Isnin, 8 Mac 2010

TEMUBUAL BERSAMA DATO' PHAHROL RAZAI ZAWAWI


DUA TAHUN PAKATAN RAKYAT DI NEGERI KEDAH

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

Kedah dilihat berbeza pendekatan dan ‘nasib’ yang dialami berbanding negeri-negeri Pakatan Rakyat lain; tanpa sensasi, malah tidak terpalit dan dipalit dek kebejatan gelora isu. Bertatih tertib, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah tuntas melakar kanvas politik dan demokrasi sebenar yang menongkah penilaian banyak pihak. Lantas, Umno-Barisan Nasional (BN) sendiri terbelit menghadapi lincah tari Pakatan Rakyat Kedah. Wartawan Harakah Kedah, IZWAN ABDUL HALIM dan Ketua Pemberita Negeri, AZAMIN AMIN berwacana bersama Exco Kanan Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi mengitar dua tahun Pakatan Rakyat menerajui pentadbiran di Kedah.

Harakah: Dalam dua tahun ini, Kedah tidak banyak mengalami kontroversi, mungkin Dato’ boleh berkongsi ‘rahsia’ tersebut.
DATO’ IR PHAHROLRAZI: Sebenarnya Kedah ini kurang kontroversi kerana pertamanya dari segi kesatuan pimpinan yang diterajui Dato’ Seri Ustaz Azizan sebagai Pesuruhjaya bagi parti politik dan juga sebagai Menteri Besar. Dan kita mengambil sikap membantu segala kerja-kerja, membawa satu mesej yang sama, risalah yang sama. Jadi oleh kerana matlamat kita itu, maka kita tidak banyak membuat perkara-perkara yang kontroversi malah kenyataan-kenyataan penting dikeluarkan oleh Dato’ Seri Ustaz Azizan. Daripada kita keluarkan ‘statement’, nanti bercanggah, kecuali yang khusus mengenai bidang exco itu kita keluarkanlah. Dalam bidang-bidang yang berkaitan dasar, pendapat kita untukkan kepada Ustaz Azizan keluarkan ‘statement’ itu. Jadi tidak banyaklah kontroversi untuk media.

Apakah ini satu strategi, tidak seperti negeri lain yang banyak ‘statement’?
Itu diantara resepinya yang sebenarnya, kita kurangkan kontroversi, kurangkan berbeza pandangan didedahkan kepada umum, tapi dalam perbincangan kita berbeza pandangan, tetapi untuk umum tidak! Apa keputusan yang dicapai itulah baru didedahkan kepada umum.

Itu mungkin dari sudut dalaman Pakatan Rakyat, tetapi dilihat BN juga kurang mengadakan ‘serangan’ terhadap Kedah berbanding negeri Pakatan Rakyat yang lain. Jadi apa pendekatan diambil Kedah?
Satu pendekatan penting diambil oleh kita kerajaan baru ialah tidak membalas dendam dan tidak mengambil tindakan drastik terhadap pihak lawan terutamanya BN. Jadi kita menjadikan semua pihak itu selesa. Sebagai contoh premis-premis yang dimiliki kerajaan negeri yang digunakan oleh Kerajaan Pusat seperti tadika yang digunakan KEMAS, kita tidak ambil apa-apa tindakan. Kita terus benarkan mereka menggunakan premis itu sebab ini untuk kebajikan rakyat. Ini tidak ada apa-apa kontoversi yang kita lakukan untuk melukakan hati pihak lawan. Begitu juga segala komitmen yang dibuat kerajaan dahulu, kontrak-kontrak yang telah diberi kita (adalah) ‘owner’, tetapi itu memang sudah jadi tanggung jawab sebagai kerajaan. Jadi saya rasa itu diantara perkara yang menyebabkan mereka juga tidak ada sebab untuk memusuhi kita dan menerima hakikat bahawa peluang harus diberi kepada kita untuk menjadi kerajaan pada ketika ini. Tetapi mereka terus sebagai pembangkang mengkritik dan sebagainya tu, biasalah.

Tetapi Dato’, dalam masa yang sama timbul persepsi umum bahawa tiada sebarang perubahan di bawah Kerajaan Negeri Kedah. Apa komen Dato’?
Sebenarnya orang suka lihat perubahan ini dari segi pembangunan fizikal, itu dia nampak perubahan. Dan mereka membuat perbandingan dalam konteks fizikal. Perkara-perkara perubahan fizikal ini tidak boleh berlaku dalam setahun dua, ia melibatkan perancangan. Untuk nampak satu perubahan fizikal ini kadangkala ambil melebihi satu penggal. Macam sekarang kita kata, kita hendak bangunkan satu projek mega seperti Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil. Kini sudah nak masuk tahun yang ketiga kita sebagai kerajaan, projek itu baru hendak dimulakan. Projek mega ia tidak boleh berlaku dalam jangkamasa yang pendek. Tapi perubahan yang bukan dalam bentuk fizikal berlaku seperti yang kita janjikan dalam manifesto. (Misalnya) kita hendakkan kerajaan yang bersih, itu dirasai oleh rakyat, dirasai oleh pegawai-pegawai kerajaan tentang sikap kerajaan. Ketelusan, keadilan, itu perkara-perkara yang terus berjalan, itu perubahan-perubahan yang kita buat, pelaksanaan itu berjalan dengan lancar. Macam kita hendak sistem penyampaian kerajaan atau ‘delivery system’ yang lebih cekap, itu kita lakukan. Kita juga adakan polisi kewangan seperti belanja berhemah dan berjimat cermat. Perkara seperti ini tidak dapat dilihat secara fizikal, tidak nampak, tetapi dirasai oleh rakyat iaitu mereka sekarang ini tidak lagi hidup dalam keadaan ketakutan suasana, tidak bimbang pada sesiapa pun. Sama ada dia penyokong kerajaan atau tidak menyokong kerajaan, dia tidak perlu takut lagi kepada mana-mana pihak.

Jika ‘dirasai’ seperti yang Dato’ sebutkan tadi, tentu ia perlu diukur dengan sokongan rakyat, bagaimana Dato’ melihat sokongan rakyat ketika ini?
Kalau kita lihat, ‘survey’ yang dibuat oleh MerdekaCentre (mengenai) sokongan rakyat, (rakyat) mengambil pendirian “tidak silap memilih kerajaan sekarang”, makna kata mereka selesa. Mulanya ada kebimbangan, sekarang mereka tahu kerajaan boleh memerintah dengan baik. Sebagai ukuran yang lebih tepat, Pilihan Raya Kecil Dun Bukit Selambau, itu lebih spesifik. Kita hadapi pilihan raya itu, undi kita meningkat. Itu jika kita hendak melihat sokongan rakyat kepada kita secara spesifik.

Dato’ mengatakan sokongan semakin bertambah, tetapi ‘feedback’ di peringkat nasional agak negatif. Bagaimana Kerajaan Negeri Kedah menangkis tohmahan-tohmahan ini?
Maklum balas peringkat nasional ini banyak dipengaruhi oleh media. Media ini dipengaruhi BN, itu kita sedia maklum. Jadi media ini sebenarnya main peranan bentuk diperingkat nasional ini atau mereka yang diluar dari Kedah. Orang Kedah tahu apa yang sedang berlaku di negeri Kedah. Macam sekarang, satu isu yang berlaku di bawah saya, isu sampah. Isu sampah ini isu yang sudah lama. Tapi mari kita, kita berjaya mengatasi sekarang dan sedang proses mengatasi yang cukup baik dengan penswastaan yang dibuat, sekarang hampir-hampir tiada ‘complaint’ lagi. Cuma mungkin kelemahan pelaksanaan di sana sini. Isu ini sudah lama, sebelum ini pun sudah ada rungutan tidak cekap dan seumpamanya. Sekarang kita selesai bab isu ini, sudah lantik syarikat untuk kendalikan. Isu air yang dimainkan media, kita sebenarnya sudah berjaya korporatkan jadi Syarikat Air Darul Aman (Sada) mulai 1 Januari 2010. Sebenarnya pengkorporatan ini adalah memenuhi Akta Perindustrian Perkhidmatan Air, ini akta diperingkat parlimen yang mengkehendaki, bukan kehendak kerajaan negeri. Jadi kita memenuhi keperluan akta ini. Sebenarnya, kerajaan sebelum ini pun hendak swastakan lebih awal, bila kita jadi kerajaan kita tangguhkan sehingga 2010. Bila dijadikan Sada, kebetulan jadi musim kemarau sekarang ini. Jadi masalahnya bukan Sada, masalahnya ialah bekalan air mentah tidak mencukupi, sungai kering, di mana-mana pun sedang musim kemarau. Jadi ia menjejaskan operasi kita, sudah tentulah bekalan berkurang. Kalau kemarau ini berpanjangan kita mungkin catu, itu terpaksa. Kalau hujan tidak turun hingga April, kita terpaksa ambil tindakan. Sumber tidak cukup, kita terpaksa simpan bekalan di empangan kita, tak boleh kita gunakan semewah macam musim hujan. Tetapi nampak bila perkara ini berlaku, ia dijadikan isu.

Tetapi Dato’, laporan media menunjukkan bahawa masalah-masalah yang berlaku di Kedah ini telah berlarutan sejak beberapa puluh tahun.
Apa perkara yang berlaku pun sebenarnya telah berlarutan lama. Macam isu kemiskinan, bukan sekarang baru miskin, sebelum inipun telah berlaku. Kemiskinan tidak boleh diselesaikan sekelip mata, prosesnya kadang kala melalui satu generasi. Misalnya ada keluarga miskin, bila anaknya masuk universiti, kemiskinan boleh jadi berubah, ada berlaku dengan cara itu. Ada juga dari golongan miskin ini kita beri bantuan meniaga, dia dapat hasil. Masalah isu ini memang dari dulu juga ada perubahan, sekarang kita sambung dari tindakan dahulu dengan agensi-agensi tertentu. Jadi tidaklah dulu peratus kemiskinan kurang, (bila) kita jadi kerajaan ia meningkat, tidak! Proses mengurang terus berlaku. Ia melibatkan agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dalam isu membantu kemiskinan ini, bukan Negeri sahaja.

Timbul juga tanggapan yang lain bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah tidak bersedia untuk buat pendedahan, pembongkaran seperti negeri lain. Adakah diam sahaja penyelewengan atau seperti dikatakan tadi tidak membuat apa-apa?
Begini, masalah penyelewengan dibuat dahulu, kita sedia maklum memang ada penyelewengan dibuat macam dalam GLC (Government Link Company). Kita tidak suka buat pendedahan secara umum, secara terbuka. Tetapi ada kita buat laporan kepada SPRM, cuma masalah sekarang ini (mereka) hendak menyiasat secara ‘detail’ atau tidak. Sebab SPRM sendiri duduk di bawah kawalan Kerajaan Pusat. Kalau satu dua kes kita masuk, nampak tidak jalan, kita tak usah bising, kita hendak bising pun buat apa, kita tidak mendapat manfaat apa. Kalau kita dedah, umum, nanti nak diminta bukti, kita terpaksa dedahkan bukti. Kadang-kadang bukti itu sulit yang tak boleh didedahkan. Jadi itu bukan cara pendekatan kita untuk dapatkan sokongan. Kadang kala kita akan ‘back fire’, kita memburukkan pihak lain, ‘back fire’ pada kita. Nanti mereka akan kata kenapa tidak ‘report’? Tapi kita tahu, kalau kita ‘report’ belum tentu berjalan (siasatan). Jadi baik kita betulkan dan ambil pendekatan lain untuk dapatkan sokongan rakyat. Bukan kita ambil kelemahan pihak lain, tapi kita bina kita punya ‘confident’ di atas keupayaan kita, itu lebih baik bagi kita.

Kerjasama kakitangan kerajaan negeri kepada kerajaan negeri, mungkinkah ada masalah, sabotaj atau seumpamanya?
Bagi saya secara keseluruhannya okey. Kerjasama kakitangan terutamanya Pegawai Tadbir Negeri (PTN) pada keseluruhannya berjalan baik, begitu juga kakitangan sokongan berjalan dengan baik. Kalau berlaku satu dua (kes), mana-mana pun memang tidak ‘perfect’, ia tidak akan sempurna. Ada kakitangan yang bermasalah masa kerajaan dulu, masa kita pun dia bermasalah juga, dia sambung dia punya masalah. Itu memang bukan kerana kita jadi kerajaan masalah itu berlaku. Secara keseluruhannya pegawai-pegawai kita memberi kerjasama yang baik dalam kerajaan.

Persepsi pelabur, orang luar bagaimana?
Pelabur terus mari, mereka selesa dengan ketelusan kita, macam di Kulim Hi-Tech itu, ada syarikat yang menambah pelaburan hingga RM 1 bilion. Banyak pertanyaan-pertanyaan untuk datang melabur, mungkin kekurangan yang berlaku sekarang disebabkan pengaruh ekonomi dunia yang tidak stabil, bukan disebabkan tempatan. Disebabkan ekonomi dunia yang tidak menentu menyebabkan pelabur berhati-hati, ini lebih kepada masalah global.

Berhubung kerjasama antara parti-parti Pakatan Rakyat Kedah, bagaimana Dato’ selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah melihatnya dalam dua tahun ini?
Oleh kerana di Kedah ini kita PAS yang mengetuai, kita ada platform Urusetia Pakatan Rakyat yang saya Pengerusi, ada wakil DAP dan PKR, bila ada satu keperluan kita akan mesyuarat. Ada majlis-majlis kita bersama, setakat ini kerjasama baik diberikan kepada kita oleh PKR dan DAP. Mereka tidak menimbulkan masalah apa-apa. Kalau berlaku apa-apa macam lompat dan sebagainya, itu lebih kepada individu. Bukan kerana parti, tetapi individu itu yang bermasalah.

Kerusi PAS lebih banyak, jadi....
Itu persetujuan! Kita bersetuju PAS tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah kerusi.

Oleh kerana PAS lebih banyak, jadi adakah hubungan dengan KeADILan dan DAP ini terjalin dengan sangat baik atau sekadar ‘cinta monyet’?
Tidak, tidak! Mereka bersetuju pada peringkat Nasional sekalipun Kedah ini diberikan kepada PAS, ini memang persetujuan awal yang sudah ada begitu. Mereka menerima hakikat untuk Kedah, Kelantan, Terengganu, ini negeri yang PAS memimpin Pakatan Rakyat. Itu konsesus yang diterima dan mereka tidak bangkitkan perkara ini sama ada kita banyak atau sebagainya.

Tidak dapat tidak ya Dato’ perkara yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan segala perkara yang berlaku dalam parti komponen Pakatan Rakyat keseluruhannya, adakah ia memberi kesan kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Pakatan Rakyat di sini?
Kalau rakyat Kedah tu dia melihat dalam konteks Kedahlah sebagai mentadbir negeri. Jadi saya rasa apa yang berlaku di negeri lain itu tidak banyak mempengaruhi sikap mereka terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah. Kerana apa yang berlaku Selangor sepertimana tuduhan, dakwaan, tangkapan SPRM dan semua-semua itu tidak berlakulah di Kedah dan kita harap jangan berlakulah. Kalau berlaku juga mereka akan menyamakan kita dengan negeri lain.

Secara khusus, selaku TPJ bagaimana Dato’ melihat sokongan kepada PAS itu sendiri ketika ini?
Saya melihat, kalau mereka yang sedia menyokong PAS itu, dia tidak berubah, setiap pilihan raya pun dia tidak berubah. Yang kita lihat selama ini ialah mereka yang tidak menyokong kita, ini yang sedang berlaku perubahan. Dari segi tinjauan rambang, pandangan ini menunjukkan bahawa mereka sedia menerima kita dengan cara pendekatan kita memerintah yang saya kira sederhana. Sikap kita, kita mengambil sikap sederhana dalam konteks memerintah dan tidak mengambil langkah yang drastik. Jadi mereka yang selama ini menyokong BN, dia merasakan bila Pakatan Rakyat pimpinan PAS memerintah pun tidak ada apa, biasa saja, mereka boleh hidup macam biasa, tidak ada kejutan.

Bagaimana pula Dato’ melihat BN Kedah sekarang ini?
Saya rasa BN sekarang ini, oleh kerana kita dapat mentadbir dengan stabil, mereka pun nampak tidak mempunyai kepimpinan yang mantap, buktinya mereka terpaksa import. Import daripada Sabah Dato’ Shafie Apdal untuk mengetuai. Ini menggambarkan mereka tidak cukup mantap dari segi kepimpinan mereka. Saya pun nampak ada perpecahan, ada perbezaan pendapat kumpulan-kumpulan dalam Umno sesama mereka sendiri. Kerana itu terpaksa nak diimport pimpinan untuk menyatukan kumpulan-kumpulan dalam Umno. Sementara parti komponen juga tidak cukup kuat, MCA bergolak. Di Kedah juga berlaku perpecahan di kalangan MCA. MIC juga oleh kerana Nasional pun bermasalah, (MIC) Negeri juga tidak nampak mereka cukup di peringkat negeri. Gerakan juga tidak cukup kukuh. Itu suasana BN. Jadi di Kedah ini, insya-Allah kita terus dapat sokongan rakyat.

Sebelum ini telah berlaku usaha-usaha BN untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah hingga akhirnya memaksa bekas Adun Bukit Selambau, V. Arumugam meletakkan jawatan. Kemudian Adun Lunas, Mohammad Radzhi Salleh mengisytiharkan sebagai Adun Bebas. Jadi adakah usaha-usaha ini masih berlaku?
Usaha seperti itu, saya tidak nafi berlaku. Maklumat yang kita ada memang ada usaha-usaha dibuat di sini untuk memujuk beberapa Adun supaya melompat parti. Mungkin dulu dilakukan kumpulan lain dalam Umno, sekarang ini dilakukan oleh pihak yang lain. Itu perkara biasalah dalam politik, bukan perkara pelik. Memang ada usaha-usaha itu berlaku dan kita harap tidak hingga menyebabkan kerajaan jatuhlah.

Berhubung perkembangan kepada rakyat, adakah Dato’ melihat dengan pelbagai situasi politik yang berlaku hari ini telah menyebabkan perubahan pada fikiran dan kehidupan rakyat khususnya di Kedah?
Saya lihat perubahan yang ada sekarang adalah satu pandangan atau sikap rakyat kalau dulu ini hanya BN dan Umno sahaja boleh memerintah menjadi persepsi baik di kalangan rakyat, kakitangan kerajaan, ahli perniagaan, semua begitu persepsinya, dengan kita jadi kerajaan sekarang ini ia mengubah persepsi itu. Bukan sahaja BN, orang lain juga boleh memerintah, orang lain juga ada kebolehan, orang lain juga ada keupayaan memerintah. Persepsi itu penting dalam sistem demokrasi, kalau tidak rakyat tidak berani membuat perubahan. Jadi persepsi itu sudah berubah terutamanya di kalangan bukan Islam. Kalau dulu mereka melihat PAS ini tidak boleh, mereka melihat PAS ini kalau memerintah seolah-olah mereka akan dianaktiri, akan berlaku kezaliman, tapi apabila kita memerintah, persepsi itu berubah. Mereka sudah tidak takut kepada kita lagi.

Bagaimana dengan sistem penyampaian dari segi kebebasan rakyat untuk membuat aduan, kritikan dan sebagainya agar kerajaan lebih efektif?
Ya, sekarang rakyat merasakan mereka lebih bebas. Seperti dikatakan tadi, kita mahu hapuskan ketakutan di kalangan rakyat. Dia boleh lapor, dia boleh dedah dalam akhbar, dalam tv, kita tidak memusuhi mereka ini, tidak ada masalah bagi kita. Dan kita ‘respon’ dengan kritikan, yang mana boleh kita baiki kita baiki. Kita ambil manfaat daripada apa yang rakyat kritikan. Itu misi kita sekarang.

Akhir sekali, harapan Dato’ kepada rakyat.
Bagi saya oleh kerana kita pegang sistem demokrasi, yang pentingnya rakyat mesti bijak memilih yang baik bagi mereka. Mana-mana kerajaan, mana-mana parti politik yang dapat memberi perkhidmatan yang baik hendaklah mereka pilih. Mana-mana politik yang mempunyai rekod tidak baik, mereka tidak pilih, itu sikap yang perlu ada pada rakyat. Kalau rakyat dapat melihat kita dapat memberi perkhidmatan yang baik, mereka selesa, mereka boleh terus kekalkan sokongan kepada kita untuk kita teruskan. Itu penting dalam konteks kuasa rakyat. Barulah negara ini akan bebas dari penyelewengan sebab mana-mana parti politik yang diberi kuasa, dia tahu bahawa rakyat akan gunakan kuasa. Parti politik mesti sedar, hari ini dia ada kuasa, esok mungkin tidak ada kuasa. Jadi sentiasa dia itu akan mentadbir dengan baik. Mungkin kemudian dia tidak ada kuasa, rakyat akan memilih pihak lain. Kalau dia buat penyelewengan, kesalahan akan berlaku pihak lain pula yang berkuasa. Itu penting dalam demokrasi. Perkara yang kita buat kini tidak berlaku dahulu, keselesaan, keharmonian yang ada insya-Allah akan menambahkan sokongan kepada kita.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons