Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Para pemuda Islam perlu memahami bahawa musuh-musuh Islam sentiasa mencipta pelbagai fasa baru setiap kali mereka gagal menyekat kebangkitan Islam, demikian intipati penting dipertegaskan Naib Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.
Musuh Islam pernah menjajah negara umat Islam, menghapuskan generasi Islam dan menciptakan rasa takut manusia kepada Islam. Di sebahagian negara Islam, mereka meruntuhkan masjid-masjid, membakar kitab suci dan membunuh orang yang mengaku Islam. Perkara demikian pernah berlaku kepada umat Islam di negeri Balkan.
“Musuh tidak menjangka benih Islam akan muncul kembali. Setelah lebih 80 tahun mereka cuba menghapuskan benih-benih Islam, tetapi seperti kemarau yang lama, tidak ada manusia menjangka ada pokok boleh tumbuh semula. Tetapi bila turun hujan, tumbuhlah benih-benih yang tertanam lama dalam tanah,” demikian ibarat dinyatakan beliau.
Menurutnya, dalam gelombang kedua dilancarkan musuh Islam, mereka cuba memisahkan Islam dari cabang kehidupan lain dan diikuti gerakan penerapan Islamisasi. Hinggalah musuh Islam mencipta tragedi besar 11 September yang memomokkan Islam sebagai ekstrim lalu memangsakan gerakan Islam di seluruh dunia.
Demikian itu katanya, popularlah istilah Islamophobia dan timbul cadangan ‘Islam Sederhana’ termasuk dari kalangan pemimpin beragama Islam. Gagasan ‘Islam Sederhana’ itulah sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak pada persidangan dunia baru-baru ini yang hakikatnya hanyalah menepati kehendak musuh-musuh Islam.
Dedah Tuan Ibrahim, itulah sebenarnya Islam tanpa siasah dan ia akan menjelmakan Islam dalam bentuk gerakan tasauf dan tarikat lalu mengenepikan jihad.
Katanya, akan muncul juga seperti cendawan seperti hujan iaitu gerakan-gerakan dakwah atas nama Islam tetapi membuang siasah dari urusan mereka serta mereka diberi pembiayaan dan layanan sebaiknya dari pemerintah.
“Uthman al-Affan pernah menyebut kalimah penting bahawa mana-mana perintah Allah dalam al-Quran yang tidak boleh disempurnakan dengan al-Quran al-karim, kita akan sempurnakan dengan kuasa siasah demi menyempurnakan perintah Allah tersebut.
“Di dalam al-Quran, Islam itu sempurna, tetapi dalam menyempurnakan perintah Allah di dalam Quran, ada yang berhajat kepada elemen siasah dan kekuasaan.
“Sebahagian perintah Allah tidak berhajat kepada elemen ini seperti berzikir, tanpa perjuangan politik umat tetap boleh berzikir. Tetapi di sana ada perintah yang memerlukan elemen siasah seperti pengharaman judi,” terang beliau menegaskan kepentingan siasah.
Pada ketika sedemikian ujarnya, gerakan dakwah akan dilayan dengan sangat baik termasuk dari kuasa besar dunia. Manakala gerakan Islam sebenar akan dianggap sebagai ekstrimis.
Sehubungan itu, amat penting membina kesedaran dan tanggung jawab umat Islam kepada Islam itu sendiri.
Menghadapi realiti dan cabaran yang bakal dihadapi, para pemuda seru beliau, perlu bertindak dengan tepat supaya tindakan itu bukan sahaja menggambarkan kecantikan Islam, tetapi menghindarkan fitnah kepada Islam.
Pemuda PAS katanya, perlu jauh berbeza dengan pemuda lain di mana emosi diri diseimbangkan dengan ilmu.
Pemuda juga perlu sentiasa mencari jalan untuk dekatkan masyarakat kepada Islam di saat musuh akan sentiasa mencari jalan untuk cabut kekuatan akar umbi Islam iaitulah siasah. Sedang, roh kekuatan Islam ada pada siasah.
Jelas Tuan Ibrahim, kekuatan lisanul hal adalah lebih berkesan kerana tingkah laku lebih mudah difahami dari perkataan. Kerana ituIah sebab PAS perlu menang supaya Islam dapat diterjemahkan dalam bentuk dan rupa.
Juga katanya, menghindarkan dari segala bentuk gangguan sepertimana yang dihadapi oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat ketika ini. Hal sedemikian ujarnya sama sepertimana berlaku apabila Islam menang di Madinah.
“Sepertimana hilangnya gangguan setelah Islam menguasai Makkah, seperti itulah diharap apabila Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya,” ujarnya mengaitkan peristiwa Fathu Makkah.
Beliau juga menyeru pemuda terus menyampaikan khabar berita gembira kepada masyarakat berhubung tawaran yang lebih baik akan diberikan PAS apabila memerintah.
Jumaat, 8 Oktober 2010
MEMAHAMI REALITI CABARAN KEPADA ISLAM
Jumaat, Oktober 08, 2010
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan