Isnin, 26 November 2007

Bajet Kelantan 2008: Penjanaan ekonomi pelbagai lapisan rakyat

Sun | Nov 25, 07 | 5:29:06 pm MYT
Kota Bharu, 25 Nov (Hrkh) - "Bajet rakyat" yang menjadi tema Bajet 2008 Bagi Tempoh Penggal Yang Ke Empat Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang ke Sebelas yang dibentangkan hari ini memberi fokus kepada penjanaan ekonomi pelbagai lapisan rakyat, pembinaan insan berteraskan Islam, pembinaan perumahan mampu milik serta pembelaan golongan dhaif dan miskin, orang kurang upaya, anak yatim, armalah dan warga emas.

Bejet tersebut dibentangkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Undangan Negeri Kelantan hari ini pada jam 11 pagi tadi.

Selaras dengan aspirasi rakyat, Bajet Negeri Kelantan 2008 menggariskan beberapa strategi. Antara strategi tersebut ialah memantapkan pendekatan pembangunan yang menyeluruh dan seimbang di antara pembangunan fizikal dan rohani untuk pelbagai lapisan rakyat serta mempertahan dan memacukan pertumbuhan ekonomi negeri yang stabil serta berdaya maju dengan tumpuan kepada program-program bagi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Bajet tersebut juga meneruskan dasar berjimat cermat dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah serta mengembelingkan usaha untuk meningkatkan hasil negeri melalui pemantapan jentera kutipan hasil dan penguatkuasaan.

Selain itu, strategi yang digariskan ialah memantapkan urus tadbir yang baik dengan mengutamakan ketelusan dan kecekapan menerusi pentadbiran yang berlandaskan `Ubudiyyah, Mas̢۪ulliyyah dan Itqan.

Di samping itu, prestasi industri kecil dan sederhana serta peluang-peluang baru dalam sektor pertanian akan ditingkatkan menerusi pelbagai teknik pemodenan.

Jelas Nik Abdul Aziz, belanjawan kali ini adalah penerusan kepada cita-cita dan komitmen kerajaan negeri yang telah dibentuk sejak 17 tahun lalu. Bahkan bajet yang bertemakan bajet rakyat” berhasrat untuk membawa negeri dan rakyat ke satu tahap pembangunan sosio-ekonomi dan pembangunan insan seimbang selaras dengan semangat "Membangun Bersama Islam”.

Beliau memulakan pembentangan dengan mengimbas kembali kata-kata yang pernah diucapkan beliau dalam persidangan Dun pada tahun 1991 yang mana Parlimen dan Dewan Undangan Negeri merupakan tempat untuk memproses pemikiran bagi tujuan mencari jalan, menyediakan perancangan bajet dan tatacara pelaksanaan berasaskan undang-undang yang dicipta Allah.

"Selaku Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, marilah kita satukan pembaharuan azam dan tekad untuk memberi khidmat yang terbaik bagi memenuhi harapan dan amanah rakyat."

"Marilah sama-sama kita berbincang dan berbahas dalam Dewan yang mulia ini dengan penuh adab susila serta memberi cadangan-cadangan yang bernas dan konstruktif bagi memajukan negeri kita yang tercinta ini demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyatnya," katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih dengan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 29 Oktober 2007 dan diharap akan meletakkan satu pancang utama ke arah pembaharuan semangat kerjasama berkonsepkan federalisme.

Dalam ucapan pendahuluannya juga beliau turut menaruh kepercayaan ekonomi negeri Kelantan pada tahun 2008 dijangka kekal selesa walaupun pertumbuhan global dijangka agak sederhana berikutan kesan kenaikan harga minyak, ketegangan geopolitik dan meningkatnya inflasi yang dijangka terus berada di paras sederhana tinggi.

Selain itu katanya, ekonomi negeri Kelantan yang didokong oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan dijangka mampu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri di samping perkembangan positif dalam pelbagai aktiviti pertanian termasuk akuakultur, hortikultur dan ternakan yang dijangka akan mampu meningkatkan pertumbuhan dalam sektor pertanian. - mns

*****.*.**** *

Bajet Perlis 2008 - Kedudukan kewangan negeri makin teruk
Bashir Ishak
Wed | Nov 21, 07 | 2:24:05 pm MYT
KANGAR, Nov (Hrkh) - Bajet 2008 bagi Negeri Perlis yang dibentangkan pagi tadi oleh Menteri Besar, Dato' Seri Shahidan Kassim mempunyai defisit sebanyak RM 60.82 juta.

Keseluruhan bajet yang dibentangkan ialah sebanyak RM278.82 juta, iaitu kenaikan sebanyak 14.82 peratus berbanding tahun 2007 sebanyak RM242.82 juta.

Perbelanjaan mengurus dianggarkan sebanyak RM126.82 juta manakala perbelanjaan pembangunan sebanyak RM152 juta.

Hasil yang dianggarkan bagi negeri Perlis pada tahun 2008 ialah sebanyak RM66 juta yang merangkumi Hasil Cukai sebanyak RM10.24 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM26.64 dan terimaan bukan hasil sebanyak RM29.10 juta.

Dato' Loh Yonn Foo (BN-Titi Tinggi) yang memulakan perbahasan bajet menyentuh tentang kedudukan kewangan negeri Perlis yang mempunyai bebanan hutang yang semakin meningkat.

Katanya, sehingga tahun 2006 hutang Perlis kepada kerajaan pusat adalah berjumlah RM211 juta danjika dicampurkan defisit tahun lalu yang berjumlah RM111 juta ianya berjumlah RM322 juta.

"Mengambilkira jumalh penduduk negeri ini, maka setiap orang kini menanggung hutang lebih kurang RM1070."

"Kerajaan perlu mengambil langkah berjimat cermat. Jangan hanya diukur dari segi perbelanjaan tetapi juga dilihat apa yang telah dicapai," katanya.

Mengulas tentang bajet, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin meminta kerajaan negeri menumpukan usaha untuk menyelesaikan hutang kepada kerajaan pusat.

Beliau yang juga Adun Sanglang mahu kerajaan Perlis yang mengaku mengamalkan as-Sunnah menitikberatkan perkara pembayaran hutang.

Baginya, kaedah "biar berhutang asalkan ada pembangunan" itu tidak boleh diamalkan dan tidak membayar hutang itu bercanggah dengan as-Sunnah.

"Jangan hanya pandai berhutang asalkan ada pembangunan tapi biarlah kurang pembangunan tapi kerjaan juga ada usaha untuk melangsaikan hutang dengan kerajaan pusat", katanya. - mr

*****.*.**** *
Bajet 2008 Pahang defisit RM433 juta selama 10 tahun
Basiron Abdul Wahab
Wed | Nov 21, 07 | 10:53:54 am MYT
"Cadangan Bajet Pahang RM900 juta, Bajet defisit 10 tahun" begitulah antara tajuk utama media arus perdana dalam memperkatakan tentang Bajet 2008 bagi negeri Pahang Darul Makmur yang bentang Menteri Besar Pahang ,Dato' Seri Adnan Yaakub, 16 November lalu.

Seperti bajet-bajet tahun sebelumnya, bajet kali ini turut menjanjikan 'Bintang dan Mahatari' atau janji 'gula-gula' kepada rakyat . Semuanya penuh retorik walaupun ia bernama Bajet berhemah, Bajet penyayang atau apa sahaja nama yang diberi.

Hakikatnya tetap sama, Bejet 2008 adalah bajet defesit, di mana anggaran jumlah pendapatan kerajaan kurang berbanding anggaran perbelanjaan. Itulah hakikat sebenar prestasi kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipersembahkan kepada rakyat Pahang sejak 10 tahun lalu iaitu Bajet defisit!.

Suatu ketika dulu, Adnan Yaakub pernah berkata, bajet defisit ini sebenarnya untuk kesejahteraan rakyat, kerajaan berbelanja lebih untuk memberi keselesaan dan pembangunan kepada rakyat, katanya ketika menolak kritikan PAS bersabit isu bajet defisit.

Sejak sedekad lalu, bajet kerajaan negeri tidak pernah seimbang. Saban tahun kerajaan pimpinan Adnan Yaakub dan Mohd Khalil Yaakub (kini Tun) sebelumnya, tetap gagal meningkatkan pendapatan negeri.

Pahang terpaksa memimjam dari kerajaan Pusat untuk survival pembangunannya, apabila ditegur pembangkang, Adnan bingkas menjawab ia menunjukkan 'orang yakin' dengan Pahang sebab itu beri pinjaman.

Adalah jelas pemimpinnya tidak pernah mengakui kegagalan mereka itu, mereka tetap mendakwa bijak mentadbir negeri!

Bajet 2008 berjumlah RM900.15 juta berbanding pendapatan yang dianggarkan hanya berjumlah RM467.04 juta.

Ini bermakna Defisit Baget 2008 berjumlah RM433.11juta! (fakta yang tidak ditulis oleh media arus perdana dalam laporanya) ia suatu angka defisit yang sangat besar dalam sejarah Bajet negeri Pahang.

Pada tahun 2006 defisit Pahang hanya berjumlah RM183.08 juta sahaja. Pada 2007 defisit bajet berjumlah RM395.14 ia meningkat sebanyak RM37.92juta pada baget 2008 menjadikan jumlahnya RM433.11 juta.

Hasil negeri yang dianggarkan berjumlah RM467 juta itu tidak mempu menanggung perbelanjaan mengurus berjumlah RM517.41 juta manakala anggaran peruntukan pembangunan pula berjumlah RM382.74 juta kurang RM47.6 juta berbanding baget 2007.

Rakyat yang memberi kuasa kepada BN sepatutnya bersikap kritikal dan mempersolkan kenapa defisit bajet Pahang teurs meningkat. Rakyat harus memberi perhatian dan mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri menambah pendapatan sedangkan masa yang beri rakyat kepada BN untuk memerintah sudah 50 tahun, suatu jangka masa yang lama untuk mereka merangcang dan menjayakan segala perangcangan jangka panjang dan pendek.

Sumber pendapatan utama kerajaan negeri ialah daripada hasil Tanah (RM 170juta), Air (RM98.7) perhutanan (RM88.7juta) , Geran persekutuan (RM60juta) dan lain-lain (RM49 juta).

Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya menegur kegagalan kerajaan negeri menjana sumber pendapatan baru menyebabkan negeri terus mengalami Bajet defisit selama 10 tahun berturut-turut.

Walaupun pada setiap kali Bajet dibentangkan, ia dikatakan Bajet berhemah, tetapi hakikatnya ia tidak mengubah keadaan malah jumlah defisitnya kian melebar.

Kerajaan tidak boleh menyalahkan kenaikan gaji kakitangannya menyebabkan defisit semakin besar kerana kenaikan gaji kakitangan awam adalah sesuai dengan peningkatan sara hidup dan pembangunan negara di mana sepatutnya pendapatan kerajaan turut meningkat.

Apa yang berlaku adalah berpunca daripada kegagalan perancangan kerajaan selama 50 tahun pemerintahannya. Dalam tempoh itu agensi kerajaan negeri yang diwujudkan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan tidak beroperasi sebagaimana perancangan malah menjadi beban kepada kerajaan pula.

Sebutlah apa nama agensi kerajaan negeri seperti LKPP, PKNP, Mentiga,ASPA, Pahang simen, KUMIPA dan sebagainya semua berniaga ibarat 'buluh kasap' belaka.

Kata Tuan Ibrahim, dalam Bajet 2008 menyaksikan kerajaan mengurangkan peruntukan pembangunan daripada RM430.34 juta dalam bajet 2007 kepada RM382.74juta. Pengurangan berjumlah RM47.16 juta itu, sudah tentu memberi kesan terhadap rakyat sedangkan pada masa sama kos pengurusan negeri meningkat sebanyak 13.4 peratus atau RM 53.08 juta.

"Kos pengurusan meningkat sedangkan projek pembangunan berkurangan, ia menjadikan keadaan semakin tidak seimbang, ini membuatkan kerajaan seolah-olah berbelanja lebih sedang projek tidak ada," ujarnya.

Rakyat, kata beliau perlu bersikap kritikal terhadap kepimpinan BN ini, mereka sebenarnya telah lama mentadbir justeru rakyat memerlukan nakhoda baru untuk memakmurkan negeri Pahang Darulmakmur. - mks.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons