Khamis, 16 April 2009

Bukit Gantang ‘turning point’ proses demokrasi - MB Perak Nizar Jamaluddin


Isnin, 2009 April 13

PILIHAN RAYA Bukit Gantang ini dilihat begitu bermakna kerana ia boleh mencetuskan satu bentuk pemikiran yang berbeza bagi berdepan dengan pilihan raya lain. Ia juga mencetuskan tekanan dan kehendak rakyat Perak untuk dibubarkan Dun. Ahli Parlimen baru bagi Bukit Gantang, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin mengupas perkara ini kepada Intan Abdullahdi kediamannya di Kampung Sungai Rokam, Ipoh, sehari selepas dinobatkan sebagai pemenang pilihan raya kecil kawasan itu 7 April lalu.

Bagaimana Dato’ Seri melihat ‘mood’ pengundi Melayu dalam keputusan pilihan raya kali ini?

DATO' SERI IR MOHAMAD NIZAR: Secara keseluruhannya, keputusan itu membayangkan bahawa rakyat Perak meletakkan kekecewaan mereka. Pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang ini rakyat telah memilih Pakatan Rakyat. Pada saat akhir tarikh penamaan calon memang ‘mood’nya itu adalah menyokong Pakatan Rakyat.
Tetapi pengundi Melayu ini mereka termakan juga dengan beberapa propaganda Umno-BN yang mencerminkan bahawa mereka ini payah lagi hendak berubah. Jadi saya nampak bahawa kami kena bekerja kuat untuk mengalihkan pandangan supaya kita dapat ubah persepsi mereka terhadap Pakatan rakyat ini.
Yang keduanya, ia juga mencerminkan kejumudan masyarakat di Bukit Gantang itu sendiri kerana ramai anggota masyarakat Melayu masih jumud dan tidak terbuka. Pemikiran lama masyarakat Melayu masih menebal. Faktor yang menyebabkan keadaan ini akan dikaji. Antaranya termasuklah maklumat yang tidak sampai, masih dikongkong dengan pemikiran lama oleh pimpinan Umno, tidak dapat akses kepada maklumat yang betul. Ini menyebabkan mereka jumud dan tidak terbuka.

Tetapi pada masa yang sama, Pakatan Rakyat memperolehi sokongan yang luar biasa daripada masyarakat bukan Melayu. Apakah ini satu lonjakan?

Ini sememangnya telah dijangka pada peringkat awal kerana ‘mood’ orang Cina di seluruh negeri Perak dan ‘mood’ orang India ini mereka mahukan perubahan dan salah satu daripada manifestasi perubahan itu adalah dengan mengundi Pakatan Rakyat. Yang itu bukan hanya di Bukit Gantang, malah keseluruhannya.
Jadi, Bukit Gantang ini merupakan kemuncak apabila mereka memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat, yakni kepada PAS sendiri sepertimana dijangka pada peringkat awal lagi sokongan ini. Cumanya luar biasa ini dari segi sokongan itu memuncak itu oleh kerana ada faktor lain yang dicetuskan oleh pihak MCA, Gerakan pada saat akhir menyebabkan sokongan di dua dan tiga kawasan Cina menurun pada saat akhir.

Suasana kempen dan tekanan-tekanan ke atas Pakatan Rakyat bermula dari Februari sehingga kini. Adakah Dato’ Seri melihat pilihan raya ini merupakan satu episod politik jahat Umno-BN?

Saya melihat keputusan ini sebagai satu pungutan suara rakyat Malaysia umumnya dan Perak khususnya apabila kita tengok tragedi yang berlaku kepada negeri Perak setelah rampasan kuasa dibuat oleh Najib Razak sehinggalah kepada hari penamaan calon oleh kerana bukan kerana simpati namun sokongan itu tidak berbelah bahagi.
Puncanya kerana kezaliman, kerana mereka tidak boleh menerima hakikat. Kerajaan ini diambil begitu sahaja tanpa mengikut lunas-lunas perundangan. Jadi kita lihat mereka menterjemahkan kekecewaan itu dalam bentuk pilihan raya, pungutan suara itu sendiri.
Masyarakat Malaysia juga mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada pimpinan Umno-BN bahawa pelantikan dan penurunan kuasa kepada Najib Razak itu tidak memenuhi kehendak dan aspirasi mereka yang mahu pimpinan yang bersih, cekap. Jadi, terdapat pelbagai tafsiran yang boleh kita duga dan timba daripada keputusan Bukit Gantang ini kerana ia mencerminkan dan mengeluarkan pelbagai isyarat kepada banyak institusi dan individu khususnya institusi politik.

Adakah ini bermakna kekalahan BN di ‘dua bukit’ merupakan petanda bahawa BN sudah tidak relevan?

Saya tidak tahu di Bukit Selambau, tetapi di Bukit Gantang ini, BN sama ada mereka tidak belajar atau tidak daripada kesalahan mereka itu, tetapi mereka telah mengulangi kesalahan mereka dengan mendera rakyat dan juga pengundi. Mereka mendera parti yang bertanding iaitu PAS dan juga mereka mendera saya sendiri sebagai calon.
Penderaan ini mereka buat beberapa kali sebelum ini, dan itulah yang menyebabkan kekalahan. Walaupun dahulunya mereka buat begitu juga tetapi oleh kerana dahulu suasananya berbeza kerana dan ‘timing’ untuk Bukit Gantang, jadi mereka laksanakan benda yang sama untuk Bukit Gantang dalam persekitaran yang berbeza dan juga dalam situasi yang berlainan, akibatnya apa yang dilakukan oleh mereka iaitu propaganda akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Saya ingat mereka terlepas pandang apa yang berlaku pada hari ini adalah rakyat melihat kezaliman itu amat memuncak. Kezaliman ke atas Pakatan Rakyat khususnya kepada diri saya sendiri yakni penganiyaan itu, rakyat mungkin melahirkan pemberontakan ke atas kerajaan asal iaitu kerajaan Pakatan Rakyat. Semuanya itu diterjemahkan dan dimanifestasikan kepada keputusan pilihan raya ini.

Adakah Dato' Seri merasakan diri sendiri sebagai mangsa kepada keadaan ini?

Sudah tentulah sebahagian besar daripada pengundi Cina, dan bukan Melayu, mereka melihat saya sebagai mangsa penderaan, penganiayaan pada kerakusan. Mereka ini bukan ahli DAP, kebanyakan mereka ini adalah ahli MCA dan pengundi atas pagar. Untuk itu mereka telah menterjemahkan sokongan mereka kepada bentuk undian setelah berlaku penganiayaan kepada Pakatan Rakyat, khususnya saya.

Bagaimana dengan misi pertama Dato' Seri apabila melangkah ke Dewan Rakyat?

Selepas sesi angkat sumpah, maka kita akan buat persidangan. Tetapi kalau diberi peluang, sudah tentunya saya mahu mengucapkan syabas kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat Pusat, negeri dan bahagian khususnya di Bukit Gantang.
Keduanya juga saya ingin memberitahu kepada rakyat semua bahawa apa yang saya sebutkan tadi adalah natijah kepada semua itu. Yang ketiganya, hasil daripada kesemuanya ini menjurus kepada keputusan yang saya dan Pakatan Rakyat majukan di peringkat awal supaya pembubaran Dewan Undangan Negeri ini diadakan di peringkat awal.
Jadi, itu yang awal di peringkat saya kerana saya hendak menyelesaikan kemelut politik yang melanda di negeri Perak sekarang. Untuk itu, saya merasakan bahawa wajar bagi saya mengutarakan isu ini di Dewan Rakyat supaya masalah di negeri perak ini tidak berlarutan.

Kalau berlarutan macam mana?

Jika sekiranya perkara ini berlarutan, sudah tentulah krisis perlembagaan ini berkemungkinan perkara-perkara yang tidak baik berlaku yang menyebabkan kestabilan politik terjejas.
Sudah tentu agenda pertama ini memberikan keluhan supaya BN melihat apa yang saya lakukan itu suatu yang wajar dan apa yang mereka buat iaitu rampasan kuasa itu menafikan hak rakyat. Itu merupakan agenda asal yang saya hendak beri.
Kemudian kalau saya diberi peluang, saya ingin mengutarakan keresahan dan kekecewaan pengundi di Bukit Gantang khususnya kaum-kaum yang dipinggirkan dan miskin apabila kita lihat mereka cukup-cukup mundur. Saya mahu menegakkan bahawa mereka diberi perhatian daripada peringkat tertinggi sehinggalah ke bawah supaya Bukit Gantang ini dimasukkan sebagai satu senarai untuk diutamakan apa jua infrastruktur.

Nampaknya kenyataan Najib tidak akan ada "Projek Mee Segera" di Bukit Gantang suatu retorik politik?

Walaupun kita, Perdana Menteri kata beliau tidak akan melaksanakan projek-projek mi segera tetapi hakikatnya kita lihat kesemuanya itu masih dijalankan.
Keduanya, inilah satu-satunya tempat di Perak ini yang terdapat kawasan yang tidak ada bekalan air dan elektrik, jadi saya ingin menyuarakan perkara ini di dalam Parlimen. Bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan kita menguar-uarkan bahawa negara kita maju, tiada orang miskin, tidak ada masalah pembangunan. Tiba-tiba selepas merdeka 51 tahun, masih lagi ada rakyat yang tidak boleh menikmati air, elektrik dan telefon. Ini keluhan rakyat yang kita rasakan ia perlu di ketengahkan.

Kes cabaran Dato' Seri terhadap keabsahan Kabinet Dun Perak di bawah Zambry (Abdul Kadir, MB Perak), apa perkembangan?

Sudah tentu permohonan saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk dibuat kajian penghakiman atau ‘judicial review’. Setelah saya mengikuti proses pada lebih kurang sebulan yang mana ada satu pihak tertentu yang mahu menyingkirkan dan mahu memaksa saya dan peguam saya untuk mengubah semula kajian penghakiman itu dalam konteks seolah-olah saya ini bermasalah dengan institusi kesultanan walhal pada peringkat awal saya telah terangkan apabila saya memfailkan kes ini ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Zambry.
Ia tidak melibatkan mana-mana pihak, tetapi di peringkat Peguam Negara dan juga di peringkat peguam Zambry sendiri termasuk penasihat undang-undang negeri seolah-olah mereka mahu mempercayai bahawa saya ini terlibat dengan hal saman-menyaman ini. Padahal ia tidak benar dan saya menafikannya. Kes ini telah dibincangkan di peringkat Mahkamah Tinggi ditolak oleh satu hakim ke atas hakim-hakim lain dibawa ke Mahkamah Rayuan, dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Keputusan semuanya adalah menyebelahi pihak saya.

Maknanya dia ada kes prima facie...

Ya! Apa yang saya buat ini adalah terkandung di dalam Perlembagaan. Jadi, keputusan di Mahkamah Persekutuan supaya dibenarkan perbicaraan ini berjalan di peringkat Mahkamah Tinggi merupakan satu penghormatan kepada Pakatan Rakyat dan penghormatan kepada saya.
Ini merupakan satu tamparan hebat kepada Zambry dan Umno-BN. Yang mahu mereka tunjukkan bahawa saya ini menyaman Tuanku melalui surat-surat yang mereka telah formatkan, soalan yang mereka telah buat melalui pejabat peguam negara itu adalah soalan-soalan yang tidak langsung dipertikaikan oleh kami.
Dan soalan itu sekiranya tidak dibincangkan di Mahkamah Persekutuan pun telah jelas jawapannya, iaitu bahawa Tuanku memang mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar tetapi persoalannya yang ingin saya katakan ialah di manakah peruntukan dalam Perlembagaan itu yang membenarkan Zambry mengangkat sumpah sebagai menteri besar? Itu sahaja, saya hendak memohon pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan pelantikan Zambry itu sebagai menteri besar tidak sah, itu sahaja.

Pilihan raya kecil Bukit Gantang adalah satu pilihan raya yang pelik, apabila perdana menteri, Ketua Pemuda Umno tidak turun berkempen dan memberikan semangat sedangkan pada masa yang sama, PM Abdullah sebagai perdana menteri yang bakal meninggalkan takhta pun tidak dipamerkan gambarnya. Apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam BN sekarang ini?

Apa yang kita lihat dalam Umno sekarang ini adalah perpecahan yang berlaku dalam Umno-BN sendiri. Apabila mereka baru sahaja menghabiskan Perhimpunan Agung mereka, perpecahan di kalangan mereka itu jelas kelihatan apabila mereka berdepan dengan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang.
Yang keduanya, pemilihan calon itu sendiri tidak dipersetujui oleh satu pihak yang lain dan ketiganya kita lihat apabila ketiadaan Najib dan Khairy Jamaludin. Cuma Khairy muncul pada hari penamaan calon sahaja. Tetapi dalam kempen dan sebagainya kita tidak lihat kewujudan pemuda dalam jentera kempen.
Di semua peti undi yang saya dapat tinjau iaitu 38, yang mainkan peranan sepanjang kempen ini adalah jentera Puteri Umno sahaja. Puteri Umnolah yang saya lihat pergi dari rumah ke rumah, membentengi mana-mana pusat undi, di pusat-pusat gerakan mereka di pasar malam.
Tetapi daripada segi Pemuda Umno, Wanita, nampak seolah-olah tidak wujud kerana ini mencerminkan terdapat perpecahan antara Shahrizat Jalil dan Rafidah Aziz dalam Wanita. Dan Pemuda sudah tentulah antara Khairy dengan Mukhriz dan Khir Toyo. Presidennya tidak muncul langsung, hanya mengharapkan Puteri dan beberapa anak muda yang mereka ambil dari mana pun saya tidak tahu. Maknanya gerak kerja mereka memang mencerminkan perpecahan itu sendiri.

Dalam keadaan krisis kepimpinan di dalam BN, Dato’ Seri muncul di kalangan barisan pemimpin harapan bukan sahaja di Perak, malah di negara ini. PAS pula semakin popular dan indeks sokongan pula kian meningkat. Jika anak muda dan remaja mencari idola, mereka akan mencari seorang tokoh yang mempunyai ciri-ciri yang terdapat pada Dato’ Seri. Komen sikit.

Saya merasakan bahawa ini merupakan penghargaan dan penghormatan yang cukup tinggi kepada PAS kerana PAS memainkan peranan yang cukup penting dalam mengembangkan dakwah Islam. Tetapi disebabkan oleh hentakan dan juga propaganda daripada Umno, akhirnya apa sahaja yang hendak dibuat oleh PAS itu dikaburi oleh Umno sehingga diputar belitkan.
Apa yang saya terima apabila saya diberi amanah untuk menjadi Menteri Besar Perak saya cuba untuk menunjukan satu persepsi dan juga satu ‘appearance’ berkenaan pemimpin PAS ini dalam konteks yang lain.
Dan hasil daripada 10 bulan itu, pergerakan saya dalam mana-mana majlis bersama dengan pemimpin PAS yang lain cuma saya menyebutnya dalam konteks yang berbeza.
Mad'unya berbeza dan cara penyampaiannya juga berbeza. Alhamdulilah, inilah yang menimbulkan rasa keyakinan anak-anak muda di kalangan Melayu, Cina dan India mereka sanggup dan berkeupayaan untuk menukar undi mereka kepada PAS walaupun pada awalnya persepsi itu agak negatif.

Apakah ini kesan dari kepimpinan Dato' Seri sewaktu menjadi MB Perak selama 10 bulan lalu?

Alhamdulillah 10 bulan itu kita dapat cerminkan satu bentuk pimpinan yang berbeza yang berkemampuan untuk memimpin masyarakat dan saya anggap ini satu ujian kepada saya sebenarnya untuk menyatupadukan rakyat di negeri perak ini di bawah satu bumbung yang mana kalau kita lihat keyakinan rakyat bukan Islam dan kebanyakan rakyat Melayu juga berkehendakkan pimpinan yang ada ciri-ciri dan unsur-unsur yang hak atau yang betul. Yang mana inilah satu spesies yang cukup sukar untuk dicari.
Jadi, apabila saya menonjolkan ciri yang ada di dalam PAS, sudah tentunya ia boleh diterima oleh naluri manusia tidak kisah sama ada orang itu Cina, India, Sikh atau Melayu, mereka akan menerimanya. Jadi, hasil daripada penjelmaan itulah menyebabkan mereka memberikan penghormatan kepada PAS. Saya hanya sekadar menjadi ejen atau pemandunya. Yang mereka lihat hari ini adalah vehicle untuk membawa rakyat untuk pergi ke arah yang jauh lebih elok dan lebih sempurna.
Secara kesimpulannya, apa yang berlaku di Bukit Gantang ini adalah cerminan daripada mereka yang mahu merubah pemikiran mereka untuk menyokong PAS dan mengambil saya sendiri, mengiktiraf saya sebagai pimpinan PAS yang mampu menyatukan ke kemuncak yang lebih cemerlang.

Adakah Dato' Seri akan berbuat sesuatu untuk memulihkan sokongan Melayu kepada PAS?

Di Bukit Gantang sendiri terdapat peluang yang boleh saya gunakan untuk memberikan keyakinan orang Melayu kepada pimpinan PAS khususnya kepada saya dalam konteks kita hendak membersihkan apa sahaja maklumat yang hendak diputar-belitkan oleh Umno. Dalam hal ini PAS berkemampuan untuk menggunakan pendekatan yang sama dengan masyarakat Cina dan India.
Jadi, masyarakat Melayu ini hanyalah kita menggunakan jentera dalam PAS termasuklah lajnah-lajnah untuk diperluaskan lagi gerak kerja mereka dan diperbanyakkan frekuensi untuk bertemu mereka.
Kalau sekiranya menggunakan lajnah-lajnah dan dewan dalam PAS ini bermasalah maka terpaksa kita gunakan beberapa institusi lain dalam PAS seperti NGO, kelab penyokong PAS yang akhir-akhir ini banyak wujud. Inilah beberapa institusi yang boleh kita guna dan pelbagaikan dalam menyampaikan seruan yang baik kepada masyarakat Melayu.

Mesej kepada pengundi dan petugas Pakatan Rakyat?

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi khususnya di Kuala Sepetang, changkat Jering dan Trong yang telah memberikan sokongan kepada pakatan rakyat yang mana saya wakili.
Kedua, saya bertanggungjawab untuk mengambil apa jua ‘feedback’ dan apa sahaja maklumat yang diperolehi daripada petugas dalam dan luar negeri yang telah bertemu dengan pengundi secara ‘direct’ dan tahu masalah mereka. saya memohon kepada mereka memajukan masalah-masalah ini.
Ketiga, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas Pakatan Rakyat khususnya daripada PAS, DAP dan KeADILan seluruh negeri Perak dan seluruh Malaysia.
Yang mana PAS negeri-negeri ini telah berkampung di Air Kuning, dan sekarang mereka telah melaksanakan yang cukup baik daripada apa jua aspek pun khususnya dari Kelantan, Terengganu, dan semuanya. Mereka telah menyumbangkan wang ringgit, tenaga dan peralatan untuk memenangkan PAS.
Yang keempat, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penulis blog (bloggers) dan pihak media sama ada media bebas, luaran dan dalaman yang membuat liputan yang baik berkenaan pilihan raya ini khususnya dalam menangkis serangan yang dibuat Umno-BN. Kita juga lihat dalam pilihan raya Bukit Gantang ini memberikan gambaran dalam janji PM pertamanya untuk membebaskan tahanan ISA ini dibuat dalam konteks pilihan raya di Bukit Gantang maka dalam konteks ini saya menyeru supaya hendaklah dimansuhkan ISA itu sendiri dan semua tahanan ISA dibebaskan tanpa ada syarat.
Seterusnya kita lihat, kalaulah sekiranya orang Melayu sebelum ini di Bukit Gantang isu yang dimainkan adalah boneka kepada DAP, memenuhi hasrat DAP, tetapi apa sahaja yang dibuat oleh Umno-BN dapat dinilai melalui apa yang disampaikan kepada satu sekolah Cina dengan memberikan RM1 juta tanpa sebarang sebab.
Yang ini kalau orang Melayu fikir-fikirkan, apa yang kami buat untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan orang miskin yang masih lagi ditafsirkan sebagai boneka, maka inilah yang berlaku apabila Muhyiddin Yasin pergi ke sekolah Cina Sin Min di Simpang dan menjanjikan RM1 juta meninggalkan sekolah-sekolah yang lain.

Apakah ertinya ini?

Kalau kita lihat, ini membonekakan diri mereka sendiri. Walaupun saya tidak menyatakan ini dalam konteks perkauman tetapi saya hendak menunjukkan bahawa Bukit Gantang ini mengetengahkan isu boneka, walhal mereka lah yang sebenarnya boneka sehingga sanggup memberikan sampai RM1 juta yang saya rasakan bahawa ini tidak adil kerana sepatutnya mereka hendaklah memberikan secara sama rata kepada sekolah-sekolah kebangsaan yang lain.
Dan akhir sekali saya mengharapkan kepada semua petugas yang berada di Bukit Gantang sendiri didokumentasikan dalam bentuk kertas kerja yang elok merupakan satu koordinasi kerja yang elok, yang ini perlu dibawa pengalaman Bukit Gantang ini ke peringkat yang lebih tinggi untuk dijadikan sebagai semangat dan pengalaman untuk berhadapan dengan pilihan raya umum yang akan datang.

Apa istimewanya pilihan raya kecil Bukit Gantang ini?

Pilihan raya Bukit Gantang ini dilihat begitu bermakna kerana ia boleh mencetuskan satu bentuk pemikiran yang berbeza bagi berdepan dengan pilihan raya lain. Ia juga mencetuskan tekanan dan kehendak rakyat Perak untuk dibubarkan Dun.
Sebab itu saya nyatakan bahawa ia sebagai satu ‘turning point’ untuk pendemokrasian pilihan raya secara terbuka juga untuk memberikan pelajaran baru kepada SPR, PDRM dan jabatan-jabatan kerajaan supaya mereka tidak mudah diperalatkan oleh Umno-BN.
Maka kalau diteruskan sehingga pilihan raya umum ke-13 sudah tentulah Pakatan Rakyat mempunyai peluang yang cukup elok. Kalaulah agensi kerajaan ini tahu mereka diperalatkan maka mereka tidak membenarkan diri mereka diperalatkan. Maka pada pilihan raya umum ke-13 atau pembubaran Dun Perak tidak lama lagi ia memberikan masa depan yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat.

Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam di Isnin, April 13, 2009 0 ulasan

Undi Melayu tidak merosot, undi Cina makin bertambah. Bukti PAS kian diterima oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini!




"Saya masih ingat pada tahun 1994, ketika Tuan Guru Nik aziz dalam kempen pilihan raya kecil Lundang beliau pernah mengatakan akan tiba satu masa duit tidak lagi laku dalam pilihan raya. Jadi pada hari ini sudah terbukti apa yang pernah dikatakan oleh beliau" kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika interbiu Salmiyah harun. Beliau turut mengulas lanjut berhubung keputusan pilihan raya Bukit Gantang yang memberi tamparan hebat kepada BN.

Keputusan di Bukit Gantang akhirnya memberi kemenangan kepada rakyat, bagaimanapun nampaknya BN tetap menafikan keputusan itu adalah referendum rakyat? Apa komen Dato'?

DATO' WAN ABDUL RAHIM: Keputusan pilihan raya ini memberikan suatu gambaran semasa tentang sikap dan pendirian pengundi Bukit Gantang yang bagi saya merupakan satu bentuk referendum walaupun dinafikan oleh BN.
Tetapi dari sudut masanya, inilah peluang rakyat Bukit Gantang khususnya, dan rakyat negeri Perak umumnya menyatakan sikap mereka mengenai apa yang berlaku peralihan kuasa di Perak.
Ini dibuktikan dengan pengakuan oleh Dato' Zambry Abdul Kadir ketika mengulas pada pengumuman keputusan pilihan raya baru-baru ini, bahawa keputusan ini adalah satu petanda sikap rakyat ke atas apa yang berlaku di Perak.
Ini juga secara rasminya adalah referendum rakyat. Apa yang penting semua pihak meneliti keputusan ini, yang jelas daripada rakyat Perak yang menghadapi kegawatan politik yang sedang berlaku.

Perak mempunyai majoriti 50-50 di kalangan Melayu dan Cina. Daripada pemerhatian Dato' bagaimana 'trend' pengundian di Bukit Gantang?

Trend pengundian menunjukkan pengundi-pengundi Cina dengan jelas menggambarkan sikap mereka dalam pemilihan antara PAS dengan Umno. Apa yang dicapai di daerah mengundi yang mempunyai 97 peratus pengundi Cina misalnya di Kuala Sepetang.
Di sini PAS mendapat undi 85 peratus daripada pengundi Cina. Saya membuat kesimpulan ini bahawa 85 peratus daripada masyarakat Cina menyokong Pakatan Rakyat. 85 peratus undi popular diberikan kepada PAS manakala 15 peratus sahaja kepada BN.
Oleh kerana pengukuran sokongan Cina kepada PAS hanya boleh dibuat di sini, kerana Melayu daripada 3,300 orang sahaja, di tempat-tempat lain pengundi Cina dan Melayu bercampur-campur. Kalau kita hendak tahu sikap pengundi Cina... Kuala Sepetanglah tempat yang sesuai.

Adakah ini pencapaian terbaik?

Pencapaian ini bukan sahaja PAS tidak pernah dapat di kalangan masyarakat Cina, tetapi DAP juga sebelum ini hanya mendapat 80 peratus sahaja. Jadi 84 peratus ini adalah satu rekod baru.
Jadi apabila kita lihat majoriti kemenangan kita bertambah, begitu juga undi PAS. Ini memberikan satu tanda yang baik mengenai ketuanan rakyat sebagaimana yang dikatakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Di mana apabila berlakunya demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan, akhirnya rakyatlah yang membuat penentuan.
Di Bukit Gantang dan Bukit Selambau merupakan satu landasan dimana rakyat telah menyatakan kematangan sikap dan kemahuan masing-masing. Walaupun institusi yang ada dalam negara tidak memihak kepada PAS misalnya SPRM, polis, istana, mahkamah... itu tidak mengapa.
Akhirnya rakyat yang membuat keputusan. Dalam amalan demokrasi ini juga memberi petanda dan harapan baru bahawa dalam pilihan raya umum ke-13 nanti kita akan meraihkan kemenangan di luar jangkaan.

Dalam siri pilihan raya kecil bermula Permatang Pauh, Kuala Terengganu, dan terkini di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, BN nampaknya sudah ditolak habis-habisan oleh rakyat. Apa yang boleh kita gambarkan keadaan BN ini?

Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang akan membuat 'post-morterm' di kalangan badan bebas untuk mencari punca kekalahan BN di dalam pilihan raya kecil. Saya rasa BN bukan memerlukan 'post-morterm', ini kerana 'post morterm' di Permatang Pauh belum pun keluar lagi begitu juga di Kuala Terengganu.

Apa post morterm yang mereka hendak buat?

Apa yang mereka perlukan ialah 'soul searching' bermakna mereka kena fikir balik asas BN itu sendiri. Saya melihat bahawa pada tahap sekarang ini rakyat dan pengundi tidak boleh di perbodohkan, ini bukan tahun 60an.
Tahap pendidikan dan pemikiran, jadi rakyat sudah pandai memilih. Peranan media tradisi atau yang sedia ada ini, memang tidak mampu untuk mempengaruhi sikap pengundi dalam pilihan raya.
Saya masih ingat pada tahun 1994, ketika Tuan Guru Nik Aziz dalam kempen pilihan raya kecil Lundang beliau pernah mengatakan akan tiba satu masa duit tidak lagi laku dalam pilihan raya. Itulah Tuan guru pernah mengatakan bagi duit ambil, bagi kain pakai dan bagi gula kacau. Jadi pada hari ini sudah terbukti apa yang pernah dikatakan oleh beliau dulu.
Di Bukit Gantang dan Bukit Selambau ini, banyak mana BN mencurahkan duit atau bantuan tidak mempengaruhi pengundi sebagai mana berlaku di Kuala Sepetang. Sewaktu berkempen hampir tiap-tiap malam BN mengagihkan hadiah, sumbangan, bantuan duit tetapi tidak menjejaskan undi kita.
Janji BN yang hendak menyelesaikan masalah air di Kuala Sepetang, sedangkan sepenggal yang lalu BN juga yang menjadi wakil rakyat di sana bagaimana pun masalah ini tidak selesai juga. Sekarang masalah perparitan di Kuala Sepetang masih berlaku. Akhirnya rakyat naik muak dan menolak segala bentuk habuan untuk memujuk mereka menyokong BN.

Nampaknya, BN sudah ditolak mentah-mentah oleh kaum Cina dalam pilihan raya ini, bagaimana Dato' melihat situasi Umno sendiri pada masa akan datang berdepan dengan pilihan raya umum nanti?

Untuk masa depan Umno perlu bergantung kepada pengundi di kawasan yang mempunyai 70 peratus orang Melayu jika untuk menang. Kalau kurang daripada itu, seumpama di Bukit Gantang yang mempunyai 62 peratus pengundi Melayu ia tidak mampu untuk menang, kerana penguasaan pengundi Melayu cuma 50 peratus dan paling tinggi ialah 53 peratus, tetapi apabila masyarakat bukan Melayu tidak memberikan sokongan kepada BN maka sukar untuk BN meraih undi.
Satu tugas yang berat jika BN mahu mengambil balik undi Cina dan India. Ataupun mungkin rakyat boleh melihat sejauh mana kekuatan Perdana Menteri kita yang baru ini. Buat masa ini semakin banyak Umno bercakap semakin kuat pengundi Cina lari.
Kita lihat apa yang dikatakan oleh Dato Hishamuddin baru-baru ini, menegaskan Melayulah yang memulakan perjuangan kemerdekaan. Mereka menganggap orang di sekelilingnya tidak peka dengan apa yang beliau ucapkan sehinggakan pimpinan tertinggi MCA mempertikaikan kenyataan mereka itu.
Keris yang selalu dijulang oleh bekas ketua Pemuda Umno itu, dan berharap beliau tidak lagi menghunus keris 'telanjang' itu di khalayak ramai. Ini satu perbuatan samseng yang mana bukan sahaja masyarakat Cina tidak boleh menerima bahkan orang Melayu pun tidak boleh menerima.

Majoriti di Bukit Gantang bertambah sekali ganda. Bagaimana pun ada dakwaan undi Melayu untuk PAS merosot? Bagaimana Dato' melihat senario ini?

Saya masih hendak mempertikaikan bacaan daripada Pengarah Pilihan Raya Perak Asmuni Awi. Mungkin beliau ada kaedah pengiraan yang khusus, tetapi saya melihat tempat-tempat seumpama di Kemunting Station yang mempunyai 90 peratus undi Melayu.
Memang kita kalah di sini. Tetapi sedarkah kita dalam pilihan raya umum 2008 kita kalah majoriti 500 lebih, tapi kini kita kalah majoriti 400, jadi macam mana kita nak kata undi Melayu merosot.
Saya juga mendapati memang undi Melayu kita meningkat, walaupun kita tidak sampai 50 peratus, tetapi pengurangan majoriti itu cukup jelas. Saya melihat pengukuran undi Melayu ditempat yang mempunyai 100 peratus Melayu, manakala pengukuran undi Cina di kawasan yang mempunyai 90 peratus undi Cina. Di kalangan Cina jelas dan di kalangan Melayu pun jelas.

Dengan kemenangan selesa ini, apa yang perlu PAS lakukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti?

Untuk masa depan keputusan ini memberi suatu mesej kepada PAS dan pemimpin PAS bahawa mereka harus melipatkan ganda usaha. Kerana tidak ada parti lain yang mampu melawan Umno seumpama PAS yang mana kedua-dua parti bergerak dalam kawasan Melayu.
Apa yang diperkatakan oleh Tun Musa Hitam yang mana mengatakan Umno sedang mengalami penyakit tua yang tidak mempunyai ubat hanya menunggu mati.
Dan kita lihat daripada pengishtiharkan kabinet pun nampak cukup terang dan jelas, yang menang tidak diberikan tempat sebaliknya yang kalah diberi jawatan. Tidak tahulah tidak pasti apa hujah yang digunakan BN. Ketua pemuda pula tidak diberi tempat sebaliknya timbalan pula yang dilantik menteri. Suasana ini saya lihat ianya agak kurang sopan.

Bagaimana respons masyarakat Melayu di Bukit Gantang terhadap PAS?

Orang Melayu di Bukit Gantang seolah-olahnya terabai. Misalnya apabila petugas muslimat hadir berkempen di salah sebuah rumah pengundi Melayu, memang pada peringkat awal kurang mendapat respons tetapi semangat berkempen di kalangan jentera kita yang tidak berputus asa terus juga turun ke rumah-rumah.
Akhirnya mereka menerima petugas kita sehingga kita boleh ke dapur mereka menggoreng keropok. Ada ketua wanita yang meninggalkan program Umno kemudian hadir ke program cakna PAS malah ada yang terasa bahawa muslimat PAS mendekati dan menyantuni mereka sehingga mereka tertarik.
Maknanya jika PAS tidak sampai tahap itu boleh jadi peti undi seperti Sungai Limau, Kampung Menteri, Batang Gelugur yang mana jentera PAS sukar untuk menembusi hingga ke akar umbi.
Apabila kita hadir dengan pembantu dari luar kita diterima baik. Kita dapat meningkatkan usaha kita mendekati pengundi di peringkat akar umbi.

Dua isu yang dominan dimainkan olah BN iaitu derhaka dan Nizar boneka DAP, sejauh mana isu ini boleh mempengaruhi undi PAS?

Saya tidak fikir isu ini boleh mempengaruhi undi. Saya lihat Nizar adalah satu peluang. Bahawa orang tidak tahu ada manusia seumpama Nizar.
Orang kata kepimpinan dalam PAS seperti Allayarham Dato' Fadhil Noor, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi, adalah ulama yang memimpin parti adalah kelebihan PAS. Apabila Nizar dalam tempoh tidak sampai setahun boleh membuktikan pengaruhnya walaupun beliau bukannya hasil daripada pondok tetapi dia menjadi satu aset kepada PAS.
Beliau ini macam 'revealation'. Pendek kata, kita tidak menyangka beliau ini bukan sahaja intan tetapi batu geliga. Sebagai Menteri Besar dan ketua Kerajaan Perak, kadang-kadang boleh menenggelamkan orang lain.
Bukan sahaja orang Cina tetapi seluruh rakyat melihat Nizar mempunyai peribadi yang baik untuk menjadi ketua kerajaan dalam masyarakat majmuk seperti di Perak.

Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam di Isnin, April 13, 2009 2 ulasan

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons