UCAPAN TEMA MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN PEMUDA PAS PUSAT KALI KE-50
Oleh
YB TUAN HAJI SALAHUDDIN HAJI AYUB
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
MEMPERSADA PERJUANGAN
Saudara Pengerusi Tetap,
Al-Fadhil YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS,
Wakil-wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,
Bekas-bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,
Saudara Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,
Saudara-saudara Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat,
Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Negeri,
Pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat,
Pimpinan NGO dan Pertubuhan Belia Islam,
Wakil-wakil Gerakan Islam Antarabangsa,
Wakil-wakil Kedutaan Asing,
Dif-dif Kehormat Yang Diraikan,
Para Perwakilan Dari Seluruh Negara,
Pemerhati dan Para Hadirin Yang Dirahmati Allah Sekalian,
2
Allah SWT telah berfirman,
Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari
kalangan kamu (umat Muhammad), bahawa Dia akan menjadikan mereka
khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia
telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah
(yang berkuasa); dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama
mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan
menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami
ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku
dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. dan
(ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah
orang-orang yang derhaka.
Surah an-Nur: 55
IFTITAH
Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur dan puji-pujian kepada Allah SWT
di atas limpah inayah-Nya, maka pada malam yang penuh berkat ini kita dapat berkumpul
kembali di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar yang nostalgia ini. Salam dan
selawat juga kita panjangkan kepada Nabi Muhammad SAW, khatamul anbiya’ yang
membawa rahmat untuk sekalian alam.
Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana pada malam ini kita dapat bertemu
kembali setelah enam tahun kita tidak bermuktamar di dewan yang mulia ini. Kali
terakhir Dewan Pemuda PAS bermuktamar di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor ini ialah
pada 2003, iaitu tahun dimana saya mengambil alih kepemimpinan Dewan Pemuda PAS
daripada YB Dato’ Haji Mahfuz Omar. Semenjak Pejabat Agung PAS berpindah ke Jalan
Raja Laut pada 2007, sudah jarang kita mengadakan program-program besar di sini, dan
saya berharap muktamar kita pada malam ini dan esok akan mengembalikan semula
nostalgia perjuangan kita yang berpusat di sini semenjak 1987.
Terdahulu, bagi pihak kepemimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat), saya
mengalu-alu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Ustaz Nasharudin
Mat Isa, Timbalan Presiden PAS di atas kesudian beliau untuk hadir merasmikan
muktamar kita buat kali yang ke-50 ini. Kami juga mengalu-alukan kedatangan seluruh
tetamu kehormat, jemputan, bekas-bekas Ketua Dewan Pemuda PAS, wakil-wakil
pertubuhan politik, belia Islam dan NGO, semua perwakilan, pemerhati dan para hadirin
sekalian. Saya mendoakan agar kehadiran tuan-puan semua bukan sahaja akan
menjadikan majlis ini lebih meriah dan berseri, tetapi juga akan melonjakkan kebangkitan
Pemuda PAS di medan jihad, dakwah dan siasah mereka.
PEMUDA PAS SELEPAS ENAM TAHUN
Alhamdulillah, sekali lagi saya merafakkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan bimbingan-Nya saya dapat memimpin Dewan Pemuda PAS selama
tiga penggal semenjak 2003 tanpa sebarang masalah yang tidak dapat ditangani. Saya
mengambil alih baton kepemimpinan ini daripada YB Dato’ Haji Mahfuz Omar ketika
Dewan Pemuda PAS berada dalam gelombang kebangkitan selepas kejayaan besar kita
dalam pilihan raya umum 1999. Dan hari ini, ketika saya sudah mengumumkan untuk
tidak mempertahankan jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS bagi memberi laluan kepada
generasi kepemimpinan yang baru, saya amat bersyukur kerana PAS masih lagi dapat
mempertahankan lonjakan kebangkitan itu dengan kejayaan yang lebih besar kita capai
pada 2008 yang lalu. Walaupun, prestasi kita dalam pilihan raya mengalami mendung
seketika pada 2004, ternyata usaha keras kita sepanjang enam tahun yang lalu telah
membuahkan hasil yang begitu membanggakan.
Kejayaan besar yang digarap oleh Pemuda PAS ini bukanlah kejayaan saya seorang diri
atau kerana usaha saya semata-mata. Tetapi ia adalah kejayaan hasil daripada
gemblengan tenaga yang bersungguh-sungguh oleh Pemuda PAS di semua peringkat.
Saya amat berpuas hati apabila jentera Pemuda PAS yang kita bina di peringkat
cawangan semenjak 2003 bagi meneruskan usaha yang dirintis oleh Ustaz Dato’ Abu
Bakar Chik melalui projek Unit Kerja Jamaah (UKJ) dahulu telah membuahkan pulangan
yang begitu baik. Saya mengucapkan tahniah kepada pimpinan Dewan Pemuda PAS
kawasan-kawasan yang telah memberikan kerjasama besar dalam usaha ini. Sasaran kita
untuk melahirkan 10 pemuda safwatul mukhtarah di peringkat cawangan hampir
tercapai. Inilah indikator sebenar kekuatan Pemuda PAS pada masa akan datang. Saya
berharap supaya kepemimpinan baru Dewan Pemuda PAS di semua peringkat akan
mengambil perhatian serius dalam rancangan kita untuk memperkasakan organisasi PAS
di peringkat terkecil ini.
Daripada cawangan yang menjadi nukleus perjuangan, saya telah melihat adanya anjakan
kesedaran di kalangan pimpinan Pemuda PAS di peringkat Kawasan dan Negeri.
Penglibatan lebih ramai pemimpin baru dari kalangan siswazah dan juga komitmen yang
lebih tinggi dari kalangan ulamak muda telah meyakinkan saya bahawa Dewan Pemuda
PAS mempunyai masa depan yang amat cerah dalam langkahan jihadnya. Daripada
analisa yang kita buat terhadap kecekapan komunikasi organisasi di semua peringkat, kita telah nampak bahawa pada masa ini sistem penyampaian dalam organisasi Pemuda PAS
telah meningkat dengan mendadak. Keterbukaan para Pemuda PAS terhadap pendekatan-pendekatan politik-dakwah baru yang kita rintis juga membayangkan kesediaan kita untuk mengangkat tema baru dalam politik pentadbiran di negara ini. Saya cukup kagum apabila para Pemuda PAS berjaya menyerapkan perubahan-perubahan politik yang berlaku dengan pendekatan yang lebih strategik sehingga kita berjaya meyakinkan beberapa kelompok mad’u-pengundi yang dahulunya amat jauh daripada PAS.
Secara umumnya boleh saya rumuskan dua pencapaian besar yang dicapai oleh Pemuda
PAS dalam masa enam tahun ini. Pertama, kita telah berjaya menganjakkan pendekatan
politik bangkangan konfrontasi kepada politik bangkangan kontruktif. Kita telah
mengambil pendekatan untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam perkara-perkara
yang melibatkan kepentingan negara. Kita juga telah mengambil langkah untuk
menyalurkan kritikan yang lebih membina dan mengusulkan cadangan yang konstruktif
dalam menangani masalah-masalah pentadbiran negara. Agenda engagement yang kita
terokai semenjak enam tahun yang lalu telah membentuk satu persepsi baru terhadap
politik PAS – pembangkang yang membina. Kedua, dengan pendekatan-pendekatan baru
itu, serta pendidikan politik yang lebih bersungguh-sungguh dan gerakan penerangan
yang lebih meluas, Pemuda PAS telah berjaya melakarkan imej baru bagi PAS sebagai
parti kepercayaan rakyat untuk menggantikan Umno/BN. Dahulunya, PAS lebih dilihat
sebagai pembangkang selama-lamanya, tetapi kini di mana-mana rakyat memberi
harapan kepada PAS sebagai government-in-waiting.
Bersempena dengan muktamar yang ke-50 pada malam ini, saya dengan berbesar hati
ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada generasi pengasas Dewan Pemuda PAS
yang memulakan jihad ini semenjak 25 Ogos 1953, iaitu 56 tahun yang lalu. Hasil usaha
jihad mereka untuk merealisasikan hasrat murni kita bagi menegakkan sebuah
masyarakat dan pemerintahan yang menerapkan nilai-nilai dan hukum Islam berasaskan
al-Quran dan al-Sunnah selama ini, maka perjuangan PAS dapat terus bertahan di persada perjuangan ini. Inilah rahsia kekuatan dan keutuhan PAS selama lebih setengah abad kita berjuang. Kita mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat keatas roh mereka yang memulakan sambungan perjuangan yang kita warisi daripada Rasulullah SAW ini.
Kepada pemimpin-pemimpin dan para pendukung Pemuda PAS dalam generasi-generasi
berikutnya juga saya memanjatkan doa yang sama untuk mereka. Bersama-sama kita
pada malam ini beberapa orang bekas Ketua Dewan Pemuda PAS semenjak 1971 hingga
20031. Pada 17 Mac 2009 yang lalu, kita telah kehilangan al-Marhum Ustaz Jaiz Anwar,
Ketua Dewan Pemuda PAS sesi 1968-1970 yang telah meninggal dunia di London.
Semoga Allah SWT merahmati rohnya dan memberkati legasi perjuangan yang
ditinggalkannya ini. Al-Fatihah.
KELEMBAPAN IKLIM EKONOMI DUNIA
Para muktamirin sekalian,
1 Ustaz Hassan Shukri (1971-1973), Ustaz Abdul Wahab Yunus (1973-1975), Dato’ Mustafa Ali (1975-1987), Ustaz Abdul Halim Arshat (1987-1989), Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik (1989-1999), Haji Mohamad Sabu (pemangku 1995-1996) dan Dato’ Mahfuz Omar (1999-2003). Lain-lain Ketua Pemuda PAS sebelum 1971 ialah Allahyarham Ustaz Dato’ Haji Ahmad Badawi Abdullah (1952-1953), Allahyarham Ustaz Datuk Othman Abdullah (1953-1956), Allahyarham Ustaz Datuk Hassan Adli Mohd Arshad (1956-1958),Allahyarham Ustaz Abu Bakar Hamzah (1958-1962 dan 1966-1968), Allahyarham Ustaz Amaluddin Darus
(1962-1966), Allahyarham Ustaz Jaiz Anwar (1968-1970) dan Allahyarham Mejar (B) Datuk Tengku Zaid Tengku Ahmad Panglima Raja (pemangku 1970-1971).
Allah SWT telah berfirman,
”Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan amat indah)
pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong
dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal
orang-orang yang bertaqwa lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka
(yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. dan (ingatlah), Allah memberi
rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira
(menurut undang-undang peraturan-Nya)”
Surah al-Baqarah: 212
Kegawatan ekonomi yang melanda Amerika dan Eropah sekarang ini, serta merebaknya
wabak selsema babi di Amerika telah hampir mengubah percaturan politik dunia
seluruhnya. Jika kegawatan ekonomi yang berlaku pada 1997 dahulu lebih banyak
memberi kesan kepada negara-negara sedang membangun dan negara miskin khususnya
di rantau Asia Pasifik dan Amerika Latin, pada kali ini Allah SWT telah mentakdirkan
kesan kegawatan ekonomi yang baru lebih dirasai oleh negara-negara maju di Amerika
dan Eropah. Kita sedar perkembangan ini telah sedikit sebanyak memberikan kesan
kepada negara-negara kecil yang hampir keseluruhannya bergantung kepada Amerika
Syarikat dan Eropah dalam soal ekonomi dan politik mereka. Kita sendiri di Malaysia
turut merasai dengan agak ketara juga kesan kejatuhan ekonomi ini kerana ia melibatkan pasaran industri Malaysia dan implikasi pelaburan asing yang berhubungan terus dengan soal pekerjaan. Kerana itu, semenjak pembentangan Bajet 2008 lagi, kita telah mendesak supaya kerajaan merangkakan pelan pemulihan dan rangsangan ekonomi yang lebih jitu sebelum kesan-kesan kemelesetan ini merebak ke negara kita.
Malangnya, kerajaan angkuh BN telah membentang bajet dalam bajet, iaitu apa yang
disifatkan sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi. Apabila kegawatan sudah semakin tidak
terkawal, pendapatan negara semakin merosot, harga barangan pengguna terus
meningkat, pengangguran semakin besar dan kesempitan rakyat semakin ketara, Menteri
Kewangan membentangkan Pakej Ransangan Kedua yang sehingga kini rakyat masih
terpinga-pinga. Bagi menghadapi krisis ekonomi yang semakin parah, Datuk Seri Mohd
Najib Razak mengisytiharkan liberalisasi kewangan yang melibatkan 27 subsektor
perkhidmatan bagi meningkatkan keyakinan pasaran terhadap negara ini. Dewan Pemuda
PAS menyokong penuh sebarang usaha kerajaan untuk memberikan kebaikan kepada
rakyat. Tetapi kita mempersoalkan tentang syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor yang diliberalisasikan itu kerana ia menjadi medan kroni-kroni BN mencipta kekayaan. Kerajaan sepatutnya memberikan tumpuan kepada pemulihan sektorsektor yang melibatkan keperluan asas rakyat, khususnya golongan miskin. Kerajaan BN kononnya memberikan subsidi RM1 bilion untuk tiga jenis barang kawalan iaitu gula,tepung dan roti, tetapi terus membiarkan golongan kapitalis menindas rakyat dalam perniagaan secara monopoli. Bagi mewujudkan semula keyakinan pasaran, sepatutnya Kerajaan BN segera menghapuskan rasuah dan kronisme!
Walaupun dalam satu aspek kegawatan ekonomi ini telah menjejaskan sama ekonomi
negara kita, tetapi ramai pemerhati politik antarabangsa telah melihat kegawatan ekonomi ini sebagai satu ’peluang’ kepada negara-negara kecil untuk membebaskan diri daripada cengkaman politik dan kezaliman global yang ditaja oleh para imperialis dan kapitalis yang berpusat di Barat itu. Negara-negara umat Islam yang selama ini menjadi ’belasahan’ Amerika Syarikat kini boleh menarik nafas yang lebih panjang kerana negara pengganas itu hampir kehilangan kuasa ekonomi yang menjadi tongkat keganasan mereka. Kita berdoa supaya kegawatan ekonomi ini memberi pengajaran kepada
Amerika Syarikat supaya tidak lagi menzalimi masyarakat antarabangsa termasuk di Iraq,Afghanistan, Palestin, Iran, Sudan dan lain-lain. Dan inilah juga peluang terbaik kepada umat Islam untuk menawarkan kepada dunia satu pakej ekonomi yang beru berasaskan sistem ekonomi Islam yang amat stabil dan adil bagi menggantikan ekonomi kapitalis Keynesian dan juga ekonomi sosialis Marx yang telah terbukti gagal memakmurkan dunia.
Dalam kerangka peluang yang terbuka ini, saya ingin mengajak seluruh umat Islam
supaya menggunakan kuasa pasaran yang kita ada untuk memaksa negara-negara kuasa
besar dunia membebaskan bumi umat Islam di Palestin, Balkan, Kashmir, Iraq,
Afghanistan, Pattani, Mindanao, Arakan dan lain-lain yang kini menjadi mangsa tindasan ganas mereka. Saya amat terluka sekali apabila masyarakat antarabangsa terus berdiam diri terhadap keganasan yang dilakukan oleh Israel keatas umat Islam di Palestin semenjak Disember 2008 yang lalu. Perubahan kepemimpinan Amerika Syarikat
daripada pengganas George W Bush kepada pemimpin kulit hitam, Barrack Hussein
Obama nampaknya masih belum memberikan dampak yang serius terhadap pemulihan
hak kemanusian yang dijarah oleh Amerika Syarikat di seluruh dunia. Kita masih
memberi peluang kepada pemimpin baru Amerika Syarikat itu untuk mengemukakan
polisi-polisi luar yang lebih mesra dengan umat Islam khususnya, dan kemanusiaan
amnya. Amerika Syarikat dan Eropah harus ingat bahawa umat Islam akan bangkit untuk
menjatuhkan mereka sekiranya mereka meneruskan orde dunia yang zalim dan
mencengkam ini.
PERUBAHAN POLITIK MALAYSIA
Para hadirin yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Tahun 2008 telah menjadi tahun kuasa rakyat (makkal sakhti) apabila buat pertama kali
BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat – suatu majoriti yang sering
disalahgunakan untuk menindas rakyat. BN juga telah kehilangan kuasa di lima buah
negeri selain turut hilang pengaruh di Wilayah Persekutuan. Selepas Muktamar kita di
Ipoh pada tahun yang sudah, telah berlangsung tujuh pilihan raya kecil iaitu di Permatang Pauh (26 Ogos 2008), Kuala Terengganu (17 Januari 2009), Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai (7 April 2009) serta Penanti (31 Mei 2009) yang semuanya
memperlihatkan komitmen rakyat untuk terus melakukan perubahan bagi menzahirkan
keadilan dan kebajikan yang menyeluruh kepada rakyat tanpa mengira agama, bangsa
dan fahaman politik. Tindakan pengecut BN yang enggan bertanding di Penanti
membukti parti perkauman itu semakin takut untuk berhadapan dengan suara kebenaran
daripada rakyat. Saya berharap kita dapat mempertahankan momentum ini di Manik Urai
kelak. Saya mengucapkan tahniah kepada PAS, dan juga Pakatan Rakyat kerana berjaya
memenangi enam daripada tujuh pilihan raya kecil ini.
Pada tahun ini Malaysia telah mendapat seorang ketua kerajaan yang baru menggantikan
bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melepaskan jawatan. Kita
masih ingat bagaimana Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mengambil alih
kepemimpinan negara daripada Tun Dr Mahathir Mohamed dahulu telah mengubah imej
pentadbiran daripada ’Mahafiraun’ kepada ’Mr Clean’ dengan gagasan Islam Hadhari,
integriti dan pembangunan modal insan. Atas gagasan ini, rakyat secara besar-besaran
memberi sokongan padu kepada BN dalam pilihan raya 2004 yang menyebabkan kita
hampir kehilangan pengaruh. Tetapi, perubahan kepemimpinan negara pada 3 April 2009
telah gagal memberikan impak yang serupa kepada BN walaupun satu slogan baru telah
dimomokkan, ”Satu Malaysia – Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”. Bukit
Gantang bagaikan satu referandum daripada rakyat untuk menolak kepemimpinan Datuk
Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri yang keenam. Ramai pemerhati politik telah melihat perubahan kepemimpinan pada kali ini berbeza dengan perubahan pada 2003. Jika dahulu ’Mr Clean’ telah mengambil alih kerajaan dengan imej yang lebih bersih, tetapi kali ini ’Mr Clean’ telah digantikan oleh ’Mr Altantuya’ yang telah terpalit dengan pelbagai noda politik yang diperkatakan dalam negara dan juga di pentas antarabangsa. Imej kepemimpinan yang begitu lemah – terpalit dengan skandal-skandal yang memalukan – bermula daripada skandal seks, dituduh terlibat dengan pembunuhan Altantuya Shariibu, salah laku dalam pembelian kapal selam dan Eurocopter, politik wang dalam pemilihan Umno, sehinggalah kepada campur tangan
isteri dalam pentadbiran, semuanya dipersoalkan oleh rakyat. Kemunculan semula Tun
Dr Mahathir dalam mencaturkan politik pentadbiran negara turut meletakkan Datuk Seri
Najib hanyalah sebagai ’de jure Prime Minister’ di negara ini. Kerana itulah, Dewan
Pemuda PAS menyembahkan tuntutan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong agar menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kebenaran semua
dakwaan ini sekali gus membersihkan Perdana Menteri daripada semua dakwaan itu.
Saya tertarik dengan slogan baru kerajaan, ’Satu Malaysia’ yang dilaungkan oleh Perdana Menteri baru yang agaknya untuk menggantikan Islam Hadhari yang gagal memikat
orang Islam. Slogan Satu Malaysia jika dilihat dari aspek politiknya adalah satu
gambaran hasrat Umno/BN yang mahukan seluruh Malaysia bersatu menyokong mereka.
Mengapa begitu? Kerana semenjak 2008, orang-orang bukan Melayu telah menolak BN
secara terbuka kerana kezaliman, penindasan dan penyelwengan mereka. Umno/BN tidak
pernah berusaha memulihkan kebejatan moral mereka, tetapi menyimpan hasrat menarik
sokongan rakyat dengan slogan yang tidak berbau perkauman, Satu Malaysia. Mana
mungkin Umno tidak berbau perkauman kerana agenda Ketuanan Melayu belum selesai.
Pemimpin Umno masih mengangkat keris kepada orang bukan Melayu, tetapi mengajak
kepada Satu Malaysia. PAS semenjak awal konsisten dengan Ketuanan Islam mendukung
agenda PAS Untuk Semua kerana Islam adalah ’Rahmatan lil ’aalamin’. BN adalah
gabungan parti-parti perkauman ekstrim yang sentiasa mementingkan kaum bangsa
sendiri dan sanggup membela pemimpin mereka yang melakukan kezaliman, penindasan
dan penyelewengan. Agenda Satu Malaysia dengan budaya politik mungkar ini tidak
akan tercapai, melainkan rakyat Malaysia harus kembali kepada fitrah keadilan, ketelusan dan berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat.
Kudeta di Perak dan Keruntuhan Sistem Kehakiman
Tuan-tuan yang dihormati sekalian,
Selepas kita bermuktamar di Ipoh pada 11-15 Jun 2008 yang lalu, iaitu kali pertama kita bersidang di Perak selepas 40 tahun, Kerajaan Pakatan Rakyat yang kita bina bersamasama DAP dan PKR yang memenuhi aspirasi rakyat telah diruntuhkan dalam satu
rampasan kuasa pada 6 Februari 2009. Kerajaan yang diketuai oleh PAS di Perak ini
begitu menakutkan BN kerana kita telah berjaya menunjukkan satu teladan kepemimpinan Islam yang adil dan sejahtera untuk semua rakyat. Slogan PAS For All (PAS Untuk Semua) telah berjaya kita terjemahkan sehingga orang-orang bukan Islam berbondong-bondong menyatakan keyakinan dan sokongan kepada dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Ia adalah satu kemalangan politik bagi BN sekiranya kesedaran ini berkembang ke negeri-negeri lain, khususnya negeri yang BN berada dalam situasi marginal. Satu strategi jahat yang disusun semenjak Pilihan raya Kecil Permatang Pauh iaitu memerangkap dua orang Exco Kerajaan Perak dengan kes rasuah telah dijadikan
batu loncatan untuk menculik, mengugut dan merasuah tiga orang ADUN Pakatan
Rakyat itu untuk mengalihkan sokongan mereka kepada BN. Turut diculik ialah wakil
rakyat BN yang baru menyertai Pakatan Rakyat yang akhirnya menyebabkan kudeta
(coup-de-tat) berlaku di negeri tersebut dan berakhirlah pemerintahan Pakatan Rakyat
selama 11 bulan itu.
Ini bukan pertama kali Umno/BN melakukan rampasan kuasa melalui penculikan dan
rasuah politik dalam sejarah negara kita. Pada Oktober 1961, Umno/Perikatan telah
menculik wakil rakyat PAS yang membawa kepada tumbangnya Kerajaan PAS di Terengganu. Umno/Perikatan juga pernah cuba melakukan perkara yang sama terhadap Kerajaan PAS di Kelantan pada 1967, tetapi gagal. Di Sabah, pada 1994, Kerajaan PBS pimpinan Datuk Seri Pairin Kitingan telah jatuh ke tangan Umno/BN melalui cara yang sama juga. Pada 2004, sekali lagi mereka cuba membeli wakil rakyat PAS untuk menjatuhkan kerajaan kita di Kelantan, namun Alhamdulillah percubaan jahat itu gagal membeli iman ahli-ahli PAS. Maka tidak pelik bagi mereka untuk melakukan pendekatan politik yang kotor, jijik dan mejelekkan ini. Nilai demokrasi yang mereka laung-laungkan
hanya berguna dan bermakna apabila menguntungkan mereka. Mereka menuduh kita
melanggar etika demokrasi apabila wakil rakyat BN berura-ura menyertai Pakatan
Rakyat, walaupun kita tidak menawarkan sebarang habuan. Tetapi sebaliknya, BN telah
bertindak membunuh demokrasi dengan membelakangi pilihan rakyat semata-mata untuk
memenuhi nafsu politik gelojoh mereka yang sempit itu.
Kita tidak bersedih dengan kehilangan kerajaan di Perak kerana kita sudah biasa menjadi pembangkang. Tetapi kita amat kesal kerana BN melalui gerakan sulit yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak telah melakukan satu gerakan tersusun melibatkan BN, polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), mahkamah, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan beberapa pihak lain, termasuk istana juga untuk memenuhi rancangan jahat ini. SPRM yang langsung tidak bertindak di atas laporan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat tentang sogokan yang ditawarkan oleh BN untuk membeli wakil rakyat, tiba-tiba bertindak proaktif untuk menahan dua orang Exco Kerajaan Perak yang kononnya menerima rasuah. Apabila kedua-dua Exco ini hilang bersama Timbalan Speaker, polis tidak menyiasat kehilangan mereka, sebaliknya melindungi kumpulan penculik yang terbabit. Surat perletakan jawatan yang ditandatangi di hadapan Tuanku Paduka Seri Sultan Perak telah ditolak oleh SPR semata-mata untuk memberi ruang kepada BN merampas kuasa. Kita tidak faham bagaimana pegawaipegawai kerajaan yang diketuai oleh SUK segera berpaling tadah walaupun Menteri Besar Pakatan Rakyat belum lagi dijatuhkan. Bahkan, Speaker DUN Perak, S Sivakumar sebagai ketua badan perundangan juga telah tidak lagi mendapat kerjasama daripada Setiausaha DUN. Inikah budaya politik yang dikatakan berintegriti, mendahulukan rakyat dan mengutamakan kecekapan? Atau inikah yang dikatakan indeks pencapaian utama (KPI) yang menjadi sasaran BN sebenarnya?
Semenjak SPR ’menghakimi’ kedudukan tiga ADUN tersebut, proses kehakiman kembali
diragui di negara ini. Kita tahu tugas SPR hanya tiga: menyusun sempadan pilihan raya,mendaftarkan pengundi dan menjalankan pilihan raya. Menghakimi status ADUN bukan
tugas SPR, tetapi mahkamah memberi hak ini kepada SPR bagi memenuhi selera rakus
BN. Kita tahu mahkamah telah berpihak kepada BN dalam kes-kes yang dikemukakan
oleh bekas Menteri Besar dan Speaker walaupun rakyat telah mengatakan semua proses
pembentukan kerajaan baru melanggar undang-undang. Mengapa mahkamah sengaja
menjadikan isu ini sebagai satu krisis perlembagaan dan mengabsahkan rampasan kuasa
yang keji ini. Prinsip undang-undang telah menetapkan supaya keadilan bukan sahaja
dilaksanakan, tetapi mestilah dilihat telah dilaksanakan. Saya tidak mengatakan bahawa mahkamah kita telah berlaku tidak adil, tetapi rakyat seluruhnya melihat tidak berlaku keadilan dalam proses ini. Dahulu saya percaya bahawa mahkamah adalah pelindung terakhir terhadap semua kepentingan rakyat daripada dicerobohi oleh eksekutif atau badan perundangan. Tetapi hari ini keyakinan saya dan rakyat telah kembali meluntur.
Saya mengangkat tabik kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Zaid Ibrahim
yang bersungguh-sungguh mahu memulihkan semula integriti kehakiman, tetapi
semuanya telah ternoda oleh kebobrokan kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak yang
mewarisi kepemimpinan Mahafiraun. Memang tidak salah sangkaan rakyat bahawa
Ketua Hakim Negara yang pernah menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno
itu akan menjadikan seluruh sistem kehakiman kita korup dan dapat diisi dalam karung
kerakusan Umno. Namun, saya mengucapkan tahniah kepada Hakim Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang berani meletak kebenaran di
tempatnya apabila mengisytiharkan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin kekal sebagai
Menteri Besar Perak yang sah, walaupun beberapa mahkamah lain merelakan hidung
mereka dicucuk oleh kerakusan Umno/BN. Saya berharap KDYMM Paduka Seri Sultan
Perak dapat memperkenankan permohonan Menteri Besar untuk membubarkan DUN bagi menamatkan krisis politik yang berlarutan semenjak empat bulan yang lalu. Saya
tidak nampak satu cara lain, melainkan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk
membuat keputusan.
Umno Agen Kefasadan Sosial
Disebalik kerakusan Umno/BN melakukan rompakan kuasa di Perak dengan
memperalatkan pasukan keselamatan, kini bala yang lebih besar menimpa negara kita
apabila berlakunya peningkatan gejala sosial yang amat membimbangkan. Kita boleh
bayangkan sendiri tahap sebenar keselamatan negara apabila tiga orang terbunuh dalam
masa satu hari kerana jenayah ragut. Jenayah ragut yang satu ketika dahulu telah
menggemparkan negara, kini menular semula ekoran meningkatnya budaya hedonisme di
kalangan remaja. Hiburan melampau yang menggila disediakan sendiri oleh kerajaan atau
pihak-pihak yang mempunyai hubungan dengan kerajaan atau parti pemerintah telah
melahirkan impak hiliran seperti mat rempit, lumba haram, perzinaan, penagihan dadah,
mabuk dan sebagainya. Daripada kegiatan haram inilah akhirnya menatijahkan jenayah
rompak, ragut, culik, buang anak, rogol dan bunuh yang begitu berleluasa dewasa ini.
Pihak keselamatan yang menjadi alat politik BN untuk mengekang pergerakan Pakatan
Rakyat tidak lagi berperanan menjaga keselamatan awam. Amaran yang dilontarkan oleh
pihak berkuasa agama seperti mufti dan majlis fatwa tentang kedudukan aktiviti hiburan melampau ini dipandang secara sinis oleh pemimpin Umno/BN. Bagi mereka kemajuan hanya boleh dicapai dengan cara ’menganuti’ budaya Barat yang melalaikan itu. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat agar mendesak kerajaan bagi melaksanakan undang-undang jenayah Islam sebagai satu langkah untuk membendung gejala sosial yang membarah ini.
Meneliti masalah kegawatan sosial ini, selain faktor keengganan melasanakan undang-undang jenayah Islam, kita telah mendapati bahawa penguatkuasaan undang-undang
masih berada pada tahap yang begitu rendah sehingga mendorong berkembangnya
masalah sosial. Undang-undang ada tidak dapat diilaksanakan dengan berkesan kerana
budaya rasuah yang diamalkan sekarang ini. Saya mahu mengenepikan agenda retorik
kerajaan sebelum ini yang melaungkan slogan integriti atau slogan Tun Dr Mahathir yang seakan-akan anti rasuah, tetapi saya ingin membawa kita semua melihat semula akar umbi budaya rasuah yang dimulakan oleh Umno/BN. Mereka merasuah rakyat dengan
projek dan janji politik dalam pilihan raya, mereka merasuah wakil rakyat untuk
melompat parti dan mereka juga merasuah perwakilan mesyuarat agung mereka untuk
membeli jawatan. ”Beri salah, tak beri kalah”, itulah slogan yang diakui sendiri oleh
Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak. Hari ini, bukan hanya Umno, MCA atau
MIC sahaja yang terjebak dalam politik wang, bahkan PPP juga sudah dihinggapi
penyakit yang sama. Jangan kita berasa gusar apabila seorang anggota polis terlibat
dengan rasuah, kerana Menteri, Ketua Menteri, Timbalan Menteri dan pemegang jawatan
tertinggi Umno seperti Ketua Pemuda Umno, semuanya telah dipalitkan dengan rasuah.
Ini bukan tuduhan pembangkang, tetapi disahkan sendiri oleh lembaga disiplin parti
mereka. Kita bersyukur kerana PAS masih bebas daripada gejala ini kerana kita
berpegang kepada ajaran Islam yang mencegahnya.
Islam Tersingkir, Bahasa Melayu Terpinggir
Tidak cukup dengan rasuah yang menular sekarang ini, Umno/BN telah melakukan satu
percubaan besar untuk ’merasuah’ orang-orang bukan Islam dengan menetapkan bahawa
anak-anak kepada orang bukan Islam yang memeluk Islam perlu kekal dalam agama
asalnya. Kita sedar bahawa Umno/BN telah kehilangan sokongan orang-orang Cina dan
India, lalu isu Pathmanaban (atau Mohd Ridzuan Abdullah) dijadikan batu loncatan untuk menarik semula sokongan orang bukan Islam. Saya ingin mempersoalkan apakah peranan
yang dimainkan oleh Datuk Jamil Khir Baharom selaku menteri yang bertanggungjawab
dalam soal agama sehingga beliau boleh diperkudakan oleh Tan Sri Dr Koh Tsu Koon
dan Datuk Dr S Subramanian dalam Jawatankuasa Khas Kabinet. Sama ada kita bersetuju
atau tidak, bahawa Islam adalah agama Persekutuan, dan Islam mestilah diberikan
keutamaan. Kabinet bukan sahaja perlu berunding dengan Majlis Fatwa Kebangsaan
untuk menetapkan hukum yang adil dalam soal ini, tetapi Kabinet tidak wajar melangkaui bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam isu ini. Pendirian songsang Kabinet ini seolah-olah memasang bom jangka yang akan meledakkan isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama. Saya bukan semata-mata berpihak kepada Islam kerana ia adalah agama yang saya anuti, tetapi saya yang mahu keadilan Islam itu diterjemahkan dalam isu ini
sehingga ia dapat memuaskan hati kedua-dua pihak yang bertelingkah. Dewan Pemuda PAS amat kesal dengan kegagalan Datuk Seri Najib Razak dalam melindungi kepentingan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Keputusan Kabinet pada 15 April 2009 ini adalah ‘pembunuhan’ pertama yang dilakukan oleh beliau sebagai Perdana Menteri ke atas agama Islam. Hal yang sama juga berlaku di Perak selepas mereka merampas kuasa. Fatwa Mufti Perak yang mengharamkan Jomheboh (dahulunya Sureheboh) langsung tidak dihormati, bahkan dianjurkan di kawasan Menteri Besar haram itu. Jika trend ini berterusan, tidak mustahil agama Islam akan terpinggir sedikit demi sedikit daripada umat Islam. Nyatalah telahan beberapa pihak bahawa Umno tidak mendengar nasihat ulamak, sebaliknya memperalatkan ulamak untuk kepentingan politik mereka. Setiap kali kabinet baru dibentuk, mereka akan menarik seorang yang berpendidikan agama untuk menyertainya. Bukan untuk didengar nasihatnya, tetapi untuk diperalatkan pandangan dan namanya. Saya percaya Datuk Jamil Khir tidak akan berupaya melakukan apa-apa seperti mana terkedunya Professor Datuk Dr Abdullah Mohd Zin ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Islam Hadhari dahulu. Inilah nasib yang diwarisi daripada Datuk Seri Hamid Zainal Abidin, Tan Sri Yusuf Nor, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Tan Sri Abdul Hamid Othman sebagai ulamak yang berada dalam kerajaan. Namun saya masih menyimpan sedikit harapan supaya Datuk Jamil Khir dapat melakukan sesuatu untuk mengangkat semula martabat Islam, bukan sekadar mewajib zakat yang telah sedia wajib itu! Seperti mana kritikalnya kedudukan Islam sekarang ini, nasib yang sama juga sedang dihadapi oleh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak lagi dihormati oleh Umno/BN. Suatu masa dahulu Umno berjuang membela bahasa Melayu dalam agenda politik kemerdekaan mereka, tetapi semenjak tulisan Jawi dihapuskan oleh Umno menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1967, bahasa Melayu mulai terpinggir. Nyatalah bahawa ’anak-anak didik British’ yang memimpin Umno sekarang ini telah tunduk kepada ’superiority’ bahasa penjajah dan memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang telah membina tamadun Melayu semenjak abad pertama Masehi dan pernah menjadi lingua franca pada satu masa duhulu. Perlaksanaan PPSMI yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas telah menjejaskan pencapaian para pelajar, selain meminggirkan bahasa Melayu. Saya mengucapkan syabas kepada lima orang Sasterawan Negara yang begitu lantang menentang dasar ini, juga kepada Datuk Dr Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah DBP yang memimpin gerakan mansuh PPSMI ini. Pengkhianatan Umno terhadap tulisan Jawi pada 1967 telah
membuatkan generasi baru umat Islam mulai buta al-Quran, dan perlaksanaan PPSMI ini
suatu hari nanti akan menatijahkan anak-anak Melayu yang tidak lagi boleh bertutur
dalam bahasa Melayu dan berasa malu untuk menuturkan bahasa Melayu. Inilah
pengkhianatan berterusan Umno/BN terhadap pendidikan Melayu sesudah mereka
menghancurkan sekolah agama rakyat (SAR) lapan tahun yang lalu.
Politik Rimba Umno Bakal Berakhir
Para hadirin sekalian,
Umno pada saat tertubuhnya dahulu adalah reaksi terhadap Malayan Union yang ditolaknya. Umno tidak diasaskan atas dasar menegakkan satu ideologi yang bertuhan
atau sekurang-kurangnya memerdekakan nusa dan bangsa. Semenjak awal Umno yang
dipimpin oleh golongan nasionalis sekular asuhan Barat telah melihat Islam secara sinis. Mereka menggunakan agama dan para ulamaknya hanyalah untuk mencari keuntungan
politik semata-mata. Kerana itu, sejarah telah merakamkan bahawa semenjak ia mula
tertubuh pada 1946, Umno telah pun terjerumuskan kepada kegiatan-kegiatan yang
haram seperti judi loteri, fun fair, kaberet, arak dan seumpamanya termasuklah ideologi kebangsaan sempit (asobiyyah) yang dianutnya. Para ulamak yang awalnya bersama-sama Umno telah mengambil langkah menubuhkan PAS pada 1951 kerana ingin
memisahkan diri mereka daripada budaya politik yang kotor dan tidak bermoral ini. Kini budaya itu telah membarah dalam Umno apabila ia bertukar daripada judi loteri untuk memberikan Umno kuasa politik kepada rasuah politik untuk membolehkan individu
pemimpin Umno membeli kuasa. Saya menghargai perjuangan para pemimpin Umno yang terdahulu dalam mendapatkan kemerdekaan negara dan membangunkan negara ini seadanya. Walaupun mereka bergerak di atas landasan politik yang mungkar, tetapi para pemimpin Umno pada suatu masa dahulu lebih mengutamakan parti, bangsa dan tanah air daripada kepentingan individu dan kumpulan. Tetapi pada hari ini para pemimpin Umno, selain berebut-rebut membolot kekayaan peribadi dan keluarga, mereka juga telah menjual kepentingan parti dan bangsanya sendiri demi mendapatkan kuasa. Rasuah dan politik wang sudah menjadi budaya dalam Umno yang tidak dapat dibendung lagi. Daripada amalan rasuah inilah munculnya politik tolak-menolak, tindak-menindas, fitnah-memfitnah, bahkan bunuh-membunuh juga. Amalan-amalan mungkar ini bukan hanya berkisar di dalam Umno, tetapi juga dalam pilihan raya yang disertai Umno/BN dan pentadbiran kerajaan yang dipimpin oleh Umno/BN. Korupsi, kolusi dan nepotisme (KNN) – itulah ungkapan yang dilabelkan oleh pendukung Reformasi terhadap Umno sedekad yang lalu. Ketika para ulamak meninggalkan Umno pada 1951 dan ketika kita masih terus menolak Umno sekarang ini – rakyat masih bertanya mengapakah dua buah parti Melayu itu terus berselisihan. Jawapannya amat mudah – bahawa PAS dan Umno mendukung nilai yang berbeza. Sistem nilai anutan Umno yang berpaksikan kebangsaan yang meterialistik dan individualistik telah menjerumuskan pemikiran mereka kepada kebendaan dan keduniaan semata-mata. Bagi Umno tidak salah mereka mengamalkan judi loteri atau rasuah politik, kerana nilai halal dan haram tidak wujud dalam dunia kebendaan anutan mereka, melainkan untung rugi atau seronok sengsara sahaja. Sedangkan sistem nilai yang didukung oleh PAS adalah berteraskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. PAS bekerja untuk mendapatkan keredhaan Allah di dunia dan di akhirat. Kita mendukung agenda keadilan, kesamarataan dan kebajikan untuk semua tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan juga fahaman politik. Inilah perbezaan nilai yang terbesar antara PAS dengan Umno yang meletakkan PAS terus relevan di persada politik negara,sedang Umno beransur-ansur menjadi dinasor dalam sejarah politik negara.
Memanfaatkan Perubahan
PAS suatu masa dahulu telah dimomokkan oleh Umno sebagai sebuah parti ”pak lebai”
yang jumud, taksub, ekstrim dan bersikap keras terhadap orang bukan Islam.
Alhamdulillah, pada masa ini hasil daripada penerangan dan dakwah yang berterusan,
bertunjangkan nilai-nilai sejagat yang didukung oleh PAS yang mengatasi nilai-nilai
sempit anutan Umno, PAS mula diterima oleh orang-orang bukan Islam dengan begitu
menggalakkan sekali. Kita bersyukur kepada Allah SWT di atas perubahan kesedaran
politik ini sehingga membuka ruang yang seluas-luasnya kepada PAS untuk menembusi
tembok-tembok politik yang dahulunya menghalangi usaha PAS untuk menyatakan
keadilan dan kesejahteraan Islam kepada orang-orang bukan Islam. PAS sekali-kali tidak akan memaksa orang-orang bukan Islam untuk menganut ajaran Islam, tetapi PAS
berusaha sekeras-kerasnya supaya orang bukan Islam memahami hakikat keadilan Islam
yang merahmati seluruh alam, termasuk keadilan dan kebajikan yang diwajibkan oleh
Allah SWT ke atas orang-orang bukan Islam juga.
Allah SWT telah berfirman,
”Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta
memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan
perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia
mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu
mengambil peringatan dan mematuhi-Nya”.
Surah an-Nahl: 90
Semenjak Allah SWT menganugerahkan kemenangan kepada Pakatan Rakyat di lima
buah negeri pada 2008, ternyata sekali telah membuka mata orang-orang bukan Islam
terhadap kesan aplikasi sistem nilai Islam dalam hidup mereka. Saya mengucapkan
tahniah dan terima kasih kepada YAB Sdr Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
yang mahu menjadikan keadilan pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai model
pentadbiran kerajaan Pulau Pinang. Saya juga merakamkan tahniah kepada pemimpin
PAS di Perak yang berjaya menonjolkan inti pati keadilan dan kesejahteraan Islam
kepada orang bukan Islam di negeri itu sehingga tembok besar yang menghalang
kefahaman mereka sebelum ini runtuh sama sekali. Saya melihat perbezaan besar di atas
kejayaan kita di Pantai Barat selama setahun ini, berbanding dengan penguasaan kita di Pantai Timur sejak 20 tahun dahulu. Di Kelantan, keadilan dan kesejahteraan Islam hanya dinikmati oleh orang-orang Melayu Islam dan minoriti bukan Islam yang hanya sekitar lima peratus itu. Tetapi di Pantai Barat, keadilan dan kesejahteraan Islam telah dilihat dan dirasai oleh orang-orang bukan Islam yang berjumlah hampir 50 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Menang benarlah janji Allah SWT,
”Apabila datang pertolongan Allah dan pembukaan (iaitu kemenangan membuka kembali Makkah), Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah secara berbondong-bondong. Maka bertasbihlah memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunan kepada-Nya, sesungguhnya Dia amatlah menerima taubat”.
Surah an-Nashr: 1-3
Saya amat-amat bersyukur dengan anugerah Allah SWT ini dan saya memohon ampun
kepada Allah SWT diatas kekurangan daya usaha kita dalam meluaskan perlaksanaan
keadilan Islam kepada masyarakat ini. Saya juga bagi pihak seluruh kepemimpinan
Dewan Pemuda PAS memohon ampun kepada Allah SWT sekiranya usaha-usaha kita
belum mencukupi dalam membawa kefahaman masyarakat terhadap keadilan Islam.
Kerana itu, saya ingin mengajak seluruh kepemimpinan Dewan Pemuda PAS yang hadir
pada malam ini untuk melihat kekurangan ini sebagai satu cabaran kepada gerak kerja
dakwah PAS terhadap masyarakat, khususnya untuk meningkatkan kesedaran dan
kefahaman orang bukan Islam terhadap Islam, sekali gus merangsang pertambahan
sokongan mereka terhadap PAS. Dewan Pemuda PAS mesti bersedia untuk bersamasama
Lajnah Perpaduan Nasional dan Kelab Penyokong PAS bagi mengatur aktivitiaktiviti
bagi mengisi kesedaran ini. Saya berharap Kelab Penyokong Muda PAS yang
telah kita tubuhkan dapat digerakkan sebaiknya untuk maksud ini. Saya merasakan sudah
tiba masanya untuk kita mewujudkan keahlian baru dalam PAS untuk orang bukan Islam,
sebagai memenuhi konsep ahlul dzimmah dalam gerakan Islam kontemporari.
15
Dalam pada itu juga, saya ingin mengingatkan kepada seluruh jentera kerja PAS supaya
tidak mengabaikan orang-orang Melayu sebagai penyokong dan pengundi teras PAS.
Kita tidak mahu tumpuan yang kita berikan dalam menarik sokongan orang bukan
Melayu mengabaikan gerak kerja rutin kita dalam mengekal dan menambahkan sokongan
orang-orang Melayu kepada PAS. Janganlah yang dikendung berciciran, yang dikejar tak
dapat. Saya menyebut perkara ini kerana daripada keputusan pilihan raya 2008 yang lalu, beberapa kawasan Melayu di Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor telah menjadi kawasan marginal. Bahkan, beberapa kawasan Melayu di Johor, Melaka dan
Negeri Sembilan juga telah dapat kita tembusi. Jika kita dapat meningkatkan pengaruh
kita di kawasan pengundi Melayu, hampir pasti kubu kita akan berkembang dari Pantai
Timur ke Pantai Barat. Persoalan ini sangat mustahak untuk diberikan perhatian kerana
penglibatan yang lebih luas dalam kerajaan di Selangor, Perak dan Pulau Pinang dapat
kita lakukan jika PAS berjaya menguasai kawasan-kawasan majoriti Melayu.
MEMIMPIN PEMUDA MALAYSIA
Para muktamirin yang dikasihi sekalian,
Pada saat PAS sedang dinamakan sebagai alternatif untuk menggantikan Umno sebagai
parti Melayu yang utama di negara, dan pada ketika Pakatan Rakyat sudah diterima oleh
rakyat seluruhnya untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada parti
perkauman BN, Dewan Pemuda PAS mesti bersedia memainkan peranan terbesar untuk
memimpin pemuda Malaysia seluruhnya. Agenda besar ini merupakan sebahagian
daripada rancangan pemulihan yang mesti digerakkan oleh Dewan Pemuda PAS untuk
mengembalikan semula matlamat hidup golongan belia dan pemuda yang pada masa ini
telah kehilangan arah kerana dasar-dasar hedonisme yang ditaja oleh Umno. Generasi
baru pewaris negara pada hari ini bukan sahaja berhadapan dengan krisis ekonomi ekoran kekurangan peluang kerja, tetapi lebih parah lagi apabila mereka berhadapan dengan krisis jati diri yang hampir-hampir melumpuh seluruh generasi pewaris ini. Dewan Pemuda PAS telah berkali-kali membuat teguran, perbincangan dan memberi pandangan alternatif kepada kerajaan supaya program-program yang bersifat counter productive kepada program pembinaan seperti PLKN, Rakan Muda dan program pembangunan yang lain dihentikan. Tetapi nampaknya program-program yang bersifat hedonisme semakin menular, dan kini mula memasuki corong-corong media elektronik melalui apa yang dinamakan program realiti tv.
Sebagai langkah praktikal, Dewan Pemuda PAS telah berusaha menembusi ruang-ruang
dakwah kepada golongan belia menerusi program-program kebeliaan yang disusun dalam
bentuk hiburan alternatif, sukan, rekreasi dan juga pemulihan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Unit Amal, Lajnah Pembangunan Remaja, Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) dan juga Lajnah Ibu Kota yang bekerja keras untuk tujuan ini. Saya telah melihat pencapaian besar terhadap usaha-usaha kita apabila golongan artis, budayawan, sasterawan, ahli sukan, penulis dan beberapa golongan lain turut bersama-sama kita untuk membangunkan semula golongan muda. Saya mengucapkan tahniah
kepada Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan yang berjaya menganjurkan konsert bersama Raja Rock, Amy Search dan Ringgo dalam usaha memberikan nafas baru kepada hiburan untuk remaja. Ringgo telah menerbitkan album baru nya yang bertajuk “Pesan Tok Guru”. Saya begitu optimis sekiranya PAS berani meneroka medan-medan dakwah yang baru dan lebih berkesan untuk golongan muda, matlamat yang hendak dicapai oleh PAS akan menemui peluang yang begitu cerah. Kita sedar selama ini Umno/BN sengaja mewujudkan aktiviti-aktiviti hedonisme bagi melalaikan golongan remaja dan belia sebagai satu strategi untuk mengekalkan sokongan golongan ini kepada Umno/BN.
Untuk menghadapi persaingan pengaruh pada masa hadapan, Dewan Pemuda PAS perlu
memikirkan pendekatan politik dan dakwah yang lebih strategik dan berkesan terhadap
golongan muda. Kita tidak boleh berhenti dengan hanya menyediakan kepada mereka
program yang bersifat hiburan, kebudayaan atau sukan semata-mata, tetapi golongan
muda mestilah turut diisi oleh ilmu dan tarbiyah yang akan memperkasakan jati diri
mereka. Dewan Pemuda PAS mesti melihat bagaimana caranya kita dapat mengembleng
media baru yang lebih interaktif hari ini dalam menarik minat dan sokongan golongan
muda. Saluran-saluran interaktif di atas talian (online) seperti blog, facebook, skype, yahoo messenger, sms dan seumpamanya mesti dimanfaatkan supaya ruang dakwah kita terbuka dengan seluas-luasnya meliputi seluruh ruang alam yang ada. Projek untuk
mengembangkan virtual engagement ini mesti diberikan perhatian oleh kepemimpinan
baru Pemuda PAS supaya kita dapat memasuki hati naluri anak-anak muda. Pendekatan
tradisional mesti diteruskan, pendekatan baru harus digemblengkan. Matlamat kita hanya satu, kerahmatan Islam mestilah disampaikan ke seluruh alam. Dalam konteks ini, saya ingin mengajak para pemuda semua untuk kita menghayati pemikiran dakwah yang digagaskan oleh al-Marhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmy.Beliau amat menekankan keterbukaan dalam pendekatan dakwah yang sesuai dengan naluri masyarakat sebagaimana berhikmahnya Wali Songo yang menggunakan saluran seni hiburan untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Pendakwah tidak menghukum, tetapi memujuk dan menasihati. Perbezaan bukan atas perpecahan, tetapi menzahirkan keterbukaan. ”Jangan kerana kita sukakan susu, lalu mengatakan kopi tidak baik, tetapi minumlah susu dan hargailah peminum kopi”. Itulah keterbukaan yang ditunjukkan oleh Dr Burhanuddin. Beliau dikenali sebagai tokoh reformis, tetapi sangat disenangi oleh ulamak kaum tua. Beliau terkenal sebagai ahli tasawuf, tetapi begitu rapat dengan ulamak kaum muda. Beliau menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialiskomunis,memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvenis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis. Pengikut dan pengkagumnya bukan sekadar orang-orang politik, tetapi juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Inilah model pendakwah yang mesti dicontohi oleh Pemuda PAS pada masa akan datang.
Atas asas inilah saya merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama
meremajakan semula Dewan Pemuda PAS. Saya bersedia untuk mengundurkan diri
daripada kepemimpinan Dewan Pemuda PAS kerana hasrat saya agar generasi baru yang
lebih produktif dengan gagasan-gagasan berjiwa remaja dapat mengambil alih kepemimpinan. Kita perlukan pemimpin baru yang dapat menghayati naluri dan denyut
nadi golongan muda. Kita mahukan pemimpin baru yang memahami kehendak dan
keperluan generasi remaja. Kita berkehendakkan pemimpin baru yang berupaya
menyediakan program dan aktiviti-aktiviti yang dapat membina dan menggali karismatik
golongan belia sebagai pelapis kepemimpinan negara. Saya sangat percaya bahawa
pemimpin muda lebih memahami dan menghayati kemahuan generasi muda, kerana itu
kita mesti memberikan kepercayaan kepada mereka untuk mengemudikan proses
peremajaan ini.
Dewan Pemuda PAS sebenarnya sedang menghadapi satu persaingan yang lebih sengit
pada masa hadapan, terutama dengan program-program keremajaan yang disusun oleh
Pemuda Umno. Kita tidak boleh memandang sepi atau melihat sebelah mata sahaja
kepada Pemuda Umno yang kini sedang dipimpin oleh seorang ketua yang lebih muda.
Mungkin kita tersenyum kerana Pemuda Umno berketuakan seorang yang telah
disabitkan dengan kesalahan politik wang atau seorang ketua pemuda yang dahulunya
menjadi menantu Perdana Menteri yang membolot kekayaan negara melalui penguasaan
di Tingkat 4 JPM. Tetapi apa yang mesti kita perhatikan ialah keupayaan dan kebolehan
beliau menguasai jiwa golongan muda dengan segala jenteranya, yang mungkin akan
meninggalkan kita jauh keterbelakang. Jangan kita nanti menggigit jari sahaja melihat
Pemuda Umno merampas semula kepercayaan golongan muda. Kita harus ingat bahawa
harimau yang sedang terluka akan melakukan apa sahaja untuk survivalnya, dan
canangnya telah dipalu oleh Ketua Pemuda Umno untuk mengembalikan sokongan
golongan muda kepada BN. Inilah cabaran nombor wahid dalam gerakan politik Dewan
Pemuda PAS untuk tempoh menjelang pilihan raya ke-13 nanti.
Masa Depan Pakatan Rakyat
Selain berhadapan dengan Pemuda Umno yang menjadi pesaing utama kepada Dewan
Pemuda PAS, kita juga turut bertemankan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda
Sosialis DAP (DAPSY) yang menjadi komplimenter dalam memperkasakan Pakatan
Rakyat. Saya teruja melihat pemimpin-pemimpin muda yang muncul dan memimpin
AMK dan DAPSY pada masa ini. Mereka adalah generasi baru yang mewakili aspirasi
baru Malaysia yang menolak gagasan sempit yang berasaskan kaum atau sentimensentimen
sempit yang lain. Mereka sekarang sedang bercakap soal ketelusan pentadbiran,
keadilan undang-undang, keadilan sosial, kecekapan kerajaan dan kestabilan ekonomi
yang menjadi isu pokok ke arah Malaysia sebuah negara maju dan berkebajikan. Isu-isu
yang bersifat perkauman, keagamaan yang sempit, sentimen kedaerahan dan seumpamanya sudah tidak relevan kepada generasi baru Malaysia. Inilah persoalan yang membuatkan parti-parti perkauman dalam BN kini kehilangan dukungan rakyat,khususnya golongan muda.Bagi Dewan Pemuda PAS, perkembangan ini perlu dilihat secara positif, dan kita sendiri mesti berperanan secara positif juga supaya PAS terus diterima di pentas politik negara. Saya percaya AMK dan DAPSY telah mempunyai rancangan-rancangan kerja jangka panjang masing-masing bagi menangani perubahan ini. Maka generasi b ru Pemuda PAS juga perlu membuat kajian dan perancangan yang lebih strategik kerana kita mahu
peranan PAS dalam Pakatan Rakyat seluruhnya diperkukuhkan. Kita bukanlah ’sleeping
partner’ kepada Pakatan Rakyat atau sekadar pelengkap sahaja, tetapi kita mahu PAS
menjadi tulang belakang kepada kebangkitan Pakatan Rakyat dalam menamatkan kezaliman, penindasan dan penyelewengan BN. Pemuda PAS adalah tenaga utama dalam
meningkatkan peranan PAS ini. Peranan kita dalam kerajaan, peranan kita dalam pakatan
dan peranan kita dalam mengembleng rakyat semuanya perlu diberikan suntikan
perangsang yang baru. Saya bukan bermaksud supaya PAS menguasai Pakatan Rakyat
dan parti lain menjadi pengikut kita, kerana saya sedar semua parti adalah komplimenter antara satu sama lain. Tetapi saya mahukan dalam apa aspek pun peranan dan sumbangan gerak kerja PAS dalam memperkasakan Pakatan Rakyat dipertingkatkan.
Tujuan utama saya memberikan penekanan terhadap proses mempertingkatkan peranan
PAS dalam Pakatan Rakyat ialah kerana kita mahu Pakatan Rakyat diperkukuhkan.
Pakatan Rakyat telah mendapat kepercayaan sebahagian besar rakyat di semenanjung ini.
BN kini hanya bertahan dengan sokongan pengundi dari Sabah dan Sarawak sahaja. Kita
telah diberi peluang oleh rakyat untuk membuktikan apa yang kita war-warkan apabila
lima buah negeri serta Wilayah Persekutuan telah berada di tangan kita dapat
dimanifestasikan. Keyakinan rakyat ini mesti diterjemahkan kepada dasar-dasar kerajaan yang telus, bersih dan berkebajikan supaya kemenangan kita dapat dipertahankan. Memperkukuhkan Pakatan Rakyat adalah tanggungjawab kita bersama dan tidak timbul langsung soal kita ingin memisahkan diri daripada pakatan ini. Tetapi, saya menyeru kepemimpinan tertinggi parti supaya dapat mengkaji secara mendalam peranan dan kedudukan kita setelah setahun Pakatan Rakyat dibentuk, supaya kita dapat menilai dan memuhasabah pencapaian kita ke arah pembaikan. Kita mesti melihat semula apakah pencapaian yang telah kita buat, bagaimana kedudukan dasar dan matlamat perjuangan kita dalam pakatan ini dan apakah strategi baru kita bagi menambah baik keseluruhan organisasi Pakatan Rakyat. Ahli-ahli PAS perlu memahami bahawa penglibatan PAS dalam Pakatan Rakyat bukanlah suatu yang tidak syar’ie atau dibuat semata-mata untuk kepentingan politik semasa sahaja. Kerjasama kita dalam Pakatan Rakyat adalah berteraskan prinsip yang berbeza dengan kerjasama BN. PAS tetap berpegang teguh dan istiqamah dengan dasar perjuangannya tanpa menggadai prinsip. Inilah membezakan PAS dalam Pakatan Rakyat dengan Umno dalam BN. Umno bergabung dengan BN tetapi tidak menguntungkan Islam dan orang Melayu. Umno bukan sahaja gagal memberikan kefahaman Islam kepada rakan gabungan mereka dalam BN, tetapi telah menunjukkan contoh yang buruk kepada orang bukan Islam melalui amalan rasuah, penyelewengan, penindasan dan kezaliman. Kerjasama politik Umno adalah kerjasama wala’ yang diharamkan oleh Islam kerana menggadaikan prinsip, tidak istiqamah dan tidak konsisten. Dalam Pakatan Rakyat, kita melakukan kerjasama berasaskan tahaluf siyasi yang tetap dari segi pegangan, prinsip dan sikap. Kita berjaya memahamkan orang-orang bukan Islam tentang maksud ﻢﻠﺴﺗ ﻢﻠﺳأ, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Apabila kita memerintah negeri yang mempunyai ramai orang bukan Islam seperti di Perak, mereka mulai sedar tentang makna Islam sebagai agama yang selamat, aman dan sejahtera. Hari ini, hasil tahaluf dalam Pakatan Rakyat, orang-orang bukan Islam berbondong-bondong menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Atas asas yang kukuh ini, saya menyeru ahliahli PAS supaya berusaha bagi memperkasakan Pakatan Rakyat.
KEPEMIMPINAN PEMUDA KONTEMPORARI
Para Pemuda penerus perjuangan yang dikasihi sekalian,
Allah SWT telah berfirman,
”Kami mengisahkan kepada kamu tentang mereka itu dengan sebenarbenarnya.
Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata:
"Tuhan kami ialah Tuhan Yang Mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran”.
Surah al-Kahfi: 13-14
Kita telah melangkah ke era baru politik Malaysia. Landskap politik telah berubah.
Medan dakwah semakin meluas. Cabaran semakin besar. Persaingan semakin sengit.
Pengorbanan semakin banyak diperlukan. Inilah warna baru yang perlu ditempuhi oleh
seluruh Pemuda PAS menjelang dekad baru 2010 akan datang. Kita mempunyai wawasan
perjuangan yang sangat jauh iaitu mencapai keredhaan Allah dan mencipta kejayaan (alfalah)di dunia dan akhirat. Bagi memenuhi matlamat perjuangan yang begitu agung ini,serta kekentalan cabaran yang mendatang, Pemuda PAS memerlukan persiapan dan
peningkatan keupayaan yang berkali-kali ganda daripada yang apa yang sedia ada hari
ini. Mungkin apa yang kita ada ini memadai dengan cabaran dan keperluan hari ini, tetapi kita harus meletakkan satu unjuran perubahan yang besar dalam masa 10 ke 20 tahun akan datang. Dengan perkembangan politik yang telah berjaya memecahkan tembok
perkauman serta kecanggihan teknologi yang melangkaui undang-undang yang mengekang pergerakan maklumat, saya dapat merasakan suatu natijah yang memihak kepada kita pada masa akan datang sekiranya kita dapat mempersiapkan diri untuk tiba tepat pada waktunya.PAS pada hari ini di mana-mana telah dilihat sebagai ’bakal kerajaan’ (government in waiting), atau sekurang-kurangnya rakyat mulai menerima bahawa PAS adalah kerajaan di beberapa buah negeri. Satu pengharapan yang besar daripada rakyat kepada PAS ialah agar kita menyediakan kepemimpinan negara yang baru – yang sama sekali berbeza dengan Umno/BN. Rakyat telah menerima dan memperakui kepemimpinan PAS sebagai yang lebih telus, beramanah, beriman dan budiman. Kerana itu, sudah menjadi kebiasaan ahli-ahli PAS diberikan kepercayaan untuk memimpin institusi masyarakat yang bercorak keagamaan. Tetapi, dalam banyak situasi rakyat belum percaya bahawa PAS boleh memimpin dan mengetuai urusan pentadbiran masyarakat, khususnya memerintah
negara. Wibawa pemimpin PAS untuk mengendalikan sebuah kerajaan yang belum begitu jelas dalam sanubari rakyat. Mereka tahu pemimpin PAS tidak merasuah, tidak menyelewengkan kuasa atau menyalahgunakan hak rakyat, tetapi keyakinan mereka
terhadap kebolehan PAS untuk mengendalikan urusan rakyat masih begitu rendah.
Mungkin kerana momokan Umno/BN dan mungkin juga kerana kita belum memperlihatkan kewibawaan kita yang sebenar.Lantaran kurangnya kepercayaan ini, rakyat terpaksa menutup mata terhadap penyelewengan, salah laku, salah guna kuasa, rasuah dan penindasan yang dilakukan oleh Umno/BN, lalu kepemimpinan negara terus diserahkan kepada parti perkauman itu.
Semenjak jatuhnya khilafah Islamiyyah pada 1924, rakyat telah diracuni oleh pemikiran
sekular yang melihat bahawa para ulamak hanya layak mengendalikan urusan agama
sahaja, sedangkan urusan kenegaraan harus diserahkan kepada ahli-ahli politik bukan
ulamak. Semenjak ulamak mulai terpinggir dan terbentuknya kepercayaan rakyat bahawa
ulamak tidak layak untuk memimpin dan memerintah. Sistem pendidikan yang diamalkan
dengan memisahkan pendidikan agama daripada ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi
telah menjadi teras kepada pemencilan ini. Saya ingin mencabar minda saudara-saudara
semua. Bahawa PAS sebagai sebuah gerakan Islam pada hari ini telah terperangkap di
dalam kerangka pemikiran yang menyesatkan ini. Rakyat bukan menolak PAS sebagai
sebuah parti politik Islam yang mendukung cita-cita ketuhanan dan kemanusiaan, tetapi
rakyat melihat golongan yang mendukung Islam sebagai lebih layak untuk
memakmurkan rumah-rumah Allah sahaja, bukannya mencampuri urusan politik
kenegaraan. Dan satu hakikat yang harus kita akui ialah kerana para ulamak yang
memimpin kita tidak dilihat menguasai ilmu-ilmu alat dalam mentadbir dunia.
Apa maknanya? Maknanya ialah ahli-ahli Pemuda PAS perlu bekerja lebih keras bukan
sahaja untuk mengajak manusia ke jalan dakwah, tetapi juga untuk meningkatkan
keupayaan diri. Imej ’keagamaan’ sudah cukup kental pada PAS, dan imej ini mesti
dipertingkatkan dengan kapasiti atau kapabiliti sebagai seorang negarawan. Apabila
Allah SWT memberikan pengiktirafan kepada sifat Tholut, ”bastotan fil-ilmi wal jismi”2, iaitu kelebihan ilmu dan mempunyai kekuatan fizikal dalam konteks memimpin sebuah pasukan tentera, maka sedarlah kita kepemimpinan mestilah berilmu dalam urusan
keduniaan serta mempunyai kekuatan dalam menghadapi cabaran semasa. Agenda
mentadbir urusan dunia dengan agama bukan sahaja berkehendakkan ilmu-ilmu dan
kepakaran dalam soal agama yang menjadi satu kewajipan, tetapi mestilah juga
2 Surah al-Baqarah: 247
Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan".
diperkasakan dengan keilmuan dalam urusan keduniaan bagi mewujudkan kompetensi
kepemimpinan pada masa akan datang. Kemahiran pengurusan, ekonomi, pentadbiran
awam, undang-undang, sosiologi dan antropologi, media dan komunikasi, sejarah dan
politik adalah begitu relevan untuk diterokai oleh generasi muda PAS bagi membentuk
satu generasi baru kepemimpinan yang kompeten. Jika kita berjaya memprogramkan satu
perubahan terhadap tingkat keupayaan dan kapasiti kita dalam kepemimpinan sehingga
boleh meningkatkan keyakinan rakyat, nescaya masa depan politik korup Umno/BN akan
berakhir.
Tarbiyah
Para hadirin sekalian,
Tarbiyah adalah nadi gerakan Islam. Semenjak pertengahan 1970-an, Dewan Pemuda
PAS telah mengorak langkah untuk memulakan tarbiyah harakiyyah dalam PAS. Selepas
era kepemimpinan ulamak, tarbiyah menjadi begitu dominan sehingga merangsang
kebangkitan besar terhadap kesedaran Islam dalam masyarakat. Usrah, tamrin,
mukhayyam, nadwah, liqa’ al-fikr dan seumpamanya adalah agenda wajib pendukung
PAS semenjak dua dekad yang lalu. Ahli-ahli PAS telah diterap dengan begitu tegar
bahawa tidak ada Tuhan yang disembah dalam seluruh kehidupan manusia, melainkan
Allah. Ahli-ahli PAS telah mendapat kesedaran bahawa Islam adalah satu agama yang
syumul dan seluruh kehidupan manusia mestilah berpegang kepada ajaran Islam. Ahliahli
PAS telah ditanamkan tentang persoalan keadilan, ketelusan, kesejahteraan dan
kerahmatan Islam sehingga mewujudkan budaya kerja yang positif di kalangan kita. Kita
juga telah dididik tentang persoalan taat, wala’, indibhat dan thiqah yang menjadi asas kepada adab-adab berjamaah dalam mewujudkan hubungan yang kukuh antara ahli-ahli
dan kepemimpinan. Inilah kerangka besar yang telah diterapkan dalam sistem tarbiyah
kita, lantaran ia meletakkan ahli-ahli PAS sebagai ahli-ahli politik yang paling bersih dan berwibawa di negara ini.
Pada hari ini, kita mendengar rungutan daripada ahli-ahli, terutama generasi awal 1980-an bahawa keterikatan ahli-ahli PAS dengan agenda tarbiyah semakin longgar. Tarbiyah semakin terpinggir daripada arus perdana PAS. Ahli-ahli PAS sudah tidak lagi berminat dengan program tarbiyah, dan kepemimpinan sendiri tidak lagi memberati soal ini. Kemasukan anasir-anasir pemikiran baru daripada luar PAS pula telah mengacau ganggu kestabilan dalaman PAS. Beberapa isu yang telah dianggap selesai, diungkitkan semula sehingga menimbulkan pergeseran fikrah yang menjadi fitnah dalam gerakan Islam. Bahkah, fikrah maddiyyah juga mungkin akan berkembang dalam PAS terutama setelah kita mendapat kekuasaan di beberapa buah negeri. Apakah benar PAS telah mengabaikan tarbiyahnya? Tuan-tuan boleh menjawab sendiri persoalan ini. Apa yang saya ingin tekankan sebagai amanat kepada Dewan Pemuda PAS, marilah kita kembali
memperkasakan semula seluruh sistem dan amalan tarbiyah kita. PAS telah pun
mempunyai sistem tarbiyah yang mantap dan tersusun, bahkan terbaik. Tinggal lagi
kesungguhan kita untuk menggerakkan program-program tarbiyah dari peringkat yang
paling kecil sehingga yang tertinggi. Saya masih meletakkan harapan bahawa usrah
adalah nukleas utama dalam memenuhi sasaran pemerkasaan cawangan-cawangan PAS
di seluruh negara.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat Dewan Pemuda PAS Pusat
yang bertungkus lumus semenjak 2003 untuk membangunkan organisasi Dewan Pemuda
PAS dari peringkat Cawangan dan Kawasan. Inilah program keorganisasian dan tarbiyah
bersepadu yang kita rancang dan susun selama enam tahun. Saya berharap mulai tahun
akan datang, program pembangunan ini ditumpukan pula kepada sumber manusia dengan
memberati soal pembinaan syakhsiyah dan kompetensi diri ahli-ahli. Sebagai kemuncak
kepada proses ini, Dewan Pemuda PAS Pusat telah menubuhkan Akademi Kepemimpinan Pemuda (AKP) untuk merangka modul-modul dan latihan bagi pembinaan kepemimpinan Pemuda PAS pada masa akan datang. Kita telah mempunyai pusat latihan yang baik di Kelantan untuk menjadi ’kilang’ yang memproses generasi baru Pemuda PAS sebagai pemimpin kompetan. Saya sangat gembira apabila Institut Latihan Perkaderan dan Kepemimpinan Dakwah Islamiyah (ILHAM) di bawah Lajnah Tarbiyah PAS Pusat dapat beroperasi semula semenjak setahun yang lalu. Saya sebolehnya ingin mewajibkan seluruh kepemimpinan Dewan Pemuda PAS semua peringkat mengikuti program-program tarbiyah dan kepemimpinan yang disediakan oleh ILHAM. Sudah tiba masanya untuk kita meletakkan syarat supaya pemegang Diploma Kepemimpinan Islam ILHAM sahaja yang layak diberikan tugas kepemimpinan Dewan Pemuda PAS di peringkat Negeri dan Pusat.
Memperkasa Wibawa
Allah SWT berfirman,
”(Wahai ayah), ambilah dia (Musa) menjadi orang upahan (mengembala kambing), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".
Surah al-Qasas: 26
Pengukuhan tarbiyah yang saya tekankan ini adalah dengan matlamat supaya ahli-ahli
dan pemimpin PAS terus kekal berjuang di atas keimanan dan keikhlasan kepada Allah
SWT sehingga dapat melahirkan integriti dalam semua urusan. Saya telah nampak
bahawa ciri-ciri integriti telah berkembang teguh dalam PAS hasil usaha tarbiyah ini.
Keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap ketelusan, keadilan dan kewibawaan
pemimpin PAS menjadi satu bukti terhadap integriti yang wujud ini. Tetapi, integriti
sahaja tidak memadai untuk menjadi pemimpin yang baik. Kerana itu, terlebih dahulu
saya menyebutkan tentang cabaran dan persiapan keilmuan dan kemahiran yang mesti
dibina oleh ahli-ahli PAS dalam melahirkan seorang anggota jamaah yang kompetan
dalam semua gerak kerjanya. Kompeten dengan maksud memiliki kemahiran, kepakaran
dan keilmuan dalam mentadbir dunia berasaskan agama. Kombinasi antara dua sifat ini –
integriti dan kompetensi – akan menterjemahkan satu model kepemimpinan ummah yang
23
berkredibiliti. Memperkasakan wibawa dan kredibiliti ini menjadi kewajipan kepada
setiap Pemuda PAS.
Pemikiran ini bukanlah suatu yang baru dalam PAS kerana semenjak sekian lama kita
telah didedahkan bahawa Allah SWT mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalan-
Nya secara tersusun.3 Perjuangan pada jalan Allah SWT hanya dapat dilaksanakan
dengan aqidah dan integriti yang dibina melalui tarbiyah. Sedangkan gerakan yang
tersusun hanya dapat dilahirkan melalui kemahiran dan keilmuan berasaskan kompetansi
diri. Nabi Muhammad SAW telah membayangkan kecintaan Allah kepada orang-orang
mementingkan kecemerlangan dan kualiti dalam gerak kerjanya.4 Bahkan, telah lama kita
diajar oleh para ulamak supaya mencontohi sifat-sifat Allah SWT yang begitu teliti dan cermat dalam setiap penciptaannya sehingga menghasilkan ciptaan yang begitu baik dan mengkagumkan. Allah SWT telah berfirman,
”(Demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu
dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya. Sesungguhnya ia amat mendalam
pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan”.
Surah an-Naml: 88
Proses memperkasakan kewibawaan ini adalah kombinasi antara dua kebolehan yang
Allah SWT rakamkan dalam kisah Nabi Musa AS ketika baginda diambil bekerja oleh
Nabi Syu’aib AS. Asas pemilihan seorang sebagai pemimpin digambarkan dengan sifat
al-qawiyyul amin, yang kuat lagi amanah. Kuat dalam konteks ini adalah orang memiliki
kekuatan fizikal yang sesuai dengan tugas mengembala kambing yang hendak
dilaksanakan. Tetapi kuat dalam konteks gerakan Islam hari ini ialah memiliki
kemahiran-kemahiran dalam melaksanakan gerak kerja berjamaah, termasuk mentadbir
negara (seumpama mengembala kambing juga). Inilah nilai kompetansi yang dimiliki
oleh Nabi Musa AS yang berganding dengan sifat amanah (integriti) yang kemudiannya
menzahirkan kepemimpinan yang berwibawa. Para pendukung PAS telah membentuk
wibawa dalam soal integriti ini, dan tumpuan yang besar mesti dibuat untuk mewujudkan
kompetansi sebagai pelengkap kepada kewibawaan PAS. Inilah satu jihad bagi
mengaplikasikan fikrah yang telah kita bina semenjak lebih 20 tahun yang lalu. Pada
1996 dahulu, al-Marhum Dato’ Fadzil Mohd Nor telah menyentuh secara panjang lebar
bagaimana membangunkan kepemimpinan al-amin sebagai warisan kepemimpinan
anbiya’. Pada hari ini, dalam konteks persediaan untuk mengambil alih pemerintahan
negara, saya menyeru supaya nilai kepemimpinan ini diperkasakan dengan aplikasi fikrah yang lebih menyeluruh. Memiliki fikrah keIslaman yang padu sahaja tidak memadai sekiranya kita tidak dapat menterjemahkan fikrah tersebut dalam satu model
kepemimpinan ’al-qawiyyul amin’.
Politik dan Dakwah
Tuan-tuan para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
”Allah telah menunjukkan kepada kamu diantara perkara-perkara ugama
yang Dia tetapkan hukum-Nya apa yang telah diperintahkan-Nya kepada
Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai
Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim
dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah agama, dan janganlah
kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya".
Surah as-Syuraa: 13
Agenda perjuangan PAS semenjak 1951 adalah mewarisi perjuangan Nabi-nabi AS
dalam menegakkan syariat Allah SWT yang diwasiatkan untuk dilaksanakan oleh
manusia seluruhnya. Pada hari PAS ditubuhkan, PAS adalah sebuah badan dakwah Islam
yang kemudiannya memilih cara politik kepartian untuk menyampaikan agenda
dakwahnya. PAS berjuang menuntut kemerdekaan, membela ketuanan Melayu Islam dan
mengusaha perlaksanaan syariat Islam melalui pendekatan demokrasi kerana PAS
memahami seerah Rasulullah SAW yang memperlihatkan kuasa politiklah ruang terbaik
untuk membolehkan dakwah Islam disebarkan seluas-luasnya. Kita menyertai siri-siri
pilihan raya semenjak 1955 untuk tujuan politik dan dakwah, kita juga melaksanakan
usaha-usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagai langkahan
politico-dakwah kita. Kita memperjuangkan keadilan, ketelusan dan kebajikan juga
kerana maksud politik dan dakwah. PAS bukanlah sebuah parti politik semata-mata
seperti yang difahami oleh sesetengah pihak, tetapi PAS adalah parti politik yang
berdakwah sebagai sebuah jamaah Islam bagi melaksanakan warisan perjuangan
Rasulullah SAW.
Hari ini telah ada pandangan yang mengatakan bahawa PAS adalah parti politik Islam,
bukannya gerakan Islam atau badan dakwah Islam. Pandangan ini adalah salah dan
tersesat daripada hakikat yang sebenar. PAS adalah sebuah badan dakwah Islam
semenjak ia ditubuhkan dan PAS juga merupakan sebuah gerakan Islam. Politik adalah
sebahagian daripada agenda perjuangan PAS. PAS bekerja untuk menegakkan Islam
25
sebagai cara hidup yang syumul dan PAS menggunakan semua saluran dakwah yang ada
untuk menyampaikan maksud ini. PAS bukan hanya mahukan sebuah negara Islam
ditegakkan, tetapi PAS juga mahu peribadi Muslim, keluarga Muslim dan masyarakat
Muslim dibangunkan berasaskan kefahaman Islam yang menyeluruh. Kerana itu, setiap
gerak kerja politik PAS mestilah disertakan dengan agenda dakwah. Kepada orang-orang
Islam, kita mahu gerak kerja politik PAS boleh meningkatkan komitmen mereka kepada
Islam. Kepada orang bukan Islam, kita mahu gerak kerja politik kita boleh membentuk
kefahaman mereka tentang Islam sebagai agama yang adil dan sejahtera. Kerana itu, kita mahu pentadbiran politik Islam yang ditunjukkan oleh PAS kepada orang bukan Islam memberikan keadilan dan kesejahteraan sepenuhnya kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik. Berlaku adil kepada orang bukan Islam adalah antara kewajipan PAS yang diperintahkan Rasulullah SAW,
”Barang siapa yang menyakiti kafir zimmi maka akulah yang menjadi pembantahnya dan barang siapa yang aku menjadi pembantahnya maka aku bantahkannya pada hari kiamat”
Riwayat al-Khatib
Menjadi kewajipan kepada kita untuk menyampai mesej keadilan dan kesejahteraan
Islam kepada seluruh manusia supaya mereka tidak lagi terperangkap dalam serangan
pemikiran yag dilancarkan oleh musuh-musuh Islam. Inilah agenda besar politicodakwah
PAS yang mesti dilaksanakan oleh seluruh ahli PAS. Kita bertanggungjawab terhadap Allah SWT dalam menyampaikan agamanya kepada manusia. Kita telah memilih politik kepartian dan demokrasi sebagai salah satu jalan dakwah kita yang utama, maka marilah kita gemblengkan tenaga kita untuk menuju cita-cita dakwah ini. Janganlah kita meletakkan fahaman bahawa PAS hanyalah sebuah parti politik seperti mana parti-parti lain, lalu kita hanya bekerja untuk mencapai kuasa semata-mata, tanpa
memasukkan elemen dakwah dalam setiap gerak kerja kita. Saya menyeru kepada ahliahli
PAS semua supaya mengambil pesanan bekas pemimpin Masyumi, Pak Natsir yang menyarankan supaya gerakan Islam ”berpolitik dalam jalur dakwah, dan berdakwah
dalam jalur politik”, supaya kita bukan sahaja menjadi ahli-ahli politik Islam yang
berjaya, tetapi juga menjadi da’ie yang diredhai Allah SWT.
KEPEMIMPINAN ULAMAK TUNGGAK PERJUANGAN
Tuan-tuan yang dikasihi sekalian,
Allah SWT telah berfirman,
”Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit,
lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan
jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai
jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya
(tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam; Dan demikian pula di
antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang
ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh
bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hambahamba-
Nya adalah para ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi
Maha Pengampun”.
Surah Fathiir: 27-28
Kepemimpinan ulamak merupakan warisan kepemimpinan Nabi-nabi AS sesuai dengan
kedudukan para ulamak sebagai ’warasatul anbiya’ (pewaris Nabi-nabi). Dalam sejarah
perjuangan Islam semenjak zaman Rasulullah SAW hinggalah jatuhnya khilafah
Islamiyyah, ulamaklah yang menjadi pemimpin ummah. Apabila Tanah Melayu yang
dijajah begitu lama telah kehilangan arah, maka para ulamak bangkit untuk mencetuskan
perubahan dengan menubuhkan PAS pada 1951. Para ulamak memimpin dan memandu
perjuangan PAS sehinggalah Kepemimpinan Ulamak diinstitusikan pada 1982. Dewan
Pemuda PAS telah menjadi pelopor kepada kebangkitan kepemimpinan ulamak ini
apabila Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat di Bukit Mertajam pada 31 Julai 1982
membuat empat pendirian iaitu i) Memberi bai’ah kepada pimpinan baru selagi
tindakannya tidak bercanggah dengan Islam; ii) Mendukung kepemimpinan ulamak; iii)
Menolak kewujudan lebih daripada sebuah jamaah atau parti Islam; dan iv) Ketokohan,
pengalaman, pengetahuan dan tawaduk sebagai asas seseorang itu dilantik sebagai
pemimpin. Daripada pendirian inilah Dewan Pemuda PAS mengemukakan gagasan
kepemimpinan ulamak kepada Muktamar Tahunan PAS Ke-28 di Kuala Lumpur yang
membawa kepada penginstitusian Majlis Syura Ulamak pada 1983. Apabila penubuhan
Majlis Syura Ulamak PAS diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada November 1987,
maka rasmilah PAS dipimpin oleh ulamak. Sepuluh hari yang lalu (23 Mei 2009), Dewan Pemuda PAS bersama Dewan Ulamak PAS dan Dewan Muslimat PAS telah menganjurkan Sambutan Jubli Perak Kepemimpinan Ulamak PAS sebagai suatu pemugaran semula terhadap institusi kepemimpinan rabbani ini. Sambutan ini diadakan ketika media massa berusaha melaga-lagakan kepemimpinan PAS antara ulamak dengan profesional. Ini bukan pertama kali musuh-musuh PAS berusaha membangkitkan fitnah yang remeh ini untuk menyalakan api perpecahan. Mereka cuba mengeksploitasikan kebebasan bersuara dalam PAS untuk menyatakan kononnya pemimpin PAS berselisih pandangan dalam soal kepemimpinan. Hakikatnya, Umno/BN amat cemburu terhadap kejayaan kepemimpinan ulamak PAS membentuk keyakinan rakyat terhadap model kepemimpinan rabbani yang telus, adil,
terbuka dan berkebajikan. Kerana itu mereka berusaha untuk menjatuhkan kepemimpinan
ulamak dengan membangkitkan perbezaan antara ulamak dan profesional. Sejarah telah
membuktikan bahawa kerjasama yang rapat dan padu antara ulamak dan profesional telah
wujud semenjak awal lagi. Kemunculan tokoh-tokoh profesional yang mendukung
kepemimpinan ulamak dalam PAS pada era 1950-an seperti Dr Haji Abbas Alias dan Dr
Pandak Ahmad Alang Samin (doktor perubatan), Professor Ahmad Mohamed Ibrahim
dan Wan Mustafa Ali (peguam), Haji Ariffin Alias (jurutera), Haji Ahmad Perai
(korporat), Professor Zulkifli Mohamed (pensyarah) dan Datuk Setia Abu Samah Ali
(bekas Setiausaha Kerajaan Pahang) membuktikan golongan profesional tidak pernah
terpinggir, bahkan memainkan peranan besar dalam mendukung kepemimpinan ulamak.
Marilah bersama-sama kita memacu kebangkitan PAS ke persada perjuangan dengan
mendukung kepemimpinan ulamak.
GOLONGAN PROFESIONAL TIANG SERI PERJUANGAN
Dewan Pemuda Pas juga merakamkan perhargaan kepada golongan profesional yang
semakin ramai bersama dengan perjuangan PAS. Pemuda merasakan bahawa kehadiran
golongan ini sebagai tiang seri yang bersifat memperlengkap gandingan mantap dan utuh
bersama dengan para ulamak yang diberikan tempat yang sewajarnya dalam perjuangan
kita. Ada dikalangan mereka yang telah membuktikan komitmen dan pengorbanan yang
begitu tinggi nilainya sehingga melepaskan peluang untuk mendapat ganjaran yang lebih
besar sekiranya tetap dengan karier dan profesion mereka. Barisan Nasional hari ini
begitu risau dan bimbang dengan fenomena ini di mana begitu ramai golongan
profesional samada mereka yang bekerja dengan jabatan-jabatan kerajaan dan swasta
yang begitu berani menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan PAS secara
terbuka. Ini membuktikan bahawa perjuangan PAS telah melangkah begitu jauh
kehadapan dalam menampilkan gandingan kepimpinan yang akhirnya rakyat dapat
memberikan keyakinan kepada perjuangan kita.
GOLONGAN AKTIVIS PAKSI KEKUATAN PERJUANGAN
Di saat kita berbangga dengan gandingan mantap golongan ulamak dan profesional
dalam PAS, Dewan Pemuda PAS memperingatkan jangan sekali-kali kita lupa kepada
golongan aktivis parti yang merupakan paksi kekuatan perjuangan semenjak PAS
ditubuhkan tahun 1951. Golongan ini adalah merupakan orang-orang tua, pemudapemuda
dan muslimat yang tidak pernah meminta upah samada ganjaran atau jawatan
dalam parti. Ramai dikalangan mereka ini yang hidup miskin dan berpendapatan
sederhana, petani, nelayan dan orang-orang kampung yang cukup setia dengan
perjuangan PAS. Mereka ini adalah golongan yang hanya mahu PAS menang, Islam
menang. Itulah saja yang menjadi cita-cita mereka. Ada dikalangan mereka yang sanggup
menjual tanah untuk membayar deposit calon PAS yang bertanding pilihanraya walaupun
dengan penuh sedar mereka yakin akan hilang wang pertaruhan itu. Ada dikalangan
mereka petani miskin yang hanya ada beberapa petak tanah sawah, belum pun masak
padi yang mereka tanam, mereka telah membahagikan petak ini kalau saya jual, hasilnya
ialah untuk PAS. Para Muslimat PAS yang begitu setia memasak, membasuh pinggan
mangkuk, membuat kuih-muih setiap kali diadakan program PAS, merayu undi setiap
kali datangnya pilihanraya dan begitu sabar dan berkorban mengizinkan suami-suami
mereka berjuang dalam PAS. Begitulah agungnya perjuangan mereka ini. Kesetiaan,
keikhlasan dan pengorbanan merekalah yang menjadikan PAS terus gagah dipersada
perjuangan hari ini. Mereka adalah unsung warrior, wira yang tak didendang.
PEMUDA PENYAMBUNG PERJUANGAN
Para Pemuda PAS dan hadirin sekalian,
Bagi meneruskan kelangsungan kepemimpinan ulamak, saya menyeru kepada golongan
ulamak muda dalam PAS supaya segera bangkit bagi menyambung perjuangan. Isilah
dada-dada anda dengan ilmu dan kepakaran agama setinggi-tingginya, dan galilah
kebolehan dan kemahiran keduniaan seluas-luasnya. Ulamak muda mestilah memiliki
gabungan kekuatan integriti dan kompetansi yang tadi telah saya sebutkan. Sekiranya
para ulamak muda terus diam, selesa dengan title dan gelaran, suatu hari nanti
kepemimpinan ulamak akan mengalami kepupusan. Kita tidak mahu perjuangan PAS
mati kerana ketiadaan pemimpin, dan kita tidak mahu kepemimpinan ulamak terhenti
kerana para ulamak tidak lagi menganggupi. Insya Allah, kepemimpinan baru Dewan
Pemuda PAS dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS akan merangka satu pelan tindakan
bersama bagi melahirkan satu generasi bagi kepemimpinan ulamak yang lebih berwibawa
yang memenuhi ciri-ciri kepemimpinan yang digariskan oleh Dewan Pemuda PAS pada
1982 yang lalu. Kita mahu generasi kepemimpinan yang memiliki ciri-ciri ketokohan
(karismatik), pengalaman (lama berjuang dalam gerakan PAS), pengetahuan (berilmu
dalam ilmu agama dan keduniaan) serta tawaduk (rendah diri dengan kelebihan yang
dikurniakan oleh Allah SWT) dilahirkan dalam tempoh yang terdekat ini sebagai
persiapan mengambil alih kepemimpinan jamaah pada masa hadapan.
Dewan Pemuda PAS selamanya adalah ’kilang’ yang melahirkan kepemimpinan PAS.
Dewan Pemuda PAS bukan sekadar melaungkan suara keberanian dan mempamerkan
semangat juang, tetapi kita harus membekalkan kepemimpinan masa hadapan. Semenjak
turun-temurun PAS dipimpin oleh tokoh-tokoh yang lahir daripada sayap Pemuda ini,
dan tradisi ini mesti diteruskan supaya perjuangan PAS tidak pupus ditelan zaman.
Ketika Umno sedang berhadapan dengan krisis kepmimpinan kerana generasi muda
mereka sudah terjebak dengan rasuah dan keruntuhan moral, kita Pemuda PAS marilah
memasang tekad untuk terus menjadi pemimpin pelapis yang cemerlang, berakhlak dan
penuh semangat jihad. Marilah kita bakarkan api perjuangan bagi meneruskan agenda
besar PAS untuk memartabatkan Islam. Ayuh kita mara ke hadapan, jangan mundur,
terus maju, melangkah gagah mempersada perjuangan.
Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dalam pesanannya ketika
merasmikan Kongres (Muktamar) Dewan Pemuda PAS Pusat Kedua di Madrasah al-
Ulum as-Syar’iyah, Bagan Datoh pada 13 dan 14 Disember 1957 telah menggaris hala
tuju dan peranan Dewan Pemuda PAS. Kata beliau,
”Pemuda dan pemudilah termometer (penyukat suhu) turun naik sesuatu bangsa. Angkatan tua berpusing turun, angkatan muda berpusing naik.Angkatan tua amanah panduan, angkatan muda harapan perjuangan.Angkatan tua banyak pengalaman dan kebijaksanaan, angkatan muda penuh semangat dan keberanian berkorban. Angkatan tua berfikir cermat
dan menimbang, angkatan muda cergas dan nekad maju mekar mengembang. Tua memperkayakan budi dan jasa, pemuda memperkayakan khidmat dan menghargai masa. Tua menghadapi akhirat,pemuda menghadapi dunia dengan penuh harap. Pemudalah yang
menyambung dan meneruskan cita-cita perjuangan pesaka orang tua kita.Dunia ini nikmatnya untuk rebutan pemuda yang penuh dengan harapan dan kepercayaan. Pemuda yang tiada harapan dan kepercayaan kosong dan hampa hidupnya. Harapan dan kepercayaan pemuda itu ialah ideologinya yang hak dan adil”.
AKHIRUL KALAM
Akhirnya, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh hadirin
yang memeriahkan Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-50
ini, khususnya YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS yang akan
merasmikan muktamar kita pada malam ini. Terima kasih juga kepada para dermawan,
urusetia, para petugas dan semua pihak yang memberikan pelbagai bentuk sumbangan
dan sokongan dalam menjayakan muktamar ke-50 ini. Bagi pihak diri saya sendiri, saya
menyusun sepuluh jari memohon keampunan kepada Allah SWT dan kepada kepada
seluruh Pemuda PAS di atas kelemahan, kekurangan dan kesilapan saya sepanjang enam
tahun mengetuai Dewan Pemuda PAS, termasuk 24 tahun dalam arena perjuangan
Dewan Pemuda PAS semenjak 1985. Semoga Allah SWT menerima khidmat jasa saya
ini sebagai seorang hamba yang bekerja untuk menegakkan agama-Nya. Mudah-mudah
Allah SWT menerima ketulusan hati kita semua dalam perjuangan jihad ini.
”Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami);
Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui”
al-Baqarah: 127
Jumaat, 5 Jun 2009
UCAPAN TEMA MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN PEMUDA PAS PUSAT KALI KE-50
Jumaat, Jun 05, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan