Ahmad Lutfi Othman
Thu | Mar 26, 09 | 12:31:10 pm MYT
Penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan memang mengejutkan. Saya juga pelik memikirkan rasional di sebalik tindakan tidak bertamadun itu, terutama dalam konteks kepentingan Umno-BN yang kini "menggelepar", apatah lagi ketika berdepan tiga pilihan raya kecil yang cukup kritikal itu? Walaupun momentum Permatang Pauh dan Kuala Terengganu mesti disekat tetapi jalan yang dipilih boleh mengundang padah yang lebih celaka. Zaman sudah berubah namun Umno kekal sombong dengan pendekatan usang yang memerangkap diri.
Menutup akhbar adalah langkah primitif si bacul yang gentar untuk bersemuka dengan kebenaran. Ia hanya membayangkan kekerdilan jiwa, kemandulan idea, kelemahan daya tahan dan manifestasi minda tertutup kelas tiga. Sukar dibayangkan, di zaman langit terbuka, maklumat mudah dipetik di hujung jari, kemudahan jalur lebar internet dimantapkan dengan dana besar kerajaan, tiba-tiba pemerintah mengambil sikap bebal menolak keterbukaan. Lebih malang apabila sanggup berbohong dan berdalih palsu, semata-mata mahu menegakkan benang basah.
Gantung tiga bulan - mendekati 100 hari - merupakan satu tempoh yang terlalu panjang bagi sebuah akhbar. Selama ini Harakah terbit mengikut jadual termasuk di zaman Dr Mahathir Mohamad. Harus diingat permit Harakah diberikan pada 1 Mac 1987, ketika Umno bergolak hebat, di ambang kehancuran. Malah, apabila Mahathir menambah kekerapan Harakah daripada sekali seminggu kepada dua kali seminggu, pada 18 Jun 1990, negara bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum yang agak kritikal buat Umno apabila Tengku Razaleigh Hamzah berjaya membentuk pakatan Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat. Justeru, adalah silap besar jika Najib Razak merasakan sokongan terhadap Umno dapat dipulihkan jika seteru politiknya dikuburkan terlebih dahulu.
Pendekatan mendera Najib hanya membawa mesej negatif yang sama sekali tidak menguntungkannya. Umno memang perlukan perubahan segera, jika tidak ia sendiri akan diubah oleh rakyat dengan mengalihkannya daripada kerusi kuasa. Anehnya, selepas setahun dikejutkan tsunami 8 Mac 2008, Umno bukan sahaja membeku di takuk lama, malah nampak semacam mereput. Saya ramalkan Najib mungkin akan dikenang sebagai Perdana Menteri BN yang terakhir. Alasannya, anak Tun Razak ini masih terikat dengan mentaliti lama dan takut bersaing dalam gelanggang terbuka. Dan anak-anak muda sedang memerhatikan gelagat Najib sambil memberi markah atas upaya dirinya.
Secara peribadi, agak lama juga saya tidak aktif dalam kerja-kerja mempromosi kebebasan media. Namun, penggantungan Harakah bagai menyentak rasa peduli saya terhadap usaha membebaskan segala belenggu yang merantai dunia kewartawanan. Tindakan KDN itu, yang cuba dijustifikasi menterinya, Syed Hamid Albar perlu diberi sanggahan secukupnya, biar bergemerincing paluan gendang perang sebagai muzik latarnya. Syed Hamid mendakwa Harakah dan Suara Keadilan memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan percubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin. "Pegawai KDN beberapa kali memanggil dan menasihati mereka tetapi kelihatan ia terus menggunakan cara keterlaluan untuk mempromosi ideologi politik," tambahnya.
Meneliti daleh Syed Hamid itu, saya bimbang beliau tidak bercakap benar atau tidak mendapat maklumat tepat dari pegawainya. Kami kerap dipersalahkan kerana menjual Harakah di tempat awam kepada bukan ahli PAS dan kandungan Harakah sendiri yang memaparkan juga bahan-bahan selain berita PAS. Syarat "karut" itu, bagi saya, harus digugurkan. Kempen mesti dilancarkan di seluruh negara bagi membuang segala peraturan "tidak munasabah", sekali gus menggesa agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dimansuhkan. Mungkin kempen 2 bukit dapat dijadikan landasan kukuh untuk menyedarkan rakyat tentang undang-undang "karut-marut" ini.
Bagaimanapun, dalam masa tiga bulan ini, kami akan mencari jalan keluar dengan terus menerbitkan tabloid tidak berkala, selain lebih aktif mengemaskinikan Harakahdaily. Kami cuba membuktikan bahawa Najib sebenarnya silap besar menggantung Harakah. Episod ini pasti sukar dilupakannya jika kemudian hari nanti ternyata benar Umno terlungkup di zaman pemerintahannya dan beliau mencatat rekod sebagai Perdana Menteri BN yang terakhir. _
Khamis, 26 Mac 2009
Arahan Najib dan jerat Harakah
Khamis, Mac 26, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan