Khamis, 13 Disember 2007

Umno dan Israel sama-sama menindas golongan marhaien

Umno dan Israel sama-sama menindas golongan marhaien
Oleh HermanSamsudeen

Sungguh melucukan bila mana membaca lawak jenaka Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Siva Murugan yang cuba membela Umno dan mendakwa bahawa Demonstrasi Pemuda UMNO dan Hindraf adalah tidak sama.



Dalam komentar beliau yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia pada 11 Disember, yang bertajuk “Demonstrasi Pemuda UMNO, Hindraf tidak sama“, beliau akhirnya secara spontan mengakui juga bahawa kedua-dua kelompok ini berbeza memang ideologi tetapi mempunyai persamaan dalam memperjuangkan isu penindasan kaum. Dalam erti kata lain, tajuk berita Utusan itu perlu ditukar kepada “Umno dan Hindraf punyai persamaan dalam perjuangan mereka”.

“Isu yang diperjuangkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO dan Hindraf adalah jauh berbeza. Nyata sekali kepada orang ramai bahawa kedua-duanya membawa ideologi berbeza walaupun pada dasarnya melaungkan mengenai penindasan terhadap sesuatu kaum,” kata Dr. siva.

Hakikatnya, kedua-dua kelompok ini berjuang atas dasar perkauman dan itulah yang sebenarnya cuba diungkapkan oleh Dr. Siva.

Dari sisi pandangan yang ketiga kenyataan itu juga boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan terhadap dakwaan Hindraf bahawa wujudnya penindasan Kaum India dinegara ini oleh Kerajaan Umno-BN.



Jika dikenangkan kembali, pada 28 Julai 2006 yang lalu Pemuda Umno telah berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice yang menghadiri Forum Serantau ASEAN (ARF) atas isu keganasan Israel di Palestine dan Jordan.

Dua hari Sebelum itu, iaitu pada 26 Julai Pergerakan Pemuda UMNO Perak telah bertindak ekstrim dengan membakar bendera Israel dan Amerika Syarikat (AS) di perkarangan Dataran Bangunan UMNO Perak sebagai tanda bantahan terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin dan Lebanon.
Dalam kedua-dua demontrasi ini tiada sebarang gas pemedih mata dan tiada seorang pun pemimpin pemuda Umno yang ditahan.



Jika dilihat pada perhimpunan Hindraf pada 25 November 2007, mereka juga berhimpun untuk menyampaikan memorandum kepada Kerajaan Britain melalui pejabat kedutaannya di Jalan Ampang. Memorandum itu sebenarnya, khusus untuk melaporkan ketidakadilan Kerajaan Umno-BN dalam melayani kaum India dinegara ini. Mereka juga mendakwa kaum India di Malaysia tertindas dengan beberapa dasar Kerajaan yang tidak memihak kepada mereka termasuklah dalam soal pemberian kontrak-kontrak kerajaan dan soal pembelian hartanah.

Walaubagaimana pun sambutan yang diberikan oleh pihak Polis cukup berbeza. Mereka tidak diberi permit walaupun telah memohon lebih awal. Mereka juga ditembak dengan gas pemedih mata, cecair kimia dari water canon, dan ada juga yang dipukul. Ekoran dari itu, penyokong-penyokong Hindraf terpaksa bertindak balas dengan membaling batu ke arah polis. Jika dilihat pada rakaman video dan gambar yang tersiar di media mereka membaling batu ke arah Polis yang diperkuda oleh BN sama seperti kanak-kanak palestine membaling batu kepada tentera Israel.

Walaupun perjuangan mereka tidak sesuai dipadankan dengan perjuangan umat Palestine, namun dari segi soal layanan hak asasi dan kemanusian, di situ ada persamaannya.

Pemuda Umno yang bangga mendakwa perhimpunan mereka tahun lepas sebagai lambang kebersamaan dengan Palestine sebenar sedang memanipulasikan minda rakyat. Rakyat Malaysia tetap tidak akan lupa dengan peristiwa naiknya bendera haram Israel dihadapan Bangunan Umno di PWTC pada Disember 2005 sempena Forum keamanan sejagat yang mana wakil Israel dan Palestine turut dijemput sekali.



Tidak cukup dengan itu, rakyat Malaysia juga tidak lupa dengan tindakan Menteri Luar Palestin, Mahmoud Zahar (Hamas) yang memboikot suatu program yang diatur kerajaan Malaysia sempena persidangan khas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada Mei 2006, iaitu setelah Kerajaan Umno-BN mengiktiraf kehadiran wakil Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Farrouk Khadoumi. Farrouk bukanlah wakil Palestine yang sah, tetapi beliau diberikan ruang yang luas bagi mewakili Palestine dan berucap dalam persidangan itu. Walaupun pihak Kerajaan mengetahui bahawa Mahmoud adalah wakil sah Palestine, namun kehadiran beliau langsung tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.




Kedua-dua insiden in sudah cukup membuktikan bahawa Kerajaan Umno-BN sebenarnya tidak ikhlas dalam memperjuangkan Palestine. Tindakan mereka membakar bendera Israel dan Amerika adalah satu lakonan semata kerana selepas itu, Pak Lah boleh pula bersalaman dan mendengar alunan muzik piano yang dimainkan oleh Condoleezza Rice sempena makan malam Forum Serantau ASEAN (ARF). Pak Lah juga menjalinkan hubungan yang akrab dengan penjenayah dunia iaitu, Presiden Bush.



Sehingga kini, Kerajaan juga masih cuba menafikan bahawa Malaysia langsung tidak menjalankan hubungan dagang dengan Israel. Hakikatnya, pelabur-pelabur dalam industri elektrik dan elektronik di Malaysia mengimport berjuta-juta komponen elektrik dari Israel. Hubungan dagang Israel Malaysia juga turut dibincangkan dalam FTA Amerika - Malaysia.

Sesungguhnya lawak Pemuda Umno tidaklah begitu kelakar. Mereka tidak layak untuk mengiktiraf mereka sebagai pendokong perjuangan Palestine. Malah mereka lebih buruk lagi dari apa yang Hindraf lakukan. Jika Hindraf didakwa cuba mencetuskan permusuhan dan masalah perkauman antara India dan Melayu, Umno pula sebenarnya telah lama membakar api permusuhan dengan Kaum India, Cina dan paling penting adalah Kaum Melayu sendiri.

Umno gagal memberikan kesamarataan dan keadilan kepada semua rakyat. Mereka turut menyapu bersih peruntukan Hak Istimewa Orang Melayu ke dalam Poket pemimpin mereka. Duit PPRT yang sepatutnya diberikan kepada orang-orang miskin juga ‘dicuri’ mereka. Maka terpaksalah rakyat-rakyat marhaien ini terus menerus tinggal dipondok-pondok buruk mereka walaupun telah 50 tahun memangkah BN.


Walaupun ramai lagi orang India yang miskin namun, pemimpin-pemimpin MIC hanya berdiam diri kerana mereka telah diberikan banyak habuan melalui projek-projek JKR termasuklah dalam pembinaan jalan-jalan raya diseluruh negara. Sothinathan, K. Devamany dan Kayveas pernah bersuara untuk menuntut keadilan bagi kaum India, namun akhirnya mereka dipanggil oleh Najib dan didesak untuk menarik semua kenyataan-kenyataan mereka yang kononnya kontradik dengan semangat BN.

Pemimpin Cina melalui MIC dan Gerakan pula enggan menentang Umno kerana mereka juga telah banyak terhutang budi dengan Umno yang memberikan banyak sokongan kepada pengusaha-pengusaha sektor perindustrian yang dikuasai oleh kaum cina yang menaja mereka di musim pilihanraya.

Yang tinggal kini hanyalah rakyat marhaien yang tertindas angkara ketamakan mereka semua. Kebangkitan Hindraf adalah suatu malapetaka bagi Umno. Dan sinonimnya perjuangan mereka tetap tidak akan membawa apa-apa makna selagi mana Umno-BN masih memerintah negara ini.

Jadi terpulanglah pada rakyat untuk menentukan cara mana undi mereka akan dibawa pada Pilihanraya akan datang. Sesungguhnya pelanduk yang berotak kecil itu pun tidak akan masuk perangkap untuk kali kedua. Maka, orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia tidak selayaknya disamakan dengan binatang walaupun ianya sekadar sang kancil kerana kita lebih baik dari itu dalam menilai mana yang benar dan salah.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons