Selasa, 11 November 2008

Azizi Menulis - Plastik, Sampah dan Kerajaan Tempatan

Kedah memiliki keluasan 9,426 Km persegi dengan rakyatnya kini 1,778.188 juta (1.8 juta tahun 2003). Kepadatan penduduk dikatakan 188.7/Km persegi.

Majoriti dari 1.7 juta inilah yang membentuk kerajaan baru walaupun tidak semua Dewan Undangan Negeri dapat ditawan.

Apapun apabila kerajaan baru terbentuk, ia adalah hasil dari penentuan rakyat, dengan ertikata lain, rakyatlah yang mahukan perubahan. Yang demikian kerajaan baru mestilah bersedia menghadapi perubahan yang dikehendaki rakyat.

Alhamdulillah sejak 8 Mac yang lalu hingga kini, lebih dari 200 hari, Kedah nampaknya berjalan lancar di bawah Menteri Besarnya, Dato'' Seri Azizan Abdul Razak.

Di antara fotfolio sesebuah kerajaan yang menjadi tumpuan rakyat ialah fotfolio Kerajaan Tempatan, di bawah tanggungjawab Exco Kerajaan Tempatan. Ia sebagai satu padang terserlah dilihat oleh rakyat dan dianggap penting memainkan peranannya. Oleh kerana itu fotfolio ini sangat penting di samping fotfolio lain juga penting.

Tetapi bagi sekelian rakyat Kedah seramai 1,778.188 juta, Kerajaan Tempatan yang ada di hadapan merekalah, yang tertayang jelas di hadapan mata mereka, sehingga seorang siak masjid atau seorang penebas rumput atau seorang pengangkut sampah menganggap Kerajaan Tempatan rumah keluar masuk mereka.
Oleh yang demikian pihak Kerajaan Tempatan haruslah bersedia menerima pandangan dan teguran jika sekiranya di antara rakyat Kedah yang menegur atau melahirkan tidak puas hati. Ia bolehlah diumpama ribuan penonton bola sepak di Stadium Darul Aman melihat gelagat seorang pemain harapan di sayap kanan.

Memang semua tidak boleh memenuhi semua kehendak tetapi yang satu juga haruslah berusaha sedaya upaya.

Saya yang berkata begini ialah, salah satu imej sesebuah negeri yang diperhatikan oleh rakyat dan orang luar ialah alam sekitarnya. Ia diumpamakan seorang perempuan yang cantik, intelektual, yang menjadi rebutan ramai lelaki. Tetapi kecantikan dan intelektualnya tidak memberi makna juga imej yang dilakukannya tidak menarik ramai lelaki. Maka sangat tidak elok jika ia memakai bedak Siam harga RM3, atau memakai selipar atau menampakkan betisnya yang penuh dengan kuping kudis.

Rakyat Kedah di kampung-kampung, di hulu-hulu, di tepi bukit dan di kaki gunung kebanyakannya berpindah menduduki perkampungan yang dirancang, di taman-taman malah sampai di pinggir bandar. Manakala rakyat bandar yang bangun setiap hari akan melihat apa yang ada di sekitar mereka.

Bagaimana kalau setiap hari kawasan perumahan mereka, di tepi parit dan di tepi longkang, kedapatan sampah-sampah berselerak? Bagaimana kalau di tempat-tempat pembuangan sampai, berlungguk-lungguk sampah yang termuntah dari tong, yang tidak diangkut? Bagaimana dengan sungutan lalat dan ulat?

Saya sangat memahami ini. Ia bukan kehendak Kerajaan Tempatan dan siapa pun tidak mahu berlaku begitu. Saya juga memahami Kerajaan Tempatan telah berusaha dan menunaikan tanggungjawabnya. Bagaimanapun di atas sifat tidak sempurna dan jutaan mata rakyat menumpu ke satu fotfolio yang ada di hadapan mereka, yang kawasan-kawasan itu menjadi tempat tinggal mereka, maka kelemahan itu walaupun disebabkan oleh pihak lain, maka Kerajaan Tempatanlah yang menerima balun tibainya.

Inilah yang harus diatasi oleh Kerajaan tempatan. Tentulah ada caranya, setidak-tidak menyusun dan memperkemas mereka yang ada unsur-unsur sabotaj apabila bertukar pemerintahan baru. Berunding dengan pihak swasta yang berhemoi-hemoi menangkap kontrak atau menyuntik peruntukan yang cukup kepada kontraktor.

Saya amat serius melihat hal ini kerana benda busuk dan semak sampah adalah benda-benda yang ada di depan mata setiap rakyat. Ia lain sekali dengan hendak tebang sepuluh batang balak atau korek pasir sungai atau kumpulan bola sepak yang komplen tentang bonus.

Sampah yang kotor mudah membawa penyakit. Di dalam sampah-sampah itu di antaranya sampah bekas plastik dan beg-beg plastik. Ini juga mendatangkan bahaya kepada rakyat yang tinggal berdekatan. Bayangkan jika lima daerah bermasalah dengan lunggukan sampah, lima daerah jugalah yang mungkin dihinggap penyakit.

Memang sampah memberi masalah tetapi haruslah diingat masalah itu dicipta oleh manusia itu sendiri. Di Lembah Klang dianggap 50,000,000 beg plastik dibuang dalam tempuh sebulan. Sumbernya ialah dari pembelian di kedai runcit. Pengguna plastik mengakibatkan kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan.

Bahan berbahaya ini sepatutnya difikir oleh semua pengguna dan Kerajaan Tempatan seharusnya membuat kempen berterusan tentang baha plastik ini

Untuk menyebut berbahayanya plastik secara menyeluruh, bukan tempatnya di sini. Tetapi mungkin orang ramai agak terkejut jika diberitahu kira-kira 90% plastik digunakan sebagai pembungkus yang dinamakan Polietilena Densiti Rendah. Manakala Polietilena Tinggi terdiri dari botol, crate, tudung dan penutup botol dan lain-lain mengikut istilah plastik itu sendiri.
Yang berlambak-lambak di tempat sampah, yang bertaburan di setengah-tengah taman, yang termuntah dari tong yang sering padat, yang dilangau lalat apabila tiga empat hari tidak diangkut, kebanyakannya terdiri dari plastik. Di situlah ada bekas majerin, bungkus makanan rangup, pembalut cokelat. Di situlah adanya bekas dadih, plastik mengisi telur, penutup makanan. Di situ juga ada dulang makanan pek untuk kek dan sandwic, botol minyak masak, botol air mineral dan lain-lain.

Berbahayanya sampah dan plastik-plastik yang dilontar ke sana nampaknya tidak ditunai tanggung jawab oleh mereka yang diupah, diamanah atau dikontrak. Yang sangat gembira apabila sampah tidak dipeduli, hanyalah anjing kurap yang datang waktu malam mencakar dan memunggah segala bungkusan.

Oleh yang demikian, dengan peringatan ini pihak Majlis Kerajaan Tempatan harus lebih berfungsi, prihatin dan bertanggung jawab, kerana sampah, baik dari plastik atau hampas buangan biasa adalah objek-objek utama yang dilihat oleh rakyat.

Jika kebersihan itu dikatakan separuh dari iman, maka apakah imej iman rakyat Kedah jika di setiap daerah dan tempat kelihatan berselekeh sampah-sampah, sama ada plastik atau sisa terbuang?

Wallahu aklam.

1 komentar:

KedahLaNie berkata...

salam,
nak tegoq sikit...adsense banner tu remove je lah tak function pon andai blog dlm melayu...

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons