Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
ALOR SETAR: Keputusan kerajaan menetapkan setiap pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 subjek mulai tahun hadapan disifatkan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) sebagai langkah mundur, gopoh dan tidak menjiwai hasrat pendidikan.
Ketua DPPNK, Ustaz Ahmad Yahya berkata, sewajarnya Kementerian Pelajaran membawa pendidikan negara ke satu tahap yang membanggakan berdasarkan persaingan sihat masa kini.
"Kita (DPPNK) mempersoalkan bagaimana cadangan yang baru dikemukakan seminggu lalu (21 Mei) dan semalam dinyatakan pula oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Dr Wee Ka Siong bahawa kajian mengenai perkara itu telah pun dimulakan oleh sekumpulan ahli akademik dan profesional, tiba-tiba hari ini telah ada ketetapannya,” soal beliau yang menyifatkan perkara itu sebagai satu kegopohan.
Menurut Ahmad, bilangan subjek yang banyak diambil oleh calon SPM biasanya adalah pelajar dari aliran agama dan berikutan pencapaian cemerlang sekolah-sekolah agama, wujud kecenderungan ibu bapa menghantar anak mereka menerima pendidikan dari sekolah aliran agama.
Oleh itu katanya, DPPNK percaya keputusan itu mempunyai motif tersirat untuk menutup kejayaan cemerlang yang diraih sekolah-sekolah agama.
Tetapi tegas beliau, paling utama adalah keputusan itu merupakan satu langkah mundur dan malangnya Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengemukakan cadangan tersebut yang dilihat bertentangan dengan falsafah pendidikan iaitu untuk membangunkan potensi manusia.
"Apa salahnya jika pelajar benar-benar mampu dan berusaha untuk membuktikan kemampuan mereka? Wujud juga keraguan terhadap keputusan tersebut kerana sebelum ini yang dinyatakan adalah mengenai biasiswa. Hari ini disebut pula mengenai tumpuan guru, kewangan ibu bapa untuk kos tuisyen serta jurang luar bandar dengan bandar. Kami melihat, hujah tidak konsisten ini tidak lain hanyalah alasan yang diada-adakan," ujar beliau kepada Harakah, 28 Mei lalu.
Dengan itu katanya, DPPNK mahu keputusan itu ditangguhkan dan kajian terperinci diadakan agar pendidikan di negara ini tidak terus menjadi bahan eksperimen serta alat politik pihak-pihak tertentu.
1 komentar:
Salam
WOTR bersetuju dengan pendirian DPPNK
berhubung ini.
Syabas
Kerana mendepani isu diperingkat nasional.
Catat Ulasan