tanah perkuburan tidak dapat dipenuhi, lalu bergegas pula ke Tongkang Yard kerana di sana ada wakil penduduk, Ahli Majlis dan Pegawai Majlis sedang menanti untuk meneliti perkembangan projek saliran di situ.

Ketika masyarakat setempat melambai-lambai kehadiran wakil rakyat mereka, hanya tangan mampu diangkat disamping kuntuman senyuman dilemparkan tanpa sempat membalas teguran kerana masih lagi melayan panggilan telefon yang tidak henti-henti masuk.



Sejurus tinjauan dan perbincangan tersebut yang turut disertai rakan sejawat, Adun Kota Darul Aman, YB Encik Lee Guan Aik, kemudiannya bergerak dengan menumpang motosikal penduduk di situ ke Taman Ria berhampiran. Tiba di sana para penduduk telah sedia menunggu untuk mengajukan masalah penempatan mereka yang dilanda banjir baru-baru ini disebabkan masalah saliran tidak efektif.

Walaupun keletihan, namun tetap melayan aduan penduduk sebaiknya tanpa henti-henti melemparkan senyuman. Hingga akhirnya janji dilafazkan bersama dengan rakan sejawatnya itu untuk sama-sama mengambil tanggung jawab menyelesaikan masalah penduduk di situ.

Rezekinya sepanjang petang itu sentiasa terhidang hingga tiga kali menikmati minum petang di tiga tempat berbeza. Bahkan sentiasa ceria dengan sekali sekala berceloteh dan mengusik mereka yang ditemuinya hingga mengundang kemesraan seolah-olah telah lama dikenali.

Menjelang senja ketika matahari sudah berlabuh dan telahpun berniat pulang ke rumah untuk memenuhi jadual sebelah malam, terpaksa juga singgah lagi melihat longkang tersumbat di pinggir penempatan berhampiran.

Ketika diajukan kepadanya cara beliau menghadapi rutin hariannya itu, beliau mengakui bahawa 'sentiasa ada' di semua tempat setiap masa diperlukan.

"Maksudnya, saya meluaskan hubungan masyarakat kepada saya. Saya pastikan masyarakat boleh berhubung langsung sama ada terus kepada saya atau melalui wakil-wakil saya yang kemudiannya menyampaikan segera hasrat mereka itu," terangnya serta mengakui mempunyai ramai rakan-rakan yang membantunya setiap hari.


Ujar beliau, rakan-rakannya itu akan berada juga di mana tempat yang diperlukan ketika beliau sendiri berada di tempat lain menguruskan hal masyarakat setempat.

Beliau turut memuji rakan-rakannya itu yang boleh diharapkan oleh masyarakat serta menunjukkan komitmen tinggi secara sukarela kepada beliau.



Begitulah sepetang Warta Darul Aman menghabiskan masa bersama Adun Kubang Rotan, YB Encik Mohd Nasir Mustafa, 13 Oktober lalu biarpun tidak dijadualkan sedemikian.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons