Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Sebuah negeri ‘sejahtera’ menurut tasawwur al-Quran adalah negeri yang bernuansakan “al-adl wal ehsan” di mana ia seharusnya merata dari segenap masyarakat bermula dari peringkat paling rendah hinggalah peringkat tertinggi dalam masyarakat tersebut.
Untuk itu, dalam merealisasikan “Kedah Sejahtera” sebagaimana motto Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah, ianya perlu bermula dari peringkat kampung yang sejahtera, demikian menurut Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar.
Katanya, sebuah “Kampung Sejahtera” bertitik tolak dari beberapa perkara yang menjadi senarai utama perlu diberi perhatian oleh setiap pimpinan cawangan.
Membentangkan senarai tersebut, beliau menjadikan pembedayaan manusia dan pembinaan jiwa merdeka sepertimana butiran yang terkandung dalam ayat 75 surah an-Nahl sebagai senarai paling utama.
“Pembedayaan manusia pada peringkat kampung perlu dijalankan dalam bentuk menggunakan seluruh potensi diri dan kebolehan yang perlu disalurkan secara ‘nizami’ yakni teratur di mana dengannya insya-Allah, setiap segmen masyarakat yang ada akan rasa dihargai.
“Dalam tabie manusia, apabila apabila merasakan dia dihargai, maka dia akan berusaha untuk mempertahankan ‘nizam’ tersebut hingga membawa keuntungan kepada perjuangan Islam yang kita dokongi ini.
“Manakala menurut istilah al-Quran, jiwa hamba itu ialah ‘abdan mamlukan’ iaitu hamba yang dimiliki merujuk kepada jiwa dan perasaannya hingga menatijahkan jiwa itu tidak berani untuk berkata dan memperjuangkan kebenaran,” ujarnya membentangkan kertas kerja bertajuk “Qaryah Sejahtera: Satu Pandangan Awal” pada Taklimat Pimpinan PAS Cawangan Dun Anak Bukit, di sini 14 Jun lalu yang turut melibatkan Ketua-ketua Kampung dan Komuniti.
Senarai berikutnya ialah membentuk kebebasan berfikir dan bersuara yang dipetik beliau dari pengajaran kisah Bani Israil dalam kandungan surah Ali-Imran.
Terangnya, Bani Israil adalah bangsa yang dibentuk supaya takut untuk berfikir kritis dan bersuara hingga menjadi ‘bangsa terpimpin’. Sindrom bisu seperti itu ujar beliau, hanya akan melahirkan bangsa yang serba daif dan ketakutan.
Katanya, sebuah qaryah yang bakal diklasifikasikan sebagai “Kampung Sejahtera” memerlukan pembedayaan usaha untuk saling berkhidmat dan berbakti kepada manusia. Beliau merujuk keterangan tersebut dari makna ‘khaira ummah’ dalam ayat 110 surah Ali-Imran yang menggariskan posisi umat terunggul itu adalah kerana khidmat dan baktinya kepada manusia.
Melanjutkan pembentangan, beliau memperincikan mengenai pembentukan nilai dalam pembangunan ummah yang dimaksudkan.
Surah as-Syura dari ayat 36 hingga 43 jelas beliau, menekankan mengenai kemurnian iman hingga membentuk sistem nilai dalam masyarakat, penghindaran dosa-dosa besar dalam dasar dan pelaksanaan pembangunan, perbuatan memaaf ketika bertelingkah mengenai kaifiat pelaksanaan, responsif terhadap perintah Allah, mendirikan solat, meluaskan amalan syura, infaq selain mempertahankan diri apabila dizalimi serta melakukan islah daan bersikap sabar.
Ketua Kampung atau Komuniti juga tegasnya, berperanan mendamaikan konflik antara penduduk sama ada bersangkutan pandangan politik, nilai ekonomi serta ruang lingkup khilaf dalam memahami agama.
“Ianya memerlukan kepada perancangan dan kefahaman yang baik di kalangan pimpinan cawangan supaya semua konflik itu boleh dijadikan peluang bagi kerja dakwah ini,” ujarnya.
Beliau mengakhiri pembentangan tersebut dengan menekankan kepentingan Ketua Kampung atau Komuniti mempunyai budaya ‘ihtimam’ iaitu sikap mengambil peduli terhadap urusan kebajikan penduduk.
Isnin, 22 Jun 2009
SEJAHTERA WUJUD DARI AKAR UMBI
Isnin, Jun 22, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan