Izwan Abdul Halim & Bashir Ishak
Mon | Apr 20, 09 | 2:50:34 pm MYT
ALOR SETAR, 20 April (Hrkh) - Perjalanan pilihan raya akan tetap mengikut prosedur seperti biasa sekiranya terdapat pihak-pihak berminat untuk bertanding, demikian pandangan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ketika diminta pihak media mengulas kenyataan awal Barisan Nasional (BN) yang kemungkinan tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Penanti.
"Ia akan ikut proses macam biasalah, kalau BN tidak berminat, siapa yang masuk bertanding dia akan bertanding. Mungkin KeADILan dengan Bebas, kalau BN tidak bertanding, akan bertanding di antara pihak yang berminatlah," ujarnya kepada pihak media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Kali Ketiga Penggal Pertama, di sini semalam.
Diminta mengulas pendirian Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak berhubung perkara itu, Ustaz Azizan berkata: "Mungkin dia (Najib) fobia agaknya takut dia kalah tak mahu lawan lagi."
Ujarnya, kekuatan Parlimen Permatang Pauh juga terdapat di Dun Penanti dimana umum turut mengetahui akan kekuatan PAS dan KeADILan di Dun tersebut.
Ketika disoal berhubung kekerapan PRK kebelakangan ini, beliau menegaskan PRK yang disebabkan kematian adalah kerja Malaikat Maut.
"Letak jawatan itu memanglah ada perkara-perkara yang jika dia duduk pun tidak ada manfaat lebih baik letak jawatan. Bagi peluang kepada rakyat putuskan kepada satu wakil rakyat yang lebih mampu.
"Mungkin orang letak jawatan itu, macam Arumugam dia tidak dapat beri khidmat kerana gangguan-gangguan kepadanya, maka biarlah didatangkan calon lain biar rakyat pilih semula calon mereka yang rakyat rasa dia boleh berkhidmat kepada masyarakat.
"Wakil rakyat ini dia perlu berkhidmat kepada masyarakat. Macam (Adun) Penanti ini mungkin dia rasa reputasi terjejas sebagai wakil rakyat dan sebagainya," ujarnya ketika diasak pertanyaan berhubung PRK yang terpaksa diadakan berikutan wakil rakyat berkenaan meletakkan jawatan.
Jelas beliau, sepatutnya wakil rakyat dipandang tinggi dan hormat oleh anggota masyarakat kerana telah menghabiskan masa dan tenaga untuk masyarakat tetapi kini dipandang sebaliknya apabila wakil rakyat dikaitkan dengan simbol rasuah, menyeleweng dan seumpamanya. Tegasnya, perkara itu tidak adil kerana bukan semua wakil rakyat berkelakuan seperti itu.
"Kalaulah dia rasai dia tidak relevan lagi untuk mewakili rakyat yang memerlukan kepada satu reputasi baik, eloklah dia serahkan kepada rakyat untuk rakyat menilai siapa mereka punya wakil rakyat," ujarnya melanjutkan penjelasan berhubung keputusan Adun Penanti tersebut.
Ustaz Azizan dalam menjawab pertanyaan pihak media turut menyangkal bahawa PRK sebagai satu pembaziran.
"Saya tidak nampak membuang wang rakyat, kerana PAS tidak belanja duit. Kita (PAS) bukan belanja berjuta-juta, hanya mungkin duit kita guna beli nasi, kopi, gulai, itu sahaja seperti makan di rumah.
"Yang buang wang banyak ni kalau belanja teruk sangat, saya tidak tahulah saya tidak pernah belanja banyak. Kita menang pun kita bukan ada duit. Biasanya belanja duit banyak kalah juga," sindirnya. - mks. _
Isnin, 20 April 2009
PRK Penanti, Najib fobia agaknya!
Isnin, April 20, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan