Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Dewan Pemuda PAS mahu terus dilihat sebagai kilang utama melahirkan generasi ke dalam PAS. Bersama perubahan global, Dewan Pemuda PAS menyusun langkah teratur membangunkan pelapis kepimpinan yang bukan sahaja mempunyai sahsiah dan integriti tinggi, malah mempunyai ciri-ciri kepimpinan berketerampilan, berwawasan dan strategis untuk parti, negara dan dunia. Melalui Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) yang diwujudkan, Dewan Pemuda PAS Pusat merangka dan melaksanakan polisi serta program ke arah menjayakan matlamat tersebut. Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIM menemubual Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof selaku Pengerusi AKP dalam meneroka cita-cita besar Dewan Pemuda PAS pada Program Latihan Kompetensi Bersepadu Dewan Pemuda PAS yang dikendalikan AKP di Shah Alam, 28 Februari lalu.
Harakah: Boleh saudara jelaskan serba ringkas latarbelakang AKP ?
Ahmad Sabki: AKP adalah satu unit atau jabatan yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat di mana kedudukannya adalah untuk menggerakkan usaha meningkatkan keupayaan sumber manusia di dalam Dewan Pemuda, sama ada keupayaan pimpinan, mahupun keupayaan tenaga kerja pendokong. Jadi AKP merupakan kesinambungan kepada unit-unit lain yang sedia ada dalam Dewan Pemuda di mana bekerja untuk meningkatkan keupayaan sumber manusia seperti Lajnah Tarbiah dan unit-unit yang ditugaskan untuk mengkaderkan, mencari dan merekrut tenaga-tenaga pimpinan dan pendokong pemuda seperti unit Jabatan Pengkaderan Pelajar (JPP), Jabatan Pengkaderan Mahasiswa (JPM), Jabatan Pengkaderan Graduan (JPG) yang ada dalam Dewan Pemuda. Tugas-tugas unit ini kesemuanya bukan sahaja membekal dan meningkatkan keupayaan tenaga manusia untuk Pemuda, tetapi mereka membentuk tenaga dan membina tenaga manusia ini untuk PAS itu sendiri. Sebab itu selain dalam JPP, JPM dan JPG, kita juga melibatkan wakil dari Dewan Muslimat dan Dewan Ulama. Dan AKP merupakan salah satu yang terbaru dalam kumpulan unit-unit ini dan dalam PAS.
Jika dilihat, program AKP lebih menjurus kepada kemahiran keorganisasian dan politik. Bagaimana dengan program pentarbiahan seperti usrah, muqayyam, tamrin dan seumpamanya yang selama ini menjadi pengukuh akidah, fikrah dan sahsiah perjuangan?
Itu sebenarnya falsafah dan kelainan yang ada pada AKP. Secara falsafahnya kita melihat usaha pengukuhan tenaga manusia ini kalau kita mengkaji buku-buku di barat sekalipun, untuk membina seorang menjadi ‘credible’ mereka mengatakan bahawa seorang itu pertamanya mesti mempunyai sifat karektor yang baik atau disebut juga karektor dan kedua mesti mempunyai kompetensi. Ini dua perkara yang biasa disebut untuk membina seorang manusia itu menjadi ‘credible’, efektif, hebat! Saya mencari falsafah yang sama dalam Islam dan saya dapati ciri-ciri seorang pemimpin dan pekerja yang baik sepertimana dalam Surah al-Qashash menyebut “Sesungguhnya yang terbaik untuk diambil bekerja ialah mereka yang mempunyai sifat ‘al-Qawwiy’ dan ‘al-Amin’”. Jadi dua sifat iaitu ‘al-Qawwiy’ dan ‘al-Amin’ ini sama juga seperti yang disebut dalam teori penulisan barat tadi. ‘Al-Amin’ itu menunjukkan integriti, menunjukkan kekuatan karektor seseorang dan ‘al-Qawwiy’ itu menunjukkan kompetensi; kekuatan dan keupayaan seseorang untuk melaksanakan tugas. Kedua-dua sifat ini, sifat yang baik. Sifat berpegang kepada nilai-nilai baik dan menolak nilai-nilai jahat mesti ada pada seseorang. Pada masa sama tidak cukup dia jadi orang yang baik, dia juga mesti mampu jadi seorang yang melaksanakan tugas, ini disebut sebagai kompetensi. Jadi di sinilah peranan yang dimainkan AKP di mana kami menekankan soal kompetensi kerana kami percaya dalam PAS ini sudah ada satu proses pembangunan keupayaan manusia yang cukup baik dengan membangunkan sifat ‘al-Amin’ tadi. Penekanan soal pembangunan seorang insan yang bersahsiah tinggi dan mempunyai karektor baik dan sifat-sifat baik, mempunyai integriti dan sifat-sifat amanah, ini sejak dahulu lagi terbina dalam PAS sebagai sebuah jamaah Islam. PAS telah mengambil proses pembangunan sumber manusia dalam aspek yang kita namakan sebagai tarbiah. Ini telah berjaya dan terbukti berjaya sehingga baru-baru ini para penganalisa politik telah mengatakan bahawa daripada survey yang dijalankan, masyarakat melihat PAS adalah sebuah parti politik yang berintegriti dan ada kekuatan karektor yang kuat berbanding parti-parti lain seperti kita tidak ada kes melompat dan sebagainya. Ini terbukti dan ini adalah hasil pembinaan tarbiah yang kita pasakkan daripada lebih 50 tahun dahulu, sejak PAS ditubuhkan lagi, dan kekuatan tarbiah ini berjaya membina sifat ‘al-Amin’. Maka biarpun kita berjaya, kita perlu ada penambahbaikan lagi, bukan sahaja penekanan pada sifat ‘al-Amin’, mungkin kita masih kurang memberi perhatian kepada sifat ‘al-Qawwiy’ atau kompetensi. Jadi peranan AKP untuk menambahbaik membangunkan sifat ‘al-Qawwiy’ bergandingan dengan tarbiah membangunkan sifat ‘al-Amin’ dalam diri pemimpin dan pendokong Pemuda. Di situlah kedudukan AKP dan kita melancarkan ‘Polisi Latihan Kompetensi Bersepadu Dewan Pemuda PAS’ pada dua hari lepas atas semangat ini.
Mungkin saudara boleh ‘gambarkan’, bagaimana individu yang dikatakan sebagai ‘al-Qawwiyul amin’ itu?
Ya, itu hasrat kita. Objektifnya, apabila kita sudah ada program AKP ini dan dengan harapan program tarbiah berjalan baik dan cemerlang dan kedua-dua program ini ada, pembangunan sahsiah ada, pembangunan kompetensi ada dan berjalan serentak dalam parti kita, saya percaya, suatu hari nanti kita boleh melahirkan pemimpin-pemimpin dan pendokong parti yang boleh disebut sebagai ‘al-Qawwiyul amin’. Pendokong parti yang mempunyai sifat bersih, amanah, berintegriti, yang memegang nilai-nilai baik, menolak nilai-nilai jahat, pada masa sama mereka juga orang yang berwawasan, bersistematik, mereka juga adalah orang yang berstrategis dan mempunyai kekuatan untuk melaksanakan tugas dengan strategik, mereka juga berdisiplin, efektif dan kompeten. Mereka merupakan ahli-ahli politik yang hebat juga merupakan ahli masyarakat yang hebat. Ini perkara yang kita masukkan dalam latihan kompetensi pemuda. Dengan adanya kesemua elemen ini, insya-Allah kita boleh dan akan melahirkan pemimpin yang bukan sahaja mampu memimpin parti dengan baik, tetapi mampu dilihat oleh masyarakat sebagai pemimpin negara malah boleh dilihat masyarakat dunia sebagai pemimpin dunia.
Maksud saudara, ‘produk’ AKP ini akan membarisi kepimpinan parti dan negara di masa depan?
Ya betul, sasaran kita bukan melahirkan pemimpin yang boleh mengurus parti sahaja tetapi menyediakan mereka untuk memimpin negara dan dunia. Itu tujuan kita.
Merujuk kepada ucapan dan penekanan pada program ini, dilihat sarat dengan saranan agar berubah selain agenda besar masa depan. Adakah Pemuda PAS merasakan ketinggalan berbanding kawan dan lawan pada ketika ini?
Kita tidak ketinggalan, malah kita ke depan dalam soal ini. kita percaya, untuk membina pengukuhan dan penambahbaikan, kita mesti melihat kepada penambahbaikan dari sudut keupayaan diri. Ini kadang-kadang kita terabai kerana kita menumpu kepada soal operasi sehingga lupa untuk menumpukan soal jati diri. Saya percaya ia berjalan serentak kerana pada masa sama, dalam Dewan Pemuda bukan ada AKP sahaja, kita ada lajnah-lajnah lain yang masing-masing juga berperanan. Mereka berperanan baik pada kerja-kerja politik, penerangan dan pada masa sama, yang dipertanggung jawabkan kepada soal pengukuhan tenaga manusia dalam parti sepertimana AKP yang mesti menumpukan perhatian kepada perkara ini. Malah kita ke depan kerana kita percaya, inilah kekuatan untuk jangkamasa panjang yang mana ini tidak ada dalam parti-parti politik lain terutamanya dari sudut pembangunan tarbiah. Terbukti bila mereka tidak ada sistem tarbiah dalam parti contohnya lawan kita, Umno, mereka menjadi parti yang bermasalah sekarang ini. Politik wang, korupsi dan segalanya, kerana mereka tidak ada nilai ‘al-Amin’ ini.
Atau mungkin dalam perkembangan politik negara ketika ini menyebabkan Pemuda PAS merasa terancam lalu bertindak mengejar peluang?
Itu bukan rasa terancam, tetapi lebih kepada persediaan. Kerana kita percaya, apabila kita memikul tanggung jawab yang lebih besar sepertimana sekarang, kelihatannya rakyat sudah memberi perhatian kepada kita. Kita harus bersedia untuk suatu hari nanti rakyat memberikan mandat untuk kita memerintah. Mana mungkin kita memerintah sebuah negara kalau kita tidak mempunyai kompetensi. Mana mungkin kita boleh menguruskan sebuah negara, negeri, mengurus majlis-majlis peringkat perbandaran di kawasan kalau kita tidak mempunyai daya kompetensi yang tinggi bersama dengan daya integriti yang kukuh. Sekarang ini kita mempunyai daya integriti yang kukuh, mungkin. Tetapi itu belum tentu cukup untuk kita menguruskan pentadbiran yang begitu kompleks. Sebab itu kita menekankan soal persediaan dari sudut kompetensi ini. Ini masa yang penting yang kritikal untuk kita menyediakan diri kita. Bukan rasa terancam tetapi membuat persediaan lebih awal. Ini juga sebagai penerusan kepada kerja-kerja lain.
Sebagai pemimpin Pemuda, bagaimana saudara melihat kualiti para Pemuda PAS pada hari ini berbanding kualiti Pemuda PAS pada era sebelum ini.
Saya lebih melihat secara umum. Bila saya membuat ukuran termasuk diperingkat Pemuda Pusat, Pemuda Negeri, Pemuda Kawasan, saya percaya kita masih banyak ruang untuk penambahbaikan. Jadi kita tidak boleh berhenti dan berpuas hati dengan apa yang ada dari sudut pembinaan. Program AKP ini dalam polisi yang kita lancarkan kelmarin (26 Februari), dia merangkumi semua, latihan untuk Pemuda Pusat, Negeri dan Kawasan, dan kita juga sediakan latihan untuk pemimpin-pemimpin pelapis muda di bawah umur 30 tahun untuk mempersiapkan mereka dengan latihan yang sesuai untuk mereka berdepan dengan zaman mereka nanti. Jadi kita cuba sediakan latihan ini kepada semua peringkat.
Jika sebelum ini Dewan Pemuda mempunyai Unit Kerja Jamaah (UKJ) di mana ukuran pencapaiannya ditunjukkan melalui Himpunan 15,000 Pemuda (H15K) di Kelantan tahun 2006 hingga kemudian dikenali sebagai Unit Komuniti Jamaah, jadi bagaimana pula ukuran kepada pencapaian AKP?
Saya tidak mengharapkan hasilnya boleh dilihat dalam sebulan atau dua bulan, atau mungin setahun. Tetapi jika kita berjaya melaksanakannya dengan baik, dengan berkesan, saya percaya hasilnya boleh dilihat pada tiga tahun, lima tahun, sepuluh tahun akan datang. Usaha pembangunan manusia ini mengambil masa untuk kita lihat hasilnya, kerana kita kena ubah secara kuantiti yang banyak baru kita boleh nampak hasil pada organisasi yang besar. Tidak boleh kita tengok hasil pada seseorang, tetapi kita hendak tengok hasil pada organisasi selepas kita berjaya mengubah kumpulan manusia yang besar. Proses itu ambil masa dan hasilnya juga mungkin boleh dilihat dalam tempoh yang agak lama sikit. Berbanding UKJ, ia pembangunan struktur, bukan pembangunan manusia. Kita hendak tunjukkan struktur kita telah sampai ke akar umbi, kita minta setiap struktur diwakili setiap orang sebagai hasilnya. Itu mudah untuk diukur, tetapi membina manusia dan hendak lihat hasilnya, ia mengambil masa. Saya insya-Allah yakin dengan tindakan yang telah dilaksana dalam program hari ini. Kalau kita boleh melatih seramai mungkin pekerja-pekerja parti, hasilnya saya percaya boleh dilihat dalam tempoh antara tiga tahun atau lima tahun akan datang.
Mungkin akhir sekali harapan saudara selaku pimpinan Pemuda dan Pengerusi AKP.
Harapan saya agar semua pihak boleh berikan kerjasama dan memahami keperluan kita bahawa parti kita perlu memberi perhatian lebih lagi untuk meningkat dan mengurus keupayaan tenaga manusia dalam parti. Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada dan kita mesti meneliti ruang-ruang penambahbaikan termasuk yang kita rasa dari sudut kompetensi. Saya percaya dalam perkara yang dinanti-nanti untuk meletakkan PAS sebagai pemimpin dan sebagai parti yang menerajui kerajaan, rakyat ingin lihat pada kompetensi kita, pada keupayaan pemerintahan kita. Walaupun pada hari ini rakyat memberi mandat kepada kita, ada kemungkinan mereka menolak Umno yang tidak ada integriti, tidak ada sifat ‘al-Amin’ itu sedang kita ada sifat itu, tetapi mungkin suatu hari nanti kita mesti tunaikan dan mesti laksanakan amanah pemerintahan itu dengan baik dan dengan kompeten sepenuh keupayaan kita. Keupayaan ini mesti kita bina dengan baik, soal pengurusan, soal pentadbiran, soal menjadi pemimpin berwawasan, mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah, keupayaan membangunkan negara dan memikirkan halatuju negara bagi satu tempoh masa, berfikiran ke hadapan, jadi semua ini perlu di bina. Kita tidak boleh mengurus secara ‘ad-hoc’ tetapi menjadi pemimpin yang ada misi dan visi besar untuk negara kita, masyarakat kita dengan wawasan yang jauh dan boleh menguruskan wawasan itu.
0 komentar:
Catat Ulasan