Muhammad Sanusi Nd Nor
Tuesday, December 8, 2009
Taklimat Perumahan - Apa yang tidak dilapor oleh Media?
Hari ini berita di akhbar dan blog tentang Taklimat Dan Diskusi Isu-isu perumahan 6 Disember lalu membuat kesimpulan... Polisi Kuota 50-50 ditangguhkan untuk mencari kaedah lain yang lebih sesuai. Bernama menulis begini..
ALOR SETAR: Pelaksanaan dasar baru perumahan di negeri ini yang menetapkan kuota 50 peratus untuk Bumiputera, ditangguhkan sehingga satu garis panduan baru yang lebih jelas dikeluarkan.Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Pembangunan Luar Bandar, Membasmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik pelbagai kaum.
*
"Tangguh dulu pelaksanaan kuota 50 peratus ini sebab nampak ada pihak tak puas hati dengan dasar ini dan kita akan cari kaedah yang lebih munasabah untuk menyelesaikan masalah ini."Kita tak mahu ada yang kata dasar yang dibuat ini, tidak adil dan isu perumahan jadi berlarutan, sebab kuota 50 peratus tu bukan dasar umum, yang beri gambaran seolah-olah semua keadaan tanah mesti ada 50 peratus kuota untuk Bumiputera," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Aman di sini. - Bernama
*
Saya mempengerusikan taklimat dan diskusi itu, saya juga mengikuti sidang akhbar selepas itu. Paling jelas kepada saya ialah polisi ini bukan ditangguhkan, tetapi yang ditangguhkan ialah proses meluluskan permohonan untuk membangunkan kawasan perumahan baru yang melibatkan swapping (kerana swapping lah polisi ini diwujudkan) . Penangguhan ini bertujuan untuk kerajaan membuat kajian, semakan, dan meneliti setiap permohonan dalam kategori itu, sejauh mana keperluan untuk melakukan swapping! Maka, dengan sendirinya kuota 50-50 yang ditetapkan dalam tanah-tanah melibatkan swapping, tertangguh! Inilah yang tidak dilaporkan dalam berita hari ini dan semalam.
*
Setelah sesuatu permohonan kebenaran merancang (pembangunan kawasan perumahan baru ) yang melibatkan tanah swapping diluluskan, maka polisi kuota ini akan tetap terpakai, jika permohonan itu tidak diluluskan, maka tidak timbullah isu polisi 50-50. Hak dan tanggungjawab meluluskan setiap permohonan terletak kepada pihak berkuasa negeri, bukan terletak kepada urutan prosedur yang dipatuhi atau dilanggari oleh pemaju!
*
Mari kita memahami kandungan taklimat itu, supaya pembetulan dan penambahbaikkan kepada berita-berita hari ini dan semalam dapat dilakukan.
***************
ISU PERTAMA
***************
Matlamat dan tujuan Dasar dan polisi Perumahan:
*
1. Melaksanakan Keadilan kepada semua lapisan rakyat terhadap hak untuk mendapatkan rumah sebagai keperluan asas (basic necessity), terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah. Matlamat ini dapat dijayakan melalui bantuan perumahan kerajaan (yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi) dan penetapan kuota perumahan kos rendah yang disyaratkan kepada pemaju.
*
2. Memansuhkan dasar pecah dan perintah (devide and rule) yang diperkenalkan oleh penjajah yang menyebabkan taburan penempatan penduduk berasaskan kaum dan ekonomi (Melayu di kampung, Cina di bandar perlombongan dan India di estet). Masyarakat masa depan mesti mencapai integrasi melaui pergaulan yang harmoni dalam satu komuniti penempatan yang sama. Unjuran JPM pada tahun 2020, 60% penduduk Kedah akan mendiami taman-taman perumahan apabila tanah-tanah tradisi tidak lagi lagi mampu menampung pembinaan kediaman menerusi pinjaman dan gadaian kepada institusi kewangan.
*
3. Rumah-rumah yang dibina di Kedah mesti mengambilkira kedudukan sosioekonomi rakyat kedah, dimana pembinaan rumah mampu milik (affordable house) mesti diutamakan. Pada masa ini, kerajaan berpandangan rumah sebagai keperluan asas semua rakyat lebih utama daripada pemilikan rumah sebagai aset untuk perniagaan/pelaburan.
*
Demi mencapai matlamat ini, beberapa kepentingan beberapa pihak mesti dikorbankan (dalam istilah ekonomi di sebut "kos melepas")
**********
ISU KEDUA
************
Polisi 50-50 bukanlah dasar umum perumahan bagi semua kategori tanah. Ia hanya bagi tanah-tanah yang terlibat dengan proses swapping. Jika tiada swapping, polisi lama (100% kepada kaum melayu untuk Tanah Rizab Melayu (TRM) dan 30-70 untuk tanah pegangan bebassedia ada) masih dikekalkan . Polisi ini tidak pernah dibantah dan tidak pernah dibangkitkan sebagai isu politik sebelum ini. Ia langsung tidak berubah!
*
TRM hanya boleh dimiliki oleh melayu bukanlah isu perkauman. Ia terkandung dalam Kanun Tanah Negara (Land Code) yang menjadi sebahagian Perlembagaan Negara yang diterima semua kaum.
*
Kerajaan baru juga memperkemaskan dan menjelaskan lagi polisi 30-70 dalam tanah-tanah pegangan bebas (Free hold) yang diteruskan daripada dasar sedia ada, dengan penambahan perkataan sekurang-kurangnya 30% mesti dijual kepada melayu dan yang ditafsirkan sebagai berstatus "melayu", manakala 70% lagi adalah jualan terbuka kepada mana-mana pihak termasuk kaum melayu. Manakala bagi kes di langkawi, kuota 50-50 dalam tanah pegangan bebas kekal dengan dasar lama. Ini juga melibatkan penambahan "sekurang-kurangnya".
*************
ISU KETIGA
*************
Swapping - syarat dan Kesannya.
*
Swapping mesti mematuhi syarat 'same value and similar character'. Ini yang sukar ditentukan dan sering diabaikan. TRM di Alor Setar diganti dengan tanah di Kubang Pasu, nilainya sudah tidak sama lagi, maka kerajaan menetapkan tanah yang diganti itu mesti lebih luas 0.5% bagi menghampiri nilainya yang sebenar. Itu belum mengambilkira character (ciri-ciri tanah itu). Sering terjadi, TRM di tengah bandar diganti dengan tanah hutan belukar yang terletak nun jauh dihujung benua. Apakah kesannya kepada TRM dan pemilikannya di negara ini seperti yang ditetapkan oleh Kanun Tanah Negara? Di Kedah, TRM yang belum diganti setelah dicabut keluar menjadi free hold melebihi 1000 ekar (zaman dulu).
*
Kerajaan sedang mengkaji apakah perlu swapping hanya dilakukan untuk lot-lot yang dijual kepada bukan Melayu. Katakan 40% daripada Tanah Free hold yang asalnya TRM di Alor Setar dijual kepada kaum Melayu, maka penggantian (swapping) hanya perlu dilakukan kepada 60% selebihnya itu sahaja. Ini bagi memberi ruang kepada pemaju mendapatkan tanah yang memenuhi syarat swapping iaitu 'same value and similar character". Ini adalah satu pembaharuan yang sedang dipertimbangkan, yang akan memberi kelebihan kepada pemaju dan insustri perumahan di Alor Setar.
*
Pemohonan membuat swapping di Kedah tidak lebih 20% daripada keseluruhan permohonan membangunkan kawasan perumahan dan bandar-bandar baru. Tetapi 20% ini dicanang oleh media milik pihak tertentu seolah-seolah kerajaan menekan pemaju dan mengamalkan perkauman dengan polisi 50-50 dalam keseluruhan sektor itu. Ini tidak dilapor dalam media hari ini dan kelmarin.
*
Untuk memberi ruang isu-isu swapping ini dihalusi, maka semua permohonan yang terbabit dengan swapping ditangguhkan dulu. Setelah satu kaedah - yang lebih efisyen, kemas, teratur, konsisten, dan boleh dipertahankan - diputuskan oleh pihak berkuasa negeri, barulah permohonan itu akan diproses, dan polisi 50-50 akan terpakai. Ini juga tidak dapat dikesan (?) oleh pemberita dan media.
*
Kesimpulan daripada penjelasan dalam taklimat itu ialah:
**************************************************************
a) Semua dasar dan polisi kerajaan dalam perumahan di Kedah adalah kekal seperti dasar lama, kecuali polisi bagi tanah-tanah yang melibatkan swapping.
*
b) Permohonan dan proses kelulusan yang melibatkan swapping ditangguhkan untuk memberi peluang kepada kerajaan mengkaji keperluan dilakukan swapping dan kesan-kesan daripadanya.
*
c) Swapping harus memenuhi syarat 'same value and similar character' supaya di masa hadapan TRM tidak tersisih ke hujung benua.
*
d) Keutamaan sebuah kerajaan ialah melaksanakan keadilan kepada semua kaum, menjamin hak dan keperluan seluruh rakyat, merancang masa kini untuk masa depan serta memastikan ekonomi dapat berkembang. Dalam mencapai hasrat ini, ada 'kos melepas' yang terpaksa ditanggung.
*
e) Kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan perniagaan (kapitalis) berbanding komitmen kerajaan membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyt negeri ini.
*
Sekian.
Posted by MUHAMMAD SANUSI MD NOR at 2:15 PM
Rabu, 9 Disember 2009
kouta 50-50 Media cuba kelirukan rakyat Kedah
Rabu, Disember 09, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan