Syafiq Kamarul
Fri | Feb 20, 09 | 12:09:54 am MYT
KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh) - Para pemimpin Umno-BN dan para penyokong fanatiknya mendakwa para pemimpin serta para penyokong Pakatan Rakyat (PR) menghina Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kerana enggan menerima pembentukan kerajaan negeri Perak yang baru pada 4 Februari lalu.
Apatah lagi, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar walaupun telah dinasihatkan berbuat demikian oleh Sultan Perak. Pengerusi DAP, Karpal Singh pula mahu menyaman Sultan Azlan Shah (walaupun tidak dipersetujui pemimpin PR yang lain) dan BN.
Ekoran itu, demonstrasi demi demonstrasi diadakan oleh Umno-BN dan penyokongnya di seluruh negara dengan pelbagai sepanduk mengecam Nizar dan Karpal. Karpal sendiri menghadapi 84 laporan polis terhadapnya. Beliau segera dipanggil oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk memberi keterangan.
Cepat sungguh Polis Diraja Malaysia bertindak atas laporan polis terhadap pemimpin pembangkang sebaliknya para pemimpin BN yang memang 'penjenayah' dan 'perompak' harta rakyat, laporan polis itu entah ke mana lesapnya!
Sikap hipokrit dan 'double-standard' Umno terserlah apabila mereka turut turun ke jalan raya berdemonstrasi membantah ketegasan pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu di Perak walaupun mereka juga yang mengatakan demonstrasi bukan budaya kita.
Nampaknya, jika dilakukan oleh mereka, demonstrasi jalanan tersebut tidak menjadi satu kesalahan. Karpal sendiri mempertikaikan perkara ini. Katanya, demonstrasi Pakatan Rakyat dihalang, tetapi demonstrasi Umno-BN dibenarkan walaupun tanpa permit.
Menantu kesayangan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaluddin juga kini mahu menjadi jaguh dengan mengecam Nizar dan Karpal dalam demonstrasi jalanan yang ditajanya. Beliau turut meminta penderhaka dihalau dari bumi Perak.
Nampaknya, Khairy mudah lupa kerana dahulu beliau juga yang menganggap para demonstrator jalanan adalah monyet. Tetapi, sekarang kerana mempertahankan kerajaan haram di Perak, beliau sanggup menjadi monyet.
Semua orang tahu ini hanyalah sandiwara Khairy sahaja untuk meraih sokongan dalam pertandingan memilih Ketua Pemuda Umno dalam Perhimpunan Agung Umno pada 24 hingga 28 Mac nanti.
Demonstrasi bukan budaya kita. Bagaimanapun, ia menjadi budaya murni dan halal jika menyokong kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN!
Bandingkan dengan demonstrasi di Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 6 Februari lalu. Tiada satu pun kain rentang oleh penunjuk perasaan berbunyi kasar serta menghina Sultan Perak dan Raja Muda.
Apa yang terpampang hanyalah ayat "Daulat Tuanku Rakyat Pohon Tuanku Bubarkan DUN Perak" dan "Menuntut Bubarkan DUN, Kembalikan Kuasa Rakyat".
Nizar menderhaka? Beliau tidak bersetuju dengan tindakan Sultan Azlan. Tetapi, tidak menggunakan perkataan tidak bersetuju. Sebaliknya, beliau menggunakan perkataan "Sembah patik sembah derhaka."
Bukannya beliau menderhaka seperti yang ditafsirkan oleh akhbar arus perdana kroni kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. "Sembah derhaka" itu telah dijadikan isu, sedangkan selama ini pemimpin Umno yang kerap menderhaka kepada Sultan. Kepada Allah SWT pun mereka menderhaka, apatah lagi kepada Sultan yang juga manusia ciptaan Allah.
Nizar enggan meletakkan jawatan kerana jawatan dan kerajaan pimpinannya dirampas secara tidak bertamadun oleh pemimpin kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN. Beliau dan kerajaan tidak dikalahkan, tetapi dinafikan secara haram menerusi rampasan kuasa yang sebenarnya memalukan Umno-BN.
Mana mungkin seorang yang bermaruah dan dipilih oleh rakyat mahu tunduk pada perbuatan tidak bermaruah dan penuh kehinaan? Siapa sahaja yang bermaruah akan mempertahankan diri jika dianiayai.
Berkaitan dengan isu di Perak ini, Umno-BN cuba menggambarkan imej buruk Pakatan Rakyat, iaitu tidak mendengar titah raja. Sejak bila pula Umno-BN begitu taat setia kepada raja dan menjadi pembela berani mati?
Umno biadap pada Raja-raja Melayu
Ingin ditanya, siapakah yang terlebih dahulu derhaka kepada raja? Kerajaan rasuah, angkuh dan sombong BN sudah lupa siapa yang menentang dan menghina Sultan Terengganu (yang juga Yang di-Pertuan Agong) dalam pemilihan Dato' Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu pada bulan Mac tahun lalu?
Cepatnya Umno-BN lupa pada demonstrasi oleh penentang pelantikan Ahmad itu? Ia adalah atas arahan Abdullah sendiri. Sehingga kini, langsung tiada siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.
Dalam demonstrasi di pekarangan rasmi Menteri Besar Sri Iman, Kuala Terengganu pada 23 Mac tahun lalu itu, para pemimpin Umno negeri dan Pusat menderhaka terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin apabila secara terbuka berdemonstrasi yang jelas menghina kemuliaan institusi raja dalam isu pelantikan menteri besar.
Penyokong Umno/BN mahu Idris Jusoh kekal sebagai Menteri Besar Terengganu.Mereka menyanggah pihak istana yang diwakili Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kerana melantik Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.Tindakan biadap Umno itu memang mengundang kemarahan pelbagai pihak serta menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan rakyat umum, termasuk Istana Tuanku.
Antara slogan pada kain rentang yang menimbulkan ketegangan itu adalah seperti 'Kami Nak Idris, Natang' (binatang) yang disiarkan secara meluas oleh beberapa buah stesen TV negara kita.
Perkataan Natang itu adalah dialek Terengganu yang bermaksud 'Binatang'. Ia ditujukan kepada siapa? Adakah kepada pihak Istana Terengganu atau Raja-raja Melayu yang menjadi sasaran emosi pemimpin serta penyokong tegar Umno/BN Terengganu? Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor membuat kenyataan terbuka untuk memecat Ahmad Said yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal.
Umno Terengganu yang diketuai Idris dan Rosol Wahid memprotes secara terang-terangan watikah yang diperkenan oleh Pemangku Sultan Terengganu melalui MPPR. Sehingga kini, Abdullah tidak dibicarakan, apatah lagi dijatuhi hukuman setimpal. Bagaimanapun, seluruh rakyat Malaysia sudah menyedari bahawa Umno-BN yang sebenarnya adalah penderhaka bertopengkan agenda perjuangan orang Melayu.
Annuar Musa (sekarang Tan Sri) sudah lupa atau berpura-pura lupa bahawa pada tahun 1993 beliau sanggup berarak dari Kuala Lumpur membawa Tengku Ibrahim dan menabalkannya di bawah pohon janggus sebagai Sultan Kelantan, sedangkan Sultan sebenar masih ada.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Muhammad Mohd Taib (juga sekarang Tan Sri) ketika menjadi Menteri Besar Selangor juga lupa beliau pernah melarikan puteri Sultan Selangor, Sultan Salahuddin, yang lebih dikenali sebagai Ku Yah.
Lupakah bahawa Umno juga pernah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983. Kerakusan mahu terus berkuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk meminda peruntukan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.
Pindaan yang dikemukakan pada pertengahan tahun 1983 itu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) itu setelah baginda berbincang dengan raja-raja lain.
Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan, malah buat kali pertama selepas kemerdekaan, pemimpin kerajaan yang dikuasai Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum anjuran Umno itu telah menyebabkan raja dipandang hina oleh masyarakat awam.
Pada tahun 1990, Umno sekali lagi bertembung dengan raja-raja selepas ia kalah teruk di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-8. Dalam Perhimpunan Agung Umno tahun 1991, Umno telah melemparkan kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.
Istana Kelantan dibidas secara terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah.Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan kata-kata tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan serta mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya.
Seterusnya, pindaan Perlembagaan tahun 1993 menunjukkan percubaan Umno untuk menghapuskan kekebalan raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi Umno.
Akibatnya, media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang menteri mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja serta anggota kerabat diraja tertentu.
Jadi, sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja seperti yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983. Pada tahun 1978, Menteri Besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletakkan jawatan sehingga mendorong Sultan Perak, Sultan Idris Shah menyimpan janggut dan jambang. Baginda bernazar akan mencukurnya setelah Ghazali meletakkan jawatan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato Mahfuz Omar membantah keras rampasan kuasa di Perak ini walaupun tidak hairan jika ada rasuah RM50 juta untuk membeli ADUN PR kerana rasuah memang sudah menjadi amalan pemimpin Umno/BN.
Oleh kerana Umno-BN merampas kuasa secara yang disifatkan oleh pakar undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai rompakan di siang hari yang terang-benderang', Mahfuz tegas mengatakan ada dua buah kerajaan haram di dunia sekarang. Pertama, katanya, kerajaan haram laknatullah Israel dan kedua, kerajaan haram BN di Perak.
Adun 'lompat' tidak berani pulang ke kawasan
Oleh kerana berkuasa secara haram, menurut Setiausaha Politik Nizar, Misbahul Munir Masduki, maka Adun Behrang, Changkat Jering dan Jelapang tidak berani menjenguk kawasan masing-masing.
"Bagaimana mereka boleh berkata mahu berkhidmat kepada pengundi sedangkan langsung tidak berani pulang ke kawasan masing-masing? Mereka tahu mereka telah mengkhianati pengundi,"tambah Misbahul.
Sebab itulah mereka takut untuk menjenguk kawasan. Para pengundi mereka juga sedang menunggu dengan kasut, jelas beliau secara berseloroh dalam satu ceramah di Kuala Lumpur baharu-baharu ini.
Tambah beliau, jika hasrat mengadakan pilihan raya semula dan tandatangan referendum rakyat Perak gagal, krisis yang berlaku diharap akan berterusan sehingga tiga kerusi Dun terbabit dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan.
Dilaporkan bahawa Speaker Dun Perak, V Sivakumar enggan menerima Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar dan enam orang Exco baharu kerana pelantikan mereka tidak mengikut Perlembagaan. Dalam perkataan lain, mereka adalah pemimpin kerajaan haram!
Namun, sikap 'double-standard' serta tidak tahu malu pemimpin Umno terserlah apabila Dr Zambry membantah tindakan Sivakumar itu. Katanya, perkara itu perlu dibawa ke mesyuarat Dun terlebih dahulu.
Tahu pula mahu membawa ke mesyuarat Dun. Semasa mahu merampas Perak pada 4 Februari lalu, tidak pula mahu menunggu mesyuarat DUN untuk mendapat undi tidak percaya terhadap Nizar. Inilah sikap Umno yang tidak bertamadun seperti lanun!
Walaupun akhirnya bersetuju keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar dan menyerahkan semula kenderaan rasmi, Nizar dan barisan Exconya akan menjelajah seluruh negeri Perak (setiap Dun) untuk memberi penjelasan.
Menurut Misbahul lagi, Sultan Azlan dikhabarkan berdukacita atas kemarahan rakyat baginda. Sepatutnya baginda bergembira ketika menyambut perayaan Jubli Perak memerintah negeri Perak. - azm_
Jumaat, 20 Februari 2009
Derhaka: Umno ada sejarahnya
Jumaat, Februari 20, 2009
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH
No comments
0 komentar:
Catat Ulasan