Selasa, 10 Jun 2008

Potongan elaun bersifat 'kosmetik', pujuk hati rakyat

Azamin Amin Tue Jun 10, 08 10:57:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Pemotongan elaun keraian menteri kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam dilihat bersifat kosmetik dan sekadar memujuk hati rakyat yang semakin resah serta kecewa dengan tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel baru-baru ini.
Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli berkata pemotongan itu tidak langsung memberi kesan besar dalam menangani masalah rakyat yang semakin dibebani dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
"Secara kosmetiknya ianya menjadi tauladan dan kita mengalu-alukan. Namun tindakan memotong hanya beberapa kerat elaun keraian menteri ini tidak memberi kesan besar kepada perbelanjaan negara dan membantu nasib rakyat jelata.
"Kita tidak tahu berapa gaji dan elaun keraian mereka, malah 10 peratus hanyalah bahagian kecil sahaja. Ini sekadar nak memujuk hati seolah-olah mereka sangat memahami penderitaan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily bagi meminta respon segera berhubung isu terbabit.
Ketika ini, elaun keraian bulanan bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).
Hatta memberitahu bahawa kerajaan perlu merangka secara sistematik dan lebih terperinci langkah-langkah drastik yang membolehkan negara dapat menguruskan perbelanjaan yang tidak menekan hidup rakyat.
Antaranya mengelakkan berlakunya gejala rasuah di peringkat tertinggi dan yang melibatkan projek-projek kerajaan yang menyebabkan peningkatan kos pembangunan negara yang akhirnya mengakibatkan rakyat yang menanggungkan kesannya.
"Kerajaan mesti memperkemaskinikan penguatkuasaan agensi Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana banyak wang rakyat hilang akibat rasuah," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Kerajaan katanya perlu menganalisa kembali projek mega dan koridor yang tidak banyak membantu rakyat dalam jangka masa terdekat ini malah penggunaan duit rakyat secara boros dan membazir selama ini perlu didedahkan dan dikenakan tindakan
"Akibat ketidakcekapan kerajaan menguruskan wang rakyat dan membazir sekian lama, kini kita mendapat balasannya (kesan naik harga minyak) sekarang," katanya yang juga merupakan Penyelaras Protes yang akan mengadakan perhimpunan besar-besaran rakyat pada 12 Julai ini bagi membantah kenaikan harga minyak.-az/mks. _

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons