Ahad, 24 Januari 2010

JAWAPAN KEPADA DAKWAAN SHAFIE AFDAL

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal bahawa Kedah semakin mundur selepas diambil alih Pakatan Rakyat merupakan satu dakwaan provokasi, berniat jahat serta mengelirukan pandangan rakyat kepada Kerajaan Negeri Kedah, selain tidak merujuk kepada mana-mana asas dan tidak berfakta.

Malah, kenyataan itu cukup membuktikan bahawa Shafie dan Timbalannya, Dato’ Hassan Malek yang berucap membacakan teks ucapan beliau tidak mengetahui perkembangan di negeri Kedah.

“Selayaknya, teks ucapan itu hanya dibaca oleh seorang pemimpin Umno peringkat Cawangan dan bukannya dibaca oleh seorang menteri dalam satu majlis yang sebegitu besar ertinya bagi pembangunan ekonomi Melayu,” demikian menurut Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Mohd Khalid yang turut menyifatkan isi teks ucapan tersebut sebagai tidak berkualiti dan tidak berpijak dibumi nyata.

Malah, kenyataan itu juga katanya menafikan titah pujian Tuanku Sultan Kedah bahawa corak pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

“Dalam ucapan dibacakan Hassan itu menyebut bahawa tiada sebarang pembangunan, serta dasar “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua” hanyalah retorik dan kerajaan negeri hanya mampu menyambung projek yang diasaskan BN sebelum ini. Ini amat melucukan, geli hati dan lawak.

“Saya langsung tidak berhajat untuk membariskan satu persatu perancangan yang dalam pelaksanaan oleh kerajaan Kedah. Buat pertama kalinya dalam sejarah negeri Kedah, bagi tahun 2009, sebanyak 11 GLC berjaya memberi sejumlah RM30juta kepada kerajaan negeri.

“Laporan Audit Negara tahun lalu bagi negeri Kedah dengan jelas menyebut bahawa peningkatan hasil sebanyak 205 peratus dalam kutipan hasil balak, kadar kemiskinan pula dicatat menurun dan pertumbuhan KDNK hanya kurang 0.02 peratus kenaikannya jika dibandingkan dengan KDNK Negara,” ujarnya dalam kenyataan rasmi kepada Harakah, 19 Januari lalu.

Tambahnya, pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah dengan harga sekitar RM380 juta telah memperkenalkan pengajian di bidang profesional termasuk perubatan. Selain itu katanya, pembinaan kilang sebagai hub kepada hasil tanaman nanas, mempelam dan rambutan yang menjadi lambakan sejak zaman sebelum merdeka berjaya diadakan.

“Rasanya cukup memadai untuk menjawab tohmahan dan ucapan dendam kesumat menteri berkenaan. Ini belum mengambil kira pembinaan rumah kos rendah di Baling dan Kubang Pasu yang bakal dibina. Semuanya dibina berpandukan kemampuan rakyat bagi menggantikan projek pembinaan perumahan yang berpandukan kemampuan para pemaju sepertimana diamalkan rakan-rakan Shafie ketika BN menerajui pentadbiran Kedah.

“Menteri Besar sentiasa menyahut saranan Kerajaan Pusat serta memberi kerjasama baik bagi kepentingan rakyat. Tetapi apabila Shafie mula mengungkit-ungkit bahawa hanya BN yang membantu rakyat, saya musykil Naib Presiden Umno ini seolah mahu meruntuhkan jambatan perpaduan serta kerjasama erat yang terbina antara Presidennya sendiri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak bersama Dato’ Seri Ustaz Azizan bagi kepentingan dan masa depan rakyat seluruhnya,” ujar beliau.

Mengakhiri kenyataan, Helmi berkata, ‘serangan’ itu adalah idea terkini pihak Umno dan BN Kedah untuk memburukkan imej baik pimpinan Ustaz Azizan yang semakin disenangi rakyat selepas usaha fitnah mereka sebelum ini tidak berhasil.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons