Ahad, 19 Oktober 2008

Hiburan bercorak negatif dikawal

Oleh Izwan Abdul Halim

PENDANG: Program Citra Aidil Fitri anjuran Sekolah Rendah Islam Sri
Nur dengan kerjasama Majlis Daerah Pendang bakal menjadi model kepada
penganjuran aktiviti hiburan di negeri ini.

Program tersebut yang diadakan di Stadium Mini Pendang, 11 Oktober
lalu itu berkonsepkan konsert mini dengan menampilkan ikon baru nasyid
iaitu Juara Akademi Nasyid TV9, Azhan Atan dan artis nasyid popular
remaja, kumpulan UNIC serta persembahan marhaban.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Kesenian Dan
Warisan, Kebudayaan Negeri, YB Dr Haji Hamdan Mohamed Khalib dalam
ucapan perasmiannya menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri pada masa ini
masih menangguhkan pemberian permit terhadap penganjuran hiburan
terbuka di negeri Kedah.

Pun begitu katanya, permit boleh dipohon dengan kebenaran bersyarat
daripada Kerajaan Negeri.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri tidak bermaksud menyekat aktiviti
hiburan di negeri ini, cuma ianya bertujuan mengawal pengaruh negatif
hiburan hingga memesongan kehidupan muda-mudi di negeri ini.

Maklumnya lagi, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan garis panduan
pengurusan program hiburan tidak lama lagi.

"Dasar kebudayaan dan garis panduan hiburan sedia ada misalnya dari
Jakim dan Kerajaan Kelantan, bahkan negeri Kedah sendiri mampu untuk
mengawal hiburan-hiburan melampau tetapi ianya tidak dilaksanakan,"
katanya menerangkan permasalahan tersebut

Menyentuh kebudayaan pelbagai kaum di negara ini, menurutnya, tidak
ada budaya kaum di dalam negara ini mahu menjurus kepada perkara
negatif.

Oleh itu beliau melahirkan harapan agar kebudayaan kaum dalam negeri
ini disuburkan sebaiknya. Malah katanya, banyak kebudayaan kaum lain
yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Hadir sama pada program tersebut ialah Ahli Parlimen Pendang, YB Dr
Haji Mohd Hayati Othman dan Pegawai Daerah Pendang, Tuan Haji Harun
Jasin.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons