Posted on Monday, December 10 @ 02:55:45 EST by reformis
Minda Lutfi Oleh Ahmad Lutfi Othman
Saya dimaklumkan oleh seorang sahabat di Shah Alam jam 3.24 petang tadi bahawa Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu ditahan polis semasa beliau dan rombongannya menguruskan hal perkahwinan anak perempuannya dekat Ipoh Perak.
Oleh kerana saya ketika itu dalam satu pertemuan penting di Bangi, saya mohon wartawan Harakah, Intan Fadzilah untuk menghubungi beberapa orang tertentu, khususnya yang bersama Mat Sabu ketika beliau ditahan polis. Pelik juga memikirkan mengapa polis membuat keputusan untuk menahan Mat Sabu dalam satu situasi yang saya kira boleh menyulitkan pihak keselamatan sendiri.
Sebelum itu, pada sebelah tengahari Intan memaklumkan kepada saya beberapa peserta perarakan aman sempena Hari Hak Asasi manusia, membabitkan para peguam dan aktivis sosial-politik, turut ditahan polis. Dari Kuala Terengganu, wakil Harakah, Awang Harun melaporkan dua orang awam yang ditembak polis menggunakan peluru hidup dalam tragedi berdarah di Batu Burok tidak dibenarkan ikat jamin atas kes menganggu kerja-kerja polis, dan Peguam Negara sendiri turun ke sana bagi mengetuai pasukan pendakwaan.
Menjelang Maghrib, Bakaqhak menelefon minta sahkan benarkah Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua turut ditahan. Segera saya melayari laman web parti berkenaan. Ya, sah aktivis tahan lasak itu ditangkap polis di Johor Bahru dan kemudiannya dihantar ke Kuala Lumpur. Turut ditahan ialah beberapa anggota Unit Amal yang juga mungkin dikaitkan dengan perhimpunan Bersih, 10 November lalu.
Sebelum itu, Intan ada memberitahu saya: "Hari ini agak istimewa. Kita merayakan Hari Hak Asasi Sedunia yang akan disambut secara rasmi esok, 10 Disember, tetapi pada hari ini juga berlaku beberapa insiden penangkapan terhadap mereka yang terbabit dengan perhimpunan aman. Bukankah ia berkait langsung dengan kebebasan bersuara, yakni salah satu hak asasi yang menjadi tuntutan bersama."
Memang ironis, dan saya kira kerajaan dan pihak polis pasti menyedari implikasi daripada penahanan itu. Malah, mungkin polis dan kerajaan mahu menunjukkan bahawa mereka masih berkuasa di negara ini, bukan sekadar boleh menggertak "saya pantang dicabar".
Misalnya, mengapa perlu Mat Sabu ditangkap ketika beliau bersama rombongannya bagi menguruskan hal-hal yang terlalu bersifat kekeluargaan? Saya pasti Mat Sabu kebelakangan ini sibuk untuk memastikan urusan kenduri anak sulungnya itu berjalan lancar, dan ia tidak ada kena-mengena langsung dengan politik. Lagipun, isu semasa yang disibukkan sangat dua tiga hari ini ialah berkaitan Hindraf, yang mana pimpinan PAS sama sekali tidak terbabit dengannya.
Mungkin hasrat Bersih untuk menganjurkan satu perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen, 12 Disember cukup menggusarkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi? Di peringkat awal, saya tertanya-tanya juga, apakah pihak penganjur mahu menggemblengkan tenaga dan kekuatan seperti perhimpunan di Istana Negara tempoh hari.
"Taklah besar kali ini," SMS Mat Sabu menjawab pertanyaan saya. Semasa mengadakan wawancara dengannya untuk Harakah beberapa minggu lalu, beliau menjelaskan bahawa tidak mudah untuk menghimpunkan hampir 100,000 orang dalam perarakan raksasa Bersih itu, malah ia memerlukan masa yang cukup panjang dan fokus kerja yang agak kompleks. Apatah lagi isu berkaitan tuntutan pilihan raya bersih dan adil bukannya perkara baru, selain begitu sukar untuk membangkitkan sentimen, tidak sepertimana isu-isu keagamaan yang sering diperjuangkan PAS.
WWW.DETIKDAILY.NET
Isnin, 10 Disember 2007
Mengapa perlu Mat Sabu ditangkap dengan kaedah itu ...
Isnin, Disember 10, 2007
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan