Rabu, 21 Mei 2008

Dun Kedah lantik 'Pak Chop' sebagai Senator


Bashir Ishak

Tue | May 20, 08 | 2:13:06 pm MYT

ALOR STAR, 20 Mei (Hrkh) - Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah yang bersidang hari ini bersetuju melantik Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, Mohd Yusuff Hussein menjadi Ahli Dewan Negara berkuatkuasa hari ini.

Mohd Yusuff atau lebih dikenali dengan panggilan 'Pak Chop' akan menggantikan Dato' Yaakob Mohammad yang telah tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara 10 April lalu.

Pelantikan tersebut telah dicadangkan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Kerja Raya dan Pertanian Negeri Negeri, Ir Phahrolrazi Zawawi dan disokong oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohamed Taulan Mat Rasul.

Mohd Yusuff, 54, berasal dari Sungai Petani dan menetap di Memali, Baling adalah seorang aktivis yang telah lama berkecimpung dalam PAS sejak awal tahun 1980-an. Beliau pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah dan Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Kedah selain pernah bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1990 di parlimen Baling dan pada tahun 1995 di Dun Kubang Rotan.

Selain itu, Mohd Yusuff juga pernah dua kali menjadi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1985 berikutan kes Memali dan kemudiannya pada tahun 1987 (Ops Lalang).

Dalam pada itu sidang Dun Kedah hari ini juga menyaksikan Pengerusi Perhubungan KeADILan Kedah, Ir Zamri Yusuf turut dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Pelantikan beliau itu bagi menggantikan seorang lagi Ahli Dewan Negara yang tamat tempoh, Chua Kim Chuan. Cadangan pelantikan tersebut juga dibuat oleh Phahrolrazi dan disokong oleh Exco Industri, Pelaburan,Sains dan Inovasi, Ir Amiruddin Hamzah.

Zamri, 43 adalah seorang jurutera yang pernah memegang jawatan Ketua KeADILan Bahagian Padang Terap selain pernah mejadi Ketua Angkatan Muda KeADILan Kedah.

Speaker Dun, Dr Abd Isa Ismail mengumumkan pelantikan kedua-dua Ahli Dewan Negara yang baru itu diterima oleh sidang Dewan apabila hanya terdapat satu sahaja cadangan bagi mengisi kedua-dua kekosongan tersebut.

Terdahulu, sebelum mencadangkan pelantikan Ahli Dewan Negara, Phahrolrazi yang mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada kedua-dua orang bekas Senator, Yaakob dan Chua.

"Saya mewakili rakyat negeri Kedah yang tercinta mengucapkan terima kasih kepada Senator Dato' Yaakob Mohamad dan Chua Kim Chuan. Jasa dan bakti mereka tidak dapat dilupakan," katanya. - mks.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons