Rabu, 5 November 2008

Perhimpunan Pagi Bulan November

Amanat YAB Menteri Besar di perhimpunan bulanan

Oleh: SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

ALOR STAR – Sekali lagi warga Wisma Darul Aman berkumpul menghadiri
perhimpunan pagi bagi mendengar amanat serta perkembangan semasa
mengenai Wisma Darul Aman khususnya, dan negeri Kedah amnya yang
disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan
Abdul Razak.

Terkenal dengan sifatnya yang suka berjenaka, YAB Dato' Seri sempat
berjenaka dengan warga Wisma Darul Aman membuatkan mereka terhibur.
Dalam ucapannya, beliau menekankan adalah penting kepada kita sebagai
kakitangan awam yang memikul tanggungjawab serta amanah orang ramai
untuk memberi mutu perkhidmatan yang memuaskan kepada mereka. Ini
disebabkan oleh rakyat adalah pembayar cukai dalam menjana ekonomi
negeri.

Naik turunnya sesebuah negeri bergantung kepada kesejahteraan rakyat
di samping pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan. Maka, adalah
penting kepada para pemimpin negeri mengamalkan sifat ikhlas dan
bersungguh-sungguh dalam memikul amanah dan tanggungjawab terhadap
rakyat, tambah beliau lagi.

"Piagam pelanggan adalah penting bagi memastikan di mana pihak
pentadbiran di semua peringkat dapat memberi perkhidmatan yang baik
kepada rakyat," jelas beliau.

"Bila kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam berkhidmat kepada orang
ramai, balasan baik Allah Taala kurniakan," ujar beliau.

Kita sedia maklum dengan krisis ekonomi dunia sekarang yang turut
dirasai di negeri kita. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai dana
kewangan yang kecil berbanding negeri-negeri lain, Kerajaan Negeri
masih mampu memberi keselesaan kepada rakyat dengan memastikan
pengagihan harta negeri diberi sama rata.

"Alhamdulillah, kita masih boleh menstabilkan ekonomi negeri serta
berjimat cermat walau dalam keadaan kewangan yang kecil," terang
beliau.

Selain daripada itu, beliau turut berkongsi pengalaman dan kejayaan
hasil daripada misi perdagangan beliau bersama beberapa Ahli Majlis
Mesyuarat Kerajaan ke Australia baru-baru ini. Dalam lawatan tersebut,
Kerajaan Negeri berjaya menjalin hubungan perdangangan dengan sebuah
kolej di sana bagi melahirkan tenaga kerja mahir bagi menjayakan
projek Petroleum Hidrokarbon Hub.

"Kepada anak-anak Kedah yang layak, mereka akan di hantar ke Australia
untuk belajar kemahiran bagi menjayakan projek Petroleum Hidrokarbon
Hub," jelas beliau.

Dalam perhimpunan tersebut, Kerajaan Negeri juga berbesar hati
menyampaikan anugerah kepada 13 anak-anak warga Wisma Darul Aman yang
mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM
dan STAM.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons