Jumaat, 13 November 2009

MUHYIDIN JANGAN CAMPUR TANGAN KUASA SPEAKER


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menyelar campur tangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi arahan kepada Adun Kota Siputeh, Dato’ Abu Hasan Sariff hadir ke Sidang Dun Kedah pada 17 November ini.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata, Pemuda PAS Kedah kesal dan membantah sikap diambil Muhyiddin tersebut yang mengundang pelbagai implikasi negatif.

“Sepatutnya Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) belajar dari Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang tatkala berhadapan pertanyaan media dalam perkara itu beliau enggan memberi komen kerana menghormati hak Speaker.

“Muhyiddin juga sepatutnya faham akan hak Speaker kerana urusan Dewan Undangan negeri adalah hak Speaker dan tidak harus campur tangan. Dalam konteks ini Abu Hasan tertakluk kepada arahan Speaker bukan arahan TPM,” ujarnya kepada Harakah, 13 November lalu.

Ujar Ahmad, pengalaman kekacauan dan huru hara sepertimana berlaku kepada Dun Perak adalah berpunca dari campur tangan seperti ini.

Oleh itu tegasnya, Muhyiddin perlu menerimanya sebagai pengajaran akibat dari membelakangkan undang-undang sedia ada menyebabkan Perak mempunyai dua Speaker dan dua Menteri Besar.

Menurut beliau, tindakan Muhyiddin menggunakan frasa ‘arahan’ seolah-olah mengarah Abu Hasan mengingkari dan menentang Speaker selain menjurus kepada pelbagai kemungkinan implikasi tidak baik yang lain.

Sedangkan ujarnya, para penyokong dan Abu Hasan sendiri tidak bertindak balas terhadap keputusan Speaker.

“Memberi arahan sedemikian juga menunjukkan beliau (Muhyiddin) tidak memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UUTKNK).

“Kalaupun beliau tidak mahu menghormati Speaker, sewajarnya beliau perlu hormat kepada UUTKNK apatah lagi ketika itu beliau berada di dalam negeri Kedah.

“Sudahlah masuk ke negeri ini tanpa ‘memberi salam’, Menteri Besar juga tidak dimaklumi, undang-undang negeri ini juga hendak dilanggar?” pertikai Ahmad.

Katanya lagi, sikap Muhyiddin jelas tidak selari dan menafikan konsep 1Malaysia yang mereka digembar-gemburkan.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons