Isnin, 30 Jun 2008

Jaminan keselamatan Anwar - Wan Azizah mahu jumpa PM

Mohd Rashidi Hassan | Foto Nasir Sudin
Tue | Jul 01, 08 | 1:45:48 am MYT


KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) - Ketau Pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengutus surat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kes yang membabitkan suaminya, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Wan Azizah mewakili pemimpin Pakatan Rakyat menghantar surat rasmi untuk memohon pertemuan dengan Abdullah berhubung soal keselamatan dan pertuduhan ke Imageatas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Surat tersebut telah diterima oleh Pejabat Perdana Menteri pada jam 3:15 petang tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nasution Ismail menegaskan, Pakatan Rakyat memerlukan PM memberikan jaminan tersebut kerana berdasarkan kes Anwar 1998, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipukul polis pada malam beliau ditangkap.

"Yang memukulnya ialah Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor, sehingga menyebabkan kecederaan yang membahayakan nyawa Anwar, oleh kerana itu jika kita tidak jamin perkara yang sama boleh berulang.

"Oleh kerana itu kami yang mendesak beliau untuk berlindung, beliau memang tidak mahu (ke Kedutaan Turki), namun pada kami, nyawa beliau terancam, itu yang lebih bahaya," tegasnya.

Bagi Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, Ketua Umum KeADILan itu tidak pernah meminta perlindungan politik atau asylum daripada Kerajaan Turki.

Katanya, yang penting kerajaan memastikan keselamatan Anwar dan anggota keluarganya yang sentiasa terdedah kepada ancaman.

"Kami masih belum boleh mempercayai polis dan sistem kehakiman Malaysia, pengalaman kami dengan kedua-dua institusi ini amat buruk.

"Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan adalah orang yang terbabit dalam kes 1998, adakah mereka (Umno/BN) mahu kami serahkan Anwar dan mempercayainya bulat-bulat?," Soal Azmin.

Manakala bagi Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, dakwaan terbaru terhadap Anwar adalah semata-mata merupakan usaha pihak tertentu untuk mengalihkan kes Altantuya.

"Kita boleh lihat satu dua hari ini, orang seolah-olah lupa kes Altantuya, sedangkan kes itu amat besar, mereka berjaya alihkan isu," ujarnya.

Katanya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat sudah membuat kenyataan yang jelas semalam, bahawa kes Anwar semata-mata merupakan satu lagi teori kospirasi yang bertujuan merencatkan usaha Anwar membentuk kerajaan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menafikan beliau terlibat dalam kes dakwaan liwat terhadap Anwar Ibrahim biarpun pengadu (Saiful Bukhari Azlan) bergambar dengan Pegawai Khasnya (Khairil Anas Yusof).

Berikut disiarkan kenyataan rasmi Pakatan Rakyat hari ini

KENYATAAN AKHBAR PAKATAN RAKYAT DAKWAAN TERHADAP ANWAR IBRAHIM - RAKYAT JANGAN TERPEDAYA

Pakatan Rakyat percaya bahawa laporan polis yang dibuat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya beliau meliwat seorang pembantunya tidak lebih daripada hanya pengulangan pertuduhan tahun 1998 bagi menghancurkan karier politik beliau. Ini dilakukan sebagai tindakbalas kepada kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat dalam masa terdekat.

Skandal 1998 telah memperlihatkan bagaimana seluruh institusi negara dimanipulasi bagi kepentingan pihak tertentu yang akhirnya dibuktikan satu demi satu pada hari ini. Kredibiliti kerajaan pusat akan hilang di mata rakyat, keyakinan pelabur akan terjejas dan nama Malaysia di mata dunia akan tercemar. Proses membangunkan semula negara akan terganggu dan memakan masa.

Oleh itu kami menyeru agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan adil dan telus terhadap dakwaan ini.

Oleh kerana kredibiliti Polis DiRaja Malaysia sudah hilang di mata rakyat apabila Ketua Polis Negara pada ketika itu sendiri menyebabkan kecederaan kepada Dato� Seri Anwar Ibrahim sewaktu skandal 1998, kami menuntut agar suatu badan bebas khas ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terbaru ini.

Dato' Seri Anwar juga percaya terdapat cubaan yang mengancam nyawa beliau sehingga memaksa beliau meminta perlindungan di Kedutaan negara luar.

Pihak berkuasa perlu mengambil segala tindakan yang sepatutnya demi menjamin keselamatan beliau dan memberikan peluang sewajarnya untuk beliau mempertahankan diri bagi dakwaan kali ini.

Dokongan Terhadap Gabungan PROTES

Kami juga menyeru rakyat Malaysia agar tidak hilang fokus terhadap permasalahan sebenar yang memberikan kesan kepada kehidupan harian iaitu kenaikan harga minyak yang telah dibuat tanpa kewajaran.

Sekali lagi Pakatan Rakyat mengulangi sokongan penuh kepada Gabungan Protes yang berkempen mendesak penurunan harga minyak sebagai langkah utama untuk mengurangkan beban rakyat. Pakatan Rakyat akan turut hadir bersama Gabungan Protes pada 6 Julai 2008 di Padang Timur, Petaling Jaya untuk memberi sokongan penuh kepada rakyat.

YB Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KeADILan

YB Ustaz Nasharudin Mat Isa
Timbalan Presiden PAS

YAB Lim Guan Eng
Setiausaha Agung DAP _

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons