Rabu, 21 Mei 2008

Umat Islam perlu bersungguh dalam perniagaan

Izwan Abdul Halim
Tue | May 20, 08 | 3:43:12 pm MYT

ALOR STAR, 20 Mei (Hrkh) - Mencari rezeki melalui perniagaan perlulah dengan usaha yang bersungguh-sungguh mengikut panduan Islam selain pergantungan harap semata-mata hanya kepada Allah.

ImageDemikian antara intipati ucapan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohamed Taulan Mat Rasul dalam satu majlis bersama penjaja kecil yang diadakan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, perniagaan adalah suatu urusan yang memerlukan ketabahan dan kerajinan.

"Sebab itulah orang Inggeris memanggil meniaga ini business, ia busy yakni sibuk. Sebab sibuk itulah orang meniaga ini kaya raya," terang beliau.

Peniaga boleh menambah rezeki kerana katanya Islam itu cukup mudah. Jelasnya mudah yang dimaksudkan adalah ruang memohon daripada Allah SWT.

"Tuan-tuan minta rezeki minta daripada Allah SWT, bukan minta daripada saya, bukan minta daripada (majlis) bandaran, bukan minta daripada orang, bukan minta dari persatuan, tapi minta kepada Allah SWT. Rezeki kita Allah SWT yang beri,"tegasnya.

Mohamed Taulan turut menyentuh kepentingan solat sunat Dhuha yang berkait kepentingan memohon rezeki.

"Lepas kita sembahyang subuh ada satu lagi sembahyang iaitu sembahyang dhuha. Ini untuk minta rezeki. Pun begitu ia bukan sembahyang yang wajib. Tapi jika kita buat kita bukan sahaja dapat pahala, tapi kita juga dapat rezeki daripada Allah SWT.

"Sembahyang itu biasa saja, tapi doanya itu. Dalam doanya itu kita minta daripada Allah SWT rezeki yang jauh didekatkan, rezeki yang susah itu mudahkan, rezeki yang di atas langit diturunkan, yang di bumi ditimbulkan, yang haram itu dihalalkan, itu (sebahagian) doanya. Ini lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT serta menjauhkan kita daripada perkara-perkara tidak elok,"terangnya lagi.

Tambah beliau, PAS yang menerajui Kerajaan Kedah hendak memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat serta mengeluarkan rakyat daripada dosa.

"Apabila kita mengadap Allah SWT, Dia tidak tanya soal duit dan harta. Yang Dia tanya pahala banyak mana yang dibawa dari dunia.

"Kerana itu kita meniaga, berniagalah cara ikhlas, jujur, barang baik, harga yang berpatutan," nasihatnya.

Dalam keadaan harga barang yang mahal dan kos penyediaan yang semakin meningkat sekarang ini, maka peniaga katanya mestilah meletakkan harga yang berpatutan.

"Islam mengajar kita mencari untung, misalnya barang modal RM 1, boleh jual maksimum RM 3. Maknanya 200 peratus kita boleh naik. Tidak boleh lebih daripada itu," tegas beliau.

Menurut Mohamed Taulan lagi untuk maju peniaga perlu memperkenalkan barang atau produk sendiri. Misalnya makanan, beliau berkata masyarakat hari ini pertamanya mementingkan makanan yang dibeli sedap, keduanya bersih dan ketiganya murah.

Bagaimanapun jelasnya, murah ini sesuatu yang relatif, oleh itu tegasnya harga mesti sesuai dengan barang yang didagangkan.

"Oleh itu jangan jual barang yang tidak berkualiti, atau barang yang tidak setaraf dengan yang kita iklankan.

"Kalau barang itu buat daripada cotton katakan cotton, kalau buat daripada sutera katakan sutera. Jangan kata barang itu original sedangkan datang daripada Thailand. Kita nak kejujuran dalam meniaga," perinci beliau.

Tegas beliau, oleh kerana rezeki daripada Allah SWT, maka perlunya juga mencontohi Nabi SAW dalam menjalankan perniagaan.

"Macam mana dia (Nabi SAW) boleh berniaga sedangkan itu barang orang lain? Ini kerana dia jujur. Dia terangkan kepada orang mengenai barang ini macam ini, mahu barang macam ni harganya begini. Ini contoh yang diajar oleh Islam," terangnya lagi. - mks.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons