Jumaat, 8 Oktober 2010

FORUM IJTIMAK TARBAWI PEMUDA PAS PUSAT

Oleh IZWAN ABDUL HALIM


izwan@harakah.net.my

Tarbiyah merupakan elemen penting yang menjana kekuatan perjuangan PAS. Pelaksanaan tarbiyah itu sendiri menjadi penekanan kepada setiap anggota parti dalam memenuhi tuntutan pelaksanaan gerakerja di dalam PAS menuju cita-cita memartabatkan Islam. Pun begitu, mehnah dan tribulasi tidak terhad datangnya daripada musuh Islam semata-mata. Anasir-anasir yang tidak diundang sentiasa berlegar mempengaruhi kemurnian tarbiyah. Ikuti ringkasan kupasan oleh ahli panel Forum Tarbawi pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Rusila, Terengganu baru-baru ini.

Jantung Gerakan

Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor pernah berkata bahawa perjuangan PAS bukan untuk mencari kebenaran tetapi perjuangan PAS adalah untuk mengangkat kebenaran bagi diletakkan ditempat yang selayaknya.

Oleh itu, kewajipan besar ahli PAS adalah untuk mengangkat Islam ke kedudukan selayaknya.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya selaku panelis pertama, usaha itu bermula dengan taklim, diikuti tarbiyah dan seterusnya harakah.

“Bermula dari taklim (keilmuan) diikuti tarbiyah, yakni mendarah dagingkan ilmu yang dipelajari ke dalam diri. Diikuti harakah yakni jihad, di mana orang berilmu, yang ilmu itu berakar dalam jiwanya tidak akan boleh duduk diam dengan ilmunya melainkan dia bergerak dan bekerja. Itulah jihad,” ujar beliau menjelaskan.

Katanya, apabila dibicarakan soal ilmu, sememangnya PAS adalah parti yang memberi penekanan mengenai ilmu di mana PAS itu sendiri adalah medan menuntut ilmu. Pun begitu, soal tarbiyah masih lagi tidak dilaksanakan sebaiknya.

Jelas Ahmad, sekiranya ilmu menjadi akal dan otak kepada jamaah, maka tarbiyah adalah jantung gerakan.

“Dalam dunia hari ini umum paling takut dengan penyakit jantung. Jantung sangat istimewa, kita berjalan dia berjalan, kita duduk dia berjalan, kita tidur dia berjalan, bila dia berhenti berjalan, kita ‘jalan’ (mati),” ujarnya simbolik.

Untuk itu katanya, jika jantung gerakan ini adalah tarbiyah, maka ia sangat perlu dipelihara. Tegas beliau, setiap ahli PAS perlu berasa bimbang sekiranya jantung gerakan ini, yakni tarbiyah berada dalam keadaan sakit.

Menyambung hujahnya, beliau menjelaskan dalam muhasabah yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum 2004 menginsafi bahawa petugas PAS jauh daripada Allah untuk menguasai hati-hati manusia menyokong perjuangan PAS.

Bagaimanapun semua pihak katanya, sepakat bahawa untuk mendekatkan diri kepada Allah, tarbiyah mesti diperteguhkan.

Tarbiyah menurut beliau, perlu diletakkan pada posisi penting dalam PAS, misalnya dipegang sendiri oleh ketua organisasi. Beliau turut melontarkan syor agar tarbiyah digerakkan sebagai sebuah jabatan dan bukan lagi lajnah.

Katanya lagi, kekuatan tarbiyah akan menggerakkan jihad, tetapi untuk menggerakkan tarbiyah juga memerlukan jihad kerana tidak mudah untuk menggerakkan tarbiyah. Banyak keadaan masa kini yang meletakkan tarbiyah menjadi perkara kedua atau ketiga dalam PAS.

Realiti dalam gerakerja PAS ujarnya, kadang-kadang ahli berhadapan dengan pelbagai kerenah sesama sendiri, oleh itu program tarbiyah adalah ‘workshop’ untuk memperbaiki diri.

Bekerja Mempersiapkan Masyarakat

Panelis kedua yang juga Ketua Ulama PAS Negeri Melaka, Ustaz Zulkifli Ismail menegaskan, tidak ada jalan pintas untuk menegakkan daulah Islam melainkan menyediakan masyarakat untuk menerima Islam dan menerima perubahan kepada siasah Islam.

Kesediaan itu memerlukan proses dakwah dan tarbiyah di mana katanya, inilah tugas mereka yang terlibat dengan gerakan Islam. Urusan ini ujarnya, perlu menjadi agenda setiap masa.

Menghadapi situasi massa, pemuda sebagai penggerak dakwah katanya, perlu memahami tabiat dakwah yang memerlukan kepada marhalah.

“Orang Melaka tak sama dengan orang Kelantan,” ujarnya memberikan contoh mudah.

Oleh itu, pemuda dinasihatkan beliau agar memahami marhalah dihadapi mereka supaya kemenangan dicapai kelak adalah kemenangan yang matang dan dipertahankan rakyat.

Gerakerja juga menurut Ustaz Zulkifli, perlu disusun mengikut keutamaan marhalah tersebut.

Adakalanya pendakwah ujar beliau, mengejar kemasyhuran dari memberi faedah untuk dakwah dan perjuangan yang didokongi, sedangkan tuntutan marhalah tidak diisi dan kerja tidak dilaksanakan.

Nasihatnya lagi, dalam menjayakan cita-cita perjuangan juga, mestilah membelakangkan kepentingan peribadi, mazhab serta pandangan sendiri sebaliknya mengambil segala peluang yang menguntungkan dakwah dan jamaah.

Halang Anasir Perosak

Kecacatan tarbiyah kerana kadang kala anasir dalam gerakan Islam sama dengan anasir gerakan bukan Islam, demikian menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh.

Sebagai panelis ketiga forum itu, beliau mendedahkan mengenai kewujudan golongan yang mempunyai kepentingan dalam jamaah PAS.

Tegasnya, dalam keterbukaan diruang demokrasi ini untuk menarik seramai mungkin menyertai dan menyokong PAS, tetapi PAS jangan sampai dipenuhi anasir yang tidak ditarbiyah.

Jika tidak katanya, PAS juga akan dilabelkan sebagai mencari kepentingan duniawi hanya kerana mempunyai perangai seperti pihak lain disebabkan anasir-anasir tadi.

Dalam pelbagai isu dan perkembangan dihadapi di Malaysia ini, hakikatnya PAS-lah yang kehadapan menggerakkan anggotanya memperjuangkan perkara tersebut.

“Yang libatkan anggotanya dengan semua perkembangan, satu-satunya parti dan jamaah yang ada, hanyalah PAS. PAS mempunyai acuan tarbiyah tersendiri yang berbeza dengan sekelian gerakan. Jangan sekali-kali ada di kalangan pekerja PAS, petugas PAS yang masih letak dalam kepala mereka (bahawa) mana-mana tarbiyah kita boleh ambil,” ujarnya melontarkan peringatan.

Tegas beliau, tarbiyah yang dibentuk ketika ini sudah menepati acuan PAS dan tidak perlu acuan lain diserap hingga boleh memecahkan PAS.

PAS juga katanya, perlu mengelak dari mempunyai segelintir pimpinan yang tidak melalui proses tarbiyah dan tidak ditarbiyah.

Jelas Ustaz Nik Zawawi, ini adalah untuk menghindari PAS apabila memerintah kelak mempunyai sifat-sifat yang dimiliki musuh kerana dibawa oleh anasir tertentu ke dalam PAS.

Ujarnya, anasir-anasir ini kelak akan membawa akhlak yang lain dari akhlak anggota jamaah Islam. Oleh itu serunya, kekalkan paksi keaslian PAS mengikut acuan PAS yang sebenar dan sentiasa memelihara dari anasir merosakkan.

3 komentar:

Tanpa Nama berkata...

PEZDA V OPASNOSTE!!!!111

Tanpa Nama berkata...

23205.....52065

Tanpa Nama berkata...

34456.....92636

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons