Mohd Nor Yahya
Fri | Mar 27, 09 | 3:56:16 pm MYT
KOTA BHARU, 27 Mac (Hrkh) - Tindakan terbaru kerajaan Barisan Nasional (BN) menggantung permit akhbar oposisi dianggap sebagai tindakan jahat dan takut kepada kebenaran terbongkar.
Malah bagi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tindakan Kementerian Dalam Negeri (DKN) itu tidak sekali-kali menghalang rakyat bagi mendapatkan maklumat yang kini berada di hujung jari.
"Sumber maklumat sekarang sudah banyak seperti internet, blog, telefon, SMS dan sebagainya yang ternyata lebih berkesan dan cepat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mr Ashok K. Kantha di pejabatnya baru-baru ini.
Petang Isnin lalu KDN menggantung permit kedua-dua akhbar oposisi yang berpengaruh di negara ini iaitu Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebagai tindak balas terhadap tindakan KDN, rakyat di negara ini disaran tidak membeli akhbar harian yang didukungi Umno dalam tempoh tiga bulan.
Menurutnya tindakan KDN yang diterajui pemimpin Umno jelas mahu menyekat pengaruh Pakatan Rakyat yang semakin meluas sekarang.
"Kalau nak kata akhbar oposisi buat fitnah dan menghasut, kita tengok sekarang ramai juga ahli parlimen yang pernah ditahan ISA memenangi pilihan raya kerana sokongan rakyat.
"Macamana rakyat boleh mengundi dan memberi kepercayaan kepada mangsa tahanan ISA yang dianggap kerajaan boleh mengancam keselamatan negara. Jadi peranan akhbar oposisilah menjelaskan tomohan itu tidak benar sehingga pemimpin terbabit menang dalam pilihan raya," katanya.
Kata beliau tindakan menahan seseorang pemimpin politik ke dalam ISA bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara, sebaliknya mengancam kedudukan Umno sehingga makin hilang pengaruh.
"Saya yakin tindakan mereka bermotif politik ketika menjelang pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.
"Dendam yang membuak dalam dada pemimpin Umno menyebabkan mereka bertindak di luar batasan. Tindak tanduk mereka seperti Israel yang dendam terhadap umat Islam," katanya.
Oleh itu beliau berkata, tindakan pemimpin Umno menyekat akhbar milik Pakatan Rakyat menyebabkan kebencian rakyat terhadap Umno dan BN semakin menjalar. - mks._
Sabtu, 28 Mac 2009
Boikot akhbar pro-Umno 3 bulan - Nik Aziz
Sabtu, Mac 28, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan