Isnin, 26 November 2007

Tol: Dilema rakyat dan rasional kerajaan

Mat Zain Mat Isa
Sun | Nov 25, 07 | 2:12:37 pm MYT

Balik-balik alasan sama yang diberikan kerajaan bagi merasionalkan kenaikan kadar bayaran tol di beberapa lebuh raya negara. Bukan kali pertama kerajaan menyandarkan hujah bahawa tindakan itu adalah hak syarikat-syarikat konsesi terbabit sebagaimana dimaktubkan di dalam perjanjian.

Bukan asing juga bagi rakyat untuk mendengar alasan bahawa kerajaan sudah tidak bersedia membayar pampasan ratusan juta kepada syarikat-syarikat tersebut sekiranya tidak membenarkan mereka menaikkan kadar tol.

Rakyat juga pernah dijinakkan dengan hujah kononnya sebarang kenaikan tol telah mengambil kira pandangan semua pihak. Bahkan, sering dihujahkan juga kononnya kenaikan itu dijamin tidak membebankan rakyat, khususnya pengguna lebuh raya-lebuh raya terbabit. Kononnya kadar baru tol itu masih rendah berbanding perjanjian asal. Pernah juga dikatakan kadar tol negara kita jauh lebih murah berbanding beberapa negara lain.

Kini sebahagian alasan dan rasional (yang sebenarnya sangat tidak rasional!) itu kembali berkumandang. Rakyat yang sudah sedia terbeban kehidupan mereka dengan kenaikan harga minyak, kos pengangkutan dan harga berbagai barangan keperluan, kini sekali lagi dipaksa menerima hakikat kenaikan tol di beberapa laluan utama di seluruh negara.

Akhbar-akhbar harian bermula Jumaat (23 November) menyiarkan kenyataan dan ulasan beberapa pihak berkaitan isu kenaikan tol. Ia bermula dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Vellu bahawa kerajaan terpaksa membayar RM380 juta kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun depan.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, Khamis lalu, Samy Vellu mengumumkan sebanyak lapan syarikat terbabit dijadualkan menaikkan kadar tol masing-masing pada 1 Januari dan 1 Oktober 2008.

"Kementerian Kerja Raya menganggarkan pampasan sebanyak RM380 juta perlu disediakan bagi tahun 2008 sekiranya kenaikan kadar tol tidak dilaksanakan," katanya, sebagaimana dipetik Utusan Malaysia, Jumaat.

Beliau merujuk kepada anggaran kementeriannya terhadap nilai pampasan kepada lapan lebuh raya, iaitu Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Hulu Klang (RM28 juta), Lebuh Raya Utara-Selatan-Hubungan Tengah (RM18 juta), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (RM178 juta) dan Lebuh Raya Kulim-Butterworth (RM10 juta).

Empat lagi ialah Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (RM6 juta), Lebuh Raya Utara-Selatan, Klang Utara Baru (RM9 juta), Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (RM34 juta) dan Jambatan Pulau Pinang (RM22 juta). Jumlah keseluruhan ialah RM205 juta.

Samy Vellu berkata, pampasan RM75 juta lagi diperuntukkan kepada pengendali Lebuh Raya LITRAK di Kuala Lumpur ekoran pengurangan kadar tol daripada RM2.20 kepada RM1.60 yang telah diluluskan tahun ini.

Sebagaimana dimaklumi, isu kenaikan kadar bayaran tol bukan isu baru. Ia telah berbangkit sejak pembukaan lebuh raya bertol yang pertama di negara ini, iaitu Lebuh Raya Utara-Selatan, pada Mei 1988 lalu. Ia diikuti Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada Julai 1994 dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur pada Mei 1996.

Suatu yang nyata, rakyat sebagai pengguna lebuh raya terbabit semacam tidak pernah merestui bayaran yang terpaksa mereka keluarkan setiap kali melintasi plaza tol. Bantahan terhadap sebarang kenaikan kadar tol senantiasa kedengaran. Bahkan, suara-suara agar kutipan tol dihapuskan terus, juga tidak pernah padam.

Berbagai pihak telah tampil mengemukakan segala macam cadangan dan pandangan agar rakyat tidak terus-menerus dibebankan dengan kenaikan tol. Pernah disuarakan beberapa persatuan pengguna agar kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi mengkaji terma-terma perjanjian konsesi lebuh raya antara kerajaan dan syarikat-syarikat terbabit.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato' Dr Maamor Osman menganggap syarikat konsesi lebuh raya selama ini memperolehi keuntungan bukan sahaja menerusi kutipan tol, tetapi juga melalui bayaran papan iklan dan tempat perniagaan di sepanjang lebuh raya.

Pandangan sama oleh tokoh sama sebenarnya bukan sahaja disebutnya Jumaat lalu, tetapi telah pun disuarakannya ketika isu kenaikan tol hangat dibahaskan pada Ogos 2005 lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris pula pernah mencadangkan agar syarikat konsesi mengurangkan kos pentadbirannya. Bagi beliau, pemegang konsesi tidak mencatat keuntungan kerana mereka memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan pentadbiran.

Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Dato' Hamdan Adnan pula pernah mencadangkan agar kerajaan mengambil alih syarikat konsesi terbabit dan menjualnya kepada syarikat lain yang mampu mengenakan kadar tol yang lebih rendah.

Terbaru ialah cadangan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang supaya Petronas mengambil alih semua lebuh raya di negara ini. Malangnya, setakat ini kerajaan tidak menampakkan sebarang minat untuk menimbang, apatah lagi melaksanakan cadangan dan pandangan itu.

Pernah juga ada cadangan agar kerajaan melanjutkan tempoh konsesi seperti yang termaktub dalam perjanjian sedia ada kepada tempoh lebih panjang. Kononnya, dengan tempoh lebih panjang itu syarikat terbabit tidak perlu menaikkan kadar tol bagi memperolehi kembali jumlah kutipan yang disasarkan. Hasilnya, rakyat tidak akan dibebankan dengan kenaikan tol lagi.

Menurut rekod, kerajaan pernah melaksanakan cadangan ini. PLUS Berhad, pemegang konsesi untuk Lebuh Raya Utara-Selatan telah mendapat keistimewaan dari pelaksanaannya. Dalam perjanjian asal, ia memperolehi kontrak mengutip tol untuk tempoh 30 tahun iaitu dari Mei 1988 hingga Mei 2018.

Pada tahun 1999, kontrak itu disambung 12 tahun lagi, sehingga 2030. Pada 2005, ia disambung lapan tahun lagi untuk tempoh 2030 hingga 2038. Ertinya syarikat berkenaan telah mendapat sambungan tempoh konsesi selama 20 tahun.

Malangnya, hasrat rakyat untuk melihat tiada lagi kenaikan kadar tol di lebuh raya yang dikendalikannya tidak juga kesampaian. Kerajaan membenarkan PLUS menaikkan kadar tol pada 1998, 2002, 2005 dan akan naik lagi pada 2008 nanti.

Alasan lain pula diberikan bagi merasionalkan kenaikan itu. Syarikat terbabit dikatakan terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk berbagai kemudahan dan keselesaan pengguna. Antaranya bagi melebarkan jalan daripada empat kepada enam lorong, membesarkan beberapa plaza tol yang dikenal pasti mengalami kesesakan dan sebagainya.

Berdasarkan apa yang pernah berlaku, kerajaan senantiasa mengemukakan hujah dan alasan tersendiri bagi merasional setiap kenaikan kadar tol. Tidak nampak sebarang kemungkinan kerajaan akan mengurangkan kadar bayaran yang telah dikenakan itu.

Kini, rakyat tinggal hanya satu harapan untuk membebaskan mereka dari bebanan bayaran tol. Ingat lagi apa kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu mengenai perkara ini?

"Insya Allah, kalau ditakdirkan hari ini kita (Barisan Alternatif) perintah Malaysia, esok kita turunkan harga minyak... kita boleh kaji semula kadar tol," demikian kata beliau. Anwar yakin, menurut pengalamannya mentadbir kewangan negara sebagai Menteri Kewangan, perkara itu tidak mustahil dapat dilaksanakan.

Kenyatan senada turut diucap beberapa pemimpin BA lain, terutama dari kalangan pemimpin PAS. Dalam keadaan tidak ada langsung kemungkinan ke arah itu yang boleh diharapkan daripada pemimpin BN, tidak ada salahnya rakyat memberi kepercayaan kepada BA pula untuk membuktikan janjinya itu.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons