Rabu, 28 November 2007

Tahanan ISA yang diseksa boleh saman polis - Suhakam

Intan Abdullah | Foto Nasir Sudin
Wed | Nov 28, 07 | 3:44:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Khalid Ibrahim menyatakan kehairanan terhadap tindakan bekas tahanan ISA, Abdul Malek Husin yang memenangi kes samannya terhadap kerajaan yang bernilai RM2.5 juta sebelum ini, apabila beliau tidak mengemukakan saman terhadap polis.

"Dalam kes Malek Husin, beliau sepatutnya mengenakan tindakan undang-undang kepada pihak polis jika beliau mempunyai maklumat yang lengkap mengenai salah guna kuasa polis dalam menjalankan siasatan," ujarnya dalam pertemuan Suhakam bersama wakil Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di pejabat Suhakam, Jalan Raja Laut hari ini.

Nenurutnya, pihak yang ditahan wajar menjadikan kes Malek sebagai satu panduan dalam mengemukakan tuntutan dan tindakan undang-undang ke atas pihak berkuasa.

ImageDalam majlis yang sama juga, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim turut menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Suhakam tersebut.

GMI menggesa agar pihak Suhakam mengadakan kuasa yang dimilikinya untuk memulakan siasatan tentang bilik tahanan dan juga bilik siksaan termasuk keadaannya serta polisi yang membenarkan seksaan tersebut berlaku.

Menjawab permintaan tersebut, Khalid berkata pihaknya tidak pernah melihat apatah lagi memasuki bilik seksaan yang dimaksudkan.

"Saya belum pernah menyaksikan 'real' seksaan yang dilaporkan oleh tahanan dan keluarga mereka kerana kami menghadapi kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai lokasi ia dijalankan," demikian katanya.

Beliau turut maklum akan situasi bahawa sesetengah tahanan ISA ditutup matanya dan dibawa ke tempat yang tidak diketahui untuk disoal siasat.

Dalam pada itu ujarnya, Suhakam juga tidak mempunyai bukti yang sah untuk mendakwa pihak polis yang terbabit dalam seksaan kepada tahanan.

"Apa yang kita semua sedia maklum, di negara kita ini biasanya pihak yang menjadi mangsa sahaja yang diberi perhatian tidak kiralah untuk menuduh ataupun bersimpati. Akibatnya pihak yang bersalah tidak disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang," tegasnya.

Beliau juga bersetuju dengan syor GMI dan Suhakam sebelum ini untuk menghapuskan ISA.

"Kalau tidak dapat hapuskan sekalipun, kerajaan wajar mewujudkan mekanisme tertentu untuk mengadakan semakan kehakiman terhadap penahanan pihak yang ditangkap, bukan menafikan terus hak mereka untuk dibicarakan," jelasnya. Sem

entara itu, Khalid turut mengulas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini yang menyatakan bahawa ISA adalah satu tindakan pencegahan untuk memelihara negara serta akan terus digunakan pada masa akan datang, disifatkan beliau hanya memikirkan soal keselamatan negara sehingga melupakan tentang kebebasan hak asasi manusia.

Image"Walaupun ISA digunakan sebagai akta pelindung atau preventive tetapi ia tidak boleh bercanggah dengan hak asasi manusia," katanya sebagai maklumbalas kepada soalan yang diajukan oleh wakil GMI.

Khalid juga menyatakan kebimbangan terhadap perlaksanaan ISA yang telah menyebabkan banyak pihak mengalami penderitaan yang sekaligus menjejaskan hak asasi setiap rakyat di negara ini.

"Adalah tidak wajar apabila keluarga tahanan diganggu ketika lawatan diadakan di kem tahanan. Malahan tindakan pihak penjara menggunakan interkom untuk kemudahan pelawat di kem adalah tidak sewajarnya berlaku," demikian respon beliau kepada salah sorang isteri tahanan ISA yang hadir.

Antara lain, memorandum tersebut memuatkan gesaan Suhakam bahawa dalam pendakwaan yang memalukan terhadap Polis dan Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Rahim Noor (dan kerajaan), Hakim mendapati Malek Husin telah mengalami penderitaan dan terpaksa melalui pelbagai situasi semasa dalam tahanan polis.

Malek mendakwa bahawa tangkapan dan penahanan telah dilakukan dengan niat jahat, apatah lagi beliau dinafikan daripada menghubungi peguamnya.

Beliau juga turut dibogelkan dalam bilik berhawa dingin, ditutup matanya ketika disoalsiasat. Selain itu, Malek telah diserang sehinga 60 kali, didera secara seksual, dipukul hingga pengsan, dipaksa minum air kencing dan air yang tengik.

Beliau turut diugut untuk diapa-apakan isteri dan keluarga sekiranya beliau mengambil tindakan undang-undang dengan melaporkan pengalaman pahit beliau semasa dalam tahanan.

Dalam memorandum yang dikemukakan tersebut, Syed Ibrahim memaklumkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi, yang Arif Dato' Mohd Hishamudin Mohd Yunus telah membuat penemuan yang memerlukan perhatian dan tindakan susulan pihak Suhakam.

Ia merangkumi kewujudan 'bilik-bilik siksaan' dan keperluan Suhakam untuk membuat siasatan lanjut, serta tindakan penyeksaan yang dilakukan oleh kakitangan polis tetapi tidak dihukum.

Sementara itu, menurut Menteri Keselamatan Dalam Negeri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang dewan rakyat 21 November lalu, sehingga 29 Ogos 2007, terdapat 74 orang yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting, Perak. - mr

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons