Sentimen Umno parti tidak bermoral merebak di mana-mana
Dr Mahathir Mohamad
Sat | Oct 25, 08 | 3:36:02 am MYT
Saya mendapat banyak laporan berkenaan dengan politik wang dalam Umno. Demikianlah keadaan sehingga Dato' Seri Dr Rais Yatim mencadang secara sinis supaya jawatan-jawatan Majlis Tertinggi ditender. Dato' Seri Shahidan Kassim amat marah dan akan tender sebanyak RM1 untuk Rais. Bila makan cili rasa pedas.
Iklan
Saya diberi tahu wang banyak digunakan. Dahulu cuma ketua pemuda bahagian sahaja dapat. Ini menyebabkan pemegang jawatan lain dalam pergerakan enggan bekerjasama. Sekarang semua mendapat sogokan dan hasilnya amat memuaskan bagi penyogok.
Ketua-ketua Bahagian dan ahli jawatankuasa juga dijemput ke Kuala Lumpur untuk berjumpa orang tertentu. Mereka di arah supaya mencalonkan orang-orang tertentu untuk Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi. Juga pencalonan Ketua Pemuda. Berkesan atau tidak akan kita lihat daripada pencalonan yang dibuat.
Tetapi cawangan dan ahli biasa pun sudah pandai. Mereka menawarkan sokongan mereka jika sekian-sekian banyak dihulur.
Mereka yang menang boleh jadi Yang Berhormat, ahli Exco, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, pengerusi syarikat-syarikat Kerajaan dan juga dapat kontrak berjuta Ringgit.
Ahli biasa yang memberi sokongan dengan undi mereka dapat apa? Dengan kesedaran akan soal ini maka penyokong dan pengundi pula berpendapat mereka juga harus dapat nikmat daripada pemberian undi mereka. Maka mereka akan menunggu sogokan sebelum memberi undi mereka.
Amalan rasuah dalam Umno di semua peringkat sudah menjadi buah mulut orang ramai. Mereka jelek dan muak dengan Umno, orang Umno dan pemimpin Umno. Perasaan benci kepada Umno sebagai parti yang tidak bermoral merebak ke merata-rata tempat.
Orang ramai melihat Umno sebagai parti pimpinan orang-orang yang berkepentingan diri semata-mata. Dari cawangan sehinggalah kepada pucuk pimpinan yang diutamakan ialah jawatan dan peluang memain kuasa dan buat duit apabila memegang jawatan.
Dalam pilihan raya umum 2004, rakyat memberi sokongan padu kepada BN. Ini adalah kerana rakyat percaya benar yang kepimpinan baru Umno dan Barisan Nasional akan menjadi lebih baik daripada yang terdahulu.
Antara 2004 dengan 2008 mereka dapat lihat pemerintahan Abdullah dengan rasuah yang berleluasa dan keruntuhan ekonomi. Mereka juga lihat peranan yang dimainkan oleh keluarganya dan kroni mereka dan juga sikap ahli-ahli kabinet. Apa yang mereka lihat meyakinkan mereka bahawa pemerintahan ini tidak baik. Hasilnya ialah keputusan pilihan raya ke-12.
Mereka kecewa bahawa Abdullah bukan sahaja tidak membetulkan keadaan tetapi sebaliknya menafikan kekalahan dan penolakan oleh pengundi, termasuk yang terdiri daripada ahli-ahli dan penyokong Umno dan lain-lain parti komponen.
Saya percaya orang ramai amat kecewa melihat mainan wang dalam Umno sekarang. Wang akan mengalir dengan banyak dan laju semasa dan selepas pencalonan. Rumah terbuka oleh kementerian sedang diadakan dengan menggunakan duit Kementerian. Semasa rumah terbuka kempen untuk pencalonan diadakan.
Menjelang pemilihan bulan Mac 2009 lebih banyak lagi acara dan sogokan boleh diadakan. Kemuncak akan tiba apabila wakil ke Mesyuarat Agung tiba di Kuala Lumpur untuk bersidang.
Kata orang melihat kepada jawatan-jawatan yang dipertandingkan tiap seorang wakil boleh dapat hingga RM20,000.
Ada yang berpendapat tidak apa menerima sogokan tetapi tidak semestinya mengundi penyogok. Jangan percaya iman penerima begitu kuat sehingga tidak merasa terhutang budi. Lagipun duit yang diterima adalah duit haram. Yang menerima akan menanggung dosa.
Terimalah. Pedulikan jika semua orang tahu. Apa salahnya. Dosa, dosalah. Tetapi seperti disebut di atas apabila pengundi pilihanraya umum sudah benci dan bosan dengan Umno mereka akan undi parti lawan untuk kalahkan Umno. Selepas kalah tidak ada lagi jawatan Perdana Menteri, Menteri dan lain-lain. Tidak akan ada lagi kontrak, AP dan lesen.Tidak akan ada lagi nikmat! Semua pihak akan merana, akan dihina oleh orang. Dan Umno akan habis riwayatnya. Mereka yang betul-betul sayang kepada Umno akan kutuk pemimpin dan ahli Umno.
Inilah akhirnya musibah yang akan diterima kerana tamak, kerana rasuah di kalangan pemimpin dan ahli Umno.- www.chedet.com_
Sabtu, 25 Oktober 2008
Sentimen Umno parti tidak bermoral merebak di mana-mana
Sabtu, Oktober 25, 2008
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan