Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
Menjarah ingatan menyusur dua tahun Pakatan Rakyat mentadbir negeri Kedah tidak menemukan bengit kegelisahan menghadapi makar durjana politik lahiran Barisan Nasional (BN). Biarpun tikaman tidak menusuk ke dada Pakatan Rakyat, namun libasannya tetap juga diwaspadai. Tampak Pakatan Rakyat Kedah menepis BN bak lalat hinggap di badan. Ada kala bagai sang ular kapak, kerana diusik ia pun membenam patukan.
Walhal rakan-rakan Pakatan Rakyat di negeri lain jauh lebih jenuh berperisai menghadapi belantan dan panahan rambang BN. Tidak keruan BN kehilangan singgahsana lalu menyembur racun-racun untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat di negeri-negeri itu. Lantas ada juga terkapai lemas kerana tersilau kaca yang dipandang mutiara, namun lebih ramai perwira perkasa sedang melangkah ke Putrajaya.
Dalam gelombang propaganda yang dipancarkan, rakyat kebanyakan dilihat lebih punya jati diri. Menilai dan menghukum sebagai kuasa baru menafikan mainan boneka-boneka politik yang tidak punya maruah diri. Manfaatnya, rakyat menerima untung disebalik pelbagai ragam itu. Bersama mengimbas dua tahun Pakatan Rakyat menerajui Kedah dan segala rupa yang telah melatarinya.
KETIDAKCEKAPAN BN
Sekian lama Kedah diperintah BN dan mempunyai ramai Menteri serta Perdana Menteri, Rizab Simpanan Negeri Kedah hanya berjumlah RM200 juta. Itupun telah menyusut kepada RM190 juta semasa hendak diambil alih Pakatan Rakyat. Bahkan memiliki banyak hutang berpunca dari perbelanjaan yang tidak mengikut peraturan termasuk tidak mengambil kira kedudukan kewangan.
BN bukan sahaja tidak cekap misalnya menswastakan bekalan air hingga menyebabkan rakyat terpaksa membayar lebih penggunaan dan menanggung kos keputusan mereka, sebaliknya penswastaan dibuat pula kepada syarikat kroni. Antaranya penswastaan di Langkawi, tahun lalu kerajaan negeri mengutip hasil RM14 juta tetapi terpaksa membayar peruntukan kepada syarikat tersebut RM39 juta.
Penemuan di Syarikat-syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) pula menunjukkan sebahagiannya diperalatkan untuk melakukan penipuan terancang menyeleweng urusniaga dan sebagainya. Antaranya ada syarikat yang baru beroperasi dua tahun tetapi menanggung hutang sebanyak RM2 juta sedang simpanan dalam akaun cuma RM1,000. Ketika sama, kos operasi bulanan mencecah RM30,000. Ada juga yang membuat pembelian dua utas jam tangan berharga RM340,000 dan pelbagai lagi.
Sebahagian jenayah pecah amanah ini dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun tidak terlihat hasil hingga kini.
DISKRIMINASI
Sebagaimana Kelantan dinafikan Kerajaan Persekutuan dari menikmati royalti minyak, Kedah pula dinafikan bayaran pampasan dikenali sebagai ‘Payment of Enviromental Services’ sebanyak RM100 juta setahun atas kesediaan Kedah tidak menebang balak demi menjaga kawasan tadahan air.
Perangai BN itu turut menjadi-jadi dalam soal pentadbiran. Menempelak sikap itu, Setiausaha PAS Kedah, Senator Muhamad Yusuf Husin pernah menegaskan bahawa, selepas rakyat membuat keputusan pada pilihan raya yang lalu, sepatutnya negeri-negeri tersebut diberi peluang untuk ditadbir mengikut Perlembagaan dan semangat Persekutuan
Jelas beliau, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri mempunyai tanggung jawab masing-masing mengikut Perlembagaan. Oleh itu tegasnya, antara tanggung jawab itu ialah segala peruntukan dan kemudahan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri termasuk di bawah teraju Pakatan Rakyat, maka ianya hendaklah diberikan.
Tetapi kesal beliau, perkara yang terjadi ialah Kerajaan Pusat bertindak tidak demokratik dan bertujuan menekan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat antaranya berhubung perlantikan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan perlantikan pegawai di peringkat pusat di lima negeri sebelum ini termasuk Perak.
KELUH KESAH BN
Melihat kemampuan sebenar Pakatan Rakyat mentadbir Kedah, pimpinan BN sudah keluh kesah. Mereka sudah tidak yakin lagi untuk menawan kembali Kedah dan lebih sakit melihat pelbagai program diadakan selain kejayaan-kejayaan yang mula dikecapi Pakatan Rakyat.
Lebih perit menghadapi lontaran ingatan dari Ustaz Azizan agar mereka tidak memikirkan soal habuan walaupun dari projek-projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kerana ianya mesti melalui proses tender sekaligus bakal menipiskan kantung mereka.
Bagai cacing kepanasan, Umno-BN mula memujuk hati dengan pelancaran tagline “BN Menang, Kedah Senang” namun tidak mendapat sambutan rakyat bahkan kini kembali suram. Maka tidak hairanlah, dalam keadaan tidak tentu arah ini, ada Ketua Bahagian Umno yang sanggup menjadikan wadah-wadah tertentu termasuk dari kerajaan negeri untuk terus bergayut meraih publisiti murahan.
Malah tidak kurang juga yang semakin galak melacurkan media dengan pelbagai perjuangan palsu dan ketika sama memburukkan pimpinan Pakatan Rakyat. Hanya wang ringgit menyelamatkan mereka untuk berada di pentas masyarakat, itupun terpaksa berbelanja besar menabur duit mengalahkan peruntukan Adun-adun dan Ahli Dewan Rakyat dalam parlimen yang sama.
FITNAH & ADU DOMBA
Setelah semakin pudar diarus politik, BN Kedah mencari pelbagai cara untuk meningkatkan semula pengaruh mereka. Malangnya, kaedah kuno seperti fitnah digunapakai.
Selepas memperkakaskan media seperti TV3 untuk mengisukan Tadika Kemas, pengurusan di KHTP, payung kuning dan jet eksekutif, akhirnya BN turut ke lapangan mengadakan pelbagai demonstrasi.
Antaranya memanjangkan isu derhaka di Perak dengan mengaitkan kononnya seorang Exco Kerajaan Negeri telah mengina Sultan Kedah. Mereka juga mendalangi manipulasi kedudukan rumah tangga seorang Exco Kerajaan Negeri dengan mendakwa beliau sebagai terlibat salah laku moral kerana bersekedudukan dengan seorang wanita hingga melahirkan anak.
Begitu juga isu penternakan babi di Bukit Selambau dan rumah sembelihan babi di Alor Setar dimanipulasikan walaupun ianya merupakan keputusan dan kegagalan mereka di masa lalu.
Tidak cukup dengan itu, isu perkauman juga cuba dibangkitkan sepertimana isu pemindahan kubur Hindu di Batu Pekaka, Kuala Ketil untuk tujuan pembinaan Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah di situ. Namun, ‘hero import’ juga gagal menyucuk api perkauman kepada penduduk yang sedar akan agenda peribadi mereka.
JUAL BELI MANUSIA
Gelojoh BN termasuk usaha jual beli manusia untuk menggugat dan merampas kuasa pentadbiran kerajaan negeri.
Kesan tawaran dan tekanan berterusan termasuk ke atas keluarganya, bekas Adun Bukit Selambau, V Arumugam memilih meletakkan jawatan Exco dan Adun demi maruah diri walaupun ditawarkan sehingga RM5 juta. Beliau ‘bersembunyi’ seketika di Chennai, India sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Bukit Selambau selesai.
Pun begitu, Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh yang juga Exco Kerajaan Negeri berjaya dipengaruhi hingga kemudian mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas.
Selain dua kejayaan itu, ia turut berselang seli dengan drama keluar parti dari beberapa Cabang KeADILan dalam negeri Kedah khususnya menjelang beberapa PRK sebelum ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pernah meluahkan rasa kesalnya terhadap perkara seumpama itu dan menyifatkan perkara itu sebagai permainan politik keterlaluan untuk mengganggu tumpuan pentadbiran kerajaan.
“Sepatutnya selepas pilihan raya, kerajaan ini yang diberi amanah oleh rakyat untuk mentadbir, kita kena tumpulah untuk mentadbir. Tak bolehlah ‘politiking’ sangat, tunggulah empat tahun lagi. “Kami tunggu 50 tahun untuk dapat jadi kerajaan melalui proses pilihan raya. Kenapa kena ambil jalan pintas, jalan cepat,” ujarnya menempelak tindakan tidak demokratik pihak-pihak tersebut.
WIBAWA PAKATAN RAKYAT
Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selalu menegaskan, sebagai kerajaan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan dan semua pihak dijalinkan dengan konsep reconciliation (berbaik-baik) dan bukan confrontation (bersengketa).
Melalui prinsip itu, Pakatan Rakyat mewujudkan suasana selesa kepada banyak pihak termasuk tidak memberi sebarang ancaman kepada kakitangannya yang berlainan anutan politik. Sebaliknya kecekapan dan profesionalisme kerja ditekankan selain mematuhi Perintah Am (General Order) selaku penjawat awam. Malah berkali-kali ditegaskan, bukan cara Pakatan Rakyat untuk mempergunakan penjawat awam bagi mencapai tujuan politik.
Jika selama ini Penghulu Mukim sering menjadi mangsa keegoan politik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), maka di bawah struktur baru yang menggantikan JKKK dengan Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK), Penghulu dikembalikan peranannya untuk mengetuai kerjasama dengan MKK.
Para pemegang jawatan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan selaku penggubal dasar pula sering diingatkan agar pantas berubah bersama dengan isu. Selain itu, mereka dituntut agar peka untuk memahami budaya, adat-resam, pantang larang, suka tidak suka masyarakat serta mengamalkan budi bicara.
Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah tidak hanya komited membina persekitaran negeri yang convenient, tenang, aman dan bersih agar rakyat dapat hidup dengan selesa, tetapi juga berusaha membina persepsi baik di kalangan pihak luar termasuk pelabur dan pelancong. Antaranya melalui urus tadbir yang berintegriti, cekap dan memenuhi massa.
Semua usaha itu sepertimana yang dikatakan Ustaz Azizan adalah untuk membina semula imej dan pandangan masyarakat terhadap ahli politik. Selama ini penyelewengan kuasa, rasuah, kezaliman, tiada integriti serta pelbagai pandangan serong dihadapkan kepada ahli politik. Sedangkan katanya, jawatan politik adalah jawatan yang suci dan mulia selain perlu banyak pengorbanan.
Dari sudut pentadbiran juga, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah menunjukkan wibawanya menanggung segala liabiliti dibuat Kerajaan BN dahulu antaranya berkaitan hutang-hutang.
“Hutang ini bukan Kedah sahaja, semua negeri berhutang. Hutang ini, hutang ‘orang dulu’, saya mai bayar sajalah hutang ni. Kerajaan negeri tidak akan terbantut, hutang tetap hutang. Belanja tetap belanja.
“Macam air masuk telingalah, nak keluarkan air itu kena tambah air lagi, betul tak? Jadi nak selesai hutang, kenalah hutang lagi baru boleh bayar hutang,” ujarnya menjawab pertanyaan berkenaan perkara tersebut sambil berseloroh.
Peningkatan kecekapan terbukti apabila pentadbiran beliau telah menunjukkan prestasi pengurusan yang pantas iaitu mengambil masa 30 hari untuk menyelesaikan permohonan tanah di negeri ini.
Selain itu, penyusunan semula GLC membuktikan kesannya apabila selepas setahun, 11 GLC membayar dividen kepada kerajaan negeri sebanyak RM30 juta yang dikatakan kejayaan pertama kali berlaku di dunia.
Dalam budaya kerja pula, Ustaz Azizan menekankan soal kebertanggungjawaban, dosa pahala serta pembalasan syurga neraka. Malah semua pihak diserunya untuk bekerjasama biarpun pangkat berbeza.
“Pemimpin dengan orang bawahan ini umpama tayar kereta dengan skrunya. Tayar harganya mahal, RM300 atau RM400, tetapi skru dalam RM2 sahaja.
“Tetapi jika skru itu longgar, tidak ikat tayar dengan kuat, tayar boleh tercabut juga walaupun tayar mahal. Bila tercabut tayar, kereta masuk sungai, kita pun masuk sungai sama,” katanya memberikan perumpamaan berhubung perkara itu.
HAK RAKYAT
Di bawah BN, hak rakyat diabaikan melainkan ketika menarik undi. Kes paling banyak berkaitan hak rakyat adalah tanah. Ada rakyat yang telah mengusaha atau mendiami sesuatu tanah kerajaan sekian lama namun tidak pernah diberikan status sementara apatah lagi geran milik. Paling malang, ada rakyat yang telah membayar cukai tanah dan mempunyai geran tetapi terdapat pihak lain juga mempunyai tanah di atas geran sama dipercayai dijalankan secara politik.
Di bawah Pakatan Rakyat, kerajaan negeri komited memberikan hal pemilikan tanah kepada rakyat yang layak mengikut prosedur ditetapkan, malah kadar cukai tanah telah diturunkan semula sehingga 75 peratus. Untuk tanah pendidikan, kerajaan negeri hanya mengenakan bayaran tahunan sebanyak RM10 bagi setiap lot tanah sekolah swasta yang tidak berorientasikan keuntungan.
Bantahan banyak pihak terhadap perusahaan kuari yang mengganggu kehidupan penduduk menjadi dilema yang kerajaan negeri terpaksa teruskan kerana mudarat lebih besar menanti. Misalnya terdapat kuari yang jika ditutup akan menyebabkan kerajaan negeri perlu mebayar pampasan RM25,000 sehari. Oleh itu, jumlah tersebut dilihat lebih penting kepada usaha membantu rakyat.
Exco-exco Kerajaan Negeri juga memotong elaun untuk dimasukkan dalam Tabung Tunku Mahmud bagi mengadakan pelbagai projek untuk kepentingan rakyat khususnya golongan memerlukan. Manakala potongan zakat diadakan melalui potongan gaji.
Paling utama kesan kepada persaingan politik, rakyat menerima pembagai ‘manfaat berganda’ yang hakikatnya merupakan hak rakyat. Jika dahulu BN tidak menghiraukan, atau menafikan dari diberi kepada rakyat, belum pun dua tahun Pakatan Rakyat memerintah Kedah, pelbagai peruntukan disalurkan untuk kemudahan rakyat seperti mengatasi banjir, masalah tanah sawah dan pelbagai lagi.
Dalam perkara kebajikan rakyat, Menteri Besar, Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pernah menegaskan, “Bila kita ketua, bukan rakyat khadam kita, tetapi kita khadam kepada rakyat.”
BANGUNKAN INSAN
Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah seluas 830 ekar yang dibangunkan di Kuala Ketil bakal menjadi komitmen usaha kerajaan negeri terhadap pembangunan insan di negeri ini.
Selain bidang agama, Insaniah melonjakkan diri ke persada global dengan menawarkan juga bidang teknokrat dari peringkat Diploma hingga Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Kedah berhasrat muncul semula sebagai ‘Negeri Ilmu’ dan membayangkan Insaniah akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini hasil lelehan ilmu sepertimana Universiti Cambrigde yang juga berasal dari sebuah perkampungan lalu hasil lelehan ilmu menjadikan penduduknya iaitu golongan petani sebagai intelektual.
Selain itu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar khususnya untuk golongan pelajar melalui program-program cuti sekolah.
INFRASTRUKTUR
Ketika ini belum wujud kerancakan pembangunan infrastruktur kecuali pembinaan Kampus Tetap Kolej Universiti Insaniah, Sungai Limau Hydrocarbon Hub (Sulihh), pembangunan di bawah pihak berkuasa kerajaan tempatan, membangunkan semula projek terbengkalai dan beberapa perumahan dan pembangunan Bandar Sejahtera di Pokok Sena.
Pun begitu, infrastruktur keperluan rakyat diadakan mahupun dibaiki. Misalnya selama ini papan tanda dan perparitan diabaikan kerajaan dahulu, kini usaha itu giat dijalankan melalui agensi kerajaan.
Selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah juga memperkenalkan semula budaya gotong-royong dalam amalan masyarakat. Natijahnya, terdapat projek kecil rakyat yang berjaya menjimatkan sehingga 90 peratus dari bajet asal.
Selain itu, kerajaan negeri terus komited membangunkan projek sedia ada seperti Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Pulau Langkawi, bandar-bandar sempadan sebagai pintu gerbang antarabangsa dan kemudahan infrastruktur untuk peningkatan taraf hidup rakyat melalui galakan Perkongsian Awam Swasta.
PENGIKTIRAFAN ISTANA
Walaupun terdapat cubaan untuk melaga-lagakan kerajaan negeri dengan pihak istana, namun semuanya tidak berjaya.
Sebaliknya, Tuanku Sultan Kedah pernah memperakui bahawa kehidupan rakyat berbilang kaum semakin bersatu padu, kewangan kerajaan negeri stabil manakala keyakinan pelabur semakin meningkat.
“Ini merupakan petanda kejayaan Kerajaan Beta mengikis pandangan negatif sesetengah pihak yang tidak yakin kepada kemampuan Kerajaan Kedah Darul Aman,” titah Tuanku melahirkan sukacita.
MENTALITI MILLENIUM
Paling besar ialah perubahan mentaliti rakyat, jika selama ini mereka menganggap hanya BN mampu memerintah, kini mitos itu terpadam sama sekali.
“Kita telah mencipta sejarah! Kita telah memecahkan satu tembok yang lebih besar dari tembok negeri China.
“Iaitu kefahaman yang menyatakan selain daripada BN orang lain tak boleh memerintah dan orang lain tak boleh mengadakan pakatan dan kerjasama untuk memerintah,” ujar Ustaz Azizan pada satu majlis pelbagai kaum dahulu.
Pakatan Rakyat Negeri Kedah sentiasa menyedari bahawa rakyat kini sudah mulai menilai maklumat yang diperolehinya dan menggunakan kuasa memilih dalam menentukan sesebuah kerajaan. Oleh itu terserah kepada rakyat untuk menggunakan ‘kuasa’ mereka dalam mendapatkan hak dan perkhidmatan terbaik daripada kerajaan yang mereka pilih.
0 komentar:
Catat Ulasan