Khamis, 21 Ogos 2008

YB Nasir selesai masalah saliran tersumbat 20 tahun

Oleh Izwan Abdul Halim

KUALA KEDAH: Menjiwai masalah penduduk di kawasannya, Ahli Dewan Undangan Negeri Kubang Rotan, YB Mohd Nasir Mustafa terus menggerakkan usaha bersungguh-sungguh melalui kerjasama pelbagai pihak dalam menangani masalah-masalah rakyat.

Antara perkara yang ditangani beliau ialah masalah saliran tersumbat yang dialami penduduk di Kg. Tok Pasai dan masalah perparitan di Tongkang Yard di sini.

Atas inisiatif beliau, Alor Tok Pasai yang telah lebih 20 tahun dilitupi sampah sarap dengan aliran airnya yang tersekat dan kotor, kini telah dibersihkan dengan kerjasama dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam tinjauan baru-baru ini, YB Mohd Nasir menunjukkan 'wajah baru' sungai berkenaan tidak lagi dilitupi sampah sarap setelah kerja pembersihan yang dilakukan baru-baru ini melibatkan lebih 60 lori sampah.

Beliau sendiri dilihat komited menyelesaikan masalah yang disifatkannya sebagai 'tertunggak' itu melalui pemantauan berterusan. Keprihatinannya yang kerap kali turun ke lokasi berkenaan hinggakan beliau semakin dikenali penduduk di situ. Malah ketika tinjauan tersebut, kelihatan kanak-kanak yang bermain di situ melaung-laung memanggil beliau.

"Saya masih mengharapkan tindakan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) dan komitmen dari syarikat-syarikat swasta, kerana dengan JPS kita telah pun mengeluarkan sampah. Tetapi mengeluarkan sampah semata-mata tidak akan selesai kerana perkara yang sama akan berulang semula.

"Sungai ini perlu ada proses pendalaman dan diberi nafas baru melalui bantuan semua pihak dan akhirnya bila kita dapat bersihkan sungai ini, ia akan dapat berikan keselesaan kepada semua pihak yang tinggal di sekitar ini," terang Mohd Nasir.

Pun begitu, beliau tidak sekadar berpuas hati dapat merubah pandangan baru Alor Tok Pasai. Bagi Mohd Nasir, beliau mempunyai impian agar penduduk di situ hidup dalam persekitaran yang berkualiti.

"Saya bercita-cita untuk melihat alor ini sebagai sungai yang hidup dan memberi keselesaan kepada penduduk setempat serta membawa kehidupan lebih baik kepada penduduk di sini. Saya menyeru kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) khususnya yang memperjuangkan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar agar tampil untuk memberi kesedaran kepada semua pihak bagi sama-sama mencintai sungai," katanya yang turut memaklumkan kejadian demam denggi dan kematian akibatnya sudah menjadi perkara biasa di situ.

Sementara itu, dalam tinjauan di Tongkang Yard, beliau menunjukkan kerja-kerja perparitan yang giat dijalankan oleh pihak MBAS.

Jelasnya, kawasan berkenaan sering menghadapi masalah banjir kilat yang telah berlarutan lebih 15 tahun akibat saliran perparitannya sempit.

"Terima kasih pada MBAS kerana membina dan membaiki parit-parit baru sebagai usaha menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku semasa hujan lebat," katanya yang nyata gembira dengan perkembangan gerakerja itu.

Terangnya lagi, Pusat Khidmatnya juga banyak menerima aduan penduduk berkaitan masalah infrastruktur dan kemudahan asas.

"Insya-Allah kita akan selesaikan masalah-masalah ini dari semasa ke semasa," ujarnya memberi jaminan.

0 komentar:

SIARAN LANGSUNG TV PAS KEDAH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | fantastic sams coupons