Khamis, 16 April 2009

Peranan Ahli Majlis sangat penting

Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

JITRA, 15 April: Ahli Majlis merupakan entiti penting dalam sesebuah kerajaan kerana ia merupakan kerajaan ketiga selepas Kerajan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang berperanan bukan sahaja mewakili penduduk malah terlibat dalam pembentukan dasar dan membuat serta meluluskan undang-undang kecil dalam daerah terlibat.

Ahli Majlis hendaklah memainkan peranan dalam komuniti setempat dengan berkesan terutama dalam hal-hal penyampaian maklumat berhubung dasar-dasar kerajaan supaya ia tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli masyarakat tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Haji Phahrolrazi Haji Zawawi berkata, setiap permasalahan yang timbul di kalangan penduduk dan komuniti setempat perlu diberi penerangan yang jelas supaya tidak berlaku kekeliruan mengenai sesuatu dasar tempatan yang diguna pakai.

Apa-apa masalah rakyat yang timbul, katanya, perlu dirujuk kepada ahli majlis dan diselesaikan dengan mengambil tindakan yang berhemah di peringkat tempatan.
“Berilah satu pandangan dari sistem yang boleh menyelesaikan satu masalah yang timbul dalam sesebuah komuniti bagi mengelakkan berlakunya sensitiviti dalam sesebuah masyarakat setempat,” ujarnya.

Dengan adanya sikap persefahaman, katanya, masalah dapat diselesaikan dengan mudah.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat bersama ahli majlis dan pihak pentadbiran Majlis Daerah Kubang Pasu selepas mengadakan lawatan ke Majlis Daerah Kubang Pasu, di sini.

Beliau menjelaskan, sensitiviti dalam sesebuah masyarakat perlu dipertimbangkan dalam menyelesaikan dan menerangkan sesuatu dasar supaya tidak menjejaskan pihak pentadbiran Kerajaan Negeri.

Beliau menjelaskan, setiap ahli masyarakat berhak untuk memahami sesuatu dasar dan perlaksanaan dasar tersebut di peringkat tempatan supaya tidak timbul sensitiviti dalam komuniti tersebut.

“Bukan sahaja di peringkat Kerajaan Negeri, sistem pentadbiran tempatan juga mempunyai banyak dasar yang perlu diperjelaskan oleh ahli majlis kepada masyarakat,” jelasnya.
Tambahnya, perjumpaan dari semasa ke semasa perlu dibuat bagi mengetahui perkembangan di setiap kawasan jajahan supaya sistem dan dasar yang diperkenalkan berjalan dengan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah kepada anggota masyarakat setempat.

Beliau juga turut menyarankan supaya aspek kebersihan perlu diberi penekanan seperti sistem pembuangan sampah dan sisa makanan yang mana tidak menjadikan sungai sebagai satu alternatif tempat membuang sampah yang mudah.

Menurutnya, sikap tanggungjawab adalah amat penting dalam memastikan perlaksanaan sesuatu dasar mencapai objektifnya tanpa mengganggu lantas memberi kesan sensitiviti kepada anggota masyarakat di sesebuah kawasan.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons